Jumaat, 9 Disember 2011

Utusan Online - Timur


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


Didik anak cintakan bahasa Melayu

Posted:

Didik anak cintakan bahasa Melayu

Didik anak cintakan bahasa Melayu

Oleh ASMA HANIM MAHMOOD
utusankelantan@utusan.com.my


JOWYN Kan (dua kiri) bersama sebahagian puluhan hadiah dan sijil yang pernah dimenangi anak-anaknya.


KOTA BHARU 8 Dis. - 'Anak Cina memasang lukah, lukah dipasang di Tanjung Jati, di dalam hati tidak ku lupa, sebagai rambut bersimpul mati'.

Kalau dalam bait lagu malar segar 'Gurindam Jiwa' itu anak Cina hanya digambarkan sebagai pemasang jerat menangkap ikan, lain pula halnya dengan gadis sunti bernama Wee Vii Vian, 16, yang berasal dari Kampung Pulau Lohong, Panji, Kota Bharu.

Gadis keturunan Cina itu tidak hanya mahu 'memasang lukah' tetapi mampu melantun 'Gurindam Jiwa' dengan suara gemersik yang menjerat hati sesiapa sahaja yang mendengarnya.

Peminat sukan bola keranjang itu berupaya melontar setiap bait lagu itu tanpa tersekat dan tanpa pelat sehingga jika melihat fizikalnya pun kita mungkin menyangka dia gadis Melayu kerana warna kulitnya yang tidak terlampau cerah kesan aktif bersukan.

"Saya tidak berapa suka lagu-lagu Cina, tidak ingat pun mana-mana lirik lagu Cina. Saya lebih suka lagu Melayu lama seperti Gurindam Jiwa, Sekapur Sireh, Istana Cinta dan kalau yang moden macam lagu Terlalu Istimewa.

"Bukan tujuan menunjuk-nunjuk, tetapi saya lebih senang (selesa) dengan bahasa Melayu, malah dalam keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu, satu-satunya gred B yang saya dapat adalah bagi subjek bahasa Mandarin, yang lain semua A termasuk bahasa Melayu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Vii Vian yang belajar di tingkatan empat Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hwa dekat sini bukan sekadar pelantun lagu tetapi juga seorang pendeklamasi sajak dan pemuisi muda yang terkenal di kalangan penggemar sastera di negeri ini dan sering diundang mendeklamasi sajak dalam pelbagai majlis termasuk di ibu negara.

Dia pernah menjadi naib johan Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) pada 2008 serta tempat ketiga Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Peringkat Kebangsaan 2009.

Paling terbaru adalah tempat kedua pada Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Bahasa Kebangsaan 2011 peringkat negeri Kelantan setelah tahun sebelumnya Vii Vian muncul juara.

Uniknya, 'anak Cina' ini bukan satu-satunya 'nilam bahasa Melayu' dalam keluarganya, bahkan dua lagi saudara kandungnya iaitu kakak, Wee Win Nie, 20, dan adik lelaki, Wee Ming Hock Vincent Jones Jr., 10, juga dididik mencintai sastera Melayu sejak dari kecil lagi.

Ketiga-tiga mereka tidak pernah jemu menyertai pelbagai pertandingan puisi dan juga syarahan sama ada di peringkat sekolah, negeri dan kebangsaan dan telah mengumpul lebih 40 hadiah kemenangan.

Kakaknya, Win Nie yang kini menuntut di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis pernah menjadi naib johan Pertandingan Pidato Hasil Peringkat Kebangsaan 2009, tempat ketiga pertandingan akhir Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan peringkat Kebangsaan 2010 dan menjuarai Pertandingan Pidato 1Malaysia (Bukan Melayu) Peringkat Negeri Pahang 2011 baru-baru ini.

Si kecil Ming Hock pula walaupun belum pernah menggondol hadiah utama, tetapi buat kali pertama berjaya ke pertandingan akhir Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Bahasa Kebangsaan 2011 peringkat negeri Kelantan baru-baru ini setelah menyertai pertandingan itu sejak dari usia tujuh tahun.

Kesemua pencapaian itu yang boleh disifatkan luar biasa tidak datang bergolek kerana mereka digilap sejak dari peringkat awal oleh ibu, Jowyn Kan, 44, seorang guru bahasa Inggeris sekolah swasta.

Jowyn mengakui dia yang bersungguh-sungguh dan tegas mengajar anak-anaknya kata bidalan, peribahasa, lagu dan puisi Melayu kerana percaya generasi muda perlu dilentur sejak dari kecil sebelum mereka berupaya menentukan kecenderungan sendiri.

Menurutnya, dia amat menggalakkan anak-anaknya menyertai pertandingan syarahan dan puisi kerana ia penting sebagai usaha kecil mereka memartabatkan bahasa utama penduduk negara ini.

Katanya lagi, pada musim pertandingan, dia sendiri akan melatih anak-anaknya setelah mereka selesai melakukan kerja sekolah dan membiasakan mereka membacakan sajak di hadapan tetamu yang berkunjung ke rumah.

"Walaupun saya Cina, bahasa Melayu juga adalah bahasa saya, semua jiran-jiran saya Melayu dan saya tinggal di negeri majoriti Melayu. Jadi tiada sebab untuk saya meminggirkan bahasa ini dan tidak berusaha menanamkan sikap mencintainya pada anak-anak saya.

"Saya pastikan anak-anak saya faham setiap perkataan yang mereka sebut dan bukan menghafal membuta tuli kerana jika kita sendiri keliru, bagaimana pula orang yang mendengar boleh menangkap maksud sebenar?

"Sebab itu sekiranya saya sendiri kurang faham, saya berusaha membawa anak berjumpa penulis sajak yang mereka baca supaya mereka tidak 'syok sendiri' mendeklamasi sajak sedangkan penulis memaksudkan perkara lain," katanya.

Jelasnya lagi, dia dan suaminya, Wee Long Kiong, 55, seorang pentaksir kerugian insurans menjadikan kegiatan kokurikulum anak-anaknya ini sebagai aktiviti keluarga yang mengeratkan hubungan mereka.

"Selain pertandingan, anak-anak saya terutama Win Nie dan Vii Vian sering dijemput agensi kerajaan dan pihak lain ke merata tempat di dalam atau luar Kelantan untuk mendeklamasi sajak. Saya tidak kisah terpaksa mengeluarkan belanja kerana menganggap ia sebagai percutian keluarga.

"Meskipun majlis kecil atau pertandingan peringkat saringan, saya akan pastikan berada di kalangan penonton kerana anak-anak perlukan sokongan ibu bapa selain guru," katanya.

Berpegang kepada prinsip 'harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama', dia sentiasa berpesan kepada anak-anaknya agar bersungguh-sungguh dalam apa jua perkara yang mereka lakukan dan dalam masa sama tidak meninggalkan khazanah bangsa Melayu.

Atas dasar itulah, dia berbangga kerana anak sulungnya Win Nie, tegar menyertai pertandingan puisi, syarahan dan juga gelanggang teater meskipun sudah berada jauh dari keluarga.

"Kalau mereka minat jadi jurutera, biar jadi jurutera pandai berpuisi; kalau jadi cikgu bahasa Inggeris, hendaklah juga pakar dalam gurindam Melayu, ini jasa yang kita akan tinggalkan bila kita mati kelak," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Penduduk cemas binatang buas di kebun

Posted:

Penduduk cemas binatang buas di kebun

Penduduk cemas binatang buas di kebun

BESUT 8 Dis. - Penduduk Kampung Pancur Hulu Besut dekat sini berada dalam kebimbangan apabila sering terserempak harimau dan beruang ketika menoreh di kebun getah sejak dua minggu lalu.

Mereka yang semakin resah apabila berada di kebun berharap pihak berkuasa dapat menangkap binatang buas itu yang semakin kerap keluar dari kawasan hutan sebelum kejadian tidak diingini berlaku.

Seorang penduduk, Abd. Manaf Ismail, 37, berkata, Jumaat lalu dia terserempak dengan seekor harimau setinggi kira-kira 0.5 meter dan satu meter panjang ketika bersama ibunya, Wan Minah Wan Yahya, 60, menuju ke kebun getah.

Katanya, mereka tergamam apabila tiba-tiba seekor harimau keluar dari dalam semak melintas di depan kira-kira tiga meter dari tempat mereka berada.

"Kebetulan saya ada membawa mercun bola dalam poket seluar lalu mengambilnya keluar dan mencucuh sumbu dan melemparkannya bagi menakutkan harimau tersebut," katanya ketika ditemui semalam.

Bagaimanapun katanya, tidak lama kemudian di sekali lagi terkejut apabila harimau berkenaan dilihat semula semasa ibunya sedang menoreh.

Seorang lagi penduduk, Wan Nawang Wan Yahya, 47, berkata, dia sendiri pernah terserempak dengan seekor beruang ketika mengutip getah skrap di dalam kebunnya di kawasan sama.

Katanya, sebelum itu dia terdengar bunyi batang pokok getah tumbang dan tiba-tiba muncul seekor beruang di depannya yang seolah-olah menerkam kepadanya lantas dia melarikan diri.

Zulkifli Yaakob, 27, pula berkata, dia pernah terserempak dengan seekor beruang yang membawa seekor anak ketika mengutip getah skrap di kebunnya di kawasan sama dua minggu lalu.

"Tiba-tiba saya terdengar bunyi dan apabila menoleh terlihat seekor beruang yang bergerak menuju untuk menerkam saya dan saya tidak membuang masa terus melarikan diri dan pulang ke rumah, " jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pancor, Mohd. Nor Botok berkata, perkara itu akan dilaporkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.

Full content generated by Get Full RSS.

Pertanian ke ternakan burung walit

Posted:

Pertanian ke ternakan burung walit

Pertanian ke ternakan burung walit

KUALA TERENGGANU 8 Dis. - Kerajaan negeri bersedia menimbangkan permohonan penukaran status tanah pertanian kepada kawasan ternakan burung walit.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, langkah itu berikutan bidang tersebut semakin mendapat sambutan di luar jangkaan di negeri ini ekoran permintaan yang tinggi dan harga lumayan hingga mencecah RM6,000 sekilogram.

Katanya, produk berkenaan diperlukan dalam kuantiti yang banyak, sekitar dua tan sebulan bagi dieksport ke pasaran Cihna melalui Guangzhou.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, sidang Dewan Undangan Negeri hari ini bahawa tiada berlaku lambakan produk sarang burung di negeri ini.

"Sarang burung walit di Terengganu diakui berkualiti dan bersih oleh pembeli berbanding di negeri lain kerana ia bebas daripada sebarang percemaran udara," katanya ketika menjawab soalan lisan Muhammad Ramli Nuh (BN-Tepoh).

Namun katanya, kerajaan negeri tidak membenarkan atau meluluskan mana-mana permohonan sekiranya ada individu ingin mengusahakan ternakan itu di kawasan bandar.

"Mereka perlulah fikirkan lokasi yang sesuai. Kita terpaksa bertindak tegas bagi mengelak pelbagai kemungkinan berlaku termasuk, diserang penyakit, rungutan dan gangguan bunyi.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persekutuan Persatuan Pedagang Sarang Burung Malaysia, Datuk Tok Teng Sai mengalu-alukan langkah kerajaan itu bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.

''Banyak tanah pertanian terbiar di kampung-kampung yang boleh dimanfaatkan oleh penduduk untuk mendapatkan pendapatan berterusan.

''Ia juga dapat membantu mengeluarkan mereka dari lingkaran kemiskinan dan pada masa yang sama melonjakkan ekonomi negeri apabila sarang burung benar-benar digerakkan sebagai suatu industri baru," ujarnya.

Katanya, ia boleh digerakkan melalui koperasi-koperasi kampung dengan pemilikan saham penduduk supaya boleh diuruskan secara terancang.

Di samping itu katanya, ia turut dijadikan satu lagi produk tarikan pelancong bagi negeri ini dengan mewujudkan pusat sarang burung dengan penyediaan produk-produk cenderahati, muzium dan rumah burung.

''Tidak semua ingin beli batik dan keropok lekor, mengapa tidak kita turut sediakan sarang burung kelak. Di Korea ginseng di mana-mana baik dalam coklat malah di dalam rokok," ujarnya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved