Isnin, 13 Jun 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


SPR jawab tuntutan 'Bersih'

Posted:

SPR jawab tuntutan 'Bersih'

SPR jawab tuntutan 'Bersih'

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

"SAYA tidak suka panggil ia Bersih... saya lebih gemar panggil ia kumpulan, sebab ia ada agenda.

"Sebarang demonstrasi tidak akan selesaikan masalah. Demonstrasi ini tidak akan meluluskan pindaan kerana kerajaan sedia ada tidak ada majoriti dua pertiga. Saya pun sudah jelaskan kepada Ambiga (Ketua Pemantau Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil atau Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan) dalam surat saya dan pertemuan secara panjang lebar tapi dia ni masih tetap mendesak supaya dipinda peruntukan peraturan SPR ikut kehendaknya."

Demikianlah reaksi Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abd. Aziz Mohd. Yusof mengulas rancangan Bersih yang disertai parti-parti pembangkang dan badan bukan kerajaan mahu menganjurkan tunjuk perasaan pada 9 Julai ini di ibu negara yang kononnya menuntut pilihan raya lebih adil dan bersih.

Sebenarnya, sekitar Disember tahun lepas, Ambiga dan gerombolannya ada bertemu dengan Abd. Aziz; dan timbalannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar serta para pegawai kanan suruhanjaya itu. Ambiga dikatakan datang bersama sembilan yang lain seolah-olah hendak mengajar cara kerja SPR serta membangkitkan semua isu pilihan raya dalam perspektifnya. Ambiga datang seolah-olah dia pakar dalam kerja SPR.

Abd. Aziz yang baru pulang ke tanah air dari mengerjakan umrah kelmarin memberitahu Utusan Malaysia di Putrajaya semalam bahawa SPR sendiri terkejut dengan ceteknya pengetahuan Ambiga apabila dia membangkitkan isu tentang pendapat Bersih bahawa tiada halangan untuk dibenarkan pendaftaran pengundi secara automatik.

Ambiga bertanya kepada SPR kenapa tidak dibuat pendaftaran automatik, maka dijawab Abd. Aziz bahawa Malaysia perlu meminda Perlembagaan dahulu. Namun, dibalas oleh Ambiga, tak perlu.

"Saya terkejutlah, takkan Datuk Ambiga tak tahu bahawa Perkara 119 (4) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyebut bahawa pendaftaran menjadi pemilih perlu dibuat secara memohon."

Menurut Abd. Aziz dengan ketika ini hendak meminda Perlembagaan memerlukan majoriti dua pertiga, maka bukan sesuatu yang mudah untuk sesuatu pindaan itu dibuat.

Pengerusi SPR itu turut menjelaskan satu persatu bagi menjawab rasa tidak puas hati Ambiga atau lebih tepat lagi 'Bersih' sehingga merangsang pertubuhan itu untuk menggerakkan demonstrasi haram bulan depan.

Antaranya tentang desakan supaya dibersihkan senarai Daftar Pemilih sedangkan senarai pengundi berdaftar dibersihkan SPR sepanjang masa.

Ada tiga cara. Pertama, nama mereka yang telah meninggal dunia dikeluarkan daripada senarai pengundi. Ia memerlukan kerjasama rapat antara SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Justeru, SPR memerlukan kerjasama daripada waris si mati yang perlu mengambil sijil pengkebumian yang dikeluarkan oleh polis sebelum ke JPN untuk mendapatkan sijil mati. Waris kemudian bawa sijil mati ini ke SPR untuk tindakan. SPR sendiri tidak boleh sesuka hati memotong nama seseorang pengundi.

Kedua, pembersihan melibatkan alamat mengikut kad pengenalan. Mengikut undang-undang pendaftaran, seseorang yang tinggal di satu-satu tempat selama tiga bulan atau lebih, harus menukar alamat tempat tinggalnya menerusi JPN.

Kemudian dimaklumkan kepada SPR sebab SPR hanya mendaftar pengundi mengikut alamat dalam kad pengenalan (MyKad). Contohnya, jika seseorang tinggal di Kuala Lumpur tetapi mengundi di Pulau Pinang, itu bermakna senarai pengundi kita tidak boleh dibersihkan.

Abd. Aziz menjelaskan, dalam kes ini, jika orang kuat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri hendak membantu SPR, maka dia kena tukar tempat mengundi ke tempatnya tinggal sekarang di Segambut.

"Macam saya dulu mengundi di Ampang tetapi disebabkan kini saya bermastautin di Seksyen 7, Shah Alam, maka saya tukar tempat mengundi ke situ," katanya.

Namun, kata beliau, jika berbeza tempat tinggal dan kawasan mengundi pun, ia tidak akan mendatangkan masalah kepada SPR.

"Ya, pengundiannya masih sah tetapi situasi inilah menyebabkan timbulnya tuduhan wujud 'pengundi hantu' dalam daftar pemilih seperti mana didakwa parti-parti pembangkang. Sebenarnya istilah 'pengundi hantu' tidak wujud, sebaliknya berpunca daripada keengganan pengundi menukar tempat mengundi seperti mana alamat tertera di dalam kad pengenalan.

"Mengikut perkiraan SPR, peratus mereka berpendirian seumpama ini melebihi 50 peratus. Sebab itu, kita lihat apabila pilihan raya kecil sahaja, beribu-ribu orang balik ke kampung untuk mengundi.

Tegas Abd. Aziz, Malaysia tidak boleh melaksanakan pendaftaran secara automatik. Pertama, kerana ia memerlukan pindaan Artikel 119 Perlembagaan Persekutuan. Ini kerana pendaftaran sebagai pengundi dibuat secara memohon.

"Jika daftar secara automatik seperti mana yang selalu digesa oleh parti-parti pembangkang, maka akan kacau-bilau negara ini. Ini kerana semakin ramai orang tidak dapat mengundi kerana kawasan tempat mengundi dan alamat tempat tinggal tidak sama.

"Ini juga kerana pengundian dibuat berdasarkan alamat dalam kad pengenalan. Justeru, ia mengakibatkan peratusan keluar mengundi akan berkurangan sehingga bawah 50 peratus. Situasi ini berlaku di Bosnia Herzegovina apabila pendaftaran mengundi dibuat secara automatik tetapi pengundian tidak diwajibkan. Akibatnya, peratus keluar mengundi menurun mendadak bawah 50 peratus," katanya.

Demikianlah juga apabila Bersih mendesak supaya kelayakan mengundi dikurangkan dari usia 21 tahun kepada 18 tahun. Dengan jumlah sekarang sahaja menyaksikan sebanyak empat juta belum mendaftar, inikan pula apabila kelayakan itu dikurangkan kepada 18 tahun.

Risikonya, kata Abd. Aziz jika dua perkara itu dilaksanakan, parti-parti pembangkang di negara ini akhirnya akan menuduh SPR macam-macam.

"Kata SPR bodohlah, desak Pengerusinya letak jawatan. Inikan bila empat atau lima orang tidak boleh mengundi, sudah lempar macam-macam tuduhan. Nanti kalau dikuatkuasakan pendaftaran automatik, tak tahu apa pula diburuk-burukkan SPR ini," kata Abd. Aziz.

Beliau turut menolak kecaman Ambiga bahawa kononnya SPR kendaliannya tidak berbuat apa-apa dalam menangani isu rasuah semasa pilihan raya.

Tegasnya, SPR menjalin kerjasama bestari dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam membanteras rasuah pilihan raya dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula untuk kes jenayah dan kekecohan ketika kempen.

"Jika tidak ada kemahiran tetapi kita tetap laksanakan, kemudian kita gagal dan malu sendiri. Apatah lagi sekarang ramai sangat peguam yang 'pandai'. Jadi, kita kena bijaksana dalam soal 'menggigit' kerana sekarang yang 'hitam boleh jadi putih' dan 'yang putih boleh jadi hitam' apabila sesuatu kes rasuah disebut di mahkamah.

"Macam kes Datuk Zaid Ibrahim bangkitkan dakwaan rasuah di Hulu Selangor, mahkamah pun tolak kes itu... jadi, kalau nak menggigit, Ambiga mesti pastikan gigitan itu tepat dan ada kesan," katanya.

Dalam soal ini, tegas Abd. Aziz, SPR menggesa rakyat Malaysia menolak sama sekali rancangan pembangkang mahu mengadakan perhimpunan Bersih.

"Ia bukan 'Bersih', kalau pilihan raya kita tidak bersih masakan pembangkang boleh menang lapan daripada 16 pilihan raya kecil di negara ini sejak Mac 2008.

"Apakah jika pembangkang menang semua sekali kerusi dalam 16 pilihan raya kecil itu, maka demokrasi dikatakan telah bersih... jika itu tanggapannya, SPR serahkan kepada rakyat Malaysia untuk menilainya," kata Abd. Aziz.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Kumpulan bukan ulama ubah haluan Pas?

Posted:

Kumpulan bukan ulama ubah haluan Pas?

Kumpulan bukan ulama ubah haluan Pas?

Oleh MUHAMMAD AFIFI ABDUL RAZAK
PENULIS ialah Pensyarah Sains Politik di Program Pengajian Antarabangsa, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia.

KEPUTUSAN pemilihan barisan kepimpinan baru Pas sempena Muktamar Tahunan Ke-57 parti tersebut baru-baru ini menyaksikan kumpulan bukan ulama 'menewaskan' golongan ulama.

Kumpulan bukan ulama yang berfahaman Islam-liberal menyapu bersih semua jawatan utama parti kecuali jawatan Presiden dan beberapa jawatan Ahli Jawatankuasa Pusat (AJK).

Sehingga 2013, 'ayam tambatan' Pas, Mohamad Sabu menjadi Timbalan Presiden Pas, manakala gandingan 'trio' Salahuddin Ayub, Datuk Husam Musa dan Datuk Mahfuz Omar menguasai jawatan Naib Presiden, sementara beberapa orang golongan bukan ulama dan profesional dipilih menduduki lebih separuh daripada 18 jawatan dalam AJK Pusat.

Sebenarnya, keputusan pemilihan Pas ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Malah ia sudah lama dijangka. Hanya masa menentukannya. Dan hari ini, semua yang dijangka sudah pun menjadi kenyataan. Kumpulan bukan ulama sudah pun menguasai Pas, sebuah parti Islam tertua di Malaysia, untuk sekurang-kurangnya hingga 2013.

Bibit-bibit perubahan kepimpinan Pas ini mula jelas kelihatan selepas perubahan pucuk pimpinan Pas yang berlaku selepas kematian bekas Presiden Pas, Allahyarham, Datuk Fadzil Noor.

Usaha 'merampas' tampuk kepimpinan Pas daripada golongan ulama kepada golongan bukan ulama dirancakkan lagi apabila berlaku perkara-perkara berikut, iaitu; isu pemecatan Anwar Ibrahim, penubuhan Parti Keadilan Rakyat (PKR), penubuhan gagasan Pakatan Rakyat, dan usaha terancang oleh pihak-pihak tertentu untuk mengembangkan fahaman 'Anwarisme' di kalangan kepimpinan dan penyokong Pas.

Semua usaha ini berjaya apabila Pas sendiri bersetuju 'bersekongkol' dan bekerjasama dalam pakatan pembangkang bagi menghadapi pilihan raya umum pada 1999, 2004, dan 2008 yang lalu.

Malah Pas juga bersetuju menerima Anwar Ibrahim, seorang yang bukan ulama, untuk menerajui pakatan pembangkang dan gagasan Pakatan Rakyat, serta sebagai ketua pembangkang di Parlimen.

Walaupun Pas menyedari bahawa semua usaha ini bakal menjejas dan menggadaikan prinsip-prinsip tradisional yang telah lama dipegangnya sejak dahulu, tetapi demi untuk mendapatkan kuasa politik, Pas sanggup membelakangkan semua ini.

Hari ini, terbukti, demi kuasa politik, Pas sanggup menggadaikan prinsip-prinsip utamanya. Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam sesi ucaptamanya di Muktamar Tahunan Pas ke-57 baru-baru ini dengan jelas mengatakan bahawa parti itu akan memperjuangkan konsep 'negara kebajikan' dan bukan lagi konsep 'negara Islam'. Ini kerana menurut beliau, konsep 'negara kebajikan' adalah selaras dengan ajaran Islam.

Hujah sedemikian sebenarnya memberikan satu petanda bahawa Pas bakal merubah haluannya daripada sebuah parti politik Islam yang berjuang atas fahaman Islam-Tradisionalis kepada sebuah parti Islam yang akan berjuang atas fahaman Islam-Liberal.

Tetapi, ironinya, sebagai sebuah parti yang kononnya mendakwa turut mengamalkan hak dan kebebasan bersuara atas nama demokrasi, perubahan kepimpinan Pas ini sebenarnya bukanlah datang daripada hasrat akar umbi parti tersebut. Sebaliknya, perubahan ini datangnya daripada faktor luaran.

Kegagalan Pas sebagai sebuah parti alternatif kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia sejak merdeka telah mencetuskan satu persoalan di kalangan para pimpinan muda serta penyokong parti tersebut.

Kebanyakan daripada mereka ini berfikiran bahawa sudah tiba masanya Pas mengubah haluannya ataupun dipimpin oleh golongan bukan ulama yang dilihat lebih energetik, liberal dan proaktif.

Golongan ulama dalam Pas sering kali dilihat gagal untuk memahami kehendak golongan muda, profesional dan non-partisan yang sebenarnya mempunyai sedikit minat dan simpati dengan Pas dan sedang meninjau alternatif untuk sebuah parti politik baru selain daripada apa yang sedia ada dalam konteks politik nasional di Malaysia.

Kedegilan golongan ulama yang kebanyakan berfahaman tradisionalis ini telah mendorong wujudnya kelompok-kelompok liberal dalam Pas.

Mereka ini sedia untuk menerima apa sahaja input-input baru yang positif yang boleh menjayakan parti mereka. Mereka turut berasa sangat teruja dengan sifat karismatik yang dimiliki oleh Anwar. Oleh demikian, tidak hairanlah kepada kita bagaimana berjayanya 'jarum' fahaman 'Anwarisme' di cucuk masuk dengan begitu teliti sekali oleh golongan tertentu ke dalam Pas.

Dan hasil daripada semua ini, kita dapat lihat pada hari ini di mana barisan baru kepimpinan Pas berjaya dikuasai oleh golongan bukan ulama yang selalu dikaitkan dengan gelaran Anwarinas.

Pandangan awal daripada senario ini ialah golongan yang pro-Anwar telah pun menang dengan jayanya. Tekanan hebat pastinya terhadap Abdul Hadi dan beberapa 'kerat' barisan AJK yang terdiri daripada golongan ulama, serta para pimpinan ulama dalam Dewan Ulamanya, termasuk Mursyidul Am, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat.

Dewan Ulama Pas mungkin boleh diharapkan untuk mengimbangi pengaruh golongan bukan ulama dalam barisan kepimpinan Pas. Tetapi sikap Mursyidul Amnya yang seringkali mempertahankan Anwar dalam pelbagai isu termasuk isu liwat dan video seks mungkin bakal mengecewakan Presiden Pas.

Beliau mungkin terpaksa menjadi 'lone ranger', berjuang bersendirian dengan beberapa orang golongan ulama yang masih ada dalam barisan kepimpinan parti demi untuk mempertahankan sisa-sisa prinsip parti Pas yang masih ada.

Sememangnya, dalam politik, segalanya adalah mungkin untuk berlaku. Tidak siapa sangka bahawa Pas, sebuah parti Islam yang tertua di Malaysia yang telah lama diterajui dan dipimpin oleh golongan ulama hari ini dipimpin pula oleh kumpulan bukan ulama.

Tetapi kumpulan bukan ulama ini juga ialah golongan yang 'sedar Islam' tetapi bukannya sangat 'faham Islam' sebagaimana golongan ulama Pas yang sedia ada.

Dengan ini, kita boleh mengandaikan bahawa penguasaan kumpulan bukan ulama dalam Pas sebagaimana yang berlaku pada hari ini bakal merubah haluan parti Islam tersebut daripada sebuah parti yang berjuang atas nama Islam yang 'sebenar' kepada sebuah parti yang bakal berjuang atas dasar 'Islam-Liberal', yang mana matlamat sebenar perjuangannya boleh dipertikaikan akan 'keikhlasannya'.

Mungkin juga selepas ini Pas boleh memperkenalkan 'dirinya' sebagai 'Parti Islam-Liberal SeMalaysia'.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved