Isnin, 22 Ogos 2011

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Barangan 1Malaysia di semua kedai Tukar

Posted:

Barangan 1Malaysia di semua kedai Tukar

Barangan 1Malaysia di semua kedai Tukar


NAJIB Tun Razak menunjukkan beras yang terdapat di Kedai Rakyat 1Malaysia di Pusat Komuniti Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Ameer Ali Mydin (kiri).


KUALA LUMPUR 21 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan bercadang untuk menjual barangan keperluan 1Malaysia di kedai-kedai yang terlibat dengan Projek Transformasi Kedai Runcit (Tukar) di seluruh negara.

Menurut Perdana Menteri, ia bagi membolehkan lebih ramai rakyat berpeluang menikmati harga barangan keperluan 1Malaysia yang ditawarkan jauh lebih rendah berbanding di kedai-kedai biasa.

''Ketika ini terdapat kira-kira 200 kedai Tukar di seluruh negara dengan 300 lagi akan dibuka menjelang akhir tahun ini menjadikan keseluruhannya sebanyak 500 buah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kedai Rakyat 1Malaysia di Pusat Komuniti Bandar Tun Razak, di sini hari ini.

Kedai Rakyat 1Malaysia di Bandar Tun Razak itu merupakan cawangan kedua kedai 1Malaysia selain di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya yang dibuka pada 22 Jun lalu.

Program Tukar pula merupakan Projek-Projek Permulaan (EPP) yang bertujuan memodenkan operasi kedai runcit tradisional bagi meningkatkan daya saingan dalam persekitaran perniagaan peruncitan yang kompetitif.

Najib menambah, kerajaan dalam masa sama komited untuk memperluaskan rangkaian Kedai Rakyat 1Malaysia dengan cawangan ketiganya yang dijangka dibuka minggu depan di kawasan Pantai Dalam di sini.

''Saya juga mengucapkan terima kasih kepada pasar raya Mydin (Mydin Mohamed Holdings Bhd.) atas kerjasama yang sangat positif dengan kerajaan bagi memastikan program ini dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

''Saya percaya sebahagian besar rakyat akan mendapat kepuasan dan manfaat daripada pembukaan Kedai Rakyat 1Malaysia ini," katanya.

Dalam masa sama, Najib sekali lagi menekankan bahawa Kedai Rakyat 1Malaysia adalah satu konsep yang begitu menguntungkan rakyat kerana harga barangan yang dijual jauh lebih rendah berbanding kedai biasa.

Sebagai contoh kata beliau, satu kampit beras super tempatan lima peratus hancur seberat 10 kilogram hanya berharga RM21.99 berbanding RM25.80 di kedai lain.

Dalam perkembangan lain, Najib sekali lagi menegaskan pendirian kerajaan bahawa Jawatankuasa Terpilih Parlimen yang dicadangkan penubuhannya bagi reformasi pilihan raya bukan bermakna sistem sedia ada tidak baik.

Melayu tak gugat agama lain

Posted:

Melayu tak gugat agama lain

Melayu tak gugat agama lain


MUHYIDDIN Yassin pada Majlis Penyampaian Bantuan Hari Raya dan Tadarus Khatam al-Quran dan Berbuka Puasa UMNO Bahagian Pagoh di Kompleks Sri Pekembar, Muar, semalam.


MUAR 21 Ogos - Kekuatan perpaduan umat Islam di negara ini tidak patut menimbulkan kebimbangan kepada masyarakat bukan Islam kerana ia adalah teras yang akan melonjakkan lagi kemajuan negara, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jelas Timbalan Perdana Menteri, umat Islam dan Melayu yang menjadi kelompok masyarakat terbesar di negara ini tidak pernah mengganggu-gugat hak agama bangsa lain dan ia terbukti sejak negara merdeka lebih 50 tahun lalu.

"Bila sebut perpaduan umat Islam, dalam konteks Malaysia yang merupakan negara pelbagai agama dan bangsa, jangan orang lain berasa bimbang kerana kalau umat Islam bersatu, ia akan menjadi teras.

"Kalau kelompok yang terbesar ini tidak bersatu, yang lain-lain akan hancur, tetapi kalau umat Islam bersatu dan maju, yang lain akan berpaut dan bertaut sama," katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Hari Raya, Tadarus Khatam al-Quran dan Berbuka Puasa anjuran UMNO Bahagian Pagoh di Dewan Sri Pekembar di sini hari ini.

Hadir sama isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Tahir Taat serta ADUN Jorak, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyaksikan penyerahan pelbagai sumbangan termasuk replika cek zakat bernilai RM100,000 daripada Amanah Raya Berhad yang diwakili Pengerusinya, Datuk Dasuki Ahmad serta cek zakat bernilai RM50,000 daripada Jati Cekap Sdn. Bhd. yang diwakili oleh Pengarah Eksekutifnya, Datin Suraya Shahrer.

Bank Simpanan Nasional (BSN) yang diwakili oleh Timbalan Ketua Eksekutifnya, Yunos Abd. Ghani pula menyumbangkan van jenazah untuk Kampung Paya Panjang manakala Proton Holdings Berhad yang diwakili Ketua Pegawai Kewangannya, Azhar Othman menyerahkan makanan bernilai RM24,000 untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan.

Muhyiddin turut menyampaikan sumbangan kepada masjid-masjid di kawasan Parlimen Pagoh serta anak-anak yatim dan fakir miskin manakala Noorainee menyerahkan sumbangan daripada Badan Amal Kebajikan Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) kepada Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di Parlimen Pagoh.

Menurut Muhyiddin, kekuatan perpaduan umat Islam akan menjadi penentu kepada kelangsungan pembangunan dan ia mampu melonjakkan ekonomi negara untuk bersaing dengan negara-negara maju yang lain.

"Sepatutnya tidak timbul perbalahan sehingga membawa perpecahan kerana dalam hendak melaksanakan agenda besar transformasi negara, kita memerlukan penglibatan semua pihak daripada setiap lapisan masyarakat," katanya.

Katanya lagi, pembangunan yang dilaksanakan kerajaan juga adalah menyeluruh dan ia memastikan tiada pihak yang terpinggir daripada arus kemajuan dan kebajikan setiap rakyat di negara ini terpelihara.

NGO kecam jual Esso kepada syarikat asing

Posted:

NGO kecam jual Esso kepada syarikat asing

NGO kecam jual Esso kepada syarikat asing

KUALA LUMPUR 21 Ogos - ExxonMobil International Inc. (ExxonMobil) didesak supaya tidak menerima tawaran syarikat minuman keras Filipina, San Miguel Corporation (SMC) yang mahu mengambil alih 65 peratus pegangan dalam Esso Malaysia Berhad.

Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Mohammad Sahar Mat Din berkata, ini perlu bagi memastikan perniagaan strategik dipertahankan daripada jatuh ke tangan individu atau syarikat asing.

"Cadangan tersebut juga seperti mahu menggambarkan syarikat tempatan tidak layak untuk mengambil alih Esso," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas ura-ura penjualan 65 peratus kepentingan anak syarikat ExxonMobil kepada SMC yang dikatakan membuat tawaran keseluruhan bernilai RM514.25 juta untuk memilikinya.

Difahamkan, sebelum ini Boustead Holdings Berhad yang dimiliki oleh Tabung Lembaga Angkatan Tentera (LTAT) dikaitkan untuk membeli ekuiti Esso Malaysia dengan tawaran keseluruhan RM1 bilion.

Sebaliknya jelas Mohammad Sahar, terdapat banyak syarikat tempatan yang berkemahiran serta berpengalaman luas dalam bidang tersebut namun tidak diberi perhatian sewajarnya.

Tambahnya, ia terjadi apabila syarikat seperti ExxonMobil melihat syarikat tempatan tidak mampu dan layak untuk membeli ekuitinya.

"Justeru bagi memastikan perkara seumpama ini tidak berlaku lagi, DPIM mencadangkan supaya sebuah Wakaf Korporat Nasional ditubuhkan bagi menyelamatkan syarikat yang hendak dilepaskan daripada jatuh ke tangan individu dan syarikat asing.

"Wakaf tersebut yang dicadang akan mengumpulkan syarikat tempatan yang bersatu sebagai sebuah koperasi perkongsian untuk membeli syarikat seperti Esso untuk kepentingan rakyat negara ini," ujarnya.

Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, cadangan tersebut adalah sebuah ancaman terhadap syarikat tempatan dan membelakangi kepentingan rakyat negara ini.

Sehubungan itu, sebuah akta baru yang mewajibkan syarikat asing beroperasi di negara ini mendahulukan syarikat tempatan berhubung penjualan aset perlu diwujudkan.

"Akta tersebut juga harus dipantau oleh sebuah lembaga pelaburan luar negara yang memastikan syarikat tempatan memiliki saham berkenaan sebelum tawaran dibuka kepada firma luar," kata beliau.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved