Ahad, 15 September 2013

Utusan Online - Pendidikan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pendidikan


Menjana kepakaran guru

Posted: 15 Sep 2013 10:55 AM PDT

MD ISHAK A. RAHMAN

Pada alaf ini, pendidikan di sekolah tidak harus memencilkan diri dan bergerak tanpa hala tuju yang jelas dan selaras. Sekolah perlu melihat kejayaan sekolah lain untuk dijadikan model melalui perkongsian bestari.

Demikian juga, guru sebagai petugas pendidikan tidak seharusnya berpuas hati dengan kemahiran yang diterima semasa di kampus. Sebaliknya, mereka perlu menggali dan mencari kepakaran dalam bidang mereka melalui perkongsian bestari.

Mereka boleh membentuk kumpulan rakan sekerja untuk membangunkan program di sekolah. Aktiviti ini dapat meningkatkan kepakaran mereka dalam tugas yang dipertanggungjawabkan.

Setiap sekolah mudah mengakses maklumat daripada pelbagai sumber untuk mendapat maklumat. Pengetua atau guru besar selaku pengurus sekolah mempunyai peranan penting untuk memilih hala tuju masing-masing dan tidak hanya menunggu arahan daripada pihak lain.

Pengetua atau guru besar harus melakukan perkongsian bestari di sekolah dengan institusi pendidikan di tempat lain.

Perkongisn bestari dapat difahamkan sebagai pertukaran pendapat, program, modul, aktiviti dan sebagainya di sekolah atau tempat lain untuk dilaksanakan di sekolah masing-masing.

Program perkongsian ilmu dapat dilaksanakan oleh kumpulan pemimpin dan pelaksana pendidikan di sekolah. Tegasnya, mereka tidak boleh berseorangan untuk membina kecemerlangan sekolah.

Perkongsian bestari harus dimulakan secara mikro hingga peringkat makro.

Mikro melibatkan sekumpulan guru di sekolah. Contohnya program lesson study iaitu sekumpulan guru yang merancang dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersama-sama.

Akhirnya, mereka bukan sahaja mendapat hasil yang cemerlang, malah memperoleh kepakaran yang menjadi rujukan pihak lain.

Sementara program makro melibatkan guru dan pelajar di sekolah dengan guru-guru sekolah lain di peringkat daerah, negeri, kebangsaan atau antarabangsa.

Selain mengakses media massa, mereka boleh mengadakan lawatan ke negara lain untuk mengadakan perkongsian bestari. Langkah ini membolehkan mereka melihat sendiri dan merasai pengalaman orang lain.

Sekolah telah melaksanakan program Kumpulan Mutu Kerja (KMK), kajian tindakan dan sebagainya yang diubah suai dengan ukuran pendidikan untuk mencari jalan meningkatkan kecemerlangan di sekolah.

Mereka membuat kajian serta pelaksanaan aktiviti di sekolah berdasarkan kekuatan dan ancaman yang terdapat di sekolah. Penemuan mereka sudah pasti boleh menjadi rujukan guru-guru lain atau sekolah-sekolah lain.

Sekolah juga boleh membuat perkongsian bestari dengan sekolah berhampiran. Mereka duduk bersama dengan mengadakan seminar, pembentangan kertas kerja atau sebagainya. Mereka boleh memanfaatkan guru cemerlang di sekolah masing-masing atau menggunakan kepakaran dan kejayaan sekolah untuk dikongsi bersama dengan sekolah berhampiran.

Sekolah juga boleh mengadakan lawatan penanda aras di sekolah-sekolah yang telah berjaya melaksanakan program mereka. Lawatan tersebut boleh dijadikan asas untuk dilaksanakan di sekolah mereka selaras dengan keperluan dan kekuatan yang ada di sekolah masing-masing.

Sementara sekolah yang telah terbukti dan diiktiraf mencapai kecemerlangan dengan penganugerahan sekolah bestari, sekolah berprestasi tinggi atau sekolah yang mendapat bai'ah, seharusnya menguar-uarkan program mereka melalui media massa atau blog agar dapat dikongsi bersama dengan sekolah-sekolah lain.

Sekolah kluster cemerlang ini boleh menjemput sekolah lain untuk datang ke sekolah mereka bagi melihat program yang telah dilaksanakan. Langkah ini secara tidak langsung membantu negara untuk meningkatkan mutu pendidikan.

Guru yang kreatif boleh merancang dan melaksanakan program kecemerlangan dengan memilih aktiviti yang sesuai di sekolah masing-masing berdasarkan latar belakang dan persekitaran sekolah.

Situasi sekolah di bandar berbeza dengan sekolah di luar bandar, sekolah asrama, sekolah berprestasi tinggi dengan sekolah harian. Kepakaran guru di sekolah berkenaan masih boleh diterapkan di sekolah lain melalui usaha kreatif guru.

Melalui perkongsian bestari dapat membuka minda guru melaksanakan sesuatu di sekolah serta meningkatkan kepakaran mereka. Langkah ini amat dituntut demi melahirkan lebih ramai guru yang benar-benar menguasai pedagogi pendidikan. Pengalaman mereka amat diperlukan untuk melaksanakan program Rakan Peningkatan Sekolah (SiPartners+) dan Pembimbing Pakar Pembangunan Sekolah (SISC+) yang akan dilaksanakan menjelang 2014.

SMK Ledang, Johor

Tutor terus dapat sambutan menggalakkan

Posted: 15 Sep 2013 10:55 AM PDT

Guru Sains SK Desa Pandan, Rauhiyah Che Md. Nor membimbing murid menjawab soalan latih tubi yang terdapat pada Tutor di sekolah itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Akhbar pendidikan terbaharu Utusan Malaysia, Tutor terus mendapat sambutan menggalakkan di sekolah-sekolah dengan yang terbaharu mendapat langganan sebanyak 440 naskhah daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Pandan, Kuala Lumpur.

Guru Sains sekolah itu, Rauhiyah Che Md Nor berkata, Tutor membantu meningkatkan pemahaman murid berdasarkan soalan yang ada elemen kemahiran berfikir aras tinggi atau Higher Order Thinking Skills (HOTS).

Menurutnya, set soalan yang terdapat pada buku atau bahan sumber rujukan lain sudah boleh diramal bentuk soalannya berbanding soalan latih tubi Tutor.

''Saya dapati banyak soalan latih tubi Tutor agak mencabar dan ini memberi alternatif baru yang berguna kepada murid.

''Boleh dikatakan sebahagian besar soalan latih tubi Tutor menyerupai soalan sebenar, dan ini jelas membuktikan set soalan latih tubi Tutor disediakan oleh guru pakar dan penggubal soalan peperiksaan,'' katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sekolah tersebut baru-baru ini.

Tutor yang bersaiz tabloid ini diterbitkan dua kali sebulan iaitu pada setiap Isnin minggu pertama dan minggu ketiga bermula awal September lalu.

Akhbar itu dijual 40 sen senaskhah dan eksklusif untuk langganan sekolah.

Sementara itu, murid Tahun 6 Intelek, Muhammad Emis Feshan Azmizan berkata, dia tertarik dengan bentuk Tutor yang agak nipis dan kandungannya mantap.

''Tutor juga mudah dibawa kemana-mana, malah mudah disimpan dalam pakaian seragam dan inimemudahkan pembelajaran saya, ''katanya.

Bagi Nur Anis Athira Mohd Talmizi, biarpun Tutor menyelitkan paparan ilustrasi kartun namun kandungannya berkisar mengenai isu semasa dan berkaitan dengan aspek pembelajaran murid-murid.

''Misalnya, pada kartun Tutor ini menceritakan tentang isu penggunaan bahasa Inggeris di sekolah dan dalam mata pelajaran Sains dan Matematik, kartun tersebut bukan semata-mata hiburan,'' ujarnya.

Melalui aspek itu, menurutnya, murid-murid turut didedahkan dengan isu semasa yang berlaku di dalam atau di luar negara sejajar dengan hasrat Kementerian Pendidikan yang mahukan murid negara ini berfikiran kritis seiring keperluan pendidikan abad ke-21.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved