Isnin, 14 April 2014

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Membolehkan pelaksanaan hudud

Posted: 14 Apr 2014 12:28 PM PDT

USUL PINDAAN UNTUK MELAKSANAKAN HUDUD

SEBAB itu, sejak menjadi Ahli Parlimen bagi Parlimen Kulim Bandar-Baharu mulai 2008 hingga 2013 saya telah secara konsisten selama lima tahun mengemukakan usul ke dalam Parlimen dengan usul seperti berikut (boleh disemak dengan rekod pejabat Setiausaha bagi Dewan Rakyat):

1. Zulkifli Bin Noordin (Kulim Bandar Bharu) akan mencadangkan:-

"Bahawa Dewan ini mengambil ketetapan agar Kerajaan mengambil langkah supaya Jadual 9 Senarai 2 (1) Perlembagaan Persekutuan dipinda dengan membuang perkataan seperti berikut:-

'tetapi tidak mempunyai bidang kuasa mengenai kesalahan-kesalahan kecuali setakat yang diberi oleh undang-undang persekutuan' dan diganti dengan perkataan berikut;

'dan mempunyai bidang kuasa mengenai apa-apa jua kesalahan jenayah syarie dan lain-lain yang ditetapkan atau diperuntukkan didalam dan menurut hukum syara' dan undang-undang Islam (termasuk hudud, qisas dan ta'zir) termasuk membicarakan, memutuskan dan menghukum mana-mana orang Islam yang berkenaan menurut sabitan dan hukuman yang ditetapkan oleh hukum syara' dan undang-undang Islam serta melaksana dan menguatkuasakan apa jua hukuman dan/ atau perintah yang dikeluarkannya'.

Dan proviso kepada Seksyen 2, Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) hendaklah dipinda bersesuaian dengan pindaan kepada Jadual 9 Senarai 2 (1) Perlembagaan Persekutuan seperti yang dinyatakan di atas dan hendaklah berbunyi seperti berikut:

Mahkamah Syariah itu hendaklah mempunyai bidang kuasa mengenai apa-apa jua kesalahan jenayah syarie dan lain-lain yang ditetapkan atau diperuntukkan di dalam dan menurut hukum syara' dan undang-undang Islam (termasuk hudud, qisas dan ta'zir) termasuk membicarakan, memutuskan dan menghukum mana-mana orang Islam yang berkenaan menurut sabitan dan hukuman yang ditetapkan oleh hukum syara' dan undang-undang Islam serta melaksana dan menguatkuasakan apa jua hukuman dan/ atau perintah yang dikeluarkannya.

Bahawa Dewan ini mengambil maklum umat Islam wajib melaksanakan syariat Islam termasuk undang-undang jenayahnya atau jinayat seperti hudud, qisas dan ta'zir tanpa sebarang pengubahsuaian dan pindaan seperti yang berlaku sekarang dan Dewan mengambil maklum bahawa kegagalan melaksanakan sistem perundangan Islam sepenuhnya ini boleh menjejaskan akidah umat Islam."

Berbeza dengan pandangan popular, saya berpendapat bagi membolehkan pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) dilaksanakan untuk membolehkan hudud dilaksanakan, ia tidak memerlukan undi dua pertiga majoriti. Sebenarnya cukup sekadar dengan majoriti mudah 112 undi dalam kalangan 222 Ahli Parlimen sedia ada.

JUMLAH AHLI PARLIMEN ISLAM CUKUP UNTUK PELAKSANAAN HUDUD

Dan jika dilihat dalam konteks itu, sebenarnya pindaan itu boleh dilakukan bagi sesi Parlimen kali ini kerana kita mempunyai jumlah Ahli Parlimen beragama Islam yang mencukupi iaitu UMNO (81), Pas (24) dan PKR (15), menjadikan jumlah 120 orang. Jika ditambah dengan Ahli Parlimen Islam lain termasuk daripada PBB dan lain-lain, jumlah Ahli Parlimen beragama Islam yang ada adalah lebih daripada mencukupi.

Sebab itu untuk merealisasikan impian Kerajaan Pas Kelantan untuk melaksanakan hudud, usulnya mesti datang daripada Ahli Parlimen Pas terutama dari Kelantan. Tetapi Pas secara bersendirian tidak mungkin dapat membentangkan usul hudud tanpa bantuan dan sokongan Ahli Parlimen beragama Islam daripada UMNO dan PKR.

Malahan sebenarnya UMNO mahupun PKR masing-masing secara bersendirian tidak mungkin dapat membentangkan usul hudud tanpa bantuan dan sokongan Pas. Apa yang penting kerjasama antara semua Ahli Parlimen beragama Islam daripada UMNO, Pas, PKR dan lain-lain parti.

CADANGAN

Memandangkan dua parti utama umat Melayu-Islam sudah bersetuju, maka apa yang penting sekarang ialah sebuah Jawatankuasa Induk Pelaksanaan Hudud, Qisas dan Ta'zir peringkat pimpinan tinggi ditubuhkan segera di antara UMNO-Pas-PKR-PBB untuk mendraf dan memperhalusi suatu Usul Pelaksanaan Undang-Undang Jinayat Hudud, Qisas dan Ta'zir yang mahu dibentangkan ke dalam Dewan Rakyat, dan yang paling penting Jawatankuasa ini mesti memastikan mendapat jumlah sokongan daripada Ahli Parlimen masing-masing yang cukup untuk mendapatkan majoriti yang diperlukan bila ia dibentangkan kelak;

Saya juga mencadangkan satu Jawatankuasa Teknikal Pelaksanaan Hudud, Qisas dan Ta'zir dengan keanggotaan daripada pakar syariah, undang-undang sivil, kehakiman dan guaman syariah dan sivil dan para ulama' sama ada mereka dari dalam negeri mahupun dari luar membincangkan dan memperhalusi draf Undang-Undang Jinayat Hudud, Qisas dan Ta'zir untuk memastikan supaya ia benar-benar mematuhi peruntukan seperti ditetapkan oleh al-Quran dan hadis ditubuhkan;

Juga sebuah Jawatankuasa Penguatkuasaan Hukuman Hudud, Qisas dan Ta'zir perlu ditubuhkan untuk mengkaji dan menggubal pelaksanaan hukuman hudud, qisas dan ta'zir dengan keanggotaan daripada pihak kehakiman dan guaman (sivil dan syariah), Polis, Penjara dan badan-badan penguatkuasaan lain termasuk dari negara yang sudah punya pengalaman dalam pelaksanaan hudud, qisas dan ta'zir seperti Arab Saudi, Pakistan, Aceh dan lain-lain;

RUMUSAN

Saya sebenarnya melihat tercetusnya isu hudud mutakhir ini sebagai satu ujian ukhuwah dan kesatuan umat Islam di Malaysia.

Isu hudud telah sekian lama dijadikan modal politik oleh segelintir pihak di dalam Pas bagi menghalang impian mencapai kesatuan dan perpaduan umat Melayu-Islam di Malaysia. Hudud adalah zikir harian Pas. Siang malam, pagi petang tidak kira masa dan tempat, para penceramah Pas sentiasa menjadikan hudud sebagai modal membelasah UMNO.

Walaupun Pas sendiri tidak pernah melaksanakan hudud walaupun diberi amanah memerintah Kelantan selama 23 tahun; walaupun ada pimpinan Pas sendiri yang tidak bersetuju mahu melaksanakan hudud; malah rakan sekongkol Pas iaitu PKR menentang pelaksanaan hudud.

Malah Pas sebagai rakan kongsi pakatan pembangkang DAP-PKR-Pas telah bersetuju dengan Memorandum Persefahaman Pakatan Pembangkang 20 November 2009 bahawa pelaksanaan hudud, qisas dan ta'zir tidak termasuk di dalam agenda pembangkang jika membentuk kerajaan; namun Pas masih terus-menerus menjadikan UMNO sebagai kambing hitam.

Malah ukhuwah dan kesatuan umat Melayu-Islam menjadi parah apabila berlaku peristiwa kafir-mengkafir oleh ahli dan pengikut Pas terhadap ahli UMNO akibat daripada isu Amanat Hadi Awang 1981 yang antara lain menyentuh isu kegagalan UMNO melaksanakan hudud dan kononnya mengekalkan 'Perlembagaan penjajah'!

Walaupun Datuk Seri Hadi Awang sendiri pada 18 Ogos 2003 menyatakan dalam Amanat Pemangku Presiden bahawa demi untuk kesinambungan talian-hayat politik pakatan pembangkang DAP-PKR-Pas dalam menghadapi PRU-12, Pas bersedia menerima dan akan melaksanakan Perlembagaan Persekutuan seperti sedia ada!

Malahan, kekeliruan pelaksanaan hudud timbul kerana para penceramah Pas dalam siri-siri ceramah mereka hanya menumpu kepada hudud, sedangkan dalam syariat Islam sekiranya hudud tidak dapat dilaksanakan akibat beberapa kekangan yang ada, maka kesalahan hudud itu boleh dibicarakan dan dihukum dengan hukuman ta'zir. Ini terkandung dalam Seksyen 50 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud & Qisas) Terengganu 2002 yang digubal oleh Kerajaan Pas Terengganu.

Dan kesalahan ta'zir inilah yang terkandung di dalam segala undang-undang dalam negara ini sama ada Kanun Keseksaan, Enakmen Jenayah Syariah Negeri-Negeri seperti yang saya sebut di atas. Maka sepatutnya tidak timbul soal kafir-mengkafir atau pun keengganan untuk bersatu dalam kalangan umat Melayu-Islam hanya kerana hudud belum dilaksanakan.

Adakah kita akan mengkafirkan sahabat Nabi iaitu Saidina 'Umar r.a yang jelas di dalam sirah semasa memegang amanah jawatan sebagai Khalifah telah menggantung pelaksanaan hudud kerana kekangan pada waktu itu tidak memungkinkan pelaksanaan hudud?

Sebab itu, apabila kepimpinan UMNO dan Pas sebagai dua parti besar yang mewakili umat Melayu-Islam kini membawa satu suara dalam perjuangan untuk melaksanakan hudud, saya percaya ini adalah satu permulaan yang baik dan hasanah bagi umat Melayu-Islam di Malaysia terutamanya dalam soal ukhuwah dan perpaduan.

Apa yang penting sekarang kedua-dua pihak mengambil sikap ikhlas, husnul-dhan dan bersangka baik terhadap satu sama lain, dan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan cita-cita untuk pelaksanaan hudud dalam negara ini boleh dicapai.

Dan lakukanlah itu bukan untuk mendapat political mileage, atau untuk sebarang jawatan, kedudukan, kuasa, harta atau habuan. Jangan jadikan hudud sebagai talian-hayat politik kepartian masing-masing; tetapi jadikan usaha ini sebagai jalan mencari keredaan Allah dengan ikhlas.

DATUK ZULKIFLI NOORDIN ialah bekas Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu

Pemangkin cegah rasuah dari dalam

Posted: 14 Apr 2014 12:28 PM PDT

Sebahagian Pegawai CeIO yang ditauliahkan pada majlis konvokesyen yang diadakan di Putrajaya baru-baru ini.

SERAMAI 66 'graduan' ditauliahkan sebagai Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) pada majlis konvokesyen yang berlangsung di Putrajaya, 10 April lalu. Sembilan daripada mereka ialah warga asing. Ini kali pertama pegawai dari negara lain mengikuti Program CeIO di Malaysia, kendalian Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Program ini kini melalui dimensi berbeza berbanding tiga tahun lalu. Modul khusus CeIO pertama kali diperkenalkan, semakin ramai mula tunjuk minat sertai Program CeIO," kata Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Abdul Wahab Abdul Aziz yang turut menekankan bahawa "program ini bertindak sebagai pemangkin memerangi rasuah dari dalam sesebuah organisasi."

Menurut Abdul Wahab, jika SPRM memberi tumpuan ke atas usaha memerangi rasuah dari luar, Program CeIO pula membolehkan kawalan dalaman diperkenalkan bagi tujuan yang sama.

"Bermakna kini ada kawalan dua hala, dari dalam sesebuah organisasi dan juga menerusi kawalan luar (fungsi asas SPRM)," kata beliau yang yakin bahawa pendekatan ini akan membawa impak yang lebih berkesan dalam usaha melawan jenayah rasuah dalam jangka panjang.

Program CeIo merupakan antara program utama disediakan oleh Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, bertujuan melahirkan pegawai integriti bertauliah bagi organisasi awam dan swasta.

Peranan utama CeIo ialah mengurus semua aspek berkaitan dengan integriti iaitu meliputi perancangan, pelaksanaan dan pemantauan aktiviti berhubung peningkatan integriti dalam organisasi dan menasihat pihak pengurusan dalam aspek integriti, selain menjadi pegawai perhubungan organisasi dengan SPRM. Pada masa sama, program ini, mampu menjadi wadah penting dalam membudayakan integriti di sesebuah organisasi.

Pada 28 Jun 2010, pengurusan SPRM meluluskan Modul Latihan Pegawai Integriti Bertauliah dan dilaksanakan sebagai Program Latihan Perintis secara separa masa selama enam bulan mulai Ogos 2010. Program CeIO dirasmikan oleh Perdana Menteri pada 27 Februari 2012. Pada majlis yang sama, seramai 27 peserta dari jabatan dan agensi kerajaan serta swasta yang mengikuti program perintis telah ditauliahkan.

Permintaan yang begitu mendesak untuk penempatan CeIO di semua agensi awam telah mendorong MACA mengambil langkah merangka modul baru program CeIO iaitu program Pegawai Integriti Bertauliah Eksekutif.

SPRM juga menerima banyak permohonan daripada kementerian, agensi, badan berkanun, GLC dan swasta untuk menghantar pegawai menyertai Program CeIO. "Ia merupakan perubahan positif di mana ketua-ketua jabatan (organisasi) sudah menjadikan integriti sebagai perkara penting dalam pengurusan organisasi masing-masing," kata Abdul Wahab.

Pada peringkat awal SPRM hanya memfokus pada operasi dan pendidikan masyarakat dalam mencapai misi yang diamanahkan ke atas suruhanjaya itu. Bagaimanapun SPRM telah tampil dengan Program CeIO sehingga menjadi perhatian agensi luar untuk menghantar pegawai-pegawai mereka mengikuti program itu.

"Usaha SPRM telah diiktiraf oleh kerajaan di mana Pekeliling Perkhidmatan Kerajaan Bilangan 6/2013 telah dikeluarkan berkuat kuasa 1 Ogos 2013 yang mewajibkan pegawai Unit Integriti perlu mempunyai kelayakkan sebagai CeIO," kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Kata Abu Kassim, berdasarkan kajian SPRM di negara-negara dengan kedudukan tinggi dalam Indeks Persepsi Rasuah, "kami mendapati bahawa mereka mempunyai kedua-dua sistem dalaman dan luaran sebagai pemangkin melawan rasuah."

Dalam ucapannya semasa menutup Program CeIO Antarabangsa tahun lalu, beliau yang juga Naib Presiden Persatuan Antarabangsa Agensi Pencegahan Rasuah menambah, "sebab itu kami mencadangkan kepada kerajaan bahawa kita perlu mempunyai satu sistem kawalan dari luar dan dalam organisasi."

"Ini adalah sebahagian daripada aspek tadbir urus dan integriti," kata beliau.

Negara-negara yang dikaji jelas mempunyai langkah-langkah pencegahan, kesedaran, komunikasi dan pendidikan yang lebih baik bagi memerangi jenayah rasuah.

Kaji selidik ke atas 22 CeIO siri pertama menunjukkan 18 pegawai (82 peratus) ditempatkan di unit yang menjalankan tugas berkaitan integriti, sembilan (41 peratus) dilantik menjawat jawatan pegawai integriti, dan hanya empat (18 peratus) yang tidak dilantik atau tidak menjalankan tugas berkaitan integriti, kerana telah bertukar ke bahagian atau jabatan lain.

Mengenai impak selepas tiga tahun Program CeIO diperkenalkan, Abdul Wahab berharap CeIO yang dilantik dapat meningkatkan integriti bagi memerangi rasuah di agensi atau jabatan masing-masing.

Program CeIO juga meninggalkan kesan dan memberi impak besar kepada komuniti kerana setiap peserta program dikehendaki melaksanakan tanggungjawab sosial korporat sebagai syarat kelayakan pentauliahan. CeIO bertanggungjawab terus kepada ketua setiausaha atau ketua jabatan dalam menjalankan fungsi yang dipertanggungjawabkan.

"Dari semasa ke semasa, kami mengambil langkah untuk membuat penambahbaikan ke atas program ini. Misalnya, dari segi modul, ia akan diteliti dan disemak supaya sesuai dengan keperluan semasa," kata beliau.

Jelas beliau, "MACA akan membuat kajian menyeluruh."

"Dulu kita buat kajian mengenai soal penempatan. Selepas ini, kami akan membuat kajian berkenaan pelaksanaan program berkaitan integriti (di organisasi CeIO ditempatkan atau bertugas)," kata beliau lagi.

Jelas beliau, ia semakin penting memandangkan penyertaan juga sudah diperluaskan kepada pegawai-pegawai negara lain manakala kekerapan pengambilan juga "meningkat daripada satu kepada tiga kali dalam setahun sekarang."

Abdul Wahab menjelaskan bahawa CeIO berperanan merancang, melaksana dan memantau keberkesanan program-program integriti dan pihaknya berharap ia dapat memantapkan lagi amalan integriti setiap organisasi.

Di bawah modul dirangka, CeIO juga bertanggungjawab menyediakan dasar dan mekanisme pengurusan integriti agensi masing-masing, selain program latihan pegawai integriti bertauliah menerusi MACA. Malah, CeIO juga ditugaskan untuk mengukuhkan integriti iaitu memastikan pembudayaan, penginstitusian dan pelaksanaan integriti dalam organisasi masing-masing serta mengesan dan mengesahkan aduan salah laku jenayah.

SPRM telah berusaha bersungguh-sungguh untuk memerangi gejala rasuah di Malaysia.Bagaimanapun gejala ini tidak boleh ditangani oleh organisasi ini secara individu. Ia memerlukan penglibatan semua pihak termasuk agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan secara holistik. Usaha-usaha yang dijalankan oleh SPRM bukan sahaja dari segi penguatkuasaan, tetapi juga melibatkan aspek pencegahan.

Justeru, Program CeIO dirangka untuk melahirkan CeIO yang berperanan merancang, melaksana dan memantau keberkesanan program-program integriti di tempat kerja masing-masing. Ia juga menggalakkan pihak swasta terlibat sama.

Dalam konteks seorang pekerja yang memegang suatu amanah, integriti bermaksud melaksanakan amanah dengan penuh kesungguhan, mengutamakan kepentingan awam lebih dari kepentingan peribadi. Bagi organisasi pula, integriti tercermin melalui perumusan dan pelaksanaan kod etika, piagam pelanggan atau sistem dan proses kerja serta pematuhan kepada amalan terbaik.

SPRM berharap pelaksanaannya berupaya memenuhi keperluan Pelan Integriti Nasional demi mempertingkatkan etika dan integriti.

DR. G. MANIMARAN kini berkhidmat sebagai tenaga pakar komunikasi strategik SPRM

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved