Selasa, 15 November 2011

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Semua IPT perlu sistem akreditasi yang menarik

Posted:

Semua IPT perlu sistem akreditasi yang menarik

Semua IPT perlu sistem akreditasi yang menarik


Muhyiddin Yassin dan Saifuddin Abdullah (kanan) melihat laman web Agensi Kelayakan Malaysia sewaktu majlis pelancaran Pelan Induk Pembudayaan Pembelajaran Sepanjang Hayat Peringkat Nasional 2011-2020 di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/Abdul Razak Latif


KUALA LUMPUR 14 Nov. - Semua institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan perlu mempunyai sistem akreditasi yang mampu menarik minat orang ramai yang sudah bekerja untuk menyambung pelajaran bagi menjayakan program pembelajaran sepanjang hayat.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, buat masa ini hanya Universiti Terbuka Malaysia (OUM) yang telah mengorak langkah mengadakan kerangka akreditasi sendiri dengan mengambil kira pengalaman seseorang bagi mengikuti kursus yang ditawarkan.

Menurut beliau, inisiatif seperti itu sebenarnya sudah lama dilaksanakan di negara seperti Amerika Syarikat (AS), Australia, United Kingdom (UK) serta Kanada yang dipercayai dapat merapatkan jurang perbezaan modal insan antara Malaysia dengan negara maju.

"Ini merupakan inisiatif yang dapat menggalak orang dewasa untuk terus belajar bagi tujuan peningkatan ilmu dan kemahiran dalam bidang kerja masing-masing," katanya semasa merasmi pelancaran Pelan Induk Pembudayaan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) Peringkat Nasional di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah; Presiden serta Naib Canselor OUM, Prof. Emeritus Tan Sri Anuwar Ali dan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hassan Shahabudin.

Mengulas lanjut mengenai Pelan Induk PSH, Muhyiddin berkata, penyertaan awam terhadap program itu dijangka meningkat daripada 10 peratus kepada 50 peratus bagi golongan penduduk berusia 15 tahun ke atas menjelang 2020.

Bagaimanapun jelas Timbalan Perdana Menteri, kejayaan program tersebut turut bergantung kepada akreditasi serta pengiktirafan yang diterima pada masa ini.

Sehubungan itu katanya, Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MVLK) berperanan menyelaras penilaian berdasarkan pencapaian.

Dalam perkembangan yang sama, Muhyiddin memberitahu, Malaysia memerlukan satu pelan komprehensif serta menyeluruh dengan penglibatan semua pihak bagi menjayakan hasrat kerajaan melahirkan generasi modal insan bertaraf dunia.

Tambah beliau, kerajaan meletakkan pembangunan modal insan yang kreatif serta inovatif sebagai satu agenda nasional dan untuk memastikan agenda tersebut mencapai kejayaan, ia menuntut kerjasama menyeluruh setiap peringkat umur rakyat Malaysia.

"Pelan induk ini akan memperkasa mekanisme yang telah digaris dan mempertingkatkan lagi kesedaran awam untuk menyertai pembelajaran sepanjang hayat. Malah di peringkat kerajaan sendiri, kita telah menyediakan dana bagi menyokong usaha tersebut," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Obesiti: Malaysia nombor satu

Posted:

Obesiti: Malaysia nombor satu

Obesiti: Malaysia nombor satu

KUALA LUMPUR 14 Nov. – Dewan Rakyat hari ini diberitahu Malaysia berada pada kedudukan pertama di kalangan negara-negara ASEAN dan keenam di rantau Asia Pasifik yang berhadapan masalah obesiti di kalangan penduduk.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, antara punca masalah itu adalah kerana pengambilan gula berlebihan di kalangan rakyat.

"Justeru, semua pihak perlu mengambil perhatian serius tentang isu ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Dr. Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Menyentuh isu sama Rosnah berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sendiri menyarankan pengambilan gula tambahan tidak melebihi 10 peratus atau bersamaan dengan 200 kalori daripada jumlah tenaga harian.

Sehubungan itu katanya, pengambilan gula tambahan yang disarankan untuk orang dewasa adalah tidak melebihi 10 sudu teh sehari yang bersamaan dengan 50 gram.

"Berdasarkan kajian pengambilan gula di kalangan orang dewasa pada tahun 2002 dan 2003, didapati jumlah pengambilannya mencecah 51 gram iaitu 21 gram gula pasir dan 30 gram susu pekat manis di dalam minuman.

"Jumlah minuman ini sahaja telah melebihi saranan WHO dan panduan diet Malaysia. Untuk itu Kementerian Kesihatan telah menjalankan inisiatif mengurangkan pengambilan gula melalui kempen cara hidup sihat yang dimulakan sejak 1991," katanya.

Menjawab soalan asal yang dikemukakan oleh Datuk Md. Sirat Abu (BN-Bukit Katil) Rosnah berkata, berdasarkan Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 selain daripada gula pasir, terdapat 12 bahan pemanis lain dibenar digunakan dalam makanan.

Beliau berkata, bahan pemanis itu terdiri daripada bahan pemanis semula jadi dan tiruan.

"Bahan pemanis semula jadi yang dibenarkan ialah seperti stevia, sorbitol, malitol dan mannitol manakala bahan pemanis tiruan yang boleh digunakan di dalam makanan ialah aspartame, sucralose, saccharin dan acesulfame potassium," katanya.

Beliau berkata, semua bahan pemanis tiruan yang dihasilkan secara kimia itu telah menjalani penilaian keselamatan dan disahkan selamat berdasarkan piawaian antarabangsa.

Full content generated by Get Full RSS.

KDN mesti berani bertindak

Posted:

KDN mesti berani bertindak

KDN mesti berani bertindak

Oleh YULPISMAN ASLI
utusankelantan@utusan.com.my

KOTA BHARU 14 Nov. – Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu berani mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba mencetuskan huru-hara dalam negara dengan pelbagai cara termasuk menganjurkan program Seksualiti Merdeka bagi mempromosikan budaya hidup songsang dalam masyarakat.

Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Datuk Muhammad Abdul Ghani berkata, KDN ketika ini dilihat terlalu berlembut dalam menangani isu berbangkit sehingga mencetuskan kebimbangan mengenai ketegasan kerajaan menangani masalah yang boleh mengancam keselamatan negara.

Kata beliau, sikap berlembut KDN itu akan hanya memberi muka kepada pihak terbabit untuk terus mencetuskan keadaan tidak tenteram dalam negara sama ada melalui penganjuran perhimpunan haram atau program seperti Seksualiti Merdeka.

"KDN tidak tegas mengambil tindakan kepada mereka yang cuba menghuru-harakan negara, kalau diambil tindakan tegas mereka akan takut. Ketegasan adalah penting kerana pemimpin mesti tegas dan adil. Apabila tegas dan adil tidak ada siapa yang boleh persoalkan.

"KDN mesti menjalankan tugasnya dengan tegas dan tidak membiarkan pihak yang cuba menghuru- harakan negara terus mencetuskan ancaman kepada keselamatan negara. Misalnya, apabila ditangkap mesti ada tindakan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau diminta mengulas peringatan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sempena Hari Keputeraan ke-42 baginda kelmarin yang mengingatkan rakyat agar sentiasa berwaspada, berhati-hati serta peka terhadap kemunculan iklim tidak sihat yang dicetuskan oleh anasir anti-establishment.

Baginda bertitah, anasir-anasir terbabit cuba mengubah landskap kehidupan harmoni dan damai dengan menampilkan sikap buat-buat lupa fakta sejarah 'kontrak sosial' yang telah dipersetujui bersama dengan mencetuskan isu berkaitan agama Islam, mencabar kewibawaan raja, kedudukan bahasa Melayu dan banyak lagi sebagai modal untuk meraih kepentingan diri dan kumpulan.

Mengulas lanjut peringatan Sultan Kelantan itu, Muhammad berkata, ancaman anti-establishment perlu dikekang kerana ia ibarat api yang jika tidak dikawal akan membara dan akhirnya sukar dipadamkan.

"Sikap berlembut akan melemahkan kepimpinan, itu akan mendorong lebih banyak perkara negatif berlaku, macam bapa marah anak tetapi tidak ada hukuman, anak akan buat salah lagi," katanya.

Dalam pada itu, Muhammad turut mengingatkan ahli PBTM supaya tidak terikut-ikut dengan sebarang gerakan atau anasir yang cuba merosakkan keamanan dan pembangunan ekonomi negara kerana ia bukan budaya mereka.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved