Isnin, 19 September 2011

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Komitmen penduduk dihargai

Posted:

Komitmen penduduk dihargai

Komitmen penduduk dihargai

Oleh NORIZAN ABDUL MUHID
utusanmelaka@utusan.com.my


MOHD. Ali Rustam turut serta berarak bersama pelajar sekolah dan penduduk Kuala Sungga di Alor Gajah, Melaka, semalam.


ALOR GAJAH 18 Sept. - Kerajaan negeri menghargai komitmen masyarakat luar bandar khususnya penduduk Kampung Kuala Sungga di sini yang sejak 10 tahun lalu menganjurkan pelbagai program bagi meraikan sambutan Bulan Kemerdekaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, walaupun penduduk di kawasan itu jauh dari pusat bandar dan kurang menikmati pembangunan, namun golongan terbabit tetap bersemangat meraikan Hari Kemerdekaan negara.

Menurutnya, usaha penduduk luar bandar itu membuktikan mereka prihatin dan sentiasa memberi sokongan serta menyahut seruan kerajaan untuk bersama-sama menjayakan sambutan tersebut.

"Kerajaan negeri amat menghargai komitmen dan syabas kepada pemimpin masyarakat, wakil rakyat, sekolah, pertubuhan belia terutama penduduk luar bandar dan kampung-kampung kerana menjayakan program sambutan dengan penuh meriah," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap merasmikan Perbarisan Hari Kebangsaan, Perayaan 1Malaysia dan Jamuan Hari Raya Kuala Sungga, Tebong di sini hari ini.

Seramai 800 penduduk sekitar Kampung Kuala Sungga yang terdiri daripada warga emas, kanak-kanak, pelajar dan kakitangan awam serta swasta terlibat menyertai program yang menyediakan pelbagai aktiviti termasuk menganjurkan perbarisan Hari Kebangsaan yang dimenangi Sekolah Agama Jabatan Agama Islam (JAIM) Tebong.

Mohd. Ali gembira kerana semakin banyak kawasan luar bandar dan kampung menganjurkan pelbagai program bagi memeriahkan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-54 tahun ini.

Beliau berkata, kemerdekaan yang dikecapi harus disyukuri oleh setiap lapisan masyarakat di negara ini kerana sepanjang tempoh 500 tahun lalu, negara ini berada di bawah belenggu Portugis, British, Belanda dan Jepun.

Menurut beliau, tanpa kemerdekaan, kemajuan dan keamanan yang dikecapi hari ini tidak akan dinikmati oleh rakyat dan ia sewajarnya dihargai dengan menjadi warganegara yang baik.

Katanya, kemajuan yang dinikmati negara sejak mencapai kemerdekaan tidak akan kekal tanpa sokongan rakyat yang bersama-sama berusaha untuk mengembangkan kemajuan yang dicapai hari ini.

2,000 suku Mandailing berhimpun sempena Hari Raya Aidilfitri

Posted:

2,000 suku Mandailing berhimpun sempena Hari Raya Aidilfitri

2,000 suku Mandailing berhimpun sempena Hari Raya Aidilfitri

JELEBU 18 Sept. - Lebih 2,000 orang berketurunan suku kaum Mandailing dari seluruh negara berkumpul memeriahkan Sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Perhimpunan Anak-Anak Mandailing Malaysia di Kampung Kerangai di sini semalam.

Program julung kali anjuran Persatuan Halak Mandailing Malaysia itu dihadiri oleh pelbagai lapisan umur suku kaum tersebut yang datang dari seluruh tanah air, kebanyakannya dari negeri ini, Perak, Selangor dan Kuala Lumpur selain sebahagian dari Kedah, Pahang, Johor serta Melaka.

Sambutan turut dimeriahkan dengan kehadiran beberapa tetamu kenamaan seperti Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Abdul Razak Mansor dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Yunus Rahmat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kampung Baru dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Siow Chen Pin yang juga ADUN Chennah dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias.

Hadir sama memeriahkan majlis ialah Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri, Baharudin Jali serta Datuk Tamimi Siregar selaku Penasihat Persatuan Halak Mandailing Malaysia.

Kemuncak perhimpunan tersebut menyaksikan upacara adat menyarung selimut kepada tetamu kehormat sebagai simbolik bagi mengucapkan penghargaan, sejahtera dan syukur di atas kehadiran mereka ke majlis tersebut.

Presiden persatuan berkenaan, Ramli Abdul Karim Hasibuan ketika berucap berkata, beliau amat bersyukur serta berterima kasih di atas sokongan dan kehadiran anak-anak Mandailing seluruh negara yang sanggup datang dari jauh bagi menjayakan perhimpunan tersebut.

''Objektif penganjuran majlis ini adalah bagi mengumpul serta mengeratkan silaturahim antara anak-anak Mandailing di seluruh negara.

''Sokongan padu dan kehadiran saudara saudari ke majlis ini bertepatan dengan slogan persatuan untuk 'Mempertemukan Yang Berpecah, Menghimpunkan Yang Terpisah," katanya.

Dalam pada itu, Ramli turut memberitahu, satu lagi perhimpunan peringkat kebangsaan bagi zon utara akan diadakan di Ayer Tawar, Perak pada 24 September ini.

40 murid terpilih sertai Misi Angkasawan Cilik

Posted:

40 murid terpilih sertai Misi Angkasawan Cilik

40 murid terpilih sertai Misi Angkasawan Cilik

MELAKA 18 Sept. - Seramai 40 murid dari 20 sekolah rendah di negeri ini terpilih mengikuti program Misi Angkasawan Cilik yang berlangsung di Planetarium Melaka, Ayer Keroh di sini selama enam minggu bermula semalam.

Pengerusi Pengelola program itu, Zamzam Mohamed berkata, mereka yang berusia 10 dan 11 tahun merupakan murid terbaik dari sekolah masing-masing.

Menurutnya, dalam tempoh enam minggu sehingga 23 Oktober ini, peserta akan didedahkan dengan ilmu sains dan teknologi angkasa lepas, sistem solar dan planet serta rakaman video mengenai cakerawala.

"Pelbagai program ilmiah telah kita atur untuk mereka antaranya akan didedahkan kepada konsep sains dan teknologi angkasa lepas, matematik serta membawa mereka menghayati alam cakerawala melalui video yang terdapat di planetarium ini," katanya ketika berucap pada program Misi Angkasawan Cilik di Planetarium Melaka di sini semalam.

Katanya, objektif utama program itu diadakan adalah untuk memupuk minat murid terhadap sains angkasa lepas selain menanam rasa tanggungjawab menentang sebarang bentuk pencemaran di muka bumi ini serta melahirkan insan yang cintakan alam sekitar.

"Dalam program ini murid bukan sahaja didedahkan kepada audio dan visual mengenai penerokaan angkasa lepas yang menyeronokkan malah boleh menanam sikap cintakan alam sekitar dalam diri setiap murid," katanya.

Menurutnya, selepas tamat program berkenaan, murid terbabit akan diraikan dalam satu majlis graduasi yang dijangka berlangsung pada bulan Mac atau April tahun depan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved