Khamis, 7 Julai 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Ubah minda ahli koperasi

Posted:

Ubah minda ahli koperasi

Ubah minda ahli koperasi

Oleh NURUL ANUAR KARIanuar.kari@utusan.com.my

SAMBUTAN terbesar Hari Koperasi Negara (HKN) ke-10 bertemakan 'Transformasi Koperasi Menjana Ekonomi Rakyat' bakal diadakan pada 8 hingga 10 Julai ini dengan jangkaan penyertaan lebih 15,000 pengunjung dan ahli koperasi.

Program anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) itu juga akan dirasmikan sendiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak 9 Julai ini di Medan Letak Kereta, Istana Kehakiman, Presint 3, Putrajaya.

Lebih 300 buah koperasi dan usahawan akan terlibat dalam acara jualan dan pameran selama tiga hari ia berlangsung di samping pertandingan untuk orang ramai, penyertaan artis dan juga program keagamaan.

Pengerusi Eksekutif SKM, Datuk Md. Yusof Samsudin memaklumkan, semua aspek perkembangan sektor koperasi kini meningkat secara positif dengan perangkaan semasa 8,146 koperasi berdaftar, 6.6 juta orang ahli dan aset bernilai RM71 bilion.

"Secara purata tahunan, bilangan koperasi meningkat 11 peratus, ahli empat peratus, saham yuran enam peratus, aset 11 peratus dan pusingan perniagaan 12 peratus setahun.

"Sehingga 31 Disember lalu, pusingan perniagaan koperasi berjumlah RM9.5 bilion dengan saham yuran berjumlah RM7.56 bilion," katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan SKM mahu koperasi di negara ini menerima hakikat mereka perlu berubah untuk maju ke hadapan dan kerana itu juga tema transformasi menjadi pilihan untuk sambutan HKN 2011.

Menurut beliau, beberapa aspek di dalam sistem koperasi perlu berubah untuk berkembang seperti sudut pengurusan, pilihan perniagaan dan kaedah berniaga.

"Kita ambil contoh Bank Rakyat dari aspek pengurusan di mana Lembaga Pengarah koperasi hanya membuat dasar tetapi mereka mengupah pengurusan profesional yang pakar dalam bidang khusus untuk mengurus dan melaksanakan dasar tersebut.

"Koperasi juga perlu meluaskan sayap daripada aktiviti pinjam-meminjam ke bidang seperti pemborongan dan peruncitan, perkhidmatan pelancongan, pertanian dan industri asas tani serta perladangan yang boleh memberi pulangan lumayan," jelasnya.

Selain itu, beliau menyarankan kaedah perniagaan koperasi juga dikembangkan kepada rantaian nilai dalam setiap aspek perniagaan, dari tahap pengeluaran, pembungkusan, promosi, pemborongan dan peruncitan.

"Koperasi boleh menguruskan sendiri setiap peringkat rantaian perniagaan itu sama ada melalui satu koperasi sahaja atau kerjasama antara beberapa buah koperasi berbeza kerana rangkaian inilah yang akan memberi pulangan lumayan berbanding pengeluran semata-mata.

"Kita juga mahu tadbir urus yang baik dijadikan tumpuan kerana ini akan meningkatkan keyakinan orang ramai yang belum menyertai koperasi untuk turut serta atau menyokong usaha ini," tegasnya.

Walaupun gerakan koperasi mula bertapak di Malaysia sejak hampir 90 tahun lalu, sektor ini masih belum mencapai tahap koperasi di negara maju.

Koperasi di Norway dan Finland sebagai contoh, memainkan peranan dominan dalam industri tenusu dengan menghasilkan lebih 96 peratus daripada jumlah pengeluaran susu di negara berkenaan.

Di rantau Asia, koperasi asas tani di Jepun merekodkan pengeluaran melebihi RM272 bilion dengan 91 peratus petani di negara itu menganggotai koperasi.

Sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sektor koperasi di beberapa negara juga amat memberangsangkan seperti di Finland yang menyumbang 21.2 peratus daripada KDNK, New Zealand (22 peratus), Switzerland (16.4 peratus) dan 13 peratus di Sweden.

Untuk itu, sumbangan koperasi di Malaysia disasarkan sebanyak lima peratus KDNK menjelang 2013 di bawah Dasar Koperasi Negara (DKN) 2011-2020 melalui pelbagai bidang sama ada secara bersendirian, program vendor atau kerjasama dengan syarikat swasta, syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat multinasional (MNC).

Bagi penganalisis ekonomi, Fakulti Sains Sosial, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Amir Baharuddin, impak sektor koperasi terhadap ekonomi negara dan masyarakat kini semakin ketara dan diperakui ramai.

Menurut beliau, pengurusan koperasi juga sudah banyak ditingkatkan hasil garis panduan dan undang-undang ketat termasuk aktanya sendiri untuk memantau operasi dan aktiviti koperasi di Malaysia.

"Tahap pergerakan dan pengurusan koperasi semasa amat memuaskan tetapi masih ada ruang untuk penambahbaikan agar dapat menyamai atau menyaingi koperasi di negara maju.

"Pengurusan dan ahli koperasi kini perlu dibimbing dan diasuh agar lebih giat dan mantap dalam menerap nilai koperasi sebagai satu sumber pendapatan untuk ahli dan tumpuan 100 peratus sebagai satu bentuk perniagaan," ujarnya.

Tegasnya, usaha menaikkan koperasi bukan lagi bergantung kepada kerajaan tetapi kepada para ahli sendiri yang perlu mengusahakannya sebaik mungkin dengan menggunakan semua kemudahan yang telah disediakan.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Profesor Datuk Dr. Mohd. Ali Baharum menjelaskan, dasar 1Komuniti 1Koperasi (1K1K) kerajaan banyak membantu peningkatan bilangan koperasi tempatan.

"Kesedaran masyarakat terhadap kepentingan sektor koperasi juga telah banyak meningkat terutamanya dalam membantu para peniaga yang sebelum ini bergerak bersendirian.

"Dengan bergabung dalam satu koperasi, para peniaga bukan sahaja dapat berkongsi sumber malahan dapat memudahkan usaha promosi di samping mendapat pelbagai bentuk bantuan kerajaan," katanya.

Tegasnya, pendekatan baru dengan bersatu dalam menghadapi cabaran pasaran terbuka adalah lebih baik daripada bersendirian di samping tidak perlu bersaing sesama sendiri.

"Jika bersendirian, bukan sahaja kita perlu bersaing dengan koperasi lain malahan sukar mencabar peniaga lain yang kebanyakannya terdiri daripada entiti gabungan mereka sendiri.

"Kini sektor koperasi akan masuk dalam semua bidang dari A hingga Z dengan menggabungkan semua koperasi dalam bidang yang sama kerana mahu penyertaan koperasi memberi impak besar kepada negara," ujarnya.

Dalam menghadapi sasaran Wawasan 2020, Mohd. Ali memaklumkan Angkasa sendiri telah berubah dari sudut pendidikan dan latihan kepada perniagaan.

"Kita mahu masuk ke dalam pelbagai bidang lain dan bawa bersama koperasi-koperasi di bawah Angkasa melalui program-program yang telah dilaksanakan atau yang dirancang kelak.

"Kita mahu menggerakkan Program Transformasi Koperasi (CTP) untuk menukar minda ahli dari skala kecil kepada skala besar, dari minda dividen semata-mata kepada fokus memenuhi keperluan ahli-ahlinya," tegasnya.

Tambah beliau, sektor koperasi juga sebenarnya kini umpama GLC yang menjaga kepentingan negara, bumiputera dan masyarakat untuk dipulangkan kembali kepada ahli-ahlinya.

"Oleh itu, mungkin kerajaan dapat menimbang bantuan yang sama seperti GLC untuk sektor koperasi negara agar dapat terus berkembang dan menyaingi sektor lain dalam menyumbang kepada ekonomi negara kelak.

"Kita mahu jadikan koperasi satu sektor yang disegani dan usaha perlu digerakkan dari sekarang jika kita mahu membantu negara mencapai sasaran pada 2020," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Antara sains, sains sosial dan kalbu

Posted:

Antara sains, sains sosial dan kalbu

Antara sains, sains sosial dan kalbu

Oleh MUHAMMAD SYUKRI SALLEH
PROFESOR DR. MUHAMMAD SYUKRI SALLEH ialah Pengarah, Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia.

KONGRES pertama Majlis Profesor Negara (MPN) pada 6 hingga 8 Julai agak menghiburkan. Selain dari berpeluang berjumpa teman-teman lama dan baru dari seluruh universiti di Malaysia, pembentangan dan wacananya boleh menjadi makanan fikiran yang agak menarik.

Misalnya, dalam Plenari I dan II yang masing-masing disampaikan oleh Pengerusi MPN Profesor Emeritus Datuk Dr. Zakri Abdul Hamid dan Timbalan Pengerusi MPN Profesor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, ada sekurang-kurangnya empat perkara yang telah ditimbulkan.

Pertama, ahli-ahli MPN beraliran sains tabii perlu menggunakan kepakaran masing-masing seboleh-bolehnya untuk membantu negara mengatasi masalah yang berkaitan sains dan teknologi. Ini ditimbulkan oleh Profesor Zakri ketika menyampaikan ucapan bertajuk Ilmu Mentransformasikan Negara: Perspektif Sains, Teknologi dan Inovasi dalam Plenari I.

Kedua, dalam mentransformasikan negara, sains sosial tidak boleh diketepikan, malah jika sains tabii menjadi hardware, maka sains sosial pula adalah softwarenya. Ini dikemukakan oleh Profesor Shamsul Amri ketika menyampaikan ucapan yang diubahsuaikan sedikit dari tajuk asal Ilmu Mentransformasikan Negara: Perpektif Sains Kemanusiaan dalam Plenari II.

Ketiga, sains sosial diakui sangat penting berganding dengan tabii dalam mentransformasikan negara. Tetapi ia tidak boleh berganding secara perkotakan (compartmentalized). Sebaliknya kedua-duanya mesti bergabung dalam satu paradigma agar ia menjadi ilmu yang holistik. Ini disarankan oleh Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Tan Sri Profesor Dzulkifli Abdul Razak ketika memberi reaksi kepada intipati kedua-dua ucapan Plenari.

Keempat, ilmu transformasi perlu mengambil kira kalbu sebagai salah satu perkara penting dalam mentransformasikan negara. Jika sains dan teknologi menjadi hardware dan sains sosial menjadi software, maka kalbu perlu menjadi heartware agar dengan itu ilmu transformasi menjadi lebih lengkap. Ini dikemukakan oleh moderator Plenari II Tan Sri Profesor Dr. Muhammad Kamal Hassan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Selain daripada mengikuti hujah tentang keempat-empat perkara ini, saya juga cuba belajar bagaimana seni penghujahan mereka. Misalnya, sebagai profesor dalam bidang sains yang prihatin dengan masalah persekitaran, Profesor Zakri tentulah logiknya patut menonjolkan keperluan sains dan teknologi dalam mentransformasikan negara.

Begitulah juga dengan Profesor Shamsul Amri. Beliau seorang aktivis sains sosial yang aktif cuba menyedarkan khalayak akan betapa perlunya sains sosial dalam usaha mentransformasikan negara. Beliau kini sedang giat cuba menubuhkan Akademi Sains Sosial, seperti juga Akademi Sains yang sudah sedia ada.

Oleh kerana kedua-dua Profesor Zakri dan Profesor Shamsul Amri bercakap atas dasar kepakaran dan minat masing-masing, maka sekali lalu ia nampak terpisah dan mungkin bercanggah. Masing-masing nampak cuba memperjuangkan bidang masing-masing. Para profesor lain yang menyertai Kongres ini juga barangkali menyokong kedua mereka berdasarkan bidang masing-masing juga.

Namun begitu, Profesor Dzulkifli, walaupun dari bidang sains, cuba membina jambatan antara kedua-dua golongan itu. Beliau mengatakan bahawa gandingan antara sains tabii dan sains sosial tidak boleh dilakukan secara terpisah. Ia mesti bergabung dalam bentuk satu ilmu supaya ia menjadi lebih holistik. Saranan sebegini dibincangkan dengan terperinci dalam Syarahan Utama pada hari kedua Kongres oleh Profesor Dr. Nay Htun dengan tajuk Bridging the Natural Sciences and Social Sciences.

Saya pada mulanya menjangka isu ilmu transformasi ini sudah cukup dengan menggabungkan kedua-dua ilmu sains tabii dan sains sosial ini dalam satu paradigma. Tetapi jangkaan saya itu ternyata meleset.

Ketika menutup Plenari II, Profesor Muhammad Kamal sebagai moderator menimbulkan satu lagi dimensi ilmu yang perlu ada dalam mentransformasikan negara. Ilmu tersebut ialah ilmu kalbu. Baginya tidak cukup sekiranya ilmu transformasi ini hanya mempunyai hardware dan software sahaja. Ia juga memerlukan heartware, kesedaran terhadap peranan hati.

Yang menarik bagi saya sebenarnya bukan sahaja isi hujahnya, tetapi juga bagaimana beliau menyampaikan hujah. Saya yakin beliau menyedari akan kepelbagaian fikiran para profesor dalam Kongres ini, ada yang suka kepada agama dan ada juga yang tidak suka.

Dalam keadaan sedemikian, Profesor Muhammad Kamal memulakan hujah dengan membaca petikan daripada Francis Fukuyama, seorang pemikir yang terkenal melalui bukunya, The End of History. Kemudian beliau membaca petikan tulisan Profesor Shamsul Amri sendiri yang juga menyarankan tentang perlunya nilai-nilai yang baik dalam mentransformasikan sosial.

Setelah mempunyai asas hujah yang kuat begini, barulah beliau menyampaikan tentang kalbu. Ertinya beliau menyampaikan hujah tentang kalbu yang kena mengena dengan agama setelah mengasaskan dahulu justifikasi keperluannya berlandaskan hujah yang dikemukakan oleh tokoh-tokoh yang tidak menggunakan perspektif agama, terutama hujah penyampai Plenari itu sendiri.

Bukan itu sahaja. Beliau juga menyampaikan hujah dengan lembut dan tawaduk. Saya tahu Profesor Muhammad Kamal berpegang kepada hakikat bahawa kalbu mestilah menjadi tunjang kepada ilmu transformasi. Namun begitu beliau dengan penuh kompromi mengatakan tidak mengapa jika ilmu kalbu ini diletak bersama dengan ilmu sains tabii dan sains sosial dalam satu kotak, atau dianggap sebagai ilmu tambahan kepada ilmu sains tabii dan ilmu sains sosial ini.

Hujah Profesor Muhammad Kamal ini sama ada secara langsung atau tidak diperkuatkan lagi dengan hujah Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika menyampaikan Syarahan Perdana bertajuk Mentransformasi Negara Melangkaui 2020 pada sebelah petangnya.

Tun Mahathir berkali-kali menekankan bahawa selepas negara menjadi maju, persoalan moral mesti ditekankan sungguh-sungguh agar kemajuan tidak mewujudkan nilai-nilai yang tidak baik sebagaimana telah banyak muncul sekarang. Moral itu pastinya berkait rapat dengan kalbu yang ditimbulkan Profesor Muhammad Kamal.

Apa yang saya kurang faham ialah kenapa baru sekarang Tun Mahathir menekankan tentang moral, setelah Wawasan 2020 itu sendiri mula melahirkan nilai-nilai yang tidak baik dan tidak bermoral. Kenapa beliau tidak menekankan sekali gus tentang persoalan moral dan nilai-nilai baik ini ketika beliau memperkenalkan Wawasan 2020 dahulu lagi?

Saya bagaimanapun bersyukur kerana arkitek Wawasan 2020 itu sendiri menyedari hakikat ini sekarang. Beliau telah menyuarakannya dengan jelas agar Wawasan 2020 tidak terus menghakis moral dan nilai-nilai baik. Dalam hujah-hujah yang cukup meyakin dan menghiburkan, Tun Mahathir telah mempamerkan kesedaran yang sungguh-sungguh tentang kesan Wawasan 2020 dan cuba memperbaikinya mengikut kapasiti yang ada padanya sekarang.

Ringkasnya, saya bukan sahaja mendapat beberapa ilmu baru daripada Kongres Profesor Negara ini, tetapi juga belajar tentang seni menyampaikan hujah, terutamanya dari Profesor Muhammad Kamal. Tanpa seni berhujah, walau bagaimana baik sekali pun pemikiran yang kita kemukakan, sukar orang menerimanya. Itulah yang saya sering hadapi dan cuba terus belajar. Cuma saya cukup berharap apa yang saya pelajari di Kongres Profesor Negara ini bukanlah merupakan jimnastik dan makanan akal semata-mata. Ia juga akan diikuti dengan praktis oleh semua yang bertanggungjawab.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved