Ahad, 15 September 2013

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Dijangka siap awal 2014

Posted: 15 Sep 2013 10:56 AM PDT

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusangroup.com.my

Ahmad Phesal Talib (kanan sekali) meninjau kerja-kerja pembinaan fasa kedua Taman Botani Perdana selepas merasmikan pemasangan komponen 'Block Nodes System' bagi Pembangunan Rumah Bot dan Kanopi di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN Wahidin Salim

KUALA LUMPUR 15 Sept. -Kerja-kerja pembangunan fasa kedua Taman Botani Perdana yang dimulakan sejak awal tahun ini giat dilaksanakan dan dijangka siap sepenuhnya pada awal 2014.

Datuk Bandar, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, kerja-kerja tersebut melibatkan pembinaan tempat letak kereta bertingkat, pembinaan rumah sampah dan struktur kanopi serta pusat informasi.

Menurutnya, apabila kerja-kerja pembangunan itu siap kelak, taman berkenaan akan setaraf dengan taman-taman botani terkenal di seluruh dunia.

"Kerja-kerja pembinaan kiosk jualan orkid serta naik taraf Taman Rusa dan Kancil juga telah dimulakan.

"Manakala projek yang masih di dalam rekabentuk adalah taman permainan kanak-kanak, pejabat dan Herbarium," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pemasangan komponen 'Block Nodes System' bagi Projek Pembangunan Rumah Bot dan Kanopi di sini, hari ini.

Menurut Ahmad Phesal, sistem tersebut direka bentuk dan dibina komponenannya di negara Jerman dan merupakan yang pertama digunakan di Asia.

Jelasnya, pembinaan rumah bot dan kanopi tersebut telah pun mencapai 70 peratus dan dijangka siap dalam tempoh tiga bulan.

"Kita amat berharap apabila siap kelak, orang ramai boleh menggunakan kemudahan tersebut semaksimum yang mungkin.

"Pelbagai aktiviti dapat dijalankan seperti majlis perkahwinan, jamuan makan, konsert mini serta lain-lain aktiviti sosial," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, DBKL juga sedang dalam perancangan untuk membina kolam mandi untuk kanak-kanak.

"Kemudahan ini disediakan bagi menggalakkan lagi ibu bapa untuk membawa anak-anak mereka untuk mengunjungi taman-taman awam," ujanrya.

Dalam pada itu Ahmad Phesal berkata, DBKL akan sentiasa memastikan kawalan keselamatan di Taman Botani diperketatkan.

"Setakat ini kita telah menempatkan beberapa anggota keselamatan di pintu masuk utama selain mereka turut membuat rondaan di dalam kawasan taman," katanya.

Syabas diminta berunding dengan penduduk

Posted: 15 Sep 2013 10:56 AM PDT

KUALA SELANGOR 15 Sept. - Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) diminta berunding dengan penduduk beberapa kampung di sini yang tanah milik mereka terlibat dengan kerja-kerja pemasangan saluran paip syarikat berkenaan.

Antara kampung yang terlibat ialah Kampung Kuantan, Kampung Teluk Penyamun dan Kampung Teluk Piah.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, beliau akan menghantar surat bantahan kepada Syabas mengenai perkara tersebut setelah menerima aduan daripada penduduk.

Beliau berkata, sebagai tindakan segera beliau telah meminta kontraktor yang dilantik oleh Syabas supaya mengalihkan batang-batang paip besar yang dilonggokkan di halaman rumah penduduk.

"Saya amat tegas dalam hal ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan kontraktor Syabas yang dikatakan secara sesuka hati menjalankan kerja-kerja pemasangan saluran paip berkenaan tanpa berunding dengan penduduk.

Menurut laporan sebelum ini, pihak kontraktor terbabit tidak memaklumkan kepada penduduk sebarang butiran projek berkenaan walaupun mengikut syarat, penduduk perlu dimaklumkan secara bertulis sekurang-kurangnya sembilan hari sebelum kerja bermula.

Penduduk juga mempertikaikan hak Syabas untuk menjalankan kerja-kerja pemasangan saluran paip berkenaan di atas tanah milik mereka.

Utusan Malaysia difahamkan, projek berkenaan adalah di bawah inisiatif Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dan diselia oleh Syabas dengan permit pemasangan pula dikeluarkan oleh Jabatan Kerja Raya.

110 Pemuda dan Puteri UMNO Sungai Besar tonton Tanda Putera

Posted: 15 Sep 2013 10:56 AM PDT

SeBahagian Pemuda dan Puteri Umno Sungai Besar menunjukkan isyarat bagus selepas menonton filem Tanda Putera, di Putrajaya, malam kelmarin.

PUTRAJAYA 15 Sept. - Sebanyak 110 Pemuda dan Puteri UMNO Sungai Besar, Selangor hari ini dibawa menonton filem Tanda Putera secara percuma di Golden Screen Cinemas Sdn. Bhd. (GSC) cawangan Putrajaya.

Semua perbelanjaan menonton filem berkenaan ditaja oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Budiman Mohd. Zohdi dan ahli perniagaan, Datuk Jamal Md. Yunus sebagai tanda sokongan kepada penerbitan filem yang memaparkan aspek-aspek sejarah negara.

Menurut Budiman, filem berbentuk sejarah perlu diberi sokongan buat masa ini bagi memastikan golongan belia sentiasa mengingati apa yang berlaku pada masa lampau.

"Penat lelah pemimpin terdahulu perlu diberi penerangan kepada golongan belia dan melalui penerbitan filem berunsur sejarah, mampu untuk menceritakan segala-galanya.

"Saya fikir adalah lebih baik selepas ini lebih banyak filem yang berunsur sejarah diterbitkan, yang bukan sahaja boleh mendidik golongan belia, malah membolehkan golongan tersebut menghargai keamanan dan kemakmuran negara ini," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di luar panggung GSC pusat beli-belah Alamanda di sini malam tadi.

Menurut Budiman, program menonton filem Tanda Putera itu mendapat sambutan yang menggalakkan apabila diumumkan oleh UMNO bahagian dengan rata-rata Pemuda dan Puteri di Sungai Besar begitu bersemangat mahu melihat filem itu.

Selain itu katanya, beliau mengambil keputusan membuat program tayangan tersebut setelah tersentuh melihat filem mengenai perjuangan bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein itu mendapat tentangan hebat daripada beberapa pemimpin pembangkang.

Selain itu katanya, UMNO Bahagian Sungai Panjang di Parlimen Sungai Besar menyambut baik hasrat beberapa pihak untuk mewujudkan 'wayang pacak' di kawasan tertentu bagi membolehkan filem berkenaan ditonton oleh segenap lapisan masyarakat.

Filem patriotik itu antara lain mengisahkan tentang perjuangan Tun Abdul Razak dan timbalannya, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman dalam mentadbir negara serta cabaran yang dihadapi mereka selepas berlakunya peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969.

Sebelum ini, tayangan filem lakonan Rusdi Ramli, Zizan Nin, Faezah Elai dan Linda Hashim yang menelan belanja kira-kira RM4.7 juta itu ditangguhkan beberapa kali ekoran bantahan pembangkang.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved