Isnin, 14 April 2014

Utusan Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Terperanjat terima gambar lucah

Posted: 13 Apr 2014 11:03 PM PDT

Oleh IFQDAR RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my
Gambar MOHD. NAIM AZIZ

ORIENTASI seks bagi seseorang artis lelaki mahupun wanita yang masih solo tatkala usia yang semakin meningkat acap kali menjadi persoalan oleh sesetengah golongan bermulut murai yang sengaja mereka-reka cerita, sekali gus cuba mencetuskan kontroversi tertentu.

Amalan serkap jarang segelintir manusia yang secara semberono menganggap golongan artis lanjut usia yang masih belum mendirikan rumah tangga sebagai golongan songsang amat mendukacitakan individu yang terkena tempiasnya.

Mendekati bekas peragawan yang kini antara aktor terkenal tempatan, Fahrin Ahmad, 35, dia tidak menafikan bahawa pernah mengalami situasi tersebut yang disifatkannya amat keterlaluan dan mengarut.

Saya pernah menerima beberapa khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada lelaki tidak dikenali yang mahu berkenalan lebih rapat dengan saya. Pada awalnya saya tidak mengesyaki apa-apa dan menyambut perkenalan mereka tanpa was-was.

Tidak berapa lama, teks perbualan yang dikirimkan mula berbaur seks dan lebih teruk, ia adalah mengenai hubungan luar tabii sesama lelaki. Malah, ada juga di antara mereka dengan berani mengirimkan gambar separuh bogel dengan kata-kata lucah yang melampau.

Ramai daripada mereka menganggap saya gay, padahal itu adalah sesuatu yang mengarut. Hanya disebabkan saya belum berkahwin, tidak semestinya saya bukan lelaki sejati," tegasnya ketika ditemui pada majlis pelancaran peraduan Anda Boleh Jadi Jutawan 4 yang dianjurkan Power Root, di ibu kota baru-baru ini.

Ditanya adakah Fahrin membuat laporan polis jika diganggu golongan terbabit, dia menjawab, selagi masalah itu mampu ditanganinya, tidak perlulah ia diperbesarkan.

Katanya, segala kiriman SMS atau panggilan daripada golongan itu akan dihadapinya dengan cara berhemah supaya tidak berlaku sebarang kekecohan yang akhirnya akan mencetuskan suasana tegang antara satu sama lain.

Bukan susah pun nak tangani masalah seperti ini. Gertak sikit, insya-Allah boleh selesai. Jika ada yang di luar kawalan saya, baharulah tindakan lanjut akan dilakukan. Tetapi setakat ini semuanya mampu dikawal sebaiknya," ujarnya menutup topik tersebut.

Kahwin ganggu privasi

Ditebak soalan yang mungkin sudah jemu singgah di telinganya, Fahrin menjelaskan bahawa isu perkahwinan masih lagi menjadi misi utamanya memandangkan sedar akan usianya yang semakin bertambah.

Pun begitu, usai menjangkaui umur 30-an, mula timbul rasa resah dalam dirinya untuk menerima kehadiran insan bergelar isteri bagi berkongsi ruang privasinya yang selama ini selesa dinikmati sendirian.

Menurut anak jati Johor kelahiran Skudai itu, mana-mana individu pun akan berasa tidak selesa apabila ruang peribadinya cuba dimasuki oleh orang lain walaupun isteri sendiri.

Apatah lagi saya yang sudah sekian lama duduk bersendirian. Tiba-tiba, apabila kahwin nanti, saya terpaksa berkongsi ruang tersebut bersama seseorang yang baharu dikenali.

Inilah dilema yang terpaksa ditempuhi oleh beberapa rakan lelaki saya yang baharu berkahwin terutamanya mereka yang telah berusia lebih daripada 30 tahun. Mereka perlukan masa untuk cuba sesuaikan diri dengan status diri yang sudah bergelar suami. Jadual terpaksa diubah sepenuhnya. Saya risau tidak dapat melakukan aktiviti yang saya gemari jika berkahwin kelak," katanya yang mengakui begitu sibuk dengan pelbagai aktiviti seharian.

Walau bagaimanapun, jelas Fahrin, hal tersebut bukanlah kekangan utama yang menyebabkannya tidak bertemu jodoh sehingga kini, namun menyalahkan masa sebagai salah satu faktornya.

Mempunyai jadual kerja yang padat membuatkan masa Fahrin terbatas untuk menjalinkan hubungan dengan mana-mana wanita, kecuali mereka yang sama-sama berada dalam linkungan kerja yang serupa.

Sekalipun sebelum ini saya merasakan serik untuk bercinta sesama artis, tetapi saya dapat rasakan jodoh yang bakal dipertemukan kelak adalah wanita-wanita yang berada rapat dengan saya.

Selain sibuk dengan karier seni saya, sejak dua tahun kebelakangan ini saya mula aktif terlibat dalam beberapa bengkel atau kem motivasi sebagai salah seorang speaker atau penceramah bagi berkongsi kisah kehidupan seorang selebriti. Saya cuba memberi tanggapan positif kepada anak muda yang terpengaruh dengan kata-kata negatif mengenai bidang seni.

Sebab itulah saya rasakan tidak mempunyai masa untuk berkenalan dengan wanita di luar bidang yang saya ceburi, tetapi kuat mengatakan si dia adalah di kalangan selebriti," akuinya.

Nargis teruja lakukan senaman

Posted: 13 Apr 2014 11:03 PM PDT

SEWAKTU melakukan iklan komersial, baru-baru ini.

MEMILIKI tubuh badan dengan potongan yang menggiurkan, pastinya si empunya diri menggalas satu tugas yang bukan mudah supaya ia kekal menawan memandangkan figura itulah yang menjadi modal untuknya terus bertahan dalam industri seni yang diceburi.

Menyelongkar diari harian pelakon seksi dan jelitawan Bollywood, Nargis Fakhri, 34, berkata, untuk mengekalkan figura supermodel yang dimilikinya, seseorang itu memerlukan daya ketahanan yang tinggi agar ia tidak dirosakkan oleh nafsu yang semberono.

Katanya, selaku supermodel terkemuka India dan juga pelakon, dia amat menitikberatkan hal penjagaan badan dengan mengamalkan rejim diet makanan yang betul di samping melakukan aktiviti senaman.

Selain menjaga pemakanan dengan mengambil makanan seimbang, senaman juga amat penting untuk dilakukan agar tubuh yang langsing nampak pejal dan sihat.

Jika setakat mengambil makanan sihat tanpa bersenam, ia tetap boleh kelihatan langsing tetapi tidak pejal serta nampak seperti tidak sihat. Jadi, ia tidak menyerlahkan pesona yang kita miliki," jelasnya kepada satu portal hiburan Bollywood.

Tambah Nargis, dia begitu obses dengan rutin senaman walaupun kesuntukan masa untuk melakukannya.

Sekalipun berpakaian formal dan tidak berada di gimnasium, model yang pernah membuat penampilan dalam rancangan realiti America's Next Top Model itu akan mencuri-curi masa, sekurang-kurangnya melakukan senaman ringkas.

Sebagai contoh, jika ada perbincangan dengan klien dan ia memerlukan seharian bersama mereka, saya akan ke tandas atau tangga untuk membuat senaman kaki, mengangkat botol air atau apa sahaja yang boleh dilakukan.

Itu adalah satu kewajipan walaupun ia dapat dilakukan selama lima minit. Saya tidak akan meninggalkan rutin itu walau sehari," jelasnya.

Ditambah pula, baru-baru ini Nargis mendapat khidmat nasihat daripada jejaka kacak bertubuh sasa, John Abraham, 41, yang memberikan pelbagai tips senaman.

Menurut Nargis, Abraham seorang lelaki yang begitu mirip dengannya. Mementingkan penampilan yang sihat di depan khalayak kerana ia adalah satu tarikan magis yang mampu memukau mata peminat.

Sesekali, saya turut meluangkan masa bersamanya untuk bersenam dan ia menyeronokkan apabila kita mendapat teman yang mempunyai minat yang sama," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved