Sabtu, 16 Julai 2011

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Kegilaan roller coaster

Posted:

Kegilaan roller coaster

Kegilaan roller coaster

Oleh NORAINI ABD. RAZAK
noraini.razak@utusan.com.my


GUNUNG Fuji menjadi latar belakang Takabisha menjadikan pemandangan di situ menakjubkan.


KEBANYAKAN kita tentu tidak lupa keseronokan bermain tarik-tarik upih pinang. Biar pun jalan berliku dan penuh cabaran, namun keseronokan 'meluncur' di atas upih pinang memang tiada tara. Tidak peduli sama ada si tukang tarik upih berpeluh kepenatan atau punggung terhentak batu kerikil, permainan tradisional itu menjadi kegilaan.

Apatah lagi jika upih ditarik menuruni bukit, apa lagi bergemalah jeritan di sana-sini. Risiko luka, melecet atau pun tergolek tolak tepi, yang penting keterujaan dan keseronokan hasil menuruni bukit menggunakan upih pinang dinikmati sepenuhnya.

Tentunya keseronokan meluncur di atas upih pinang atau kelapa tidak mampu dibandingkan dengan pengalaman menaiki roller coaster.

Ada yang menyifatkan menaiki roller coaster umpama meninggalkan jantung di atas dan mengutipnya semula apabila kaki dipijak di tanah. Tidak semudah upih pinang yang ditarik menuruni bukit, roller coaster menawarkan cabaran yang sukar diucapkan dengan kata-kata.

Lupa dan lepaskan segala-galanya untuk beberapa minit, sememangnya menakjubkan meneroka permainan yang pernah digelar mesin menjerit itu memberi kesan kepad banyak orang dengan pelbagai cara.

Malah ada yang merumuskan menaiki roller coaster memberi pengalaman pertama walaupun telah berkali-kali mencubanya.

Roller coaster juga menjadi perangsang adrenalin bagi mereka yang gemarkan cabaran. Semakin curam dan laju roller coaster nilai tarikannya semakin bertambah.

Terbaru Fuji-Q Highland Amusement Park di Yamanash, Japan menawarkan roller coaster yang menakjubkan iaitu meluncur pada kedudukan menurun paling curam - memecahkan rekod Mumbo Jumbo, Flamingo Land di Yokshire, United Kingdom sejak pembinaannya pada Julai 2009.

Dengan kedudukan paling curam 121 darjah dan kelajuan 100 kilometer sejam, tentunya pengalaman selama 122 saat menaiki Takabisha yang bermaksud 'dominan' itu ditunggu- tunggu mereka yang gilakan cabaran.

Tarikan

Menelan belanja USD40 juta, roller coaster tersebut dengan latar belakang gunung Fuji menemui pengunjung Fuji-Q Highland Amusement Park di Yamanash, Jepun kelmarin. Pakej yang ditawarkan sememangnya mampu 'menghentikan' degupan jantung termasuk tujuh twists, terowong gelap dan ketinggian 43 meter - tentunya paling mengkagumkan adalah kecuraman 121 darjah yang bakal disenaraikan dalam Guinness Book of Records.

Bergantung kepada kombinasi graviti dan set motor linear yang dipasang pada 'kereta' yang memuatkan penumpang, jangan terkejut jika kelajuan 100 kilometer sejam menyebabkan anda umpama terawang-awang di udara.

Semestinya, sebaik diiktiraf sebagai roller coaster paling curam, Takabisha mencatatkan angka ke-14 tarikan Fuji-Q yang direkodkan Guinnes Book of Records menjadikan taman tema itu antara yang paling menarik di dunia.

Lebih menarik apabila pengunjung dapat merasai pengalaman 'dilambung' dan 'terjun' sambil menikmati keindahan salji di puncak gunung Fuji. Itupun kalau mata tidak terpejam rapat dek keasyikan atau menahan rasa gayat gara-gara ayunan Takabisha.

Takabisha juga dijangka merampas gelaran roller coaster terpantas daripada Formula Rossa di taman tema Ferrari World, Abu Dhabi.

Sejarah roller coaster

Permainan roller coaster dikatakan bermula dengan luncur ais di Rusia yang dibina pertengahan kurun ke-17 di negara tersebut dengan fokus utama di St. Petersburg pada 1784. Struktur bangunan meluncur itu dibina daripada kayu gergaji yang diselaputi ais setebal beberapa inci di bahagian permukaan. Penumpang akan memanjat tangga di bahagian belakang bukit ais dan meluncur menggunakan papan mengikut ketinggian bukit.

Catatan sejarah bercerita mengenai Catherine The Great (Permaisuri Rusia) yang mengarahkan pembinaan roller coaster, kemudian dinamakan Russian Mountain di Garden of Orienbaum, St. Petersburg pada 1784.

Biar pun lasak, namun roller coaster di zaman awal pembinaannya dibina daripada kayu dengan reka bentuk yang agak terhad. Kini logam menjadi bahan utama roller coaster dengan reka bentuk lebih canggih dan menguji kreativiti malah boleh saja disifatkan sebagai mengundang kegilaan bukan sedikit.

Les Montagnes Russes dan Promendes Ariennness merupakan dua roller coaster terawal dibina di Perancis, Roller coaster ini mempunyai kereta kayu dengan roda yang disambung pada trek kayu.

Tentu ramai yang tidak tahu roller coaster juga pernah digunakan di lombong arang batu. Mauch Chunk Railway mempunyai trek sepanjang 60 kilometer dengan maksimum had laju melebihi 100 batu sejam dibina untuk tujuan tersebut.

La Marcus Thompson dikenali sebagai The Father of The Roller Coaster telah membina roller coaster kayu pertama di dunia dikenali sebagai La Marcus Thompson Switchback Railway. Beliau merupakan orang berpengaruh dalam sejarah pembinaan roller coaster.

Carl Bacon dan Ed Mogan telah membina roller coaster Matterhorn Bobsleds di Disneyland, Anaheim, California menggunakan trek logam berbentuk tabung yang pertama pada tahun 1959.

Bacon juga telah membina roller coaster berbentuk corkscrew di Knots Berry Farm Beunna Park california 1968.

Pada tahun 1990an hypercoaster telah dibina dengan ketinggian melebih 61 meter oleh syarikat Arrow Dynamics of Clearfield yang kemudiannya memonopoli industri hypercoaster.

Pada 1999, sebuah roller coaster dengan ketinggian melebihi 73 meter dengan kelajuan 80kilometer sejam telah dibina di Valencia California.

Kazou Yamada orang pertama membina stand up roller coaster pada 1990-an di Jepun. Penumpang perlu berdiri ketika menaiki roller coaster itu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Ibarat mendapat ‘nyawa’ kedua

Posted:

Ibarat mendapat 'nyawa' kedua

Ibarat mendapat 'nyawa' kedua

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my
Foto IRWANMAJID

HAMPIR 10 tahun menderita dan kini ibarat mendapat 'nyawa' kedua, tiada apa yang mampu diungkapkan Jamal Mohamad (bukan nama sebenar) melainkan memanjat sejuta kesyukuran ke hadrat Ilahi.

Sambil membelek-belek bekas lengannya yang lebam akibat terlalu lama menjalani hemodialisis, lelaki berusia 30-an itu tersenyum. Dalam nada berjenaka dia berkata, adakalanya ketika ini dia terasa bosan kerana terlalu banyak lebihan masa.

Manakan tidak, jika dahulu tiga kali setiap minggu dia perlu menjalani dialisis akibat kerosakan kedua-dua buah pinggang. Acara wajib itu sudah sebati dalam diari hidupnya.

Namun semua itu berubah sejak tiga bulan yang lalu. Semuanya berlaku selepas dia berjaya menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang di luar negara.

Menceritakan bagaimana dia mula mengetahui salah satu organ penting dalam tubuh mengalami kerosakan, eksekutif muda itu tunduk sayu. Menurutnya, ketika itu usianya belum mencecah 30 tahun. Sakit kepala teruk yang dialami membuatkan rakan baiknya menyarankan agar dia menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh bagi mengenalpasti puncanya.

Dia ditahan di hospital namun sepanjang berada dalam wad, doktor tidak memberitahu apa punca kesakitan tersebut.

"Saya hanya tahu daripada majikan yang bertanyakan doktor mengenai penyakit saya. Ketika mendengar khabar itu, saya rasa seperti dunia terhenti seketika," katanya mengingati detik sedih itu.

Umur masih muda, karier pula baru hendak bermula. Pelbagai persoalan bermain di fikirannya. Mengapa dia?

Jamal tidak merokok, tidak mengalami penyakit diabetis, darah tinggi atau sebagainya. Dia juga menjalani kehidupan sihat malah semua ahli keluarganya tidak ada sejarah penyakit itu.

Kecewa dan sedih dan sukar digambarkan sering menghantui diri. Penyakit itu juga sedikit sebanyak menjejaskan tanggungjawab kerana perlu kerap menjalani rawatan. Pernah juga dia terfikir untuk berhenti kerja dan pulang ke negeri asalnya, namun itu bukan penyelesaian.

Mujurlah apabila melihat penderitaan orang lain yang lebih teruk, hatinya sedikit terubat.

"Menjalani dialisis mendekatkan saya dengan pesakit dari pelbagai latar. Ada yang terpaksa menanggung kos rawatan sendiri kerana tidak bekerja, ada yang terpaksa menggagahkan diri menaiki bas kerana tidak mahu menyusahkan saudara. Dari situ saya bersyukur, sekurang-kurangnya saya memiliki kerja yang tetap dan ada sedikit simpanan untuk membayar tambang teksi setiap kali pergi menjalani rawatan," katanya.

Melihat kesusahan orang membuatkan dia muhasabah diri. Apa jua musibah yang menimpa dia perlu reda kerana percaya aturan yang Maha Esa itu melebihi segala-galanya.

Transplan

Melalui rakan-rakan yang menjalani dialisis, Jamal mendapat tahu mengenai prosedur transplan di luar negara. Memang kos yang diperlukan sangat tinggi namun dia menganggap harga sebuah 'nyawa' mengatasi segala-galanya.

"Seorang pesakit yang pulih selepas menjalani pemindahan buah pinggang di sana menjadi motivasi untuk saya mengumpul wang dan sentiasa berfikiran positif," katanya.

Jamal sukar menceritakan bagaimana dia berjaya mengharungi perjalanan pergi dan pulang ke tanah air walaupun ketika itu baru seminggu menjalani pembedahan major.

Bayangkan dengan kaki yang membengkak dan bahagian abdomen masih terasa berbisa, penerbangan menaiki kapal terbang lebih kurang lima jam itu dirasakan terlalu lama.

Namun, baginya semangat mengatasi segala-galanya. Apatah lagi pemergian ke sana diiringi ibu tersayang yang sentiasa bersama ketika susah dan senang.

Alhamdulillah, kini selepas tiga bulan menjalani pemindahan buah pinggang, tubuhnya kembali pulih seperti biasa. Jamal bersyukur kerana dia tidak mempunyai komplikasi lain seperti diabetis dan tekanan darah tinggi menjadikan proses pemulihan berjalan dengan cepat.

Kini dia tidak mahu lagi berduka dan memikirkan peristiwa yang telah berlaku. Segala kekuatan dikerah kembali dan apa yang lebih penting segala perancangan yang tergendala akibat kesakitan yang dialami selama ini kembali tersusun.

Walaupun terdapat sedikit kesan sampingan daripada ubat antipenolakan dan steroid yang perlu diambil selepas pembedahan, kata Jamal, kesakitan yang ditanggung ketika dulu lebih hebat lagi.

"Bagi mereka yang mengalami masalah seperti saya, kita kena banyak bersabar dengan dugaan Tuhan. Saya selalu rasa bersyukur bila bangun pagi kerana masih diberi nafas untuk menjalani hidup sehari lagi.

"Kita kena kuat semangat dan jangan mengalah. Kalau terasa sedih atau teramat sakit, saya cuma mampu menangis sendiri dan kemudian akan rasa lega. Ingat satu perkara, Tuhan tak akan menghukum kita selamanya," katanya mengakhiri perbualan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved