Isnin, 18 Julai 2011

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Pengikut Ayah Pin gagal cabar hak beragama

Posted:

Pengikut Ayah Pin gagal cabar hak beragama

Pengikut Ayah Pin gagal cabar hak beragama

PUTRAJAYA 18 Julai - Seorang pengikut ajaran sesat Ayah Pin yang mengisytiharkan dirinya murtad, gagal dalam usaha untuk merujuk persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan bertujuan mencabar hak dan kebebasan beragama di sisi perlembagaan.

Ia berikutan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang menolak dengan kos rayuan bekas ustazah, Kamariah Ali, 60, selepas berpuas hati bahawa persoalan yang ingin dikemukakan itu merupakan bidang kuasa Mahkamah Syariah, bukan Mahkamah Sivil.

Ia selaras dengan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan yang jelas menyatakan Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan sebarang perkara yang terletak dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Abu Samah Nordin yang bersidang bersama Hakim Datuk Azhar Ma'ah dan Hakim Datuk Clement Allan Skinner.

Kamariah merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) pada 30 Disember 2005 yang menolak permohonannya untuk merujuk isu-isu perlembagaan ke Mahkamah Persekutuan.

Pengikut 'Kerajaan Langit' itu dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi Syariah pada 3 Mac 2008 selepas didapati bersalah di bawah Seksyen 7 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) kerana keluar daripada Islam.

Hakim Azhar ketika membacakan keputusan itu menyatakan, perayu memohon deklarasi bahawa dia mempunyai hak mutlak dan bebas memilih serta menentukan agama pilihan sendiri dan bukan tertakluk kepada pengisytiharan dan/atau pengesahan mana-mana pihak.

Menurut beliau, mahkamah bagaimanapun berpuas hati dengan keputusan terdahulu yang mendapati permohonan bekas ustazah itu merupakan penyalahgunaan proses mahkamah kerana isu yang dibangkitkan itu sudah diputuskan di peringkat Mahkamah Persekutuan.

Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Tan Sri Md. Raus Sharif (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) berpendapat, tindakan tersebut merupakan cubaan kali kedua disebabkan dia sebelum ini telah memohon kepada mahkamah untuk menentukan perkara serupa.

Sehubungan itu, panel tersebut bersetuju dengan dapatan hakim berkenaan bahawa tiada keperluan merujuk isu itu kerana persoalan sebenar yang hendak diketengahkan adalah untuk mendapatkan perisytiharan bahawa dia tidak lagi mengamalkan agama Islam (murtad).

Responden-responden terdiri daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan Kerajaan Negeri Terengganu.

Peguam Datuk Zamani Mohamad hadir mewakili MAIDAM dan bagi pihak Penasihat Undang-Undang negeri, Noor Bahri Baharuddin yang mewakili kerajaan negeri tersebut.

Kamariah diwakili peguam Malik Imtiaz Sarwar manakala Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan mewakili Peguam Negara selaku responden ketiga.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Mahkamah tolak rayuan Elegant Advisory

Posted:

Mahkamah tolak rayuan Elegant Advisory

Mahkamah tolak rayuan Elegant Advisory

KUALA LUMPUR 18 Julai - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak rayuan syarikat pembekal barangan pilihan raya, Elegant Advisory Sdn. Bhd. (Elegant Advisory) berhubung perintah yang membenarkan Barisan Nasional (BN) dan dua pihak yang lain mengetepikan penghakiman ingkar terhadap mereka dalam saman RM218 juta.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mohamad Ariff Md. Yusof di kamar beliau selepas mendengar hujahan peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun yang mewakili tiga defendan terbabit, manakala syarikat tersebut selaku plaintif diwakili peguam Mohd. Nazuddin Abdullah.

Mohd. Hafarizam memberitahu pemberita, rayuan plaintif terhadap keputusan Penolong Kanan Pendaftar mahkamah tersebut pada 23 Jun lalu yang membenarkan permohonan defendan mengetepikan penghakiman ingkar terhadap mereka, ditolak oleh hakim dengan kos RM1,000.

Menurut beliau, mahkamah menetapkan 21 Julai ini sebutan kes tersebut dan dalam masa yang sama pihaknya akan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman plaintif yang difailkan pada 17 Februari lalu.

Dalam saman itu, plaintif menamakan Bendahari Agung BN yang juga Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan pegawai awam BN masing-masing sebagai defendan.

Tindakan itu diambil oleh plaintif atas dakwaan pihak defendan tidak menjelaskan bayaran bekalan barangan dan perkhidmatan semasa Pilihan Raya Umum Ke-11 pada 2004.

Usaha pihak media untuk mendapatkan butiran kandungan writ saman tersebut gagal kerana menurut Mohd. Nazuddin, pihaknya tidak mahu mengganggu perjalanan perbicaraan kes itu.

Plaintif berjaya mendapatkan penghakiman ingkar pada 7 Mac lalu setelah defendan gagal memasukkan kehadiran dalam masa lapan hari setelah saman diserahkan kepada mereka.

Sebelum ini, plaintif telah memfailkan saman yang serupa pada 23 Jun 2008 dengan menamakan bendahari UMNO ketika itu, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi sebagai defendan sebelum nama beliau dibatalkan.

Dalam writ tersebut, syarikat itu mendakwa telah membekal peralatan pilihan raya, pengangkutan serta penerbitan; dan pada pilihan raya umum tersebut tahun 2004 pihaknya membekalkan UMNO dengan pelbagai peralatan pilihan raya yang diperlukan.

Syarikat itu menyatakan, ia kemudiannya menghantar invois RM218,013,475 untuk mendapatkan pembayaran, namun defendan gagal membayarnya.

Pada 10 September 2009, Pesuruhjaya Kehakiman, Anantham Kasinather membatalkan saman Elegant Advisory setelah mendapati tiada kontrak yang sah sama ada secara lisan mahupun bertulis dibuat antara syarikat itu dengan UMNO.

Syarikat itu bagaimanapun pada 25 Ogos 2010 telah gagal memperoleh kebenaran untuk merayu di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan saman RM218 juta terhadap UMNO.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved