Khamis, 7 Julai 2011

Utusan Online - Timur


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


Lumpuh tak patah semangat Husmizi

Posted:

Lumpuh tak patah semangat Husmizi

Lumpuh tak patah semangat Husmizi

Oleh MOHD. ZUHARMAN MOHAMMAD NOR
utusankelantan@utusan.com.my


ZURIATI Ruhaida Harun menunjukkan wau hasil ciptaan suaminya.


MACHANG 6 Julai - Pepatah ada mengatakan, 'di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.' Begitulah takdir kehidupan yang dilalui oleh seorang lelaki, Husmizi Ibrahim, 37, yang menyara hidup dengan membuat wau dan layang-layang, walau pun dia lumpuh separuh badan.

Husmizi lumpuh dari paras pinggang ke bawah selepas terbabit dalam kemalangan enam tahun lalu.

Kecacatan tersebut hampir-hampir menyebabkan bapa kepada dua orang anak yang masih kecil itu berputus asa.

Bagaimanapun, memikirkan masa depan keluarganya, dia akhirnya tidak menyerah kalah, sebaliknya bertekad untuk terus berusaha membina kehidupan, dibantu isteri tercinta, Zuriati Ruhaida Harun, 34, seorang guru tadika.

Berkat kesungguhannya itu, wau ciptaan Husmizi telah menarik penggemarnya bukan sahaja dalam kalangan penduduk tempatan, tetapi juga pengunjung dari luar Kelantan.

"Alhamdulillah, setakat ini tempahan yang diterima daripada orang ramai juga mencurah-curah hingga saya sendiri tidak menang tangan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Pulai Chondong di sini, baru-baru ini.

Selain wau, Husmizi turut menghasilkan layang-layang bagi memberi pilihan kepada pelanggannya, selain dapat meningkatkan lagi pendapatan.

Dia mengakui, mencipta atau membuat wau bukan semudah yang disangka kerana ia menuntut kesabaran serta keazaman yang tinggi dari segi mental mahupun fizikal.

"Memang kita tengok membuat wau nampak senang. Tapi ingat, wau itu tidak akan melayang atau jika melayang pun tidak pada keadaan stabil kalau ciri-ciri sesebuah wau itu tidak lengkap. Sekadar tahu menegak dan menongkah angin sahaja tidak cukup.

"Selain itu, ia akan kaku di mata peminat sekiranya tidak ada padanan dekorasi seni sesuai, sebagai contohnya seni ukiran yang pernah kita lihat pada badan wau itu. Ini satu bab lain yang menuntut kepada kemahiran," jelasnya.

Husmizi memberitahu, antara elemen penting dalam seni pembuatan wau adalah keseimbangan rangka buluh pada simetri badan wau, kerana di situlah penentu sesebuah wau sama ada ia dapat diterbangkan dan bergerak lancar di udara.

Sememangnya, wau merupakan permainan tradisional Melayu yang dikatakan berusia ratusan tahun. Ia selalunya dimainkan pada musim kemarau selepas musim menuai dan sangat popular dalam kalangan masyarakat sebelah Pantai Timur termasuk Kedah dan Perlis.

Wau dicipta dalam pelbagai bentuk dan mempunyai nama tersendiri seperti wau burung, wau barat, wau kikit dan sebagainya. Tetapi, wau bulan merupakan antara wau yang agak sinonim dengan masyarakat Melayu.

Selain dijadikan bahan permainan, wau juga menjadi hasil kraftangan dan dekorasi atau hiasan pada dinding rumah atau bangunan komersial.

Persoalannya, sejauh mana permainan tradisional yang berusia ratusan tahun itu mampu bertahan apabila anjakan paradigma dunia tanpa sempadan sering mempengaruhi generasi baru dengan pelbagai bentuk permainan moden yang dianggap lebih canggih dan mencabar?

Lantaran itu, keyakinan tinggi anak kelahiran Kampung Alor Melaka, Pulai Chondong, ini di dalam bidang pembuatan wau melenyapkan persoalan tersebut.

"Biarpun permainan wau semakin dilupakan dan dihargai oleh masyarakat tertentu sahaja, saya tetap setia dengan kerja ini (membuat wau) kerana kemungkinan inilah kemahiran yang ada pada saya, malah menjadi minat saya sejak kecil lagi.

"Walaupun dengan pergerakan yang terhad, tetapi inilah punca atau sumber pendapatan saya sekeluarga. Sekurang-kurangnya kesetiaan saya akan dapat mengembalikan semula sejarah kegemilangan permainan tradisional ini di mata masyarakat," katanya.

Antara wau yang dihasilkan Husmizi adalah wau jala budi, wau bulan, wau kucing dan wau puyuh.

Hasil kerjanya itu mendapat pengiktirafan penggemar permainan tradisional tersebut apabila wau buatannya sering kali menjuarai pelbagai pertandingan, termasuklah di peringkat antarabangsa.

Justeru, tidak hairanlah ada yang sanggup membayar dengan harga yang tinggi bagi mendapatkan sebuah wau hasil ciptaan Husmizi.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Kebakaran: Bapa selamat tiga anak

Posted:

Kebakaran: Bapa selamat tiga anak

Kebakaran: Bapa selamat tiga anak

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my


HASLINDA Ramli bersama tiga anaknya, Balkis Mohd. Afendi (dipangku), Haikal dan Hakim (kanan) sedih melihat rumah sewa mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Kubang Labu, Tumpat, kelmarin.


TUMPAT 6 Julai - Tindakan pantas seorang bapa yang terkejut daripada tidur nyenyak selepas terhidu bau hangit, berjaya menyelamatkan tiga anaknya berusia antara satu hingga empat tahun dalam kebakaran membabitkan rumah sewa mereka di Kampung Kota Kubang Labu dekat sini, semalam.

Ketika kejadian pukul 1.10 petang, lelaki itu, Mohd. Afendi Mohamad, 23, seorang peniaga, sedang tidur nyenyak dalam sebuah bilik bersama-sama tiga anaknya, Mohd. Haikal, 4; Mohd. Hakim, 2, dan Balqis, 1.

Isterinya, Haslinda Ramli, 22, pula keluar bekerja di sebuah kedai makan di Kota Bharu.

Menceritakan detik cemas itu, Mohd. Afendi, memberitahu, dia dikejutkan oleh bau hangit yang datang dari arah ruang dapur dan ternampak kepulan asap.

"Saya bingkas bangun dan terkejut apabila mendapati ruang hadapan rumah dipenuhi asap. Saya bergegas ke arah dapur dan mendapati dapur juga sudah terbakar.

"Walaupun panik, saya cuba memadamkan kebakaran tersebut namun gagal. Bimbang api yang semakin marak, saya terus menyelamatkan diri dan anak-anak," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.

Menurut Mohd. Afendi, selepas memastikan anak-anaknya selamat, dia cuba masuk semula ke rumah untuk memadamkan kebakaran, namun gagal kerana api marak dengan cepat.

"Saya hanya mampu melihat dari jauh tanpa sempat berbuat apa-apa. Namun saya bersyukur kami anak-beranak selamat," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Ridzuan Harun ketika ditemui berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 1.19 petang dan seramai 12 anggota serta tiga jentera telah dikerah ke lokasi.

"Sebaik sahaja sampai, hampir keseluruhan rumah yang dihuni oleh dua keluarga itu telah terbakar. Tidak ada kemalangan jiwa berlaku, kerugian dianggar sebanyak RM100,000 dan punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

51 banduan Penjara Marang sambut Hari Bapa

Posted:

51 banduan Penjara Marang sambut Hari Bapa

51 banduan Penjara Marang sambut Hari Bapa


SEBUAH keluarga beramah-mesra sempena sambutan Hari Bapa di Penjara Marang, Marang, baru-baru ini.


MARANG 6 Julai - "Perkara yang tidak dapat dilupakan sehingga ke saat ini ialah saya tidak dapat hadir pada pengebumian bapa kerana terpaksa meringkuk dalam penjara akibat perbuatan sendiri," ujar Ahmad Sharkawi Sulong, 40, ketika ditemui di Penjara Marang dekat sini, baru-baru ini.

Dia menjalani hukuman penjara sepanjang hayat kerana terlibat dengan kumpulan Al-Ma'unah yang pernah menggemparkan negara berikutan tindakan anggota kumpulan itu merompak sejumlah senjata dari Kem Batalion 304 Askar Wataniah (AW) dan Pos AW Kuala Sungai Rui, Gerik, Perak pada tahun 2000.

Sekeras-keras hati lelaki berasal dari Kuala Berang itu jelas kelihatan menahan sebak serta terharu apabila dikunjungi ibu serta adik-beradik yang nyata mengingatkan wajah tulus arwah bapa yang membesarkannya sekian lama.

Namun, kerana kesilapan sendiri, dia bukan sahaja tidak berkesempatan menyambut Hari Bapa sejak 11 tahun lalu, malah tidak berpeluang pulang ke rumah ketika bapanya meninggal dunia kira-kira lapan tahun lalu.

"Memang saya sangat sedih dengan apa yang telah berlaku, namun kedatangan ibu dan adik-beradik membuatkan saya sangat gembira, malah berpeluang memeluk dan mencium mereka untuk kekuatan saya di sini," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Tambahnya, dia amat menghargai usaha pihak penjara yang menganjurkan sambutan itu kerana memberi peluang kepada banduan untuk bersama keluarga.

Jelasnya, dia juga berharap kerajaan Malaysia dan Yang di-Pertuan Agong berkenan memberi pertimbangan dan pengampunan terhadap kesalahan yang dilakukan demi masa depan yang lebih baik.

Ahmad Sharkawi merupakan antara 51 banduan di Penjara Marang yang berpeluang menemui anggota keluarga mereka hari ini sempena sambutan Hari Bapa yang dianjurkan oleh penjara tersebut

Menurut Pengarah Penjara Terengganu, Hamzani Che Berahim, program tersebut merupakan satu aktiviti memotivasikan diri melalui pendekatan mengeratkan jalinan kasih sayang di antara banduan dan keluarga.

Katanya, program itu juga bertujuan memberi kesedaran dan keinsafan kepada banduan.

"Setiap tahun, kita akan memilih seramai 51 banduan untuk menyertai program yang diadakan ini melibatkan pelbagai acara seperti menghadiahkan cenderamata yang dihasilkan oleh banduan di sini serta menghidangkan makanan kepada keluarga mereka.

"Melalui program ini juga, banduan berpeluang berjumpa ahli keluarga mereka dengan lebih dekat tanpa halangan berbanding hari biasa hanya boleh bercakap melalui telefon," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved