Ahad, 18 Disember 2011

Utusan Online - Pendidikan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pendidikan


Guru sambut baik pemansuhan

Posted:

Guru sambut baik pemansuhan

Guru sambut baik pemansuhan

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
pendidikan@utusan.com.my

Warga guru di negara ini lega dan menyambut baik sambil mengalu-alukan keputusan kerajaan tidak meneruskan projek perintis di empat negeri yang mewajibkan guru bekerja sembilan jam sehari bermula Januari pada sesi persekolahan 2012.

Yang Dipertua Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS), Ahmad Malie berkata, pemansuhan cadangan itu amat wajar kerana ia tidak relevan dilaksanakan memandangkan tugas guru amat unik dan berbeza dengan para penjawat awam yang lain.

Katanya, KGBS sejak awal lagi tidak menerima serta menentang sekeras-kerasnya cadangan untuk melaksanakan masa bertugas guru selama sembilan jam yang dianggap tidak sesuai dilaksanakan di negara ini.

"Guru kerap kali ditugaskan membawa murid-murid terlibat dengan aktiviti di luar bilik darjah di samping tugasan menyemak buku latihan murid di rumah atau pada waktu malam," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini bahawa projek perintis yang mewajibkan guru bekerja sembilan jam sehari itu dibatalkan.

Langkah itu menurut Muhyiddin, adalah bertujuan untuk mengelak salah sangka dan kekeliruan di kalangan masyarakat dan guru sendiri terhadap pelaksanaan program tersebut.

Katanya, ia tidak perlu perlu diteruskan jika guru sendiri tidak memahami kehendak sebenar program tersebut yang bertujuan memperkasakan perkhidmatan guru di negara ini.

Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat ( KGMMB), Mohamad Sabri Mohd Arsad menyifatkan tindakan tersebut sangat wajar kerana Kementerian Pelajaran belum menyediakan prasarana lengkap bagi tujuan tambahan kerja wajib sembilan jam.

Beliau berpendapat Kementerian Pelajaran Malaysia juga perlu menyediakan pembantu guru untuk menjalankan tugas-tugas perkeranian, pusat sumber, data serta pentaksiran dan sebagainya.

"Pada masa sama kerajaan perlu mengambil kira pelbagai aspek sokongan seperti tempat persalinan yang sesuai kepada guru terutama guru perempuan, jika tidak tandas akan menjadi pilihan terakhir.

"Bagi sekolah dua sesi pula, pihak kementerian perlu memikirkan kemudahan tempat letak kereta untuk tidak menimbulkan masalah kerana masing-masing sibuk mengejar masa," katanya.

Mohamad Sabri juga berharap supaya pembekalan perabot seperti kerusi, meja, dan almari untuk keperluan seorang guru sahaja tidak mahu berkongsi yang menyukarkan pengurusan.

Tegasnya, kemudahan penghawa dingin perlu disediakan disekolah kerana kebanyakannya tidak disediakan secara menyeluruh. Ini untuk keselesaan guru menjalankan tugas sehingga petang.

Seorang Guru Penolong Kanan SMK Jengka Pusat, Mohd Rozi Mat Sani,44, berpendapat warga guru sentiasa akur dengan sistem dan dasar pelajaran yang digubal pakar dalam bidang pendidikan.

"Pihak kementerian pastinya sudah membuat kajian mendalam berkaitan rasional sistem waktu bekerja sembilan jam mulai sesi persekolahan Januari 2012 dibatalkan," katanya.

Manakala Roslaily Alias, 30, pula memuji langkah proaktif Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia yang menarik balik projek rintis 5,000 guru di empat negeri bekerja sembilan jam mulai tahun hadapan.

"Walau bagaimanapun guru sentiasa akur berkhidmat dengan penuh jiwa raga selari dengan sumpah keramat untuk berbakti kepada anak bangsa supaya berdaya saing diperingkat global,'' katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Degil, tidak berdisiplin akhirnya ke penjara

Posted:

Degil, tidak berdisiplin akhirnya ke penjara

Degil, tidak berdisiplin akhirnya ke penjara

Oleh DR. YUNOS PIPET

FAZEL kurang pasti siapa ibu bapanya. Kini dia tinggal di rumah sewa di hujung Jalan Jurutera, Puchong, dia hanya mengenali paman dan bibik yang mengasuhnya. Pernah juga Fazel mendengar paman dan bibiknya mengeluh kerana terpaksa menyara Fazel. Malah Fazel pernah bertanyakan mengenai siapakah ibu dan bapanya, paman hanya mengeleng-gelengkan kepalanya. Bibik penah memberitahu janganlah mencari mereka di Seberang, mereka susah dan mungkin sudah mati.

Fazel bersekolah setelah dia mendapat taraf kewarganegaraan kerana paman bertaraf penduduk tetap, bibik masih warganegara Indonesia. Kini Fazel di tingkatan 5 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Puchong. Semua cerita sedih itu mengguris hatinya. Fazel kecewa tetapi siapa akan mendengar keluhan itu, buntu dengan keadaan dirinya dia melawan, mencabar sesiapa sahaja akhirnya Fazel telah tiga kali dibuang sekolah kerana pelbagai kesalahan yang melibatkan ponteng, peras ugut, merosakkan kereta guru, memukul murid lain dan merokok dalam kelas.

Fazel beberapa kali dikenakan hukuman rotan tetapi dia tidak serik sebaliknya telah bertindak lebih ganas, Fazel bertindak merosakkan kereta guru disiplin, membaling rumah guru menyebabkan kecederaan anak guru dan pintu cermin rumah guru berkenaan pecah. Malah Fazel juga mengedar ganja di sekolah semasa waktu rehat. Bapanya pendatang tanpa izin dan pernah ditangkap dalam Ops Pasir. Kini dia tinggal dengan ibunya juga pendatang tanpa izin.

Kegiatan ganas Fazel berterusan di dalam dan di luar sekolah, siapa sahaja yang melawan akan dipukul dan dicederakan. Fazel menjadi buruan polis kerana meragut murid sekolah lain dan terbabit dalam kes curi motorsikal di Puchong. Sedang Fazel dalam perjalanan pulang daripada mencuri motosikal dia ditahan polis dalam satu sekatan. Fazel ditahan motorsikal curi, menunggang tanpa lesen memandu dan memiliki beberapa bungkusan disyaki dadah. Fazel dibuang sekolah buat kali ketiga.

Tindakan:

Jabatan hanya mampu menasihati Fazel supaya bersabar menanti hukuman yang akan diputuskan oleh mahkamah. Agak sukar untuk jabatan meluluskan peluang belajar semula di sekolah walaupun selepas selesai hukuman. Bukanlah kerana Fazel telah beberapa kali dibuang sekolah, faktor umur dan taraf kewarganegaraan tetapi tingkah laku Fazel boleh mengancam keselamatan serta mengganggu pembelajaran murid lain.

Pengajaran:

Persekitaran dan pengalaman hidup yang sukar telah memberikan pengalaman hitam di minda Fazel. Fazel tidak diterima oleh rakan sebaya, masyarakat dan keluarganya. Fazel kecewa dengan hakikat dirinya dan tiada sokongan keluarga terdekat. Paman dan bibik sekadar melihat dan membiarkan dia tanpa memberikan pengiktirafan atau teguran.

Jika ibu bapa Fazel masih hidup dan mengambil berat mengenai dirinya mungkin keadaan berbeza. Paman dan bibiknya seperti merestui kenakalan dan membela kesalahan anak meeka sehingga menimbulkan keresahan jiran-jiran sekitar.

Persoalan:

i. Apa yang Fazel marahkan sangat kepada guru-gurunya sampai sanggup membaling rumah, merosakkan kereta dan mencederakan anak guru?

ii. Mungkinkan Fazel mengetahui sejarah kehidupan dirinya sangat memalukan dan tidak mahu sesiapa mengingatinya?

iii. Fazel terbukti menjadi punca masalah di sekolah yang sukar dikawal.

iv. Fazel mengancam ketenteraman dan keselamatan murid lain.

v. Ibu bapanya enggan menerima hakikat Fazel seorang murid yang jahat dan terlibat dalam pelbagai jenayah.

vi. Fazel bercita-cita menjadi samseng paling ganas di Malaysia dan mula merekrut ahli sejak di tingkatan 3.

Akhirnya:

Fazel akan menghadapi peperiksaan SPM dalam tahanan. Semasa di sekolah dengan bimbingan guru Fazel gagal melengkapkan kerja kursus yang berkaitan untuk persediaan SPM. Kini Fazel merengkok dalam penjara. Fazel kesal dan baru insaf kesilapan yang dilakukan dahulu walaupun diingatkan berulang-kali oleh gurunya.

Sebaliknya Fazel mengugut guru berkenaan, mencederakan anak guru, merosakkan kereta guru dan membaling rumah guru sehingga menyebabkan pintu kaca rumah guru berkenaan pecah. Fazel sekadar menitiskan air mata melahirkan kekesalan. Kini Fazel benar-benar bersendirian sebagai insan paling malang. Dia akan berdepan hukuman tanpa sesiapa yang melawati atau bertanya khabar. Hari ini Fazel benar-benar merasa dirinya tidak dikehendaki sesiapa, dia akan menjadi penghuni penjara.

Nasihat:

Walaupun kita tahu siapa diri kita, perlu mengawal diri sebelum undang-undang mengawal kebebasan kita. Kita perlu faham "nilai kebebasan'' hanya dapat dihayati dengan sebaiknya, apabila kita telah menyerahkan sepenuhnya kebebasan anda sendiri dengan ikhlas, untuk proses suai diri demi berkhidmat dan mempertahankan serta menegakkan kebebasan orang lain, menurut acuan yang diamalkan sejak turun-temurun di bumi berdaulat yang anda berpijak''.

Kenakalan begini sukar dikawal kerana murid ini tiada dorongan keluarga. Mereka merasakan dirinya terbuang, tidak diperlukan sesiapa menjadikan diri nekad mahu terkenal tetapi dengan cara tersendiri walaupun membahayakan diri sendiri. Kalaulah selama ini mereka hidup secara semula jadi. Apa apun yang terjadi kepada mereka tiada memberikan apa-apa makna kepada persekitaran dan kehidupan masyarakat. Tiada siapa akan menangisi kematiannya, tiada siapa akan merindui dia dikejauhan dan mengingatinya biar sesaat.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved