Ahad, 15 September 2013

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Masa depan UMNO

Posted: 15 Sep 2013 10:55 AM PDT

TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD ialah bekas Presiden UMNO.

SAYA berasa serba salah. Saya setia kepada UMNO. Saya ingin lihat UMNO terus mewakili orang Melayu, mempertahan dan memajukan mereka. Saya sedar akan hakikat bahawa UMNO mengidap sakit tua dan ia akan maut kerana sudah tua. Ini naluri manusia. Lambat laun manusia akan menemui ajalnya.

Pembaharuan umat manusia ialah melalui zuriat. Anak kita, cucu kita, cicit kita akan kekalkan kita secara tidak langsung di dunia, akan sedikit sebanyak meneruskan sumbangan kita yang terdahulu.

Saya cuba sedarkan UMNO akan usianya yang sudah lanjut. Saya menulis akan perlunya UMNO diperbaharui dengan penerimaan ahli serta kepimpinan dari generasi muda. Malangnya ada pihak yang berpendapat tulisan saya mempunyai agenda tertentu, kononnya kerana saya ingin kekalkan kepimpinan saya melalui anak saya.

Mungkin secara kebetulan ini akan terjadi. Tetapi jika kerana tuduhan ini saya tidak berusaha untuk kebaikan UMNO, ini bermakna saya lebih utama imej saya daripada tanggungjawab saya kepada parti. Jika saya ingin tolong anak saya, sepatutnya saya berusaha semasa saya jadi Perdana Menteri.

Tetapi saya tidak berbuat demikian. Pada hakikatnya, UMNO sekarang memerlukan pembaikan dan walau apa pun tuduhan saya terpaksalah ketepikan, jika sedikit sebanyak dapat saya sumbang untuk masa depan UMNO dan orang Melayu. Saya tidak penting. UMNO dan orang Melayu tetap lebih penting daripada saya, atau anak saya.

Saya ulangi UMNO sedang mengidap sakit tua yang tetap akan membawa maut. Hanya jika UMNO diperbaharui oleh yang muda barulah UMNO dapat meneruskan perjuangan-perjuangan yang diamanah kepada UMNO oleh bangsa Melayu. Ahli UMNO mestilah ditambah melalui kemasukan generasi muda yang bersemangat kebangsaan. Demikian juga dengan kepimpinan UMNO di semua peringkat, terutama di peringkat pusat, di dalam Majlis Tertinggi. Ahli-ahli badan ini mestilah terdiri sebahagiannya daripada yang muda.

Saya masih ingat mereka yang menjadi pengasas UMNO. Mereka muda-muda belaka. Purata usia mereka belum pun setengah abad. Ramai yang hanya dalam lingkungan tiga puluhan. Mereka memiliki kecergasan minda orang muda, bersemangat, memiliki cita-cita besar untuk bangsa mereka.

Dan UMNO pun bertenaga, aktif kerana mudanya pemimpin dan ini memberi harapan kepada bangsa Melayu. Dan mereka pun berjaya, berjaya menewaskan Malayan Union British, memerdekakan negara dan bangsa, mengatasi segala cabaran setelah mengambilalih pemerintahan, mengisi kemerdekaan secara bermakna sehinggalah negara yang kerdil, bangsa yang terhina dahulu dikenali dunia sebagai bangsa yang berwibawa, yang mampu bersaing dan memajukan negara ini berpuluh kali lebih baik daripada penjajah.

UMNO membangunkan Malaysia sehingga menjadi negara contoh yang dikagumi dunia. Berduyun-duyun orang asing datang untuk mempelajari darinya, mempelajari ilmu berkenaan pembangunan negara dan bermacam lagi.

Sumbangan pengasas UMNO yang muda ini terhadap bangsa, agama dan tanah air tidak dapat dinilai. Orang muda, pemimpin muda yang melakukan semua ini memang berjasa. Negara terhutang budi kepada mereka. Bangsa Melayu terhutang budi kepada mereka. Jasa mereka tetap akan dikenang selama-lamanya.

Tetapi mereka dan pengganti mereka sekarang sudah tua. Masa mereka sudah terlanjut. Sumbangan mereka semakin merosot. Ya, menjadi pemimpin memang sedap. Segala kemudahan dapat dinikmati.

Ramai yang membongkok di sekeliling pemimpin, yang mengulangi cerita tentang keupayaan dan keberkesanan mereka sebagai pemimpin. Dan mereka pun percaya cerita pembodek ini. Lagi pun sedap sungguh kerusi yang diduduki. Memuaskan sungguh kuasa yang dimiliki. Kenapakah pemimpin perlu undur, tarik diri.

Tetapi mereka harus sedar akan pentingnya mereka tidak melampaui masa mereka. Lambat laun orang akan berasa bosan, bahkan naik meluat akan pemimpin yang sudah lapuk dan ketinggalan zaman tetapi masih tidak terima kebenaran.

Untuk ini mereka sanggup buat apa sahaja. Tanpa mengambil kira kesan terhadap budaya bangsa mereka sanggup hulur wang untuk mendapat sokongan, untuk mengekal diri sebagai ahli Majlis Tertinggi atau jawatan-jawatan lain. Percayalah jika ahli memilih perasuah sebagai pemimpin, mereka akan amalkan budaya penerima rasuah semasa menjadi pemimpin. Kuasa mereka akan disalahgunakan. Kita dan bangsa kita akan rugi lebih daripada apa yang kita terima dahulu. Negara akan hancur. Maruah bangsa akan luput.

Malangnya, ramai yang begitu mudah tergoda dengan sogokan wang. Tak banyak. RM200 pun boleh mengalih pemikiran sesetengah ahli UMNO. Mereka bukan menjual undi. Sebenarnya mereka menjual bangsa, menjual maruah diri mereka. Hentikanlah amalan ini baik oleh yang menghulur mahupun yang menerima.

Kata pepatah Inggeris "Money is the root of all evil" (Duit adalah punca segala kejahatan). Duit boleh beli segala-galanya, membeli bangsa, membeli maruah, membeli masa depan, membeli agama pun.

Percayalah apabila pemimpin yang kita pilih adalah perasuah, mereka tidak akan teragak-agak menjual bangsa pun. Ingatlah negara kita dahulu lebih besar tetapi kerana duit ia sudah jadi kecil. Ia akan jadi lebih kecil lagi jika perasuah memimpin negara ini.

Kita harus akui bahawa UMNO sekarang tidak lagi dipercayai oleh ramai orang Melayu. Sebab itu mereka menubuhkan ratusan badan bukan kerajaan (NGO). Jika mereka mempunyai banyak pilihan, UMNO sudah kalah Pilihan Raya Umum Ke-13. Tetapi janganlah ahli UMNO, pemimpin UMNO percaya walau apa pun yang dilakukan mereka, kerana tidak ada pilihan lain maka UMNO tetap akan menang. Kalau UMNO dipimpin perasuah, parti lawan akan ternampak lebih baik.

Justeru kembalilah kepada perjuangan UMNO. Ketepikan kepentingan diri. Berilah tempat kepada yang muda. Terimalah mereka ke dalam parti. Pilihlah mereka dan tolaklah yang sudah tua. Hanya dengan cara ini sahaja barulah perjuangan UMNO untuk bangsa, agama dan tanah air dapat diteruskan. Sesungguhnya perjuangan orang Melayu belum selesai. Janganlah anak cucu kita mengutuk kita kerana ketamakan kita memusnahkan masa depan mereka.

Elak 'ketirisan poket' menjelang pemilihan dalam parti

Posted: 15 Sep 2013 10:55 AM PDT

Hassan Mohd. Noor

SEMALAM, Ahad berakhirlah mesyuarat agung tahunan UMNO peringkat cawangan di seluruh negara. Setakat ini, khabarnya perjalanan mesyuarat adalah lancar walaupun ada beberapa cawangan mengalami sedikit kekecohan. Diharapkan 'kekecohan' seperti dakwaan tidak cukup kuorum, tidak mengikut jadual, mesyuarat bertukar menjadi jamuan hari raya, cawangan bunian dan sebagainya tidak akan mengganggu perjalanan mesyuarat atau persidangan di peringkat bahagian. UMNO tidak boleh ambil mudah 'kekecohan' yang berlaku ini. Jangan kerana 'nila setitik rosak susu sebelanga'. Lebih-lebih lagi kaedah baharu pemilihan yang diperkenalkan kali ini sudah tentu mendapat perhatian parti-parti politik lain terutama yang berada di luar Barisan Nasional (BN). Jangan ketika kita asyik menghentam pihak lain kerana proses pemilihan mereka dikatakan tidak telus, tiba-tiba diri sendiri pula yang bermasalah.

Pada hari Sabtu kelmarin, bermulalah pengedaran borang pendaftaran calon bagi yang berminat menawarkan diri bertanding jawatan anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO serta jawatan bagi sayap Wanita, Pemuda dan Puteri. Begitu juga borang untuk jawatan di peringkat bahagian. Sambutan pada hari pertama boleh dianggap menggalakkan kerana ramai calon mengambil borang di ibu pejabat UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Bernama melaporkan, antara yang paling awal tiba untuk mendapatkan borang pencalonan ialah Exco Pergerakan Wanita UMNO, Hasnah Salam, mantan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Dr. Aziz Jamaludin Mhd. Tahir yang juga dari Biro Penerangan UMNO Malaysia dan Ketua Puteri UMNO Bahagian Johor Bahru, Azura Mohd Afandy. Lebih 4,000 borang pencalonan peringkat pusat dan 100,000 borang pencalonan untuk 191 bahagian UMNO disediakan. Borang pencalonan adalah percuma dan boleh didapati sehingga 20 September ini, sebelum tarikh menyerahkan borang pendaftaran calon pada 21 September. Seperti diketahui umum, pemilihan kali ini membuka peluang lebih luas kepada mana-mana anggota untuk bertanding asalkan mempunyai kelayakan minimum. Di peringkat bahagian, calon mestilah sekurang-kurangnya menjadi anggota parti selama sepenggal atau tiga tahun.

Bagi MT pula, calon sekurang-kurangnya pernah menjadi ahli jawatankuasa bahagian selama sepenggal. Tidak ada lagi sistem kuota yang memerlukan sokongan dalam jumlah tertentu daripada mana-mana 191 bahagian UMNO seperti diamalkan sebelum ini.

Diharapkan pertandingan kali ini dapat memberi peluang kepada lebih ramai calon untuk menawarkan diri sementara anggota parti pula mempunyai pilihan yang lebih baik berbanding sebelum ini. Bertandinglah secara adil tanpa adanya elemen politik wang, sogok menyogok atau mengggunakan kedudukan untuk meraih undi. UMNO memerlukan pemimpin yang naik disebabkan kecerdikan dan kebolehan mereka bukannya disebabkan 'ketirisan' poketnya. Diharapkan tidak ada lagi istilah salam isi (SI) atau salam kosong (SK) seperti yang pernah berlaku dalam pemilihan terdahulu.

Menawarkan diri untuk bertanding pada pemilihan kali ini bukanlah untuk berseronok atau sengaja mengambil kesempatan peluang terbuka yang diberi oleh parti. Pemilihan kali ini amat penting dalam usaha parti mengukuhkan pengaruh dalam kalangan orang Melayu bagi mempersiapkan diri untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14. Inilah tanggungjawab besar kepada parti jika mereka terpilih menduduki sebarang jawatan sama ada di peringkat bahagian atau pusat. Pada masa yang sama, pemilihan ini adalah satu proses demokrasi yang perlu dilakukan dalam semangat kekeluargaan. Menang atau kalah perkara kedua. Apa yang penting niat untuk berkhidmat kepada parti diteruskan atas apa jawatan, sekali pun hanya sebagai anggota biasa.

Apa yang penting, kekalkan semangat kekeluargaan seperti pesanan Presiden UMNO, Najib Tun Razak baru-baru ini.

''Kita harus bersatu padu sebagai satu keluarga, jangan ketepikan prinsip kekeluargaan...inilah asas kita, banyak lagi cabaran yang akan kita hadapi pada masa depan,''.

Walaupun tarikh menyerah borang 21 September ini, kempen tidak rasmi sebenarnya sudah bermula. Pada peringkat awal ini, ada yang sudah mencetak kad nama sebagai calon, biografi ringkas dan promosi diri untuk memperkenalkan diri kepada anggota UMNO di seluruh negara. Biarlah mereka berkempen dengan apa cara sekalipun termasuk di laman sosial asalkan tidak melanggar peraturan parti atau memburukkan orang lain yang turut menawarkan diri untuk bertanding.

Pemilihan kali ini juga diharap dapat menampilkan bakal pemimpin pelbagai latar belakang, profesional yang mampu memantapkan parti. Sudah tentulah pemimpin yang bakal bertanding nanti bukan sekadar berlatar belakang 'politik' semata-mata sebaliknya yang mempunyai pengalaman serta hubungan dengan pelbagai peringkat masyarakat melalui penglibatan mereka dalam pelbagai pertubuhan. Golongan seperti ini sudah lama 'terpendam' kerana mereka sebelum ini dibayangi pemimpin-pemimpin 'ternama' yang dikenali kerana kedudukan dan jawatan. Dulu pergerakan mereka terbatas disebabkan beberapa sekatan dan halangan terutama di peringkat bahagian. Kini keadaan sudah berubah. Peluang bertanding tidak terbatas kepada golongan tradisi seperti menteri, timbalan menteri, menteri besar, ketua menteri atau Exco kerajaan negeri. Lebih menarik kali ini, tidak kurang juga yang berjawatan dan berkedudukan tidak mahu bertanding sama ada menawarkan diri atau mempertahankan jawatan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved