Selasa, 2 Ogos 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Contohi industri halal Thailand

Posted:

Contohi industri halal Thailand

Contohi industri halal Thailand

Oleh NIZAM YATIM
rencana@utusan.com.my


THANA Duangratana (empat dari kiri) dan Dr. Abd. Latiff Awang (tiga dari kanan) bersama delegasi Malaysia yang menyertai Persidangan Antarabangsa Perniagaan, Industri dan Sains Halal Sedunia (Whasib) 2011 di Hat Yai, Thailand, baru-baru ini.


INDUSTRI halal dunia kini dianggarkan bernilai lebih AS$2 trilion setahun. Dengan jumlah yang sebegitu besar, ia sudah tentu dapat menghasilkan pulangan lumayan kepada mana-mana negara atau syarikat yang berkecimpung secara serius bagi menghasilkan produk berstatus sedemikian.

Menyedari hakikat itu, Thailand turut mengambil langkah agresif untuk memastikan produk yang dikeluarkan syarikat negara berkenaan adalah halal selaras dengan kedudukannya sebagai pengeksport produk makanan halal yang keenam terbesar di dunia dengan pendapatan sebanyak AS$5 bilion setahun.

Daripada 30,000 kilang mengeluarkan makanan halal yang terdapat di negara itu sekarang, sebanyak 8,000 telah mendapat sijil pengesahan halal.

Negara itu kini sedang meningkatkan bilangan syarikat yang mendapat sijil halal bagi memastikan ia mencapai sasaran menjadi negara pengeksport produk makanan halal ketiga terbesar di dunia selepas Brazil dan Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Selain bagi membolehkan produk berkenaan dijual kepada 1.5 bilion umat Islam, kerajaan Thailand berharap barangan berstatus halal yang sentiasa diyakini sebagai produk yang bersih, berzat dan baik untuk kegunaan manusia akan menarik minat seluruh penduduk dunia yang berjumlah kira-kira tujuh bilion orang untuk menggunakannya.

Produk dan perkhidmatan halal yang sedang dipromosikan oleh negara itu bukan hanya terhad kepada makanan dan minuman sahaja, malah ia turut melibatkan kosmetik, ubat-ubatan, bahan kimia, barangan kulit, rawatan spa, perhotelan, hospital, perbankan dan takaful Islam.

Kesungguhan negara jiran itu terbukti apabila ia menubuhkan Pusat Sains Halal di Universiti Chulalongkorn (HSC-CU), Bangkok pada 1995 dan Institut Halal di Universiti Prince of Songkhla, beberapa tahun selepas itu.

Menurut Pengarah HSC-CU, Dr. Winai Dahlan, penubuhan pusat dan institut halal berkenaan telah membolehkan Thailand melakukan pelbagai inovasi baru termasuk menghasilkan sabun dan cecair pencuci daripada tanah liat untuk memudahkan proses menyamak.

Beliau berkata, pihaknya turut mencipta dapur khusus yang mempunyai zon penampan bagi mengasingkan antara produk halal dan haram yang telah digunakan secara meluas termasuk ketika Sukan SEA 2007 di Korat, Thailand.

"Pakar-pakar daripada kedua-dua universiti turut terlibat memberikan latihan kepada petugas Thai Airways dan kakitangan sektor perkilangan di negara ini mengenai kaedah betul bagi memastikan produk yang dihasilkan adalah halal," katanya.

Terbaru, jelas beliau, ia melibatkan penciptaan sistem logistik dan pengesahan halal menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang dikenali dengan nama Shariah-Compliant ICT Logistics Control (SILK).

''SILK yang boleh diakses secara percuma menggunakan kemudahan Internet berkelajuan tinggi membolehkan syarikat di seluruh dunia membuat permohonan sijil halal. Bakal pembeli juga boleh menyemak status halal sesuatu barangan dengan pantas," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja pada Persidangan Antarabangsa Perniagaan, Industri dan Sains Halal Sedunia (Whasib) 2011 di Universiti Prince of Songkhla, Hat Yai pada 27 Julai lalu.

Persidangan sehari berkenaan telah dirasmikan oleh Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Surin Pitsuwan.

Bekas Menteri Luar Thailand yang beragama Islam itu dalam ucapan perasmiannya menyeru negara-negara Asia Tenggara supaya bekerjasama bagi memastikan sasaran menjadikan rantau itu pengeksport produk halal terbesar dunia tercapai.

Mengulas mengenai kesungguhan pihak Thailand itu, Naib Presiden 1, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Datuk Dr. Abd. Latiff Awang yang berkesempatan menjadi peserta Whasib 2011 berkata, selain peranan yang dimainkan oleh pihak universiti, kerajaan Thailand juga terlibat aktif dalam mempromosi industri halal.

Beliau berkata, perkara itu terbukti apabila ramai usahawan Malaysia termasuk 10 delegasi DPIM telah ditaja kerajaan negara itu untuk menyertai persidangan halal berkenaan dengan harapan akan terjalin kerjasama erat antara peniaga kedua-dua negara.

''Kita kagum kerana Duta Besar Thailand ke Malaysia, Thana Duangratana dan dua pegawai kanan daripada kedutaan berkenaan iaitu Makawadee Sumitmor dan Montri Nathananan turut meluangkan masa untuk mengiringi delegasi Malaysia," katanya.

Kekaguman yang diluahkan oleh Abd. Latiff memang berasas jika dilihat kesungguhan Duangratana, 60, yang sanggup turun padang untuk menjelajah wilayah yang mempunyai ramai penduduk Islam iaitu Songkhla dan Satun yang bersempadan dengan Kedah dan Perlis selama empat hari.

Selain menyertai Whasib 2011, delegasi yang turut disertai Setiausaha Agung DPIM, Mohammad Sahar Mat Din dan Penasihat Syariah KFC Holdings (Malaysia) Bhd., Mohd. Roslan Mohd. Saludin turut dibawa melawat Kawasan Perindustrian Wilayah Selatan di Wilayah Songkhla.

Duangratana yang bertindak sebagai penterjemah turut membawa rombongan berkenaan bertemu dengan Gabenor Satun, Dr. Sumeth Chailertvanitkul dan melawat ladang kambing yang diusahakan usahawan Muslim di wilayah berkenaan.

''Saya berharap diplomat Malaysia mencontohi rakan sejawatan mereka yang bukan beragama Islam yang sanggup turun ke bawah bagi membawa pelabur berpotensi untuk melabur dalam industri halal di negara berkenaan.

''Jika kita terus leka, tidak mustahil Malaysia akan ketinggalan dalam industri ini terutama jika pegawai atasan yang dilantik oleh kerajaan tidak bekerja bersungguh-sungguh," ujarnya.

Nasihat yang diberikan Abd. Latiff yang juga bekas Exco kerajaan negeri Terengganu memang kena pada masanya berikutan tidak ramai peneraju agensi yang berkecimpung dalam industri halal di Malaysia menghadiri Whasib 2011, sedangkan banyak inovasi baru yang dihasilkan Thailand yang boleh dicontohi mereka.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Menjejak inovasi akar umbi

Posted:

Menjejak inovasi akar umbi

Menjejak inovasi akar umbi

Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my


RASLAN Ahmad (kiri) bertanyakan sesuatu kepada seorang pereka inovasi pembuatan parang daripada besi terbuang ketika program Jelajah Inovasi di Melaka, baru-baru ini.


TAHUN lalu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai tahun inovasi dan kreativiti atau Malaysia Inovatif 2010. Namun, persoalan muncul menjelang penghujung tahun, sama ada gerakan untuk inovasi dan kreativiti itu akan tamat dan terbengkalai selepas berakhirnya 2010.

Hakikatnya, Perdana Menteri menzahirkan Malaysia Inovatif 2010 untuk memupuk amalan inovasi dan menggalakkan pemikiran kreatif semua peringkat masyarakat tanpa mengira batasan masa, usia, jantina, bangsa, agama mahupun sosiekonomi.

Persoalan yang lebih utama sebenarnya, adakah maksud inovasi dan kreativiti itu sudah difahami ramai atau rakyat masih terikat dengan stigma pemikiran Barat?

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), Dr. Raslan Ahmad berpendapat, masih ada di antara warga Malaysia yang menghadapi masalah salah tanggapan makna inovasi dan kreativiti.

"Ada yang hadapi halangan mental dan kekal dengan tanggapan kreativiti itu hanya melibatkan muzik dan kesenian sahaja sementara inovasi hanya melibatkan produk canggih atau baru sahaja.

"Kumpulan ini juga mungkin memikirkan hanya golongan penyelidik dan saintis sahaja yang inovatif," katanya.

Jelasnya, tanggapan sedemikian kekal kerana ada yang terikut-ikut budaya Barat yang menganggap benda baru sahaja yang inovatif dan inovasi hanya melibatkan teknologi canggih.

Beliau menegaskan, kreativiti dan inovasi secara ringkasnya adalah 'oleh dan untuk semua' iaitu semua orang boleh menyumbang dalam apa jua bentuk dan tidak terikat kepada kumpulan cerdik pandai tahap profesor sahaja.

"Sejak zaman dahulu lagi sudah ada pemikiran kreatif, inovatif mahupun imaginatif. Inovasi juga sesuatu yang lebih meluas dan tidak terikat kepada produk, aplikasi atau proses sahaja.

"Kreativiti dan inovasi boleh diaplikasikan dalam pelbagai bidang. Oleh itu, kedua-duanya tidak boleh dihadkan kepada kumpulan dan golongan tertentu sahaja," ujarnya.

Raslan menambah, kreativiti adalah idea sementara inovasi adalah pelaksanaan atau mengamalkan idea tersebut untuk mencapai tujuan asal idea itu ditimbulkan.

Jelas beliau, secara ringkasnya kreativiti dan inovasi umpama benih (idea kreatif) yang ditanam (inovasi) yang akhirnya membuahkan hasil yang diharapkan (produk inovasi).

Untuk itu katanya, agenda inovasi dan kreativiti akar umbi adalah sama penting dengan keperluan golongan atau tahap inovasi lain.

"Akar umbi bukan sahaja kumpulan di bahagian bawah satu sistem piramid, lebih penting lagi mereka adalah golongan majoriti yang sangat penting dan perlu diberi perhatian serupa dengan kumpulan kecil di atas.

"Inovasi adalah sesuatu yang mengubah hidup, bukan sekadar untuk diri sendiri malahan kehidupan masyarakat juga.

"Demi meningkatkan kesedaran, kemahiran dan taraf inovasi dan kreativiti akar umbi, mereka perlu faham bahawa ia boleh dilakukan sesiapa pun, dalam apa jua bentuk. Jika elemen ini ada, banyak masalah hidup dapat kita selesaikan," tegasnya.

YIM jelasnya, bertindak sebagai jambatan yang menghubungkan pelanggannya (pereka) dengan agensi kerajaan dan pihak yang berkaitan.

"YIM akan mengikut kehendak pereka sama ada dalam bentuk bahan keperluan, bantuan atau sekadar pengiktirafan sahaja. Kita perlu faham ada antara pereka ini tidak mahu menjadi usahawan komersil.

"Sebahagian pegawai agensi kerajaan terbabit juga sebelum ini hanya menunggu di pejabat untuk orang datang mengisi borang tetapi kini, kita bawa mereka turun padang untuk ketengahkan inovasi akar umbi," ujarnya.

Untuk tujuan itu, Jejak Inovasi siri pertama dilancarkan YIM di Melaka antara 15 hingga 17 Julai lalu bagi menjejaki inovasi masyarakat seterusnya mengiktiraf dan merangsang semangat membudayakan inovasi dalam kehidupan seharian.

"Di Melaka, kami menemui 16 orang pereka dengan 19 rekaan inovasi. Enam daripadanya kini telah disenarai pendek untuk dibangunkan dan diberi bantuan lanjut.

"Siri jelajah yang akan ke seluruh negara ini diadakan untuk menilai sejauh mana YIM boleh membantu, bergantung kepada tahap kesediaan produk tersebut digunakan atau ditambah nilai untuk pengkomersilan," jelasnya.

Raslan memaklumkan, YIM sendiri boleh melabur dalam pembangunan dan pengkomersilan rekaan tersebut tetapi semua bergantung kepada pengesahan status kerana dikhuatiri ada rekaan serupa telah didaftarkan hak milik oleh individu lain.

Tambahnya, rakan YIM iaitu Yayasan Inovasi Kebangsaan (NIF) India juga berminat untuk melabur dalam pengkomersilan produk inovasi dan kreativiti dari Malaysia.

"NIF India sendiri telah mengumpulkan data lebih 110,000 rekaan inovasi di negara itu sejak 10 tahun penubuhannya, ada di antaranya mempunyai persamaan dengan rekaan di Malaysia.

"Aplikasi produk praktikal dan ringkas hasil inovasi dan kreativiti akar umbi di Malaysia pasti mendapat sambutan di negara luar seperti India di mana masih ramai penduduknya berpendapatan rendah," katanya.

Beliau menjelaskan, pengkomersilan bersama adalah langkah terbaik memandangkan pasaran Malaysia lebih kecil sementara potensi besar wujud di negara besar seperti India.

"Inovasi dan kreativiti juga termasuk penyelesaian praktikal dan ringkas, bukan yang rumit dan canggih sahaja. Barang kecil juga boleh dipasarkan jika kena kumpulan sasarannya.

"YIM percaya, siapa pun boleh hasilkan sesuatu yang berguna dan bernilai untuk masyarakat. Jika universiti fokus kepada yang canggih, YIM akan fokus kepada yang praktikal dan ringkas untuk dibangunkan dan dikomersilkan," tegasnya.

YIM yang dilancarkan pada November 2008 dibentuk hasil keputusan Kabinet yang mahu perhatian turut diberi kepada inovasi akar umbi, serupa seperti inovasi di tahap universiti ke atas.

YIM bukanlah sebuah jabatan kerajaan tetapi sebuah yayasan dengan dana permulaan RM10 juta dan kini berkembang dengan bantuan pihak swasta.

Setiap bantuan dan dana disalurkan pihak swasta juga diberi pengecualian cukai penuh oleh kerajaan dengan lebih RM3 juta telah diterima YIM daripada pihak swasta sejak penubuhannya.

Kumpulan sasar yayasan itu termasuk belia antara umur 15 hingga 35 tahun; masyarakat luar bandar tanpa mengira sempadan negeri; wanita khususnya ibu tunggal serta usahawan wanita; serta orang kelainan upaya (OKU).

Maklumat lanjut mengenai YIM, fungsinya dan bantuan yang disediakan boleh diperolehi dengan melayari laman web rasmi www.yim.my atau menghubungi talian 03-89941714.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved