Selasa, 2 Ogos 2011

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Jagung Taiwan 18 berkualiti

Posted:

Jagung Taiwan 18 berkualiti

Jagung Taiwan 18 berkualiti

Oleh ABDUL RAZAK DIN
utusanperak@utusan.com.my


Ismail Mohamed (tengah) dan Zambry Abdullah (kiri) bersama pengusaha tanaman jagung Taiwan 18 yang berkualiti tinggi dan mampu memberi pulangan lumayan kepada mereka di Kampung Temin, Sungai Siput, semalam.


SUNGAI SIPUT 1 Ogos - Sungai Siput berpotensi untuk tanaman jagung kerana selain mempunyai kesuburan tanah yang sesuai untuk komoditi berkenaan, kawasan ini juga terdapat banyak aliran sungai untuk tujuan perairan.

Kawasan ini juga didapati sesuai untuk jenis Taiwan 18, yang kini mendapat permintaan tinggi dan boleh mendatangkan pulangan yang baik.

Seorang pesara kerajaan, Ismail Mohamed, 59 berkata, melalui penanaman jagung jenis Taiwan 18 ia mampu menghasilkan pendapatan sehingga RM15,000 hanya dalam tempoh 45 hari.

Beliau berkata, dengan mengusahakan kira-kira empat hektar tanaman jagung Taiwan 18 ia mampu memberikan pendapatan terbaik dengan syarat ia perlu dilakukan dengan menggunakan teknologi pertanian moden.

Katanya, dengan keluasan itu ia mampu menghasilkan kira-kira empat lori tongkol jagung bagi satu-satu musim dan sehingga kini beliau mengusahakan sebanyak enam musim jagung Taiwan 18 dengan modal sendiri.

''Setiap pokok akan mengeluarkan sebanyak dua tongkol jagung yang baik dan ia kini mendapat permintaan dari luar khususnya dari pemborong.

''Kini setiap tongkol jagung boleh dijual dari ladang mengikut gred tertinggi dengan harga antara 60 sen hingga 80 sen setongkol dan ia semakin mendapat permintaan khususnya di Cameron Highlands.

''Selain itu pokok jagung yang sudah dituai itu juga boleh dijual untuk makanan ternakan," katanya.

Selain jualan segar, jagung akan menjadi bahan mentah untuk projek industri hiliran seperti makanan dan minuman. Pada masa yang sama, batang jagung pula boleh dikitar atau diproses bagi menghasilkan silage untuk makanan ternakan.

Silage adalah makanan ternakan terutama lembu yang dihasilkan menerusi proses kitar semula pokok jagung lepas tuai, di mana proses itu mengambil masa 21 hari, sementara silage boleh disimpan sehingga 12 bulan.

Berasaskan teknologi moden, setiap 0.4 hektar boleh memuatkan 15,000 pokok jagung semusim dan ia boleh dipetik dalam tempoh 45 hingga 50 hari.

Ismail berkata, beliau menggunakan hampir 20 kilogram benih jagung untuk tanaman seluas empat hektar itu.

Katanya, benih-benih tersebut boleh didapati di pasaran dengan harga yang begitu berpatutan.

''Saya dapati margin keuntungan bagi tanaman jagung ini ialah sebanyak 30 hingga 40 peratus," katanya.

Ketika ditanya tentang jumlah dimodal yang diperlukan bagi tanaman jagung seluas empat hektar, beliau berkata, beliau membelanjakan hampir RM30,000 untuk membeli peralatan tanaman seperti jentera dan rumah penyedut air, paip dan input-input pertanian.

''Saya bernasib baik kerana berhampiran dengan ladang jagung ini terdapat aliran sungai yang cantik untuk memudahkan menjalankan pengairan terutama pada musim panas.

''Di samping itu, saya banyak menggunakan baja asli berasaskan tahi kambing yang sesuai untuk tanaman ini di samping kosnya yang agak murah," katanya.

Ismail bagaimanapun berkata, apa yang menjadi masalah kepadanya sekarang ialah

kenaikan harga yang tinggi input lain seperti baja pertanian dan racun yang amat diperlukan untuk pembesaran dan ketahanan pokok.

''Oleh itu, saya merayu kepada kerajaan khususnya Jabatan Pertanian untuk memberikan subsidi baja kepada pengusaha jagung sepertinya kerana ia dapat mengurangkan kos penanaman," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Zambry Abdullah merayu kepada kerajaan supaya memberikan baja subsidi kepada pengusaha tanaman jagung.

''Ini membolehkan mereka menikmati kos pertanian yang berpatutan," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

300 berhimpun secara aman

Posted:

300 berhimpun secara aman

300 berhimpun secara aman

Oleh OPAT RATTANACHOT
uspetani@utusan.com.my


SEBAHAGIAN penduduk membuat bantahan lokasi pasar Ramadan yang terletak berhampiran rumah mereka di Taman Anggerik, Kulim, kelmarin. - UTUSAN/OPAT RATTANACHOT


KULIM 1 Ogos – Lebih 300 penduduk Taman Anggerik di sini mengadakan perhimpunan aman semalam membantah tindakan Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) membenarkan pembukaan bazar Ramadan yang bagi mereka terlalu hampir dengan kawasan perumahan itu.

Bazar tersebut dikatakan tidak sesuai berbanding tapak lama yang terletak di pekarangan Masjid Attaufiq, Kampung Air Merah di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Taman Anggerik, Mohd. Nor Afandi Harun berkata, tindakan MPKK memberi kelulusan lokasi baharu itu amat mengecewakan bukan sahaja penduduk malah pihak masjid.

Katanya, kedudukan tapak bazar Ramadan yang baru itu juga dikatakan kurang sesuai kerana menghalang laluan pengguna jalan raya untuk keluar dan masuk ke kawasan perumahan itu.

"Penduduk telah beberapa kali menemui pihak pentadbiran MPKK untuk berbincang, namun tidak membuahkan hasil," katanya yang mengetuai perhimpunan itu.

Nor Afandi berkata, para penduduk tidak berniat menghalang punca rezeki para peniaga bazar Ramadan terbabit.

"Kami hanya mahukan hak iaitu kawasan perumahan tidak diganggu gara-gara kesesakan yang terlalu hampir dengan rumah," katanya.

Beliau berkata, penduduk juga bimbang dengan keselamatan mereka kerana kedudukan bazar yang kurang sesuai boleh mengundang kemalangan.

"Adalah lebih wajar bazar ini dikekalkan di tapak lama yang terletak bukannya jauh pun iaitu kira-kira 200 meter dari Taman Anggerik," katanya.

Sementara itu, Bendahari Jawatankuasa Kariah Masjid Attaufiq, Datuk Mokhtar Md. Isa berkata, sebelum ini pihaknya menguruskan tapak bazar Ramadan di kawasan pekarangan masjid.

"Kami mengenakan bayaran sewa tapak dengan kadar berpatutan. Selain itu, hasil yang dikutip itu dianggarkan berjumlah RM2,000 setiap tahun dan disalurkan sepenuhnya untuk tabung pentadbiran masjid," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Nuget buah juadah berbuka, sahur

Posted:

Nuget buah juadah berbuka, sahur

Nuget buah juadah berbuka, sahur


YUSLIZA Md. Yusoff menunjukkan kuah spageti sejuk beku yang dibuatnya semasa ditemui di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, baru baru ini. – UTUSAN/Sazali Che Din.


BUKIT MERTAJAM 1 Ogos – Menyedari khasiat dan keenakan buah-buahan tempatan, seorang ibu tunggal di Kampung Pelandok Jatuh dekat sini tampil dengan idea ciptaannya, iaitu nuget buah sejuk beku.

Menurut Yusliza Mohd. Yusoff, 33, idea itu timbul hasil galakan mentornya, Chef Sazali Ismail untuk mempelbagaikan lagi makanan berasaskan buah-buahan dan memberi sesuatu yang baru kepada penggemar buah-buahan tempatan.

Jelasnya, antara buah yang sesuai dibuat nuget adalah sukun, nangka, ubi keledek, labu merah, sengkuang, pisang dan nanas serta dicicah dengan sos vanila istimewa ciptaannya.

"Pada masa ini saya belajar di bawah Program Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal di Akademi Kulinari Seni Makmur di Bertam dekat Kepala Batas yang dianjurkan Jabatan Pembangunan Wanita Pulau Pinang.

"Di situ, Chef Sazali memberi galakan kepada saya mencuba resipi nuget buah yang dikatakan mula diperkenalkan di Melaka dan Sarawak sejak tahun lalu," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di sini, baru-baru ini.

Menurut Yusliza, apa yang membuatkan nuget itu istimewa adalah ia menggunakan 100 peratus buah- buahan segar dan dimakan bersama sos vanila.

Nuget itu kini mendapat permintaan menggalakkan di sekitar Permatang Pauh, Bukit Mertajam dan Bandar Perda serta mampu dijual sehingga 30 paket sehari.

"Kini saya hanya memproses nuget secara kecil-kecilan di rumah dan dipasarkan melalui rakan-rakan serta diiklankan di laman sosial Facebook.

"Bapa saudara saya yang bertugas di Hospital Bukit Mertajam turut membantu memasarkan nuget ini di kalangan petugas hospital dan ia mendapat sambutan yang menggalakkan," ujarnya.

Harga jualan nuget berkenaan juga amat berpatutan iaitu RM6.50 untuk 200 gram bagi buah nangka, manakala buah-buahan lain dijual dengan harga RM5 untuk 300 gram.

Yusliza berkata, selepas berhenti kerja sebagai pembantu kafeteria di sebuah kilang di Perai beberapa bulan lalu, itulah punca pendapatannya untuk menyara tiga anak yang masih bersekolah iaitu Siti Ainul Hayat Mohd. Fauzi, 12; Muhammad Farhan Zuhairi, 11 dan Muhammad Irfan Zuhaili, 10.

Selain nuget, satu lagi resipi istimewa hasil ciptaan Yusliza adalah sos spageti dan pasta sejuk beku yang dihasilkan menggunakan ramuan diadun sendiri.

Sos spageti berperisa carbonara, bolognise dan alio seafood itu dimasak sendiri di rumah sebelum disimpan di dalam peti sejuk dan mampu bertahan sehingga dua bulan.

Apa yang membuatkan sos tersebut istimewa adalah bergantung kepada minyak yang digunakan iaitu minyak zaitun bagi membolehkan ia bertahan lebih lama berbanding menggunakan minyak masak biasa.

"Ia cukup digemari golongan bujang kerana saya menyediakan dua pek iaitu 200 gram dengan harga RM4 untuk dinikmati oleh seorang dan pek 800 gram dengan harga RM15.

"Buat masa ini saya hanya mampu memasarkan sos ini melalui rakan-rakan selain menggunakan sepenuhnya laman sosial Facebook kerana tidak mendapat pembiayaan mana-mana pihak untuk membuka pasaran lebih luas," katanya lagi.

Dia berharap untuk mengembangkan lagi perniagaannya dan memiliki jenama sendiri suatu masa nanti dan merayu bantuan peralatan serta sokongan daripada agensi berkaitan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved