Isnin, 8 Ogos 2011

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Beriadah sambil imbau sejarah

Posted:

Beriadah sambil imbau sejarah

Beriadah sambil imbau sejarah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
utusanjohor@utusan.com.my


Taman Merdeka memiliki keluasan 12 hektar merupakan lokasi paling ideal untuk orang ramai menghabiskan masa pada hujung minggu bersama keluarga.


JOHOR BAHRU 7 Ogos – Taman Merdeka merupakan antara destinasi terbaik untuk menghabiskan masa hujung minggu bersama keluarga kerana ia bukan sahaja lokasi untuk beriadah, malah sesuai untuk mengimbau sejarah kemerdekaan negara.

Terletak berhampiran Jalan Tasik Utara, bersebelahan dengan Padang Golf Tasik Utara dan bangunan Radio Televisyen Malaysia (RTM), ia merupakan tempat terbaik untuk merehatkan minda di samping beriadah pada hujung minggu.

Taman ini memiliki sembilan laman yang dibina khusus menggambarkan perkembangan sejarah kemerdekaan di negara ini iaitu Laman Peringatan Kesultanan Melayu Johor (Laman Melayu), Laman Peringatan Sultan Abu Bakar dan Laman Peringatan Penjajahan Jepun.

Selain itu, ia turut mengandungi Laman Peringatan Penentangan Komunis, Laman Peringatan Kedaulatan Raja-raja Melayu, Laman Peringatan Semarak Kemerdekaan, Laman Malaysia, Padang Merdeka dan Promenade Perarakan Kemerdekaan.

Dibina di kawasan seluas 12 hektar, pembinaan Taman Merdeka adalah menjurus kepada semangat patriotik dan perjuangan kemerdekaan pada zaman dahulu.

Komponen utama pembangunannya terdiri dari Laman Melayu yang merangkumi Pusat Maklumat serta Jeti Penambang digunakan pada zaman dahulu yang dibina di atas tanah berkeluasan 2.7 hektar.


Laman Peringatan Penentangan Komunis dilengkapi sistem bunyi dan batu bermaklumat bagi membolehkan orang ramai mengetahui sejarah penjajahan komunis.


Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru, Mohd. Jaffar Awang berkata, tema pembangunan yang digunakan untuk membangunkan Laman Melayu adalah alam bina dan landskap bercirikan zaman kesultanan Melayu.

"Pembangunan di sini lebih menjurus kepada kombinasi ciri pembangunan klasik dan moden, tetapi lebih menjurus kepada kontemporari moden yang ringkas dan pada masa sama mengekalkan ciri-ciri Melayu klasik," katanya.

Beliau berkata, Laman Peringatan Sultan Abu Bakar pula dibangunkan dengan konsep budaya Inggeris sebagai usaha menterjemahkan kemasukan budaya itu di negara ini suatu ketika dahulu.

Tiga jenis taman dibina di laman itu dan ia dibahagikan kepada tiga aras berbeza iaitu taman bunga, taman dipenuhi pokok jenis Topiary dan laman rumput jenis meadow yang luas bersesuaian dengan konsep kehidupan Barat.

"Laman ini turut dilengkapi dengan kios dan wakaf bercirikan Inggeris sebagai pelengkap kepada konsep yang dikhususkan kepada laman tersebut," jelasnya.


LAMAN Peringatan Merdeka turut dilengkapi arca-arca bermaklumat yang melambangkan kepada kesepakatan masyarakat di negara ini.


Laman Peringatan Penjajahan Jepun pula dibina bagi menterjemahkan suasana tekanan rakyat pada era pendudukan askar negara Matahari Terbit itu di negara ini.

Binaan kubu yang diwujudkan secara spontan dari Laman Sultan Abu Bakar mengunjur ke laman itu sebagai lambang kemasukan tentera Jepun ke Tanah Melayu secara mendadak pada zaman dahulu.

"Laluan-laluan sukar yang diwujudkan di situ juga merupakan pemangkin bagi menggambarkan suasana sebenar kehidupan yang susah dan perit semasa penjajahan Jepun di negara ini," kata Mohd. Jaffar.

Laman keempat yang terdapat di fasa pertama itu adalah Laman Promenade Perarakan Merdeka atau laman perjuangan kemerdekaan yang menceritakan tentang perjalanan penduduk negara ini untuk mencapai kemerdekaan.

Laluan pejalan kaki, gazebo yang bercirikan senibina Melayu seperti yang terdapat di Laman Melayu serta panel-panel grotto atau tembok di dalam tasik menceritakan tentang sejarah Tanah Melayu dan proses yang telah dilalui untuk mencapai kemerdekaan.

Selain itu, terdapat beberapa lagi ciri tambahan yang disediakan kepada para pengunjung untuk fasa pertama di Taman Merdeka itu, antaranya Pondok Stesen Buggy, Tandas Taman Inggeris dan Restoran Taman Jepun.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

300 murid agama sengsara

Posted:

300 murid agama sengsara

300 murid agama sengsara

Oleh MUHAMMAD ZIKRI
utusanjohor@utusan.com.my


Mazlan Samad (kiri) dan Tang Nai Soon menunjukkan kesan siling yang dikopak oleh pencuri yang melarikan wayar elektrik di Sekolah Agama Seri Bunian, Pontian, baru-baru ini.


PONTIAN 7 Ogos – Kira-kira 300 murid Sekolah Agama Seri Bunian di sini terpaksa belajar dalam kepanasan ketika masing-masing berpuasa, angkara wayar elektrik sekolah tersebut yang dikebas pencuri baru-baru ini.

Pengerusi Badan Kebajikan sekolah itu, Mazlan Samad berkata, pada mulanya mereka menyangka masalah itu berpunca daripada bekalan elektrik, namun pemeriksaan yang dijalankan mendapati terdapat wayar bersepah di atas siling dan kesan tapak kaki pada dinding yang menunjukkan berlaku pencerobohan.

"Pencuri kemungkinan besar naik mengikut tempat wuduk pelajar perempuan. Sekolah ini baru saja membuat pendawaian baru dua bulan lalu, kami tak sangka masalah sebegini pula timbul.

"Ia bukan sahaja menjejaskan perjalanan dalam kelas, urusan pentadbiran juga terganggu disebabkan ketiadaan bekalan elektrik," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Tambah Mazlan, pagar sekolah itu juga didapati telah dipotong dan dipercayai digunakan oleh pencuri sebagai laluan masuk ke sekolah bagi melakukan kegiatan tidak bertanggungjawab dan ia merupakan kejadian kedua selepas kes kecurian komputer sebelum ini.

Menurutnya, anggaran kerugian yang dialami adalah sebanyak RM15,000 dan pihak sekolah telah memfailkan laporan polis dengan harapan dalang kes kecurian diheret ke muka pengadilan dengan segera.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nanas, Tang Nai Soon yang melawat tempat kejadian mahu pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya dan memberi amaran kepada pembeli barangan terpakai supaya tidak membeli barangan curi.

"Kecurian sebegini pernah berlaku kepada Sekolah Agama Pengkalan Raja dekat sini," katanya lagi.

Turut hadir Ketua Kampung, Kampung Seri Bunian, Hussin Ahmad dan pegawai daripada Pejabat Pendidikan Agama Daerah (PPAD) Pontian, Mohd. Ismail Masad.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved