Isnin, 14 April 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Tajul Urus lawat mangsa ragut di Sungai Petani

Posted: 13 Apr 2014 11:42 AM PDT

TAJUL Urus Mat Zain (tengah) bertanyakan sesuatu kepada bapa mangsa ragut, Rosnawi Zenon ketika melawat Norhariani Rosnawi (kiri) di Taman Malinja Semeling dekat Sungai Petani, Kedah, semalam. - UTUSAN/Abd. Razak Osman

SUNGAI PETANI 13 April - Nasib pelajar yang cedera dalam kejadian ragut pada 9 April lalu di Taman Malinja, Semeling di sini mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya negeri, Datuk Tajul Urus Md. Zain hari ini.

Menurut Tajul Urus, pihaknya bersimpati dengan apa yang menimpa pelajar terbabit, Norhariani Rosnawi, 17, dan meminta agar pihak polis mengetatkan rondaan di kawasan hitam yang sering berlaku jenayah ragut.

Saya amat bersimpati dengan kes-kes begini dan meminta polis ketatkan rondaan di kawasan hitam kes ragut yang dikenalpasti supaya tragedi seperti ini tidak berulang," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Dalam kejadian itu, mangsa retak tulang bahu kiri dan cedera di bahagian muka apabila seorang lelaki yang menaiki motosikal cuba memotong motosikalnya untuk meragut beg tangan yang diletakkan di dalam raga.

Menurut Norhariani, penjenayah gagal meragut beg tangan itu kerana ia diikat pada motosikal yang ditungganginya.

Penjenayah itu sempat menendang motosikal menyebabkan saya terjatuh tepi jalan, kesannya saya mengalami kecederaan pada tulang bahu dan di bahagian muka.

Keadaan saya beransur baik dan kini berehat di rumah selepas mendapat rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani," katanya.

Kuala Kangsar tumpuan pelancong

Posted: 13 Apr 2014 11:42 AM PDT

Oleh Hashim P. Mamat
utusanperak@utusan.com

KUALA KANGSAR 13 April - Jumlah kehadiran pelancong yang semakin meningkat membuktikan bandar ini sebagai destinasi pelancongan yang semakin popular terutama pada hujung minggu dan cuti sekolah.

Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Khairil Anuar Wan Ahmad (gambar) berkata, peningkatan kehadiran pelancong ke sini adalah hasil kerjasama penduduk yang sebenarnya turut memainkan peranan dalam mempromosikan lokasi-lokasi menarik di kawasan ini.

Untuk itu, sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM 2014) penduduk dan peniaga di bandar ini perlu mengambil kesempatan bagi menarik seramai mungkin pelancong," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Info 1Malaysia Komuniti 1Malaysia Mukim Sayong-Kampung Talang dan Karnival Fiesta Belia Mesra 1Malaysia Daerah Kuala Kangsar di sini hari ini.

Program anjuran bersama Pejabat Penerangan Daerah dan Pejabat Belia dan Sukan daerah itu dimeriahkan dengan pelbagai pameran oleh agensi-agensi kerajaan, pertandingan memancing, pameran kereta, pertandingan kompang, persembahan nasyid, qasidah dan gurindam.

Tambah Wan Khairil Anuar, pelbagai program yang diadakan di Dataran Sungai Perak yang terletak di bandar ini secara tidak langsung merupakan satu promosi kepada pelancongan di samping menghidupkan suasana di bandar ini.

Menurutnya, kedatangan pelancong bakal menambahkan pendapatan peniaga terutama pengusaha makanan dan produk kraftangan yang menjalankan perniagaan berhampiran dengan Dataran Sungai Perak.

Katanya, kemudahan asas dan persekitaran yang menarik di dataran itu yang dimajukan oleh Majlis Perbandaran, Kuala Kangsar (MPKK) telah mengubah landskap di tepi Sungai Perak.

Kemudahan tempat letak kereta, surau, suasana ceria dan kebersihan menarik perhatian pelancong untuk datang ke bandar ini," katanya.

Kampung Menora bakal miliki pekan kecil

Posted: 13 Apr 2014 11:42 AM PDT

KUALA KANGSAR 13 April - Sebuah pekan kecil akan dibangunkan antara Kampung Menora dengan Kampung Senggang dekat sini yang bakal memberikan kemudahan kepada kira-kira 10,000 penduduk sekitarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Chandan, Mazlin Sham Razman berkata, kawasan terbabit dikenal pasti sebagai berdaya maju untuk dibangunkan sebuah pekan kecil memandangkan kampung sekitarnya agak jauh dari bandar ini.

Beliau memberitahu, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) telah menyatakan minat untuk membangunkan pekan kecil berkenaan kerana ia terletak di kawasan strategik.

Saya dan pihak PKNP telah membuat tinjauan di tapak cadangan dan lokasi yang dikenal pasti kelmarin. Kini hanya menunggu tindakan selanjutnya oleh pihak-pihak berkenaan.

Kawasan untuk pekan kecil ini terletak berhampiran Dataran Sungai Perak di Lebuh Raya Utara-Selatan yang menjadi jalan keluar masuk penduduk untuk melakukan urusan masing-masing setiap hari.

Tapak yang dicadangkan akan memberi kemudahan kepada penduduk di Kampung Senggang, Kampung Bekor, Kampung Mandah, Kampung Kubang Pekan, Kampung Rambai Tujuh, Perkampungan Orang Asli Mandah, Kampung Chermin dan beberapa kampung lagi," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambah beliau, pembangunan pekan kecil itu merupakan satu lagi usaha kerajaan untuk membantu penduduk menjalankan urusan harian di samping mudah untuk memasarkan barangan mereka sendiri.

Menurutnya, pihaknya akan membantu PKNP membangunkan pekan kecil tersebut termasuk dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Daerah serta lain-lain agensi tempatan.

Dengan wujudnya pembangunan sebegini, ia diharapkan dapat mewujudkan peluang pekerjaan dan mengurangkan penghijrahan anak muda ke bandar.

PKNP akan membina rumah kedai, gerai dan dataran untuk pasar tani atau pasar harian di pekan kecil itu kelak, juga membantu penduduk mendapatkan rumah mampu milik," ujar beliau.

Di samping itu katanya, Yayasan Bina Upaya (YBU) akan membantu penduduk yang berpendapatan bawah RM3,000 sebulan memohon Skim Rumah Insan Aman Jaya (SRIA) dengan pinjaman tanpa faedah pada harga RM40,000 hingga RM60,000 seunit.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved