Ahad, 18 Mei 2014

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Komited sedia pengangkutan cekap

Posted: 17 May 2014 12:21 PM PDT

Oleh MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI
utusan.johor@gmail.com

MOHAMED Khaled Nordin melihat keadaan dalaman Proton Persona yang dijadikan sebagai teksi yang baharu selepas beliau merasmikan Mesyuarat Tahunan Ke-19 Koperasi Pemandu-pemandu Teksi Bandaraya Johor Bahru Berhad di Dewan Perbandaran Produktiviti, Johor Bahru, semalam. - MINGGUAN/AMIN FARIJ HASAN

JOHOR BAHRU 17 Mei - Kerajaan negeri komited untuk menyediakan sistem perkhidmatan pengangkutan awam yang cekap, berkesan dan diyakini oleh masyarakat, khususnya di kawasan yang sedang pesat membangun seperti Iskandar Malaysia.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, selain bas, perkhidmatan teksi turut memainkan peranan penting terhadap pembangunan dan kemajuan negeri itu.

Justeru, pemandu teksi perlu proaktif dan melengkapkan diri dengan menguasai bahasa antarabangsa bagi memastikan mereka dapat berkomunikasi dan memberi khidmat terbaik semasa berurusan dengan pelanggan.

Jumlah kemasukan pelancong asing ke negeri ini sentiasa meningkat dan mereka banyak bergantung kepada perkhidmatan teksi untuk bergerak. Jadi, amat penting bagi pemandu teksi di negeri ini mampu berkomunikasi dengan baik," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Ke-19 Koperasi Pemandu-pemandu Teksi Bandaraya Johor Bahru Berhad, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Wilayah Selatan, Mustafa Mohd. Jizat dan Pengerusi koperasi berkenaan, Mahzaban Md. Amin.

Menteri Besar berkata, pelbagai institusi menyediakan kursus untuk mempelajari bahasa antarabangsa khususnya bahasa Inggeris dan berharap pemandu teksi menyertai kursus berkenaan untuk meningkatkan kemahiran bahasa mereka.

Dalam pada itu, beliau turut meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) mewujudkan unit pengangkutan yang bertujuan merangka pelan terbaik dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan dan menyelesaikan masalah berkaitan.

Selain itu, pihak Perbadanan Pengangkutan Awam Iskandar Malaysia (Paim) sedang giat membangunkan satu aplikasi telefon pintar yang bertujuan meningkatkan mutu perkhidmatan teksi.

Aplikasi tersebut dibangunkan dengan kos keseluruhan RM130,000 dan dijangka diperkenalkan kepada masyarakat bermula Ogos ini," katanya.

Perggghh… Sedapnya! Saji hari ini

Posted: 17 May 2014 12:21 PM PDT

JOHOR BAHRU 17 Mei - Pertandingan memasak Perggghh Sedapnya! Saji bersama Kelab Kebajikan Dan Sosial Tun Teja Malaysia dan Adabi 2014 akan berlangsung di Angsana Mall di sini pada Ahad ini dengan penyertaan masih dibuka sebelum ia bermula pukul 12 tengah hari.

Eksekutif Pengurusan Jenama Utusan Karya Sdn. Bhd. (UKSB), Rosnah Abdul Aziz berkata, program anjuran majalah Saji dengan kerjasama Kelab Kebajikan dan Sosial Tun Teja Malaysia dan Adabi itu memerlukan peserta menyajikan dua jenis lauk-pauk yang disediakan lebih awal di rumah.

Hidangan pertama wajib menggunakan rempah ratus Adabi manakala juadah kedua pula adalah masakan inovatif dan kreatif berasaskan ikan, daging, ayam atau makanan laut dengan menggunakan sambal belacan atau sos pasta Adabi.

Peserta hanya perlu membawa masakan yang telah siap dimasak dan markah akan dikira berdasarkan rasa, persembahan, kebersihan serta kreativiti hiasan masakan," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Pertandingan yang turut diadakan di beberapa lokasi itu mendapat kerjasama daripada penaja utama iaitu Kelab Kebajikan & Sosial Tun Teja Malaysia (KKDSTTM) dan Adabi serta penaja bersama Petron Gasul, Kinowell Healthy Kitchen, Avon dan Nur Hayah Travel & Tours.

Menurut Rosnah, tiga pemenang pertandingan akan mewakili zon selatan pada peringkat akhir yang akan diadakan Oktober nanti yang memerlukan mereka memasak secara langsung dan pihak penganjur akan menyediakan rempah, dapur dan gas manakala selebihnya seperti bahan mentah disediakan sendiri.

Setiap peserta yang berminat untuk bertanding esok akan dikenakan bayaran sebanyak RM40 dan menerima langganan percuma majalah Saji selama tiga bulan, Apron Saji dan produk barangan Adabi.

Penyertaan masih lagi dibuka dan kepada mereka yang berminat bolehlah mendapatkan borang di dalam majalah Saji, akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo!.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved