Isnin, 19 September 2011

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Kehidupan unik George dan Lori

Posted:

Kehidupan unik George dan Lori

Kehidupan unik George dan Lori


KETIKA dilahirkan doktor meramalkan George (kiri) dan Lori Schappell tidak mampu hidup hingga usia 30 tahun.


KETIKA dilahirkan, pakar-pakar perubatan meramalkan pasangan kembar Siam George dan Lori Schappell tidak akan mampu hidup hingga usia 30 tahun.

Tetapi pada Ahad lalu, pasangan yang bercantum di kepala itu meraikan ulang tahun ke-50 yang menjadikan mereka sebagai kembar bercantum paling tua di dunia.

Mereka berkongsi 30 peratus tisu depan otak dan beberapa saraf penting yang bermakna tidak boleh dipisahkan melalui pembedahan.

Sempena sambutan ulang tahun kelahiran itu, mereka yang berasal dari Pennsylvania, Amerika Syarikat telah dibawa melancong ke London.

Apa yang menakjubkan, biarpun dilahirkan sebagai kembar Siam yang bercantum di kepala, kedua-duanya tetap menjalani kehidupan berbeza.

Lori misalnya pernah menjalin hubungan dengan lelaki dan George yang pada awalnya dinamakan Dori - memilih untuk hidup sebagai lelaki.

Lori juga merupakan juara dalam sukan boling dan George sering melakukan persembahan muzik country.

"Ketika kami dilahirkan, para doktor meramalkan hayat kami tidak mampu menjangkau 30 tahun. Kami buktikan mereka salah," kata Lori.

Katanya, pada usia 50 tahun, banyak yang mereka belajar dan akan terus menikmati hidup sepenuhnya.

Lori yang memiliki ketinggian lima kaki satu inci dilahirkan dengan tubuh badan yang sempurna. Sementara George yang hanya empat kaki empat inci menderita masalah belakang yang dikenali sebagai spina bofida yang menjejaskan pergerakannya.

George tidak boleh berjalan. Dia hanya duduk di atas kerusi roda khas yang akan ditolak oleh Lori. Dengan itu, kedua-duanya boleh bergerak bersama-sama.

"Kebanyakan orang tidak percaya kami mempunyai kehidupan yang normal. Kami melancong, mengemaskan kediaman kami malah Lori ada mempunyai teman lelaki. Tidak ada apa yang boleh menghalang kami melakukan apa yang kami mahu," kata George.

Mahkamah ketika itu memutuskan ibu bapa pasangan kembar itu tidak akan mampu memelihara kedua-duanya dengan sempurna lalu mereka diletakkan di bawah jagaan institusi yang majoriti pesakitnya menderita masalah mental. Sedangkan kembar berkenaan tidak berhadapan dengan masalah tersebut.

"Tidak ada apa yang tidak kena dengan kami selain daripada fizikal. Tetapi orang tidak tahu yang sebenarnya, kami lebih baik.

"Kami belajar menjadi diri sendiri sejak dari usia muda dan mendapat keputusan cemerlang ketika di sekolah," ujar Lori.

Apabila berusia 21 tahun, kembar itu telah mengambil tindakan undang-undang terhadap institusi terbabit supaya Lori boleh belajar di sebuah kolej kesetiausahaan - dan mereka menang.

"Kami kena buktikan yang kami boleh hidup sendiri dan akhirnya kami dibenarkan hidup bebas. Sekarang kami memiliki sebuah flat dua bilik dan setiap malam kami bergilir-gilir tidur di bilik masing-masing.

"Bilik saya lebih lebih kewanitaan dan mencerminkan personaliti saya. Sementara bilik George penuh dengan poster muziknya," jelas Lori.

Kembar tersebut bukan sahaja perlu berhadapan dengan kekurangan sejak lahir tetapi George turut merahsiakan penderitaannya yang tersendiri daripada kembarnya itu.

Kata George: "Sejak kecil saya tahu saya sepatutnya menjadi lelaki. Saya suka bermain dengan kereta api mainan dan benci pakaian perempuan yang dikenakan pada saya. Saya menyimpan keinginan untuk seks yang berbeza ini termasuk dari Lori selama bertahun-tahun."

Bagaimanapun kira-kira empat tahun lalu George menjelaskan apa yang diinginkan dan namanya ditukar dari Dori kepada nama sekarang dan hidup sebagai lelaki.

"Ia sangat sukar. Tetapi saya semakin tua dan saya tidak mahu hidup dalam penafian. Saya perlu menjalani hidup seperti mana yang saya inginkan," ujar George.

Dia bagaimanapun tidak menjalani pertukaran jantina, tetapi berpakaian dan memperkenalkan dirinya sebagai lelaki.

Bagi Lori, perubahan yang berlaku memang sesuatu yang mengejutkan.

"Tetapi saya bangga dengannya. Ia merupakan satu keputusan yang besar tetapi banyak yang telah dilalui dan diatasi dalam hidup kami. Kami kuat sebagai satu pasukan," kata Lori.

Selepas tamat pelajaran di kolej, Lori bekerja di bilik cucian sebuah hospital. Ketika dia bekerja, George akan membaca atau mendengar muzik.

Pada tahun-tahun 90-an George turut berjaya dalam kerjaya sebagai pemuzik dan pernah memenangi Anugerah Muzik LA untuk artis country terbaik.

Kata Lori: "Hidup saya ia bekerja dalam bilik cucian, sementara kerjaya George membawa kami mengembara ke serata dunia termasuk melakukan persembahan di Jepun dan Eropah.

"Ia satu perbezaan yang ekstrem. Tetapi kami saling menyokong satu sama lain sepanjang masa."

Bagi orang yang tidak biasa, mereka terpesona dengan kehidupan pasangan kembar bercantum yang paling tua di dunia itu. Mereka sering di sapa dan ditanya tentang bagaimana menjalani kehidupan seharian.

Pasangan kembar itu cukup terkenal. Mereka sering muncul di televisyen dan kerap terbabit dalam program-program dokumentari termasuk rancangan Nip/Tuck. - The Sun UK

Koleksi antik Pak Akob

Posted:

Koleksi antik Pak Akob

Koleksi antik Pak Akob

Rencana dan Gambar NORZAINURA ABDUL MAJID


Mohd. Saupi Salim (tiga dari kiri), bersama rakan-rakan yang turut berminat mengumpul barangan antik di Batu Pahat, Johor, baru baru ini.


SEBAIK sahaja kaki melangkah masuk ke dalam rumahnya, rasa teruja dan kagum melihatkan pelbagai koleksi menarik tersusun kemas di setiap sudut rumah ibarat berada dalam mini muzium yang menyimpan pelbagai barangan klasik.

Tetapi rumah teres yang tidak mempunyai ruang yang besar tidak memungkinkan keseluruhan koleksi barangan dapat dikumpul dan dipamerkan dalam satu tempat yang lebih tersusun.

Beliau tidak lokek untuk berkongsi pengalaman dan memberi penerangan tentang barangan yang dimilikinya kepada sesiapa sahaja yang bertandang ke rumah.

Siapa sangka hobinya mengumpul pelbagai barangan antik sejak 25 tahun lalu akhirnya mencetuskan idea menarik untuk membuka sebuah muzium agar kesemua koleksinya dapat ditonton oleh umum.

Bermula dengan barangan permainan kanak-kanak seperti botol susu yang diperbuat daripada kaca, pelbagai permainan dari luar negara juga perabot serta beratus basikal yang masih disimpan dengan baik menjadikan Mohd. Saupi Salim, 54, atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Akob sebagai salah seorang daripada 500 pengumpul barangan antik dan permainan kanak-kanak terbesar di Asia.

Menurut Pak Akob, dia mula serius mengumpul barangan antik sejak 15 tahun lalu dan menjadikannya sebagai hobi sekeluarga. Semua anak-anaknya turut mempunyai hobi yang sama dan menjaga dengan baik koleksi yang dimiliki.

Pak Akob yang juga seorang usahawan berharap impiannya akan menjadi kenyataan kerana koleksi barangan yang dimilikinya sudah tiada lagi di pasaran sekarang dan tentunya dapat menarik orang ramai untuk melihatnya.

''Saya dapat idea untuk mengumpulkan barangan ini dalam sebuah muzium kerana ingin orang ramai turut serta melihat dan mengetahui tentang berangan tersebut sekali gus merancakkan industri pelancongan di negara kita," jelasnya yang telah menubuhkan sebuah syarikat iaitu Museum Collections Sdn. Bhd.

Antara koleksi terbaik yang beliau miliki ialah paddle car pelbagai jenis keluaran tahun 1925 hingga 1980. seperti kereta bomba, keretapi, jeep serta bot yang diperbuat daripada besi dan kayu.

Tambahnya lagi paddle car tersebut berjenama Austin, Jaguar, Coachbuit dan Bugatti yang berharga antara RM500 hingga RM5,000. Manakala permainan kanak-kanak daripada tin (tintoys) yang kebanyakannya dari England dan Jepun yang dibeli dengan harga RM50 hingga RM1,500.

''Kesemua barangan itu ada lebih kurang 300,000 koleksi termasuk pelbagai barangan dari jenama Coke," jelsnya ketika ditemui dikediamannya di Kampung Tengah Muar, baru-baru ini.

Selain barangan permainan, Pak Akob juga mempunyai lebih 200 buah basikal kanak-kanak untuk usia tiga hingga lima tahun yang dipanggil bone shaker yang berharga antara RM1,000 hingga RM3,000 sebuah dan paling berharga beliau mempunya koleksi basikal kanak-kanak keluaran pertama dunia.

Beliau turut memiliki 400 koleksi basikal kanak-kanak keluaran tahun 1900 hingga 1970 jenama Tricycle, Tri-Ang dan Mobo yang berharga antara RM500 hinga RM2,500.

''Saya juga mempunyai koleksi basikal antik bersaiz 18 kaki hingga 28 kaki dari jenama Bsa, Triumph, Sunbeam, Norton, Royal Enfield dan Rudge berharga antara RM800 hingga RM5,000 sebuah," ujarnya.

Pak Akob juga mempunyai tujuh buah basikal Big Wheel atau nama lainnya iaitu Panny-Farthing dan Ordinary keluaran tahun 1880 dan awal tahun 19 dengan harga RM2,500 hingga RM5,000 sebuah.

Menurut Pak Akob, bukan mudah untuk mendapatkan koleksi barangan tersebut yang ada antaranya telah berusia lebih satu abad dan berada dalam keadaan baik serta dijaga dengan rapi.

Tambahnya lagi setakat hari ini kesemua koleksi barangan antiknya bernilai RM3.5 juta termasuk pelbagai perabot antik yang kebanyakannya berasal dari negeri Cina, peninggalan kaum peranakan Baba dan Nyonya juga perabot buatan England.

''Melihat kesemua koleksi saya tersusun kemas dan berada dalam keadaan baik saya berasa puas, justeru saya berhasrat untuk membuka sebuah galeri atau muzium yang boleh menempatkan kesemua koleksi yang saya ada untuk tatapan umum," jelasnya bangga.

Pak Akob menambah, dia telah menubuhkan syarikat berkenaan bersama rakan kongsinya Profesor Dr. Roland Ong yang merupakan seorang pengumpul kamera terbesar di Asia dan muzium itu akan bertemakan Historic Photo and Toy Tourism.

Negeri Melaka merupakan tempat yang dianggapnya sesuai untuk membuka muzium berkenaan kerana ia negeri bersejarah dan barangan yang dimilikinya juga mempunya sejarah yang tersendiri.

Buat masa ini katanya, sebuah panggung wayang lama di tengah bandaraya Meaka telah dikenal pasti untuk dijadikan muzium dan rundingan dengan pihak kerajaan negeri Melaka sedang dilakukan.

''Saya yakin muzium itu bakal mencatat satu lagi sejarah buat negeri Melaka khasnya, dan Malaysia amnya kerana ia akan menjanjikan kelainan," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved