Utusan Online - Timur |
- Penduduk minta jalan dilebar3
- 40 ditahan berlumba ketika solat tarawih
- 25 lagi CCTV di tempat strategik
Posted: Penduduk minta jalan dilebar3Oleh SAMSUL BAHARI MOHAMED
JELI 7 Ogos – Penduduk sekitar Kampung Ayer Lanas dekat sini menggesa kerajaan negeri melebarkan jalan di simpang tiga kampung berkenaan bagi mengelak lebih banyak kemalangan berlaku. Beberapa penduduk yang ditemui mendakwa, keadaan jalan yang agak sempit di simpang berkenaan menyaksikan banyak kes kemalangan termasuk kemalangan maut berlaku. Mereka mendakwa, keadaan itu mengundang kebimbangan di kalangan penduduk terutama ibu bapa yang kerap berulang-alik menghantar anak mereka ke sekolah-sekolah berdekatan. Seorang penduduk, Sauli Che Wahab, 72, berkata, sudah tiba masanya jalan dari simpang tiga Kampung Ayer Lanas menghala ke Kampung Legeh itu dilebarkan demi keselamatan penduduk. "Sudah lama jalan terbabit tidak dibaiki dan disebabkan keadaannya yang tidak sempurna, banyak kemalangan berlaku termasuk kemalangan maut," dakwanya ketika ditemui di sini, hari ini. Seorang lagi penduduk, Rohana Yaacob, 33, memberitahu, dia bimbang dengan keselamatan diri dan anak-anaknya kerana sentiasa berulang-alik menggunakan jalan di simpang tiga berkenaan untuk ke sekolah berhampiran. "Kebanyakan kenderaan tidak menghiraukan kanak-kanak sekolah yang menyeberangi jalan terutama semasa pulang dari sekolah," dakwanya. Mohd. Samsudin Jidin, 32, pula mencadangkan supaya kerajaan negeri membina jalan berkembar di kawasan berkenaan bagi keselesaan dan keselamatan penduduk kampung terlibat. "Jalan yang perlu dilebarkan hanya dari simpang tiga Ayer Lanas menuju Kampung Legeh sahaja. Dengan pembinaan jalan yang luas beserta bulatan, kemungkinan kemalangan akan berkurangan berbanding sebelum ini," katanya. | ||
40 ditahan berlumba ketika solat tarawih Posted: 40 ditahan berlumba ketika solat tarawih
KOTA BHARU 7 Ogos - Pada saat umat Islam lain sibuk menunaikan solat sunat tarawih dalam bulan Ramadan, ada pula antaranya termasuk remaja di sini, yang mengambil kesempatan itu untuk berlumba di jalan raya. Dalam operasi bersepadu di dua lokasi melibatkan Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, seramai 40 orang ditahan. Inspektor Penguat Kuasa Trafik IPK Kelantan, Cif Inspektor Mohamad Azmihrul Mukti berkata, dalam operasi pertama di Kemumin di sini, pihaknya menahan 27 buah motosikal dan mengeluarkan 29 saman membabitkan 67 kesalahan lalu lintas. "Operasi pertama itu bermula dari pukul 8.30 sehingga 10 malam ketika orang ramai sedang menunaikan solat tarawih. Remaja-remaja itu mengambil kesempatan untuk berlumba dan menunjukkan pelbagai aksi seperti 'willie' dan 'wikang'. "Di antara kesalahan yang dilakukan mereka adalah menunggang tidak memakai topi keledar, tiada lesen memandu dan cukai jalan yang sah," katanya ketika ditemui di IPD Kota Bharu di sini, baru-baru ini. Mohamad Azmihrul berkata, dalam operasi kedua yang bermula pukul 1 pagi sehingga 4.30 pagi di Jalan Taman Maju-Balai Islam Lundang, pihaknya menahan 12 buah kereta dan mengeluarkan 11 saman yang membabitkan 18 kesalahan lalu lintas. Katanya, pihak polis juga menahan seorang lelaki berusia 21 tahun kerana dipercayai terlibat dalam lumba haram mengikut Seksyen 42(1) Kata Pengangkutan Jalan 1987. "Pada operasi kedua ini, fokus kita lebih kepada kereta. Jalan itu menjadi kegemaran golongan muda untuk berlumba kereta. "Ia merupakan salah satu kawasan 'panas' di negeri ini, malah adakalanya mereka mengambil tindakan sendiri membuat sekatan di lampu-lampu isyarat untuk berlumba," katanya. | ||
25 lagi CCTV di tempat strategik Posted: 25 lagi CCTV di tempat strategikKUALA TERENGGANU 7 Ogos - Dalam usaha membanteras kejadian jenayah di kawasan bandar, kerajaan negeri akan memasang 25 lagi kamera litar tertutup (CCTV) agar memudahkan pihak berkuasa mengesan mereka yang terbabit. Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, sebelum ini kerajaan negeri telah memasang 25 buah CCTV di persimpangan-persimpangan jalan melibatkan peruntukan kira-kira RM2.5 juta. Katanya, rakaman CCTV merupakan bukti paling penting dalam siasatan sesuatu kes jika tiada saksi di tempat kejadian. "Penggunaan CCTV amat berkesan untuk mengesan kegiatan yang dilakukan oleh peragut, perompak dan mat rempit terutama jika ia melibatkan kehilangan nyawa," katanya selepas melawat dua beradik mangsa ragut yang terlibat dalam kemalangan pagi Ahad lepas di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, baru-baru ini. Mengulas lanjut, Ahmad berkata, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan diminta menambah CCTV di persimpangan-persimpangan yang strategik selain meminta masyarakat memainkan peranan untuk membantu mangsa jenayah terutama seperti yang berlaku kepada dua beradik itu. Beliau percaya kawasan yang berlaku kejadian ragut itu tidak dilengkapi CCTV menyebabkan kesukaran pihak berkuasa mengenal pasti suspek sehingga kini. "Dalam kes ini, saya difahamkan peragut tidak meletakkan nombor pendaftaran pada motosikal mereka dan itu menunjukkan mereka ada niat untuk meragut. Mereka tidak peduli siapa yang menjadi mangsa, justeru kita harap dengan pemasangan lebih banyak CCTV dapat mengurangkan masalah jenayah itu," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan