Rabu, 2 November 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Lihat sudut positif AUKU

Posted:

Lihat sudut positif AUKU

Lihat sudut positif AUKU

Oleh MOHD. MAHYUDDIN MOHD. SAIFUDDIN
PENULIS ialah pelajar Universiti Malaya

Negara dikejutkan dengan keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru ini yang memutuskan bahawa Seksyen 15 dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 adalah bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Malaysia.

Keputusan pihak hakim secara majoriti 2-1 telah memihak kepada rayuan empat orang bekas pelajar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mendakwa hak kebebasan berpolitik dan bersuara adalah kebebasan rakyat Malaysia.

Keputusan bersejarah itu sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.

Ada yang melihat dan bersuara bahawa Seksyen 15 AUKU adalah suatu seksyen yang begitu menekan dan mengongkong para pelajar di IPT untuk terlibat dalam politik di luar kampus.

Ya, mungkin ada kebenarannya di situ. Tetapi adakah ramai yang cuba menyingkap kenapa AUKU menghalang para pelajar di IPT untuk terlibat dalam politik kepartian di luar kampus?

Adakah ramai yang mengetahui bahawa para pelajar ini sebenarnya boleh menyertai ceramah-ceramah dan aktiviti-aktiviti ilmuwan yang dianjurkan oleh mana-mana parti politik sebagai suatu usaha untuk meningkatkan pengetahuan dan keilmuan mereka?

Mereka hanya tidak dibenarkan untuk menunjuk simpati dan memegang sebarang jawatan dalam mana-mana parti politik.

Antara sebab mungkin mengapa Seksyen 15 dan keseluruhan AUKU itu dibentuk khusus kepada para pelajar IPT dan kakitangannya di kampus adalah untuk membela dan menjaga nasib para warga kampus terutama pelajar.

Sebagai contoh mudah, sekiranya pelajar diberi kebebasan menyertai parti politik secara langsung, dan mereka terlibat dalam mana-mana tindakan disiplin parti yang memerlukan denda wang ringgit, maka siapa yang harus membela mereka sedangkan pelajar ini masih belum mempunyai pendapatan sendiri?

Malah kebanyakan daripada mereka pula hanya bergantung kepada pinjaman PTPTN untuk belajar di IPT untuk tempoh masa tiga hingga lima tahun.

AUKU juga berperanan sebagai suatu 'punca kuasa' untuk menggalakkan para pelajar bergiat aktif dalam kampus berbanding sibuk aktif dengan aktiviti-aktiviti parti politik di luar.

Sekiranya para pelajar ini diberi peluang untuk menyertai politik kepartian, maka sudah pasti masa, wang dan tenaganya akan terpaksa dihabiskan untuk parti politik yang disertainya di luar kampus.

Kesibukan menyertai dan memegang jawatan dalam parti politik ini akhirnya menyebabkan masa belajar mereka akan digunakan untuk kepentingan parti, duit kocek yang ada dalam simpanan juga terpaksa dibelanjakan untuk survival politiknya dalam parti dan pastinya tenaga serta keringat harus dibahagikan antara tumpuan untuk belajar, komitmen dalam kampus dan penglibatan dengan parti politik.

Seksyen 15 AUKU juga berperanan secara halus untuk membantu dan memastikan para pelajar agar lebih peka dan memberi tumpuan terhadap pengajaran dan pembelajarannya di IPT.

Sekiranya para pelajar ini asyik sibuk siang dan malam dengan aktiviti parti politik tidak kira dari pihak kerajaan mahupun pembangkang, maka ruang waktu yang ada pada dirinya semakin terhad.

Ini tidak mustahil akan menyebabkan para pelajar itu ponteng kelas dan tidak menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah. Ditambah dengan tekanan yang dihadapi dalam organisasi parti politik, maka pelajar tersebut sudah pasti akan hilang tumpuannya terhadap pengajian.

Akhir sekali yang menjadi mangsa dalam perkara ini ialah pelajar itu sendiri, mana mungkin kepimpinan parti politik itu akan membantu pelajar untuk lulus cemerlang dalam pelajarannya.

Kita tidak bercakap lagi soal perpecahan di dalam kampus sekiranya para pelajar dan kakitangan IPT diberi kebebasan untuk menyertai secara aktif mana-mana parti politik.

Cuba bayangkan sekiranya setiap pentadbiran, dan ahli akademik dibolehkan bergiat aktif dalam parti politik, sudah pasti mereka akan mengambil peluang yang ada untuk menguatkan parti dan pengaruhnya.

Sekiranya seorang pensyarah itu seorang ketua bahagian atau ranting sebuah parti, adakah beliau tidak mempunyai perasaan was-was dan dendam terhadap pelajarnya yang mempunyai jawatan yang sama tetapi dari parti lawan?

Siapa yang boleh beri jaminan bahawa pensyarah itu tidak akan menggunakan kuasa dan kedudukan yang beliau ada untuk menggagalkan atau memberi tekanan terhadap pelajarnya yang 'setaraf' dengannya dalam dunia politik kepartian?

Adakah seorang Naib Canselor mampu duduk selesa sekiranya Timbalan Naib Canselor dan pegawai di bawahnya ialah seorang ketua parti lawan?

Itu tidak termasuk lagi pengetua kolej-kolej kediaman, dekan-dekan fakulti dan pengarah-pengarah pusat, institut dan jabatan.

Pendek kata yang boleh ditekankan di sini adalah AUKU itu sudah pasti ada cacat celanya kerana ia merupakan sebuah akta atau undang-undang yang diciptakan oleh manusia, tetapi tujuan dan keseluruhannya adalah untuk kebaikan warga di IPT juga.

Janganlah kerana seekor nyamuk yang dimarahi tetapi seluruh kelambu dibakarnya.

Para pelajar dan warga IPT akan mengalami pelbagai kesulitan sekiranya AUKU ini terus dibakulsampahkan begitu sahaja.

Oleh itu, pihak pemerintah perlu meneliti dengan mendalam sebelum mengambil sebarang keputusan. Pihak pembangkang pula perlu matang dalam memberi hujah agar negara dan masa depan rakyat tidak akan dijual kepada pihak lain.

Full content generated by Get Full RSS.

Faktor pemusnah impian BN

Posted:

Faktor pemusnah impian BN

Faktor pemusnah impian BN

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my


Najib Tun Razak dan Muhyiddin Yassin bertemu pemimpin parti komponen Barisan Nasional pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali MIC di Batu Caves, baru-baru ini.


SELAIN kegagalan menangani isu rakyat, krisis dalaman UMNO dan kempen asalkan bukan BN (Barisan Nasional) yang dilancarkan oleh pembangkang dikatakan menjadi faktor utama memungkinkan BN mencatatkan prestasi terburuk dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.

Sebab itu dalam setiap ucapan dua pemimpin utama BN iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, mereka berkali-kali memperingatkan pemimpin BN dan UMNO supaya jangan mencetuskan masalah dalaman.

Malahan seruan yang sama juga dibuat oleh tiga Naib Presiden UMNO iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Shafie Apdal.

Peringatan ini dibuat bukan membuta tuli tetapi atas dasar memahami masalah dalaman sama ada dalam UMNO mahupun komponen lain boleh menjadi pemusnah kepada impian BN untuk mencatatkan keputusan cemerlang dalam PRU akan datang.

Impian BN dalam PRU13 bukan sekadar mengembalikan majoriti dua pertiga di Parlimen tetapi menebus maruah kekalahan di empat negeri yang kini ditawan oleh pembangkang.

Empat negeri berkenaan adalah Selangor, Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang manakala Perak biar pun ia sudah kembali kepada BN namun 'ranjau berduri' masih menanti parti itu untuk kekal berkuasa. Walaupun pelbagai andaian dibuat terhadap peluang BN di negeri-negeri berkenaan namun ia bukanlah satu misi yang mustahil.

Rakyat sudah mampu menilai sejauh manakah kemampuan pakatan pembangkang apabila diberi peluang memerintah.

Sebab itu peringatan Muhyiddin yang mahu masalah dalaman parti komponen BN diselesaikan segera tidak harus dipandang remeh. Peringatan itu diberikan kerana dari segi meraih sokongan rakyat melalui pelbagai program yang dilaksanakan oleh kerajaan BN, setakat ini ia boleh dikatakan hampir mencapai sasaran.

Keyakinan rakyat kepada BN semakin meningkat berikutan pelbagai langkah yang dilakukan sejak kepimpinan negara diambil alih oleh Najib dengan dibantu oleh Muhyiddin.

Pendekatan Najib yang dilihat mesra rakyat dan menterjemahkan sepenuhnya slogan 1Malaysia, 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian diutamakan' dikatakan semakin menambat hati rakyat. Najib bukan sahaja mengamalkan pendekatan bersemuka dengan rakyat tetapi memastikan segala aspek kehidupan mereka sama ada sosial dan ekonomi turut dibela.

Justeru dari segi memulihkan imej kerajaan BN di mata rakyat ia boleh dianggap sudah berada di landasan yang betul, cuma apa yang dibimbangkan ialah perjalanan untuk mencapai kejayaan dalam pilihan raya akan tergelincir akibat mainan politik dalaman sesama sendiri.

Atas sebab itulah, peringatan supaya masalah dalaman tidak dibiarkan berterusan harus difahami, dihayati dan dipatuhi oleh semua pemimpin BN. Dalam soal ini, sekali lagi keikhlasan dan rasa keinsafan perlu ada di kalangan pemimpin parti berkenaan.

Mereka tidak boleh membiarkan maruah parti diperlekehkan, seandainya apa yang dicatatkan oleh BN ketika pilihan raya umum lalu berulang.

Cukuplah sekali, BN dipandang rendah oleh parti-parti pembangkang apabila puak-puak berkenaan berjaya menafikan majoriti dua pertiga penguasaan BN di Parlimen serta menambah penguasaan di negeri-negeri. Kesedaran yang tinggi perlu ada di kalangan pemimpin BN dan UMNO meletakkan kepentingan parti mengatasi segala-galanya.

Apa yang perlu diingat ialah misi utama dalam pilihan raya umum akan datang ialah meraih sokongan rakyat bagi membolehkan BN kembali menjadi parti yang benar-benar kuat.

Sikap kecewa tidak terpilih sebagai calon, merajuk apabila tidak diberi jawatan seharusnya dibuang jauh-jauh. Kepada pemimpin-pemimpin BN atau UMNO yang bersikap sedemikian mereka boleh terus berehat daripada arena politik.

Tidak perlu menjadi duri dalam daging, gunting dalam lipatan dan musuh dalam selimut kepada parti, hasrat untuk melakukan khianat kepada parti kerana tidak dipilih sebagai calon bukanlah sikap seorang ahli politik yang matang.

Perjuangan BN adalah untuk rakyat dan rakyat menjadi penentu kepada kesinambungan kepimpinan negara, justeru sudah pastilah apa yang perlu diutamakan ialah kesejahteraan rakyat.

Dan rakyat juga perlu diberi peluang untuk menentukan siapa yang mereka mahu mewakili mereka dan inilah yang akan menjadi penilaian utama dalam mencari calon boleh menang seperti mana ditegaskan oleh Najib.

Calon boleh menang ini selain popular di kalangan rakyat tetapi juga perlu mempunyai track record yang bersih.

Dalam pilihan raya umum nanti, BN berhadapan dengan pertembungan sengit di mana pembangkang seolah-olah bakal menjadikan ia sebagai pertarungan hidup mati mereka. Sebab itulah, BN perlu turun dengan barisan calon yang benar-benar mantap, berwibawa dan mampu membawa kemenangan kepada parti.

Berikutan keadaan itu, BN tidak ada masa untuk terus menerus melayani kerenah tidak matang mana-mana pemimpin atau krisis dalaman parti komponen yang tidak berkesudahan. Kepentingan parti dan kesinambungan penguasaan BN perlu diletakkan paling atas dalam apa juga keadaan.

Pada 2008, salah satu hasil 'post mortem' yang diperolehi ialah krisis dalaman UMNO turut menjadi punca apabila ada pemimpin yang tidak dipilih sebagai calon memboikot calon yang terpilih.

Semua ini kalau berulang lagi dalam pilihan raya umum akan datang maka ia bukan sahaja satu pengkhianatan malah petaka kepada BN dan UMNO. Oleh itu patuhilah nasihat Najib, Muhyiddin dan pemimpin-pemimpin BN lain supaya mengutamakan parti dalam apa juga segi.

Kejayaan yang ingin dicapai bukanlah demi politik parti itu semata-mata tetapi demi memastikan kestabilan negara berkekalan dan kesejahteraan rakyat dapat diperjuangkan.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved