Rabu, 2 November 2011

Utusan Online - Timur


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


UMT bimbing 17 sekolah berpotensi

Posted:

UMT bimbing 17 sekolah berpotensi

UMT bimbing 17 sekolah berpotensi


Sebahagian guru dan pelajar yang menyertai Latihan Pengurusan Pusat Sumber Sekolah Angkat PSNZ UMT, baru-baru ini.


KUALA TERENGGANU 1 Nov. – Sebanyak 17 buah sekolah yang berpotensi untuk diangkat sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) di negeri ini mengikuti Program Latihan Pengurusan Pusat Sumber di sini, baru-baru ini.

Program anjuran Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah (PSNZ) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bersama Bahagian Teknologi Pendidikan Terengganu itu bertujuan membimbing para guru dan pengawas pusat sumber.

Timbalan Naib Canselor Akademik Antarabangsa UMT, Prof. Dr. Noor Azhar Mohamed Shazili berkata, ia bagi membolehkan mereka mendalami urusan perkhidmatan, pengurusan dan pemprosesan bahan.

Melalui program tersebut, perkongsian maklumat mengenai sistem pengurusan sumber komputer boleh dijadikan panduan kepada pusat sumber sekolah di seluruh negeri.

"Program selama dua hari itu turut memberi pendedahan kepada pelajar mengenai senario penggunaan perpustakaan di universiti serta memotivasikan mereka dalam proses membudayakan kecintaan ilmu dalam kehidupan," katanya selepas menutup program itu.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan Terengganu, Alias Taib dan Timbalan Ketua Perpustakaan PSNZ, Atip Ali.

Menurut beliau, UMT bercadang meneruskan program itu dan menambah bilangan sekolah pada tahun akan datang memandangkan ia memberi manfaat besar kepada guru, pelajar dan sekolah terbabit.

"Melalui program tersebut, UMT membuat lawatan susulan ke sekolah yang terlibat dan beberapa faktor yang memainkan peranan dalam pengoperasian pusat sumber," katanya.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya juga mengesan kira-kira 90 peratus guru sumber media dan pengawas pusat sumber yang memerlukan latihan berkaitan bagi mengendalikan pusat berkenan dengan lebih tersusun.

Full content generated by Get Full RSS.

USM jayakan misi ke Bangladesh

Posted:

USM jayakan misi ke Bangladesh

USM jayakan misi ke Bangladesh

Oleh HAPIZAH AZIZ
utusankelantan@utusan.com.my


Sekumpulan doktor dan jururawat dari USM Kampus Kesihatan yang menyertai misi kemanusiaan pembedahan sumbing bibir dan lelangit di Hospital Komuniti Dacca , Bangladesh baru-baru ini.


KOTA BHARU 1 Nov. – Misi Kemanusiaan Pembedahan Kanak-kanak Sumbing Bibir dan Lelangit Universiti Sains Malaysia (USM) dan Mercy Malaysia ke Bangladesh tercapai apabila 68 kanak-kanak dan remaja miskin di negara itu berjaya menjalani pembedahan di Hospital Komuniti Dacca baru-baru ini.

Kejayaan itu memberi makna cukup besar kepada anggota misi yang dimulakan sejak 2005 dan telah berjaya memulihkan kecacatan sumbing bibir dan lelangit hampir 300 kanak-kanak dan remaja miskin di negara berkenaan.

Timbalan Dekan Penyelidikan dan Pengajian Siswazah Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM Kampus Kesihatan, Prof. Ahmad Sukari Abdul Halim memberitahu, kejayaan tersebut cukup menggembirakan ibu bapa kanak-kanak berkenaan setelah melihat wajah anak mereka kembali normal.

"Melihat kepada kehidupan mereka, tidak mungkin ibu bapa kanak-kanak terbabit mampu mendapatkan rawatan untuk 'mengembalikan' wajah anak mereka," katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya sekembali daripada menyertai misi berkenaan.

Beliau yang mengetuai sekumpulan pakar perubatan USM Kampus Kesihatan dalam misi itu berkata, kejayaan pembedahan itu diharap akan mengubah kehidupan anak-anak terbabit pada masa hadapan.

"Mereka juga akan mendapat pekerjaan di samping rasa selesa bergaul dengan orang ramai setelah tidak lagi cacat seperti sebelum ini," jelasnya.

Menurut beliau, kejayaan tersebut hasil kerjasama Hospital Komuniti Dacca yang merupakan sebuah hospital amal bagi membantu keluarga miskin terpilih mendapatkan pembedahan tersebut secara percuma.

"Jumlah awal melibatkan lebih 80 orang, tetapi setelah disaring, mereka yang berisiko seperti pesakit jantung dan sebagainya terpaksa ditolak. Hanya 68 orang berusia antara setahun hingga 16 tahun boleh dibedah dan kerja-kerja itu terpaksa dilakukan dalam tempoh lima hari.

"Dengan hanya tiga doktor pakar, dua pakar bius dan tiga jururawat, kami membedah purata 18 orang sehari, enam orang bagi setiap doktor," jelasnya.

Ahmad Sukari berkata, pembedahan itu cukup mencabar kerana lazimnya, di Malaysia ia hanya dilakukan sehingga pukul 4 atau 5 petang, tetapi dalam misi tersebut pembedahan berlarutan sehingga pukul 8 malam.

"Cabaran lain yang terpaksa dihadapi ialah apabila berlaku bekalan elektrik terputus, walaupun cuma selama dua tiga minit, tetapi pembedahan sedang dijalankan dan kami terpaksa menggunakan lampu suluh. Ketika itu kami benar-benar menggunakan segala kepakaran yang dimiliki supaya pesakit mendapat hasil terbaik daripada pembedahan tersebut," ujar beliau lagi.

Menurutnya, USM Kampus Kesihatan memperuntukkan kira-kira RM31,000 setahun untuk menjayakan misi tersebut, manakala perbelanjaan selebihnya hasil sumbangan orang ramai yang disalurkan kepada Mercy Malaysia.

Full content generated by Get Full RSS.

ConGa UnisZA juara Gamelan Kebangsaan 2011

Posted:

ConGa UnisZA juara Gamelan Kebangsaan 2011

ConGa UnisZA juara Gamelan Kebangsaan 2011


Kumpulan gamelan UniSZA meraikan kemenangan pada pertandingan Gamelan Melayu peringkat kebangsaan di Dewan Al-Muktafi Billah, UniSZA kelmarin.


KUALA TERENGGANU 1 Nov. – Kumpulan Gamelan Kontemporari (ConGa) Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA) menjuarai kategori Gamelan Melayu Kontemporari/ Kreatif dalam Pertandingan Gamelan Melayu Kebangsaan 2011 yang diadakan di universiti itu di sini, semalam.

Dengan persembahan yang segar dan cukup memikat penonton itu, pasukan 17 ahli itu membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 dan trofi serta bakal membuat persembahan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada Disember nanti.

Menurut ketuanya, Sahar Sa'di Hashim, 43, walaupun kumpulan itu baru ditubuhkan dan hanya melakukan persiapan dalam tempoh dua minggu, komitmen yang ditunjukkan oleh semua ahli cukup tinggi sehingga berjaya menewaskan 16 kumpulan lain.

"Ramai kalangan kami telah mempunyai pengalaman bermain dan menjuarai pertandingan lain seperti Bintang RTM dan juara Asia Young Star Competition di Taiwan malah ada di antara ahli pernah mewakili Malaysia ke London untuk Persembahan Muzik Rakyat Terengganu pada September lalu.

"Lalu tumpuan diberikan tentang muzik bagaimana yang mahu diketengahkan dan kami memilih untuk menggabungkan muzik gamelan dan penggunaan alat-alat muzik tradisional seperti rebab, gendang dan serunai," katanya.

Sahar yang juga Pengarah Pusat Seni Warisan UniSZA memberitahu, ConGa mempertaruhkan lagu Legasi Muzium Terengganu Kita yang merupakan kombinasi lagu-lagu rakyat Terengganu dengan menyerapkan konsep gamelan bersama unsur rodat dan dikir barat.

Sementara itu, bagi kategori Gamelan Melayu Tradisional, ia dimenangi oleh Kumpulan Gamelan Asuhan Seni I, Istana Budaya yang turut membawa pulang wang tunai RM10,000 dan trofi.

Pemenang kategori lain ialah Kumpulan SaGa UniSZA (Hadiah Khas Juri Kategori Gamelan Melayu Tradisional), manakala Asuhan Seni II Istana Budaya (Hadiah Khas Juri Kategori Gamelan Melayu Kontemporari Kreatif). Masing-masing membawa pulang RM2,500 dan trofi.

Bagi kategori pemuzik terbaik, ia dimenangi oleh Tun Baharum Tun Abdul Razak dari Kumpulan SaGa UniSZA (Kategori Gamelan Melayu Tradisional), manakala Teuku Omar Illany Teuku Iskandar dari ASWARA (Kategori Gamelan Melayu Kontemporari/ Kreatif) dengan masing-masing menerima RM500 beserta trofi.

Hadiah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd. Said. Turut hadir,Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah dan Pengarah Muzium negeri, Mohd. Yusof Abdullah.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved