Selasa, 15 November 2011

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Media selami kehidupan peneroka

Posted:

Media selami kehidupan peneroka

Media selami kehidupan peneroka

Oleh NORIZAN ABDUL MUHID
utusanmelaka@utusan.com.my


WARTAWAN Utusan Malaysia, Norizan Abdul Muhid menunjukkan kemahiran menoreh getah.


ALOR GAJAH 14 Nov. – Seramai 50 wakil media mewakili pelbagai agensi berpeluang menyelami kehidupan sebenar masyarakat Felda apabila menjadi anak angkat kepada keluarga peneroka Felda Tun Ghafar Hutan Percha, di sini baru-baru ini.

Melalui program Seranta Serancangan Bersama Media-Edisi Khas Rewang Korban Perdana 2011 anjuran Pejabat Seranta (Felda), Jabatan Perdana Menteri (JPM), mereka berkampung selama dua hari untuk merasai kehidupan sebenar masyarakat Felda.

Program yang diadakan sempena sambutan Hari Raya Korban itu adalah yang ketiga anjuran Felda bermatlamat menjadi medium mendekatkan media dengan peneroka.

Para peserta yang berasal daripada pelbagai profil keluarga dan tinggal di kawasan bandar berpeluang merasai sendiri kehidupan masyarakat peneroka yang mungkin agak asing dengan cara hidup mereka.

Sepanjang menjadi anak angkat, wartawan dan jurugambar menyertai pelbagai acara budaya kampung yang disediakan pada program itu antaranya gotong-royong, ceramah di masjid dan beberapa aktiviti malam hari.

Memandangkan program yang berlangsung sempena meraikan sambutan Hari Raya Aidiladha, aktiviti rewang yang diadakan lebih kepada membuat persediaan bagi menyambut perayaan itu bermula daripada acara menyembelih lembu sehingga acara memasak juadah.

Pada hari pertama setelah diserahkan kepada keluarga angkat masing-masing, peserta program kemudiannya menyertai acara rewang yang disertai sebahagian besar penduduk Felda berusia antara 25 hingga 50 tahun.

Aktiviti rewang itu diadakan bagi membuat persediaan untuk acara korban yang akan berlangsung keesokkan harinya selain menyediakan jamuan untuk tetamu yang hadir menjayakan acara rewang tersebut.

Pada acara itu, peserta media berpeluang beramah mesra dan mendekati masyarakat Felda yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan keturunan sekali gus memahami serba sedikit latar belakang budaya penduduk di situ.

Setelah selesai acara rewang, kumpulan media kemudiannya dibawa ke rumah keluarga angkat masing-masing dan mempersiapkan diri untuk menyertai kehidupan malam masyarakat Felda.


Penduduk Felda bergotong-royong melapah daging lembu sempena Majlis Seranta Serancangan Bersama Media di Alor Gajah, Melaka, baru- baru ini.


Hakikatnya, kehidupan malam penduduk Felda lebih menarik dan meriah daripada apa yang digambarkan oleh masyarakat luar sebelum ini dengan mendakwa kehidupan malam di kawasan itu agak membosankan.

Selesai acara ceramah di masjid, penduduk Felda kemudiannya membuat persiapan mengadakan aktiviti tayangan wayang pacak iaitu acara menonton tayangan video filem semasa menerusi skrin besar yang dipasang di kawasan lapang.

Pada malam itu, hampir keseluruhan penduduk Felda beramai-ramai memenuhi perkarangan Dewan Orang Ramai Felda Tun Ghafar Hutan Percha untuk menyaksikan tayangan wayang pacak yang ketika itu menyajikan filem Hantu Kak Limah Balik Rumah.

Selain acara tayangan video, ada sebahagian penduduk juga mengadakan aktiviti bermain badminton dan ada yang terlibat dengan persembahan aktiviti kebudayaan.

Bagi rakan media, kesempatan itu diadakan dengan berbual-bual dengan golongan peneroka yang rata-ratanya terdiri dari kumpulan generasi awal.

Pada hari perasmian program Seranta Serancangan Bersama Media-Edisi Khas Rewang Korban Perdana 2011, rakan media memulakan hari itu dengan menyertai beberapa peneroka ke ladang getah mereka untuk merasai sendiri pengalaman menoreh pokok getah.

Namun, tidak sampai 20 minit memotong getah, ada sebahagian media yang tidak mampu menahan serangan serangga kecil seperti semut dan nyamuk ketika cuba menoreh sebuah pokok getah.

Tiba di kemuncak program itu, sebanyak 20 ekor lembu dikorbankan simbolik pelancaran program berkenaan yang dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam. Hadir sama, Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan.

Full content generated by Get Full RSS.

Kaum India penerima bantuan JKM tertinggi

Posted:

Kaum India penerima bantuan JKM tertinggi

Kaum India penerima bantuan JKM tertinggi

MELAKA 14 Nov. - Seramai 25,868 orang di negeri ini telah menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri sehingga Oktober lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian Negeri, Datuk R. Perumal berkata, peratusan tertinggi menerima bantuan daripada JKM ialah kaum India sebanyak 6.38 peratus diikuti kaum-kaum lain (4.9 peratus), Melayu (3.2 peratus) dan Cina (2.7 peratus).

''Ini membuktikan bantuan daripada kerajaan negeri melalui JKM tidak cenderung kepada orang Melayu semata-mata tetapi ia turut membantu kaum-kaum lain.

''Bantuan yang diberikan itu adalah berdasarkan kelayakan dan siasatan yang dibuat mengikut garis panduan yang telah ditetapkan," katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketiga (Bajet) Penggal Keempat, di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Perumal (BN-Asahan) menjawab soalan Datuk Latipah Omar (BN-Taboh Naning) mengenai jumlah penerima bantuan JKM dari 2008 hingga November 2011 mengikut pecahan kaum Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain.

Menurutnya, mengikut pecahan penerima bantuan bulanan JKM, orang Melayu adalah seramai 16,917 orang berbanding jumlah keseluruhan penduduk kaum itu seramai 526,534 orang.

Kaum Cina katanya, menerima bantuan itu seramai 5,625 orang iaitu 2.7 peratus berbanding jumlah kaum itu seramai 207,401 orang.

''Bagi kaum India pula adalah seramai 3,129 orang iaitu sebanyak 6.38 peratus daripada 49,037 orang manakala kaum-kaum lain adalah seramai 235 orang iaitu 4.9 peratus daripada 3,985 orang," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Bajet tingkat taraf hidup

Posted:

Bajet tingkat taraf hidup

Bajet tingkat taraf hidup

MELAKA 14 Nov. – Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam hari ini membentangkan Bajet 2012 bagi negeri ini membabitkan peruntukan sebanyak RM307.6 juta untuk keperluan rakyat, agar dapat diagih, dikongsi dan dimanfaatkan secara adil serta saksama.

Menurutnya, bajet yang dibentangkan itu menumpukan kepada dua strategi utama iaitu meningkatkan taraf hidup rakyat ke arah berpendapatan tinggi dan merealisasikan Melaka Maju Negeri Bandar Teknologi Hijau.

Beliau berkata, sebanyak RM245.1 juta adalah untuk perbelanjaan mengurus dan RM62.5 juta bagi perbelanjaan pembangunan.

Di bawah peruntukan mengurus pula katanya, sebanyak RM72.9 juta adalah bagi emolumen dan RM98.9 juta disediakan bagi perkhidmatan dan bekalan manakala RM1 juta bagi pembelian aset.

''Bagi pembangunan pula melibatkan peruntukan sebanyak RM62.5 juta. Ini bagi menampung keperluan infrastruktur sebanyak RM22.8 juta, pertanian RM3.5 juta, sosial RM24.7 juta dan pembangunan masyarakat RM11.5 juta," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan bajet tersebut pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketiga (Bajet) Penggal Keempat, di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Mohd. Ali berkata, hasil kerajaan dianggarkan berjumlah RM245.3 juta yang diperoleh daripada hasil cukai sebanyak RM99 juta, hasil bukan cukai RM76.5 juta dan terimaan bukan hasil, RM69.8 juta.

Menurutnya, dengan mengambil kira anggaran hasil dan perbelanjaan, kerajaan negeri dijangka mengekalkan rekod bajet lebihan bagi tempoh lapan tahun berturut-turut sejak 2005 dengan lebihan yang dijangka adalah sebanyak RM155,000.

Beliau berkata, melalui peruntukan bajet tersebut, kerajaan negeri akan membantu rakyat yang menghadapi kesukaran kos sara hidup yang membebankan.

''Kerajaan akan menyediakan bantuan ekonomi seperti menyediakan peluang pekerjaan untuk keluarga miskin, memberi pelaburan saham Kobemas kepada 24,000 ahli, adakan kursus kemahiran dan membuka empat Kedai Rakyat 1Malaysia," katanya.

Dalam memantapkan pembangunan pendidikan, katanya, kerajaan akan menyediakan bantuan kewangan berjumlah RM16.4 juta dalam bentuk biasiswa, dermasiswa, peralatan persekolahan, tuisyen, pinjaman pendidikan dalam dan luar negara.

Menurutnya, dalam usaha merealisasikan Melaka sebagai Negeri Bandar Teknologi Hijau, kerajaan negeri akan melaksanakan program seperti projek pembangunan bandar hijau, program Zon Gaya Hidup Bebas Asap dan program Amalan Hijau.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved