Khamis, 12 September 2013

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Kerajaan jamin harga tepung, gula tidak naik

Posted: 12 Sep 2013 02:32 AM PDT

SEREMBAN 12 Sept. - Kerajaan memberi jaminan harga tepung dan gula tidak akan naik di sebalik pengurangan subsidi petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen diumumkan kerajaan, 3 September lepas.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek berkata, jaminan itu berdasarkan persetujuan antara kementerian dengan beberapa pengeluar dan pengilang utama dua komoditi makanan itu, semasa pertemuan pada Selasa.

"Saya gembira apabila mereka juga memberitahu bahawa bekalan gula dan tepung mencukupi.

"Mereka juga bersetuju untuk tidak menaikkan harga barangan itu dan ini bermakna peniaga tidak boleh menaikkan harga barangan berkenaan sewenang-wenangnya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Bengkel Kefahaman Undang-undang dan Pemeriksaan kepada Penghulu dan Penggawa Semenanjung Malaysia, di sini hari ini. - BERNAMA

Manfaatkan industri berasaskan pengetahuan - PM

Posted: 12 Sep 2013 02:07 AM PDT

KUALA LUMPUR 12 Sept. - Malaysia mesti meningkatkan usaha untuk menjadi negara maju pada 2020 dengan memanfaatkan industri berasaskan pengetahuan dan Kewangan Islam, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan bersetuju dengan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Jepun-Malaysia (Jactim) bahawa untuk Malaysia meningkat ke fasa pembangunan seterusnya ia perlu mewujudkan ekonomi seimbang dan maju.

"Industri berteknologi tinggi berasaskan pengetahuan akan memain peranan penting dalam transformasi dan pertumbuhan pada masa akan datang," katanya pada sambutan Ulang Tahun ke-30 Jactim hari ini. - BERNAMA

Sesi baharu pelajar Malaysia di Mesir mula 19 Oktober

Posted: 12 Sep 2013 01:36 AM PDT

PUTRAJAYA 12 Sept. -- Sesi pengajian baharu bagi pelajar Malaysia di semua universiti di Mesir akan bermula 19 Oktober ini manakala peperiksaan bermula 21 September, kata Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh.

Bagaimanapun, katanya, tarikh itu tertakluk kepada keadaan di Mesir.

Tarikh-tarikh ini ditetapkan dalam perbincangan antara wakil kementerian dan Kementerian Pengajian Tinggi Mesir baru-baru ini, katanya kepada pemberita, di sini Khamis.

Beliau berkata, bagi yang ingin kembali, mereka dinasihat agar sentiasa berhubung dengan Kedutaan Malaysia dan Education Malaysia Egypt bagi mendapat maklumat terkini.

"Kementerian tidak menggalakkan pelajar pulang ke Mesir atas beberapa sebab, antaranya perintah berkurung masih dikuat kuasa dan kerajaan baharu Mesir belum ditubuhkan," katanya.

Menurut Idris, setakat 30 Ogos lepas, sebanyak 2,791 pelajar Malaysia dibawa pulang dari Mesir.

Beliau juga berkata kerajaan Malaysia telah memutuskan untuk tidak menghantar pelajar baharu bidang perubatan, pergigian, farmasi dan pengajian Islam ke Mesir bagi sesi akademik 2013/2014.

Penangguhan ini sehingga Majlis Keselamatan Negara dan Wisma Putra memberi kebenaran kepada rakyat Malaysia melakukan perjalanan ke Mesir, katanya.

Menurut Idris, kementeriannya sedang melihat semula polisi penghantaran pelajar Malaysia ke Mesir dan akan meneliti peluang pengajian dalam bidang terbabit di universiti lain, baik tempatan mahupun luar negara.

Idris juga memberi jaminan pembiayaan pengajian oleh Majlis Amanah Rakyat dan Jabatan Perkhidmatan Awam bagi pelajar Malaysia di Mesir akan diteruskan.

"Bagi mereka yang menanggung kos pengajian secara sendiri, kementerian akan berusaha untuk meringankan beban yang ditanggung mereka," katanya. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved