Ahad, 20 November 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Pastikan Islam tidak diganggu-gugat

Posted:

Pastikan Islam tidak diganggu-gugat

Pastikan Islam tidak diganggu-gugat

DI bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN), rakyat tetap diberi kebebasan beragama. Peruntukan untuk kaum-kaum lain beribadat tidak diketepikan malah ditambah.

BN yang diterajui UMNO menghormati corak pengamalan agama lain. Ini rekod yang dipegang sejak merdeka. Namun akhir-akhir ini, ada beberapa hal yang mencabar kesatuan pemikiran umat Islam.

Menjawab senario ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, DATUK SERI JAMIL KHIR BAHAROM percaya konsep penyatuan rakyat Malaysia bersama dalam satu gagasan masih relevan untuk terus dipraktikkan dengan pendekatan agen yang bersifat wasatiyyah atau kesederhanaan berimbang.

"Kita perlu menjadi umat contoh yang tidak lekas untuk membingkas, bangun marah dan dalam masa sama kita tidak sampai untuk menjadi pendiam, yang langsung tidak mampu memberikan sebarang teguran," kata Jamil Khir.

Beliau mengungkapkan demikian pada satu pertemuan dengan pihak media yang turut dihadiri wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL, NAZMIL NASIRUDDIN dan SHARAMEI SHAIK AHMEDULLAH di Putrajaya, Jumaat lalu.

UTUSAN: Datuk Seri fikir apakah cabaran yang ditempuh oleh umat Islam di Malaysia ketika ini?

JAMIL KHIR: Kita melihat ada beberapa hal yang mencabar kekuatan dan kesatuan umat Islam. Yang lebih besar daripada itu adalah kesatuan fikrah atau pemikiran umat Islam. Lihat soal murtad yang berlaku sehingga timbul keresahan besar umat Islam di negara ini sehinggakan rata-rata yang ambil kesimpulan wajar umat Islam bersatu di bawah satu payung untuk pertahankan akidah umat Islam sehingga lahirnya perhimpunan yang dikenali Perhimpunan Sejuta Umat.

Walaupun tak perlu bincang soal besar dan kecil tapi sudah sampai rasa ketidakpuasan hati sehingga timbulnya idea perhimpuan itu. Tetapi Alhamdullillah, umat Islam ambil hikmah pendekatan yang demokrasi. Saya lihat hasil itu dan kita mula fikir mengenainya balik.

Tetapi adakah ada usaha tertentu untuk menghukum atau mengekang pihak yang cuba memurtadkan umat Islam?

Ini kita kena ucapkan terima kasih kepada generasi dulu yang telah mewujudkan enakmen bagi menyekat mereka yang ingin memurtadkan ini. Sebenarnya telah pun wujud enakmen sejak tahun 1980 lagi.

Misalnya, beberapa negeri telah mempunyai undang-undang yang dinamakan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam. Undang-undang ini diwujudkan bertujuan untuk mengawal dan menyekat pengembangan doktrin dan kepercayaan agama bukan Islam di kalangan orang yang menganuti agama Islam demi menjamin kehormatan dan kesucian Islam.

Negeri-negeri yang telah menguatkuasakan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam ialah:

Terengganu (Enakmen Bil. 1 Tahun 1980) yang berkuat kuasa pada 1 April 1986, Kelantan (Enakmen Bil. 11 Tahun 1981) pada 1 Januari 1987, Selangor (Enakmen No.1 Tahun 1988) pada 8 Julai 1988, Melaka (Enakmen No.1 Tahun 1988) pada 1 Januari 1990 dan Kedah (Enakmen Bil. 11 Tahun 1988) yang berkuat kuasa pada 1 Oktober 1988.

Negeri-negeri lain pula ialah Pahang (Enakmen No.5 Tahun 1989) berkuat kuasa pada 1 Mac 1990, Johor (Enakmen No.12 Tahun 1991) pada 23 April 1992, Negeri Sembilan (Enakmen No.9 Tahun 1991) pada 5 April 2007 dan Perlis (Enakmen No.6 Tahun 2002) yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2007.

Apa pandangan Datuk Seri tentang isu Seksualiti Merdeka?

Ia jauh menyimpang daripada norma kehidupan manusia. Dalam erti kata lain, 'merdeka' yang saya boleh terjemahkan adalah kebebasan untuk amalan seksual seperti lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT). Kita patut cepat berganding bahu untuk mengekangnya dan bukannya menyokong atas sifat kerana mereka ini macam ditinggalkan. Sebaliknya, kita bantu bawa mereka pulang ke pangkal jalan. Bukannya memperakukan amalan mereka pula.

Realitinya, dalam Perlembagaan negara, kita tak benarkan termasuk Sekyen 377 (a),(b), (c) dan (d) yang tidak benarkan berlaku perhubungan lelaki dengan lelaki dan sebagainya yang saya nampak di hujung terowong itu adalah untuk memadamkan Seksyen 377 ini. Nanti akhirnya pula hilang sekatan perundangan dan kelak timbullah pula kebebasan yang dilaungkan oleh golongan tersebut.

Tentang soal ibadah korban haji baru-baru ini, mengapa pula ada pihak yang pertikaikan?

Soal korban ini harus semua fahami bahawa ia suatu tuntutan ibadah dalam Islam. Kita perlu menghormati antara satu sama lain. Dalam konteks agama misalnya sebelum ini tidak pernah ditimbulkan soal-soal seperti itu dan 'tertimbul' ini pun adalah kesan sebab kita umat Islam tidak bersatu.

Saya lihat konsep penyatuan dan konsep yang kita laung-laungkan selama ini iaitu Gasasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, dengan pegangan agama dijalankan secara berwasatiyyah (kesederhanaan) yang bermakna sederhana di sini bukan dalam erti kata yang tak kaya dan tak miskin ataupun tak jahat sangat. Tetapi ia dalam konteks kita berbuat sesuatu yang pengertiannya cari untuk dunia dan akhirat. Ia semacam kita nak mati esok (akhirat) dan cari untuk dunia yang seakan-akan kita akan hidup selama-lamanya.

Bagaimana pula dari segi komitmen UMNO itu sendiri untuk memastikan kedudukan Islam itu tidak diganggu-gugat?

Sejak kita merintis kemerdekaan 54 tahun lalu, ramai yang barangkali hanya mengambil sikap sambil lewa mengenai sumbangan UMNO. Kita lihat betapa parti keramat UMNO pertahankan agama ini dalam konteks negara kita Malaysia.

Sejak dahulu lagi UMNO mengambil pendekatan penuh dan hikmah. Hari ini kita punyai sebanyak 22,000 masjid dan surau di seluruh negara. Ada yang berharga RM100 juta, RM50 juta dan sebagainya. Dan sudah tentu masjid-masjid ini tidak berdiri di situ tanpa ada pihak yang merancang dan menguruskannya.

Masakan kita dapat lihat ada 14,000 imam-imam yang kita bayar bergaji secara bulanan, ada elaun untuk mereka lagi. Masakan juga kita lihat ada guru-guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang mendidik anak-anak kita sebagai modal insan pada masa akan datang. Kita bentuk dengan pendidikan agama sekali. Begitu juga dengan pendikan sekolah dan sebagainya seperti 34,000 guru KAFA telah kita gajikan. Ini merupakan usaha berterusan UMNO tanpa rasa penat dan jemu.

Demikian juga dengan kelahiran Tabung Haji (TH) yang bukan hanya terlibat sebagai entiti yang menghantar jemaah haji saban tahun sehingga mendapat pujian Kerajaan Arab Saudi, malah dunia melihat ia sebagai contoh unggul dalam melaksanakan ibadah haji.

Ini semua hasil daripada garapan kepimpinan UMNO yang menjadi tulang belakang Barisan Nasional (BN). Tabung Haji kini bergerak lebih lagi merentasi bidang ekonomi dan kini dikenali sebagai billion company dan bukannya million company. Tahun sudah sahaja kita capai keuntungan RM1.3 bilion dan beri dividen dan bonus sebanyak 5.5 peratus, ditambah 2.5 peratus untuk zakat.

Lihat pula kelahiran institusi agama yang lain seperti Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) yang ada Ar-Rahnu (pajak gadai berasaskan syariah) yang menerajui gadaian Islam sehingga boleh beri keuntungan kepada penyimpannya dan pemegang sahamnya. Ini merupakan sistem yang menjadi contoh kepada dunia luar.

Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Utusan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp

Full content generated by Get Full RSS.

Masa bersama Presiden UMNO

Posted:

Masa bersama Presiden UMNO

Masa bersama Presiden UMNO

Oleh AZMAN ANUAR
rencana@utusan.com.my

Pandangan Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam wawancara Mingguan Malaysia semalam menarik untuk UMNO melaksanakan muhasabah dan menilai apakah yang telah parti terbesar orang Melayu dan bumiputera itu lakukan untuk memenangi hati dan memahami denyut nadi rakyat.

Terkaan Tun Dr. Mahathir mengatakan bahawa ramai ketua bahagian UMNO yang tidak dipilih menjadi calon akan melakukan sabotaj adalah sekadar peringatan yang diberikan oleh pemimpin agung itu.

Kedudukan sekarang memang agak kritikal kepada UMNO dalam menghadapi pilihan raya umum yang bakal diadakan pada bila-bila masa.

Semua ahli UMNO sekarang perlu merapatkan barisan termasuk Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO serta parti-parti dalam komponen Barisan Nasional (BN).

Pada masa sekarang semua masalah dan rungutan rakyat harus diselesaikan dengan cekap serta berkesan. Buatlah apa saja supaya pengundi senang dengan UMNO dan BN. Pengundi di Malaysia paling pantang jika janji tidak ditunaikan.

Orang UMNO kenalah ambil peduli, ambil tahu apa yang berlaku di kawasan masing-masing. Adakan aktiviti bersama masyarakat dalam membanteras jenayah, membasmi kemiskinan tegar, membantu sewaktu bencana banjir, membantu orang kurang upaya, ibu tunggal, warga emas dan berkempen rumah ke rumah.

Tidak terkata pemimpin keluarga yang miskin apabila rumah yang bocor digantikan atapnya, lantai yang reput ditukar baru dan anak yang ramai dibantu belanja persekolahannya. Inilah contoh tradisi membela rakyat yang mesti sentiasa diperhebatkan oleh UMNO.

Pendekatan berkenaan akan memastikan kemenangan UMNO dan BN dalam pilihan raya umum akan datang.

Satu perkara yang amat penting apabila seseorang menyertai UMNO ialah bertanya kepada diri sendiri apakah yang boleh diberi kepada UMNO dan bukannya apa yang dapat diperoleh daripada UMNO.

Tetapi segelintir yang masuk parti ini untuk menjadikan UMNO sebagai batu loncatan bagi meraih projek dan jawatan tinggi supaya dapat kumpul kekayaan.

Sebab itu ramai yang cuba bertanding merebut jawatan dalam parti kerana percaya mereka boleh mendapat 'keuntungan besar' dari segi pengaruh politik dan ekonomi. Nilai-nilai pemimpin UMNO begini bukan sahaja merosakkan parti tetapi juga boleh menghancurkan masa depan dan nilai-nilai bangsa Melayu sendiri.

Jangan terlampau fikir hendak menjadi calon, maka ke hulu ke hilir bawa profil peribadi. Semua pemimpin UMNO sama ada dipilih atau tidak sebagai calon pilihan raya umum kena sama-sama berjuang mengangkat maruah agama, bangsa dan negara dengan hati yang ikhlas.

Sebagai pemimpin, mereka perlu tunjukkan teladan yang baik sekiranya mahu melihat UMNO menang pada pilihan raya umum, buanglah sifat-sifat yang buruk - sabotaj calon, tutup bilik gerakan, dan perkara-perkara yang menjejaskan parti.

Ahli-ahli UMNO juga kena meletakkan nilai kesetiaan kepada parti sebagai perkara paling utama bagi mengukuhkan perpaduan dan kedudukan parti dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Ingatlah jangan terlampau leka. Walaupun pakatan pembangkang menghadapi kemerosotan pengaruh sekarang, UMNO tidak boleh bergantung di atas kelemahan DAP, PKR dan Pas sebaliknya perlu bekerja keras dan membina kekuatan sendiri untuk menghadapi pilihan raya akan datang.

Pengalaman lalu telah membuktikan kemerosotan sokongan kepada UMNO bukan kerana parti lawan kuat tetapi kerana masalah dalaman parti. Masalah dalaman sekiranya gagal dibendung, tidak mustahil beberapa kerusi UMNO akan tewas dalam pilihan raya umum akan datang. Sebagai mana ditegur oleh Tun Dr. Mahathir, banyak orang Melayu menjauhkan diri daripada UMNO kerana ramai pemimpin parti di bahagian dan sayap-sayap UMNO tidak melaksanakan tugas seperti yang diharapkan oleh rakyat dan pucuk pimpinan UMNO sendiri.

Mereka dilihat berbalah sesama sendiri. Jika UMNO dilihat sebagai sebuah parti yang tidak dapat mengukuhkan perpaduan dan persefahaman, maka pasti rakyat akan hilang keyakinan dan ini sudah tentu mendatangkan kesan sewaktu pilihan raya kelak.

Oleh itu jika UMNO dapat menghapuskan persengketaan atau masalah dalaman maka parti itu akan kuat. Jadi ahli-ahli UMNO sekarang perlu memastikan UMNO kuat untuk menang pilihan raya dan BN terus berkuasa di tanah air ini.

Pada mata rakyat khususnya orang Melayu yang semakin sensitif sekarang, UMNO perlu dilihat kukuh, mantap dan meyakinkan sama ada luaran mahupun dalaman.

Menurut penganalisis politik, Prof. Dr. Mohd. Zainul Fithri Othman, kini adalah masa untuk bersama-sama dengan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Presiden parti itu telah melakukan pelbagai transformasi politik, transformasi psikologi dan transformasi metodologi dalam memperkasakan rakyat. Sama ada rakyat merasanya atau menjiwainya itu terpulang kepada rakyat.

"Namun sebagai ahli UMNO, tidak kisah apa jua jawatan dipegang, semuanya mesti berada di belakang Presiden UMNO untuk menjaminkan kemenangan yang besar pada pilihan raya yang mendatang ini," kata Mohd. Zainul Fithri, Naib Presiden Industri dan Perhubungan Organisasi, Management & Science University (MSU).

Untuk menunjukkan kebersamaan itu, kata beliau, maka gerakan hendaklah diatur dengan terperinci. Suara-suara sumbang dalam kalangan ahli UMNO sendiri hendaklah dihentikan sama ada di dalam blog mahupun di Facebook yang berleluasa kini.

"Presiden telah berhempas pulas memberikan kesedaran dan jaminan kepada rakyat bahawa UMNO akan tetap membela rakyat bukan hanya Melayu tetapi semua rakyat di negara ini.

"Keikhlasan beliau dalam Bajet 2012 ini terbukti bahawa Presiden UMNO ikhlas dalam perjuangannya memartabatkan rakyat. Namun, pada ahli yang lain, yang memegang jawatan kecil sehingga pucuk pimpinan pusat hendaklah membantu Presiden parti," kata beliau.

Pengarah Institut Kepimpinan dan Keusahawanan MSU ini juga berpendapat, Najib tidak boleh melakukan bersendirian. Sekarang beliau dilihat bergerak bersama Timbalan Presiden UMNO, Tan sri Muhyiddin Yassin, namun yang lain hanya menunggu dan melihat sahaja.

Mohd. Zainul Fithri berkata, pemimpin UMNO semua peringkat harus memberi sokongan dan dokongan kepada Presiden dan Timbalan Presiden. Berikanlah kepercayaan sepenuhnya kepada setiap tindakan yang mahu diambil oleh Najib dan Muhyiddin.

"Pengkukuhan kepada kepercayaan dan keyakinan ini perlu supaya Presiden UMNO boleh melakukan transformasi politik dengan tenang. Hentikanlah tabiat ugut-mengugut terhadap pucuk pimpinan kerana ini hanya akan menghancurkan bangsa Melayu dan rakyat yang dibela amnya. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh," katanya.

Mohd. Zainul Fithri menegaskan, UMNO harus bersatu, berani dan akan menjadi kuat jika paksi perjuangannya benar dan jelas.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved