Selasa, 20 Disember 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Dakwat catat sejarah sejak 1955

Posted:

Dakwat catat sejarah sejak 1955

Dakwat catat sejarah sejak 1955

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com

KELMARIN, ketika sidang akhbar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Putrajaya untuk memaklumkan persetujuan penggunaan dakwat kekal pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), tidak ada langsung kelibat sampel botol dakwat berkenaan.

Maka, tertanya-tanyalah pihak media. Jika pada 2007 hanya peringkat pegawai suruhanjaya itu yang diarahkan mengendalikan urusan dakwat kekal berkenaan termasuklah urusan pengimportan dan kuantitinya, kali ini kerja itu hanya dimonopoli seorang sahaja - Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria .

Segalanya rahsia, kalau tahu pun alkisah dakwat ini cuma seorang lagi, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof. Tidak lagi sewenang-wenangnya sampel dakwat itu ditunjukkan atau didemonstrasikan oleh pegawai seperti mana yang lepas.

Pada PRU 2008, suruhanjaya itu pernah bercadang menggunakan dakwat kekal ini tetapi dibatalkan kerana selain dikatakan melanggar perlembagaan (sebenarnya cuma menyalahi peraturan), timbul pula laporan dakwat terbabit diseludup dari Thailand. Lantas, dakwat dengan kos RM 2.4 juta itu dilupuskan pada 25 November 2009.

Begitupun, perlu diperjelaskan di sini bahawa penggunaan dakwat kekal atau indelible ink yang dipersetujui SPR ini bukan bermakna siri berbelas-belas pilihan raya umum dan berpuluh-puluh pilihan raya kecil yang berlangsung sejak merdeka termasuk awal sedikit pada 1955 tidak telus.

Persetujuannya disebabkan untuk menghapuskan persepsi oleh pembangkang bahawa kononnya pilihan raya yang dijalankan tidak telus.

Kalau dakwaan ini diterima pakai, masakan pembangkang boleh menang lima negeri pada 2008 dan Pas boleh memerintah Kelantan selama lebih 20 tahun dengan sesekali menguasai Terengganu.

Dan sehingga hari ini pun, dakwaan kononnya pilihan raya yang berlangsung di negara ini yang dikatakan tidak adil boleh ditolak bulat-bulat kerana tidak ada satu pun petisyen pilihan raya pun difailkan sehingga membatalkan keputusan pilihan raya di sesebuah kerusi Parlimen dan DUN terbabit.

Justeru, penggunaan dakwat kekal pada PRU13 ini hanyalah untuk mengelak rakyat negara ini daripada mengundi lebih dari sekali.

Beberapa negara seperti Pakistan, Afghanistan, India, Filipina, Indonesia dan negara membangun lain telah pun menggunakan dakwat kekal dalam bentuk penanda pilihan raya bagi menghalang penipuan pilihan raya.

Jawatankuasa pilihan raya di India misalnya menggunakan dakwat kekal dalam banyak pilihan raya, menanda jari dan kuku pengundi. Ia bertujuan untuk mengesahkan seseorang itu telah menunaikan tanggungjawabnya.

Indonesia turut menggunakannya semasa pilihan raya di Aceh. Di Mali, ia diletakkan pada kuku jari tangan di mana dokumen pengenalan warganegara tidak terpiawai atau berinstitusi sekali gus menjadikan pengesahan identiti pengundi tidak diperlukan.

Dakwat kekal turut digunakan di sesetengah negara mundur seperti di Afrika yang mana penduduknya terlalu ramai hingga menyukarkan bancian, pendaftaran, dan kawalan.

Dakwat kekal bererti 'tidak dapat dihilangkan'. Tanda dakwat kekal biasanya kalis air dan tahan selama beberapa hari atau hampir seminggu.

Tanda ini akan hilang apabila sel kulit lama mati dan digantikan dengan sel kulit baru. Oleh itu sebarang tanda pada kutikel dijamin hilang dalam tempoh 2-3 minggu. Begitupun sesetengah dakwat kekal memiliki jangka hayat simpanan yang pendek kerana pelarut yang digunakan cepat terpeluwap.

Di negara ini, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 8 Ogos 2007 telah membincangkan Hukum Penggunaan Dakwat Kekal Dalam Pilihan Raya Malaysia.

Muzakarah memutuskan bahawa berdasarkan penjelasan dan hasil ujikaji yang telah diberikan oleh pakar-pakar dalam bidang kimia serta hujah-hujah dan pandangan ahli-ahli Jawatankuasa, muzakarah memutuskan Indelible Ink ini tidak mengandungi bahan-bahan najis yang diharamkan oleh syarak, tidak mendatangkan mudarat kepada kesihatan dan tidak menghalang air untuk sampai ke kulit apabila digunakan.

Oleh itu penggunaan Indelible Ink adalah dibenarkan oleh syarak kerana ia tidak akan menimbulkan masalah kepada ibadah umat Islam.

Bagaimanapun, keputusan muzakarah pada 2007 ini hanya tertakluk kepada kandungan dan tahap ketelapan Indelible Ink yang dicadangkan penggunaannya pada PRU 2008.

Ini bermakna keputusan muzakarah tersebut tidak lagi boleh dipakai dalam konteks persetujuan pengunaan dakwat ini yang diputuskan SPR semalam kerana jenis dakwat berkenaan masih dirahsiakan.

Apa pun, perkara pokok yang diutamakan dalam penggunaan dakwat ini ialah ia tidak mendatangkan kesan pada kesihatan sekiranya termakan atau terminum, kuantiti sedikit yang dijangka dapat bertahan sekurang-kurangnya 24 jam dan penggunaannya tidak akan menimbulkan sebarang keraguan dari aspek hukum syarak.

Afghanistan pernah dicemari oleh isu penggunaan dakwat kekal. Ia didalangi oleh pihak tertentu di mana kerajaan yang hendak digulingkan dituduh melakukan penipuan jenis dakwat yang digunakan. Kerajaan yang disasarkan untuk digulingkan dituduh sebagai tidak telus dan memanipulasikan dakwat kekal.

SPR dengan sokongan Jawatankuasa Terpilih Parlimen bagaimanapun diyakini cukup berwibawa untuk mengelakkan menularnya unsur-unsur seumpama ini menjelang PRU13.

Full content generated by Get Full RSS.

Hebat sangatkah SMM?

Posted:

Hebat sangatkah SMM?

Hebat sangatkah SMM?

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my


Sebahagian daripada ahli NGO mengadakan bantahan secara aman di pintu utama Universiti Pendidikan Sultan Idris, berhubung tindakan seorang pelajarnya yang didakwa biadab menurunkan dan menggantikan bendera Perdana Menteri, kelmarin.


SETIAP tahun ribuan pelajar berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) gagal memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mahupun swasta (IPTS).

Mereka gagal kerana pelbagai alasan termasuklah ada antaranya tidak cukup syarat dan ada pula kerana kuota sudah penuh.

Justeru ibu bapa mereka akan berusaha bermati-matian membuat rayuan dan berjumpa dengan pihak itu dan pihak ini, dengan matlamat anak mereka boleh menjadi seorang mahasiswa.

Ada antara mereka yang berjaya dan ada pula yang gagal dalam rayuan masing-masing. Yang berjaya ibu bapa akan berusaha sedaya upaya mencari sumber kewangan termasuk memohon biasiswa atau pinjaman kerana yang penting anak mereka mampu menggenggam segulung ijazah.

Tetapi bagaimanakah dengan gelagat sekumpulan anak muda yang bergabung dalam Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang secara biadab melakukan demonstrasi dan menurunkan bendera wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu lalu.

Cuba kaji bagaimana mereka berjaya memasuki universiti, mereka berjaya menjejak kaki kerana dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) dan ada antara mereka sudah pasti menerima biasiswa atau pinjaman daripada kerajaan.

Namun keghairahan kononnya untuk menjadi pejuang biar pun usia baru setahun jagung telah menyebabkan mereka terlupa tujuan sebenar mereka memasuki menara gading.

Ibu bapa di kampung menaruh harapan anak mereka akan berjaya sebagai mahasiswa di universiti dan bukannya terpekik terlolong di jalanan.

Apa yang mengecewakan, SMM bukan sahaja angkuh dengan menolak desakan supaya mereka memohon maaf malah seolah-olah memberi amaran kepada kerajaan supaya mendengar tuntutan mereka atau berhadapan dengan protes secara besar-besaran oleh mahasiswa yang menentang Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Persoalannya hebat sangatkah SMM ini? Siapa mereka? Apakah mereka benar-benar mewakili seluruh mahasiswa di negara ini atau mereka sekadar hanya 'tukang karut' yang didalangi oleh pihak tertentu bagi menentang kerajaan?

Tidak apalah buat sementara ini kita menerima penafian SMM bahawa mereka tidak menjadi alat sesiapa, kalau begitu bijak sangatkah mereka untuk mengajar kerajaan bagaimana hendak mentadbir negara?

Ia terbukti apabila, mereka mendakwa tindakan menurun bendera tersebut sebagai satu gambaran bahawa mereka sudah hilang kepercayaan kepimpinan negara yang dilihat gagal menangani isu-isu utama negara.

Hebat betul, kelompok yang mendakwa mewakili mahasiswa ini, belum habis belajar sudah pandai untuk menuding kesilapan orang lain, seolah-olah mereka lebih bijak mentadbir negara, biar pun kemungkinan ada antara mereka memasuki universiti atas kelayakan 'cukup makan sahaja'.

Apa pun kita percaya, SMM tidak mewakili majoriti mahasiswa di negara ini, mereka hanya kelompok kecil yang terlalu ghairah untuk berpolitik biar pun ilmu mereka ibarat buih di lautan, banyak tetapi tidak mampu mendatangkan manfaat dan kemudaratan kepada sesiapa.

Apa pun 'tahniahlah' kepada SMM, sekurang-kurang kita mampu menilai bahawa ada di kalangan mahasiswa yang tidak layak digelar mahasiswa.

Kebebasan bersuara yang diberikan telah dicemari dengan perbuatan biadab yang jelas membuktikan mereka tidak tahu menghormati pemimpin negara.

Kalau benar mereka mahu melakukan protes atau memberikan pandangan berhubung AUKU lakukan secara beradab, jangan lupa ini Malaysia yang rakyatnya mempunyai tata susila dan adab sopan yang tinggi.

Sebenarnya, dari satu segi, protes SMM itu tidak perlu dilayan kerana pindaan AUKU baru peringkat perbincangan, belum lagi ada kata pemutus berhubung pindaan yang hendak dibuat.

Oleh itu, adalah lebih baik jika SMM bertindak matang sebagai kelompok yang kononnya menganggap diri mereka mahasiswa atau pelajar universiti dengan menanti dulu apa pindaan tersebut.

Jika kerajaan di bawah kepimpinan Najib tidak mempedulikan suara mahasiswa, sudah pasti beliau tidak akan mengarahkan AUKU dikaji semula dan dipinda.

Kerajaan tidak berhasrat membisu suara dan menutup mata para mahasiswa sebab itulah pindaan ke atas AUKU dilakukan dan masyarakat juga amat memahami peranan mahasiswa dalam bersama-sama membangunkan negara.

Sebab itulah, SMM perlu matang, janganlah mendesak kerajaan mendengar dan memenuhi tuntutan mereka sahaja, apatah lagi kalau suara itu, bukan suara majoriti.

Apa yang perlu diingat SMM hanyalah kelompok kecil di kalangan mahasiswa, mereka tidak pernah dan tidak akan dianggap mewakili seluruh mahasiswa di negara ini.

Justeru tidak perlulah SMM terlalu angkuh, seolah-olah desakan mereka harus dipatuhi kalau tidak, kerajaan akan berhadapan dengan bantahan besar-besaran mahasiswa.

Hakikatnya, negara ini mengamalkan demokrasi dan kerajaan sentiasa bersikap terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak dan dalam apa juga isu.

Malahan kalau dikaji, mahasiswa di negara ini paling beruntung kerana mendapat pelbagai faedah dan manfaat daripada kerajaan, termasuklah terbaru sumbangan baucer RM200 untuk mahasiswa membeli buku.

Perbezaan pendapat dan pandangan adalah perkara biasa dalam kehidupan, apa yang penting ia pendekatan bagi menyatukan perbezaan tersebut.

Sudah pastilah ia perlu dilakukan secara berhemah dan bersopan, bukannya cara dianggap biadab dan tidak bertamadun.

Adalah sesuatu yang malang apabila SMM menganggap tindakan menurunkan bendera wajah Perdana Menteri adalah perkara kecil berbanding tuntutan mereka.

Kalau itulah pandangan mereka jelaslah, SMM adalah terdiri daripada sekelompok mahasiswa yang tidak matang dalam bertindak. Mereka melakukan sesuatu tindakan berdasarkan emosi dan bukannya akal.

Apa yang dibimbangkan, jika beginilah tahap pemikiran yang ada dalam SMM, mereka boleh terpengaruh dengan mainan politik sesetengah pihak.

Kepada SMM, berhentilah bersikap angkuh atau merasa hebat, urusan kalian di universiti masih belum selesai, berusahalah menjadi mahasiswa yang cemerlang dalam pelajaran dan bukannya terpekik terlolong di jalanan.

Tidak salah untuk memberi pandangan dan cadangan tetapi lakukanlah secara berhemah. Malaysia berhasrat melahirkan generasi mahasiswa yang berkualiti dan menggunakan pertimbangan akal dalam melakukan tindakan, bukannya kelompok mahasiswa yang cetek fikiran dan mengikut perasaan.

Seandainya kelompok SMM ini merasakan diri mereka hebat dan mampu mengubah segala-galanya melalui demonstrasi serta perbuatan biadab yang dianggap kecil maka mereka juga perlu bersedia menanggung akibatnya termasuk disingkirkan dari universiti.

Mungkin itu yang mereka mahukan supaya akan dianggap wira tetapi percayalah rakyat sudah mampu menilai siapa yang layak menjadi wira dan siapa pula hanya sekadar 'boneka'.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved