Selasa, 15 November 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Istana Negara tinggal kenangan

Posted:

Istana Negara tinggal kenangan

Istana Negara tinggal kenangan

Oleh SAKINI MOHD SAID


Anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja melakukan Istiadat Penurunan Bendera Peribadi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara di Jalan Istana untuk dinaikkan di pekarangan Istana Negara yang baru di Jalan Duta, semalam. - bernama


Selepas mencatat 83 tahun sejarah yang indah berwarna-warni dan menyaksikan pertabalan tujuh daripada 13 Yang di-Pertuan Agong, sampailah masanya untuk melabuhkan tirai penutupan Istana Negara, semalam.

Bangunan berwarna putih, yang ditandai dengan dua kubah emas tersergam indah dan tidak asing kepada setiap pengguna jalan raya yang melepasi Jalan Syed Putra, akan secara rasmi menyaksikan satu Istiadat Menurunkan Bendera Peribadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 15 November 2011.

Pada masa yang sama, Istana Negara yang baru di Jalan Duta secara rasmi menjadi istana bagi Yang di-Pertuan Agong yang seterusnya.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin, yang akan tamat tempoh jawatannya, mencatat sejarah sebagai Yang di-Pertuan Agong yang terakhir mendiami istana di Jalan Syed Putra.

Di sinilah berlangsungnya pelbagai istiadat merangkumi upacara mengangkat sumpah jawatan dan taat setia oleh Perdana Menteri, para menteri dan ketua hakim.

Istana ini juga menyaksikan beratus-ratus diplomat Malaysia menerima suratcara perlantikan untuk berkhidmat di luar negara dan menerima menghadap Perdana Menteri negara serta Pesuruhjaya Tinggi dan duta dari negara asing yang ditauliahkan ke Malaysia.

Manakala beribu-ribu rakyat Malaysia berkongsi kenangan hidup apabila menghadiri upacara pengurniaan bintang dan darjah kebesaran di Istana Negara.

ISTANA LAMA

Berdiri teguh di kawasan seluas 11.34 hektar di tepi Bukit Petaling menghadap Jalan Syed Putra, yang sebelum ini dikenali sebagai Lornie Drive, bangunan di tengah ibu kota yang menggamit perhatian sesiapa sahaja ini bukanlah bangunan biasa.

Sesungguhnya, ia adalah satu bangunan yang menjadi lambang keagungan rakyat negara ini kerana ia tempat bersemayam Ketua Negara Malaysia, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.

Itulah Istana Negara yang menjadi bangunan kebanggaan rakyat dan lambang kedaulatan negara.

Sebagai sebuah Istana Negara yang pertama sebelum wujudnya pembinaan istana baru di Jalan Duta, mungkin masih ramai yang belum mengetahui akan cerita di sebalik bangunan itu.

DARI SEBUAH BANGLO MENJADI ISTANA

Sebuah banglo (pada asalnya) yang dibina pada tahun 1928 dengan harga RM150,000, ia menjadi rumah kediaman seorang jutawan dari China, iaitu Chan Wing.

Mendapat cetusan daripada kepakaran firma senibina terkenal, Swan & McLaren untuk mereka banglo berkenaan, ia diduduki oleh jutawan itu bersama keluarganya sehinggalah tercetus Perang Dunia Kedua, menurut majalah Tell.

Banglo yang kosong sebaik sahaja keluarga jutawan itu melarikan diri, telah digunakan sebagai mes Pegawai Tentera Jepun selama empat tahun pemerintahan mereka di Tanah Melayu bermula sejak tahun 1942 sehinggalah 1945.

Namun begitu, pemerintahan Jepun tidak bertahan lama. Sebaik sahaja Jepun tidak lagi berkuasa di Tanah Melayu, keluarga Chan Wing telah kembali pada tahun 1946.

Bagaimanapun, mereka tidak menduduki banglo itu sebaliknya ia menjadi milik kepada British Malayan Administration (BMA) untuk digunakan sebagai mes pegawai kanan.

Kemudian, banglo itu bertukar milik apabila Kerajaan Negeri Selangor membelinya dan selepas diubah suai ia dijadikan tempat bersemayam Sultan Selangor, Sultan Sir Hishamuddin Alam Shah.

Bangunan yang dijadikan sebagai istana kepada Sultan Selangor itu kemudian bertukar milik sekali lagi apabila Kerajaan Persekutuan membelinya dengan harga RM1.4 juta pada tahun 1957 untuk dijadikan tempat bersemayam Yang di-Pertuan Agong yang pertama, Tuanku Abdul Rahman Tuanku Muhammad, beberapa minggu sebelum pengisytiharan kemerdekaan.

Bagi mengangkat martabat bangunan itu sebagai sebuah kediaman rasmi pemerintah tertinggi negara, Kerajaan Persekutuan telah membelanjakan RM328,000 untuk menjadikannya istana yang sesuai sebagai tempat bersemayam raja bagi sebuah negara merdeka yang baru.

Dengan menggunakan kepakaran arkitek Jabatan Kerja Raya, E.K. Dinsdale dari sudut rekaan, sementara pengubahsuaian pula dilakukan oleh kontraktor tempatan, proses kerja-kerja menaik taraf itu tidak mempengaruhi struktur utama bangunan itu.

Pengubahsuaian yang hanya mengambil masa selama empat bulan sahaja menyaksikan jumlah penambahan bilik yang sebelum ini 13 kepada 20 bilik, dengan dapur bagi 100 orang, balai mengadap, empat bilik tetamu, dua balai kemasukan dan satu dewan santapan.

Menjelang tahun 1980-an, Istana Negara telah mengalami pengubahsuaian besar-besaran dengan penambahan Balairong Seri Utama yang menempatkan singgahsana. Ini adalah kali pertama singgahsana diletakkan di Istana Negara di mana sebelum ini pertabalan Yang di-Pertuan Agong diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman terletak di Jalan Ampang.

Proses penambahan singgahsana baru ini yang bertujuan mengangkat martabat Istana Negara telah dibina di bawah pengelolaan arkitek Jabatan Kerja Raya, Kapt David Wee dengan berasaskan kepada alat kebesaran diraja.

Dibina tujuh tingkat dan bertiang tujuh, ia melambangkan alam semesta yang mempunyai tujuh lapisan langit dan tujuh lapisan bumi dan diperbuat daripada kayu cengal yang diukir indah dan halus.

Sebaik sahaja Balairong Seri Utama ini siap, pertabalan Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah Sultan Abu Bakar sebagai Yang di-Pertuan Agong ketujuh telah diadakan di sini pada 1980.

BILIK-BILIK PENTING ISTANA NEGARA

Istana Negara, bukanlah sekadar tempat bersemayam pemerintah tertinggi negara. Malah, ia juga memainkan peranan penting sebagai sebuah bangunan yang melambangkan kedaulatan negara.

Untuk tujuan itu, Istana Negara diperuntukkan beberapa bilik penting khusus bagi upacara tertentu merangkumi bilik Singgahsana Kecil, Dewan Mengadap, Bilik Duta, Bilik Permaisuri dan Balairong Seri.

Bagi bilik Singgahsana Kecil, ia digunakan apabila Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menghadiri Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan sebagai TYT Yang di-Pertua Negeri, Istiadat Mengadap dan Menerima Watikah Pelantikan TYT Duta Besar atau Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke luar negara.

Selain itu, ia digunakan semasa Istiadat Menerima Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia oleh Ketua Hakim Negara serta Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Menyimpan Rahsia oleh menteri dan timbalan menteri.

Untuk bilik yang telah dikhususkan sebagai 'Dewan Mengadap', ia merupakan tempat bagi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong menerima mengadap tetamu kehormat seperti ketua-ketua negara dan lain-lain tetamu kenamaan.

Merupakan dewan yang kedua di tingkat bawah, Dewan Mengadap juga digunakan sebagai ruang rehat oleh Sultan-sultan, Raja-raja dan Tuan-tuan Yang Terutama Yang di-Pertua-yang di-Pertua Negeri semasa persidangan Majlis Raja-raja diadakan di Istana Negara.

Istana Negara juga turut mempunyai Bilik Duta di mana ia merupakan tempat bagi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menerima mengadap Perdana Menteri negara serta Pesuruhjaya Tinggi dan duta dari negara asing yang ditauliahkan ke Malaysia.

Bagi bilik yang menempatkan Balairong Seri pula, ia digunakan bagi menjalankan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Pengurniaan Darjah-darjah Kebesaran Bintang-bintang dan Pingat-pingat Persekutuan, Hari Keputeraan dan acara berkaitan dengannya.

Selain itu, ia juga digunakan sebagai Dewan Santapan semasa Majlis Santapan Negara meraikan Ketua Asing yang membuat lawatan negara, Majlis Santapan Memuliakan Mesyuarat Raja-Raja dan sebagainya.

ISTANA NEGARA DALAM KENANGAN

Istana Negara yang baru di Jalan Duta akan menyaksikan pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-14 - Sultan Abdul Halim Muadzam Shah dari Kedah - pada Disember ini.

Istana baru bernilai RM800 juta ini mempunyai keluasan yang lebih besar, jelas bakal menjadi mercu dan simbol kebanggaan sistem pemerintahan Raja Berpelembagaan negara ini.

Biarpun sudah ada Istana Negara yang baru, namun bangunan di Jalan Istana ini akan terus diingati sebagai sebuah tempat yang menyaksikan kelahiran tradisi diraja dan peranan pentingnya dalam sejarah negara ini. - BERNAMA

Full content generated by Get Full RSS.

Dengar pandangan perwakilan UMNO

Posted:

Dengar pandangan perwakilan UMNO

Dengar pandangan perwakilan UMNO

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

DI tingkat 38, Ibu Pejabat UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) kelmarin, suasana agak sibuk kerana persediaan untuk Perhimpunan Agung UMNO Ke-62 yang bermula 29 November hingga 4 Disember ini.

Ketua Penerangannya, Datuk Ahmad Maslan yang ditemu bual penulis memberitahu: "Ini perhimpunan agung terbesar bangsa Melayu di Malaysia tetapi ramai yang tidak menyedarinya. Sebab UMNO merupakan parti Melayu terbesar, jadi perhimpunan ini adalah perhimpunan seluruh bangsa Melayu.

"Oleh itu, kita (perwakilan) kena fikirkan agenda Melayu dalam konteks negara Malaysia yang pelbagai kaum. Apakah agenda Melayu dalam konteks gagasan 1Malaysia.

"Saya berpandangan agenda Melayu dan gagasan 1Malaysia bukanlah berlawanan. Ada beranggapan semacam gagasan ini mengetepikan agenda Melayu. Ia tidak begitu.

"Sebabnya, apabila Melayu, Cina dan India serta etnik-etnik lain mengutamakan perpaduan yang tinggi iaitu konsep bukan hanya toleransi, tetapi meraikan kepelbagaian sebagai suatu kekuatan, ia akhirnya menjadi satu manifestasi atau pun hasil yang akan menguntungkan semua bangsa," kata Ahmad kepada Utusan Malaysia.

Pastinya, kata Ahmad, tema perhimpunan kali ini akan memfokuskan pasal Pilihan Raya Umum Ke-13. Lebih-lebih lagi topik winnable candidate (calon terbaik yang boleh menang).

Namun beliau menarik perhatian perjuangan yang sangat besar UMNO dan BN itu (berkenaan menang PRU-13) bukanlah muncul secara tiba-tiba dengan dibangkit dan dibahaskan hanya pada perhimpunan kali ini. Ia sebenarnya telah pun disuakan oleh Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung UMNO 2010 lagi.

Malahan, persiapan pilihan raya telah dibuat sejak hari pertama Najib mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

Ahmad menyuakan kepada penulis petikan tujuh amanat Presiden UMNO itu berkisar PRU ke-13 pada ucapan penggulungan pada perhimpunan agung tahun lepas. Ia adalah:

1) Utamakan maruah parti, bukan kepentingan diri.

2) Pentingkan semangat berpasukan, bukan kumpulan sendiri.

3) Tawan hati, pemikiran dan keyakinan rakyat.

4) Kuasai teknologi siber dan alam maya.

5) Daftarkan 4 juta pengundi baru dan dekati mereka.

6) Selesaikan masalah dalaman, jadilah parti sifar masalah.

7) Dahulukan rakyat dalam setiap tindakan.

Menurut Ahmad, ini bererti tujuh amanat ini dijangka dibangkitkan sekali lagi oleh presiden parti. Dengan cogan kata UMNO dahulukan rakyat manakala BN pula rakyat didahulukan - dengan rakyat menjadi tumpuannya - maka selama dua tahun bermula Januari 2010, program Juara Rakyat telah pun digerakkan biro penerangan parti setiap bulan di setiap bahagian.

"Kita berada di barisan hadapan dalam segala perkara tentang rakyat, kita dengar denyut nadi rakyat, misalnya lebih 2,000 program telah dilaksanakan pada 2010, demikian juga tahun ini," katanya.

Selaku Ketua Penerangan UMNO, Ahmad percaya topik-topik berikut akan menjadi perkara penting untuk dibincangkan para perwakilan pada perhimpunan agung parti kali ini, iaitu:

1. Dasar terkini negara

- Apa pandangan perwakilan Pemuda, Wanita, Puteri dan bahagian tentang gasasan 1Malaysia. Apa yang perlu diperbaiki. Antaranya, touch point 1Malaysia yang pelbagai itu seperti PR1MA (projek perumahan rakyat), KR1M (Kedai Rakyat 1Malaysia), SL1M (Skim Latihan 1Malaysia), Klinik 1Malaysia, Biasiswa 1Malaysia, Amanah Saham 1Malaysia, Karisma (Kebajikan Rakyat 1Malaysia) dan Menu Rakyat 1 Malaysia. Ini merupakan touch point yang mana jenama 1Malaysia yang dipraktikalkan dalam bentuk produk kepada rakyat, justeru pandangan perwakilan diperlukan.

2. Dasar transformasi nasional

- Ada lima transformasi, pertama GTP (Program Transformasi Kerajaan), kedua, ETP (Pogram Trannsformasi Ekonomi), ketiga, PTP (Program Transformasi Politik), keempat, RTP (Program Transformasi Luar Bandar) dan kelima, DTP (Program Digital Malaysia). Jadi, pucuk pimpinan mahu tahu adakah mereka memahami apa itu transformasi dan maksudnya?

Maksud transformasi itu adalah perubahan besar dan adakah perubahan besar itu sampai kepada rakyat dan bagaimana untuk memperbaikinya.

3. Bajet 2012

- Ia adalah bajet yang terbaik pernah dibentangkan oleh seorang menteri kewangan. Seingat Ahmad sejak 1991, beliau secara peribadi mengikuti pembentangan bajet selaku pegawai kerajaan dan kemudian ahli politik, Bajet 2012 itu menjurus terus membantu rakyat secara langsung.

Sebelum ini bajet membantu rakyat secara tidak langsung memang banyak tetapi yang ini pula secara langsung yang mana lima anak bersekolah mendapat RM500 serta lain-lain. Semuanya ada 100 touch point dalam bajet tersebut dan ia telah disenaraikan dan akan diedarkan kepada perwakilan. Dalam kontek ini, UMNO hendak mendengar bagaimana perkara itu akan dilaksanakan. Mungkin mereka boleh berikan maklum balas.

4. Calon boleh menang

- Calon yang boleh menang itu ramai tetapi Presiden UMNO menyatakan cari yang terbaik iaitu calon yang boleh menang, yang terbaik daripada yang baik-baik itu.

Ahmad mendedahkan bagaimana 'biodata calon' sudah pun 'dikirimkan' ke ibu pejabat parti oleh individu-individu yang berkeinginan sedangkan ia adalah hak mutlak Perdana Menteri untuk membuat keputusan.

Bagi Ahmad, kalau sesiapa ingin tahu apakah difahami tentang winnable candidates oleh Perdana Menteri, cuba lihat pemilihan calon-calon pilihan raya kecil. Ini kerana sepanjang Najib menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri, calon pilihannya majoriti menang. Antaranya, di Tenang, Batu Sapi, Kerdau, Galas, Merlimau, Hulu Selangor serta semasa Pilihan Raya Negeri Sarawak April lalu.

Justeru, UMNO ingin mendengar buah fikiran para perwakilan mengenai calon yang boleh menang. Dalam aspek ini, perwakilan yang dipilih untuk berucap ada skil masing-masing. Meskipun dia kadang-kadang membahaskan usul ekonomi, pandai pula dia menyelit tentang hal-hal pilihan raya.

5. Menjayakan agenda Melayu seiring Gagasan 1Malaysia

Untuk mewujudkan agenda Melayu yang berkesan, gagasan 1Malaysia perlu dijayakan. Dan untuk memajukan bangsa Melayu, kena ada 5P iaitu pertama, 'perubahan' dari segi sikap, pandangan hidup, minda perangai serta negatif kepada positif.

Keduanya, aspek 'pendidikan' iaitu bagaimana kita tingkatkan pendidikan bangsa Melayu. Kalau kaum Cina dan India, soal pendidikan adalah nombor satu dalam hidup mereka dan mereka boleh berpakat pula dengan pelbagai parti demi untuk pendidikan anak bangsa. Namun, orang Melayu tidak begitu. Tidak berlaku pakatan UMNO dan Pas untuk kemajuan pendidikan anak Melayu.

'P' yang ketiga pula ialah soal perniagaan iaitu bagaimana bangsa Melayu boleh dipertingkatkan dari segi ekonomi. Yakni, dari segi perniagaan kecil sederhana dan besar.

Keempat dari segi 'perpaduan' iaitu perpaduan sesama kita, antara pelbagai parti, ideologi, tempat dan negeri yang bersatu untuk tujuan pembaikan. Yang kelima pula adalah soal 'politik'.

Dalam konteks ini, politik mesti terus berada di tangan BN, barulah boleh majukan orang Melayu. Kalau politik sudah tidak dipimpin oleh BN, orang Melayu akan terpinggir kerana kita tahu ada parti tertentu yang cauvinis dan hanya melihat perjuangan satu kaum sahaja.

Mengakhiri pertemuan sejam itu, Ahmad memberitahu penulis: "Tidak kisah ramai atau kecil (perwakilan), yang penting ia teratur dan bersistem sebab ini adalah perhimpunan yang terpenting dan terbesar untuk orang Melayu di negara ini."

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved