Isnin, 22 Ogos 2011

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Surau diancam hakisan

Posted:

Surau diancam hakisan

Surau diancam hakisan

Oleh ROSLAH OTHMAN kota@utusan.com.my


KEADAAN hakisan yang semakin teruk di surau Hidayatul Mustaqim, Bandar Baru Selayang memerlukan tindakan segera.


SELAYANG 22 Ogos - Hakisan yang membawa kepada keretakan dan runtuhan pada kaki lima dan longkang surau Hidayatul Mustaqim, Bandar Baru Selayang semakin membimbangkan.

Masalah yang sudah dikesan sejak hampir setahun lalu itu bagaikan sudah tidak dapat dibendung lagi apabila runtuhan baru berlaku awal minggu ini dan hampir merosakkan bangunan surau terlibat.

Pengerusi surau berkenaan, Azizan Mohd. Ali, 54, berkata, masalah itu telah pun dimaklumkan kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bagi membolehkan tindakan sewajarnya dilakukan, namun pihak terbabit dilihat tidak menganggap masalah itu sebagai serius.

"Daripada tiga aduan yang dibuat, hanya sekali MPS datang membuat lawatan iaitu ketika aduan kali pertama dilakukan pada penghujung tahun lalu.

"Namun, tiada sebarang tindakan dilakukan walaupun dua lagi aduan dibuat oleh pihak kami sehinggalah tembok longkang itu runtuh lagi awal minggu ini," katanya ketika ditemui semasa sesi lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Templer, Datuk Subahan Kamal ke lokasi terlibat baru-baru ini.

Turut hadir pada sesi lawatan yang bertujuan membincangkan jalan terbaik bagi menyelesaikan masalah berkenaan ialah Pengarah Jabatan Kejuruteraan MPS, Othman Idris, Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Gombak, Mohd. Fuad Buang serta wakil Pejabat Pembangunan Negeri Selangor (JPNS).

Kata Azizan, memandangkan surau itu sentiasa dikunjungi jemaah dan solat Jumaat turut diadakan di situ, penyelesaian segera kepada masalah itu perlu dicari bagi mengelak sebarang masalah yang lebih besar.

Sehubungan itu, beliau mewakili para jemaah surau itu merayu pihak berkenaan supaya mengambil tindakan segera bagi memastikan keselamatan semua pihak.

Sementara itu, Subahan berkata, walaupun perkara itu di bawah tanggungjawab MPS, namun pihaknya dan agensi kerajaan yang lain tetap memainkan peranan demi keselamatan para jemaah.

"Permohonan sudah saya ajukan kepada JPNS dan difahamkan, peruntukan akan diberikan sebanyak RM100,000 bagi kerja-kerja baik pulih ini manakala JPS berjanji menyumbangkan RM20,000 di bawah bantuan kecemasan.

"Namun, jumlah itu masih tidak mencukupi bagi menyempurnakan kerja-kerja baik pulih yang dianggarkan mencecah RM300,000," ujarnya.

Sementara itu, Othman berkata, pihak MPS hanya dapat melakukan kerja-kerja pemulihan sementara dengan membersihkan kawasan terlibat.

Katanya, selain kos, faktor masa adalah antara sebab utama pihaknya tidak dapat menyegerakan kerja-kerja baik pulih dalam waktu terdekat.

10 rumah dihias indah

Posted:

10 rumah dihias indah

10 rumah dihias indah

Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
kota@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Hari Raya Aidilfitri tahun ini tentunya memberi makna berbeza kepada 10 buah keluarga di kawasan Wangsa Maju di sini yang menerima sumbangan di bawah Program Pengindahan Aidilfitri, baru-baru ini.

Menerusi program itu, kediaman mereka dihiasi dengan pelbagai hiasan rumah seperti langsir, tikar getah, sarung kusyen, permaidani dan lain-lain yang keseluruhannya bernilai RM1,000.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, sumbangan daripada Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) itu diharap memberi keselesaan kepada mereka untuk menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

"Program sumbangan yang diadakan ini turut dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara pihak kementerian dan warga kota terutamanya golongan kurang berkemampuan sempena bulan Ramadan ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengunjungi dan bergotong-royong memasang kelengkapan rumah di beberapa rumah yang menerima sumbangan Pengindahan Aidilfitri itu di sini, baru-baru ini.

Terdahulu, beliau turut bersahur dan menunaikan solat subuh bersama penduduk-penduduk sekitar di Masjid Salahuddin Al-Ayubi, Wangsa Maju di sini.

Pada program sahur tersebut, Raja Nong Chik turut menyampaikan sumbangan wang tunai dan bekalan makanan kepada 300 penerima.

Naik taraf punca jalan sesak

Posted:

Naik taraf punca jalan sesak

Naik taraf punca jalan sesak

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Kesesakan lalu lintas yang berlaku di pusat bandar Kuala Lumpur bukan berpunca daripada kegagalan polis mengawal trafik, sebaliknya akibat kerja-kerja menaik taraf jalan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, polis telah menggunakan sepenuhnya anggota yang ada untuk memastikan kelancaran lalu lintas.

"Polis telah menggunakan keseluruhan anggota trafik di bulan puasa untuk memastikan lalu lintas lancar tetapi kerja menaik taraf jalan di beberapa lokasi yang menyebabkan kesesakan.

"Orang awam yang terperangkap dalam kesesakan yang lama sepatutnya memberi maklumat berkenaan kepada polis trafik supaya kita dapat memantau," katanya selepas mengadakan program bertemu penduduk di bazar Ramadan Jalan Kuching di sini petang ini.

Beliau mengulas dakwaan pembaca Utusan Malaysia di ruangan Forum yang mendakwa kekurangan kawalan daripada anggota trafik di pusat bandar raya ketika bulan puasa.

Dalam perkembangan lain, Mohmad mengesahkan telah menerima pendaftaran orang ramai yang akan pulang ke kampung halaman melalui Rakan Cop.

Bagaimanapun, katanya, masih ramai lagi yang didapati tidak mendaftar walaupun Hari Raya Aidilfitri semakin dekat.

"Polis tidak mahu, orang ramai yang meninggalkan rumah mereka dengan keadaan tidak terkawal kerana ia akan memberi peluang kepada penjenayah.

"Setiap penduduk di sekitar Kuala Lumpur perlu mendaftar sekiranya mereka pulang beraya di kampung masing-masing untuk keselamatan," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved