Jumaat, 11 April 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Sungai cetek jejas pengusaha bot

Posted: 10 Apr 2014 11:28 AM PDT

Oleh HASHIM P. MAMAT
utusanperak@utusan.com.my

Paras air Sungai Perak yang cetek menyebabkan pulau ini timbul di atas permukaan air. - Utusan/HASHIM P. MAMAT

KUALA KANGSAR 10 April - Akibat kemarau dan cuaca panas yang berpanjangan kebelakangan ini, kebanyakan sungai dan tasik di seluruh negara mengalami masalah serupa apabila isipadu airnya semakin berkurangan termasuk ada yang kering kontang.

Fenomena tersebut turut melanda Sungai Perak dan kebanyakan kawasan di Kuala Kangsar apabila airnya bukan sahaja semakin berkurangan malah ada sesetengah tempat yang menjadi cetek sehingga mewujudnya pulau sementara.

Pelancong tetap gembira menaiki bot pelancong yang ada di Kuala Kangsar.

Situasi itu mendatangkan pelbagai impak kepada penduduk sekitar terutamanya kepada mereka yang menjadikan sungai tempat mata pencarian atau mempunyai hubungan secara langsung dengan sungai berkenaan.

Menurut seorang pengusaha bot pelancongan, Mohamad Rosli Othman, keadaan Sungai Perak yang semakin cetek memberi sedikit kesan kepada perusahaannya meskipun ia tidak mengurangkan jumlah pelancong yang menaiki botnya.

Katanya, mereka terpaksa menggunakan laluan berlainan yang agak jauh daripada biasa bagi mengelakkan kipas enjin bot tersangkut atau patah yang secara tidak langsung meningkatkan kos operasi harian.

"Kalau ikutkan pelancong, memang mereka tidak terjejas kerana kedalaman sungai bukan menjadi faktor mereka mahu menaiki bot tetapi ia bergantung kepada cuti hujung minggu atau kelepasan lain.

"Namun bagi kami keadaan sungai yang cetek menyebabkan bot tidak dapat menjelajah sepenuhnya Sungai Perak kerana ada tempat yang perlu kita elak bagi memastikan bot kami tidak tersangkut kerana terkena dasar sungai yang cetek.

"Selain itu, kami kena pastikan bahawa laluan yang kami gunakan itu memang betul. Jika tersilap sedikit, maka bot mungkin akan terhenti mengejut di tengah-tengah sungai dan ini agak merbahaya," katanya.

Tambah Rosli, pemandu bot juga terpaksa menggunakan sepenuhnya kepakaran dan pengalaman mereka ketika merentasi Sungai Perak bagi memastikan pergerakan bot mereka bergerak lancar.

"Tetapi yang paling kita takut adalah ketika bot berselisih dan salah satu bot perlu beralah dan memberi laluan. Kalau tak beri laluan, mungkin bot akan berlanggar sesama sendiri.

"Bagaimanapun dengan pengalaman yang ada pada pemandu bot di sini, saya yakin penumpang bot boleh pergi dan balik dengan selamat ketika menaiki bot kami," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang pengusaha ikan sangkar, Muhammad Fakri Mohd. Hanifiah, 25, berkata, dalam keadaan cuaca ketika ini dia perlu bertindak pantas bagi menyelamatkan ikan dalam sangkarnya agar tidak mati disebabkan paras air sungai yang semakin cetek.

Menurutnya, dia kini cuba untuk mendalamkan paras air dalam sangkarnya bagi mengelakkan ikan tersebut mati seperti yang dialami beberapa rakannya.

"Saya terpaksa mengorek kawasan sangkar bagi mendalamkannnya kerana bimbang kalau paras air tidak cukup dalam, banyak ikan boleh mati kerana kekurangan oksigen.

"Setakat ini masih lagi tiada ikan yang mati namun saya perlu berwaspada dan sentiasa memastikan paras air di sangkar ini terkawal, katanya ketika ditemui di sangkar ikan miliknya di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah, Mohd. Haspi Hamzah mengingatkan orang awam supaya tidak turun ke sungai untuk bermandi-manda meskipun keadaan sungai agak cetek.

Katanya, sungai yang cetek juga boleh mendatangkan bahaya terutama kepada mereka yang tidak mempunyai kemahiran untuk berenang.

"Walaupun air di satu kawasan kelihatan cetek, kita tidak boleh berpendapat bahawa seluruh kawasan itu airnya cetek kerana mungkin ada lurah atau curam di kawasan itu yang berbahaya.

"Justeru, saya ingin menasihatkan orang awam supaya berhati-hati sekiranya mereka mahu mandi di Sungai Perak, katanya.

Portal EzLearn2U lonjak pencapaian pelajar

Posted: 10 Apr 2014 11:28 AM PDT

Zambry Abd. Kadir (kanan) melihat nota bengkel Matematik Tambahan bersama pelajar SMK Treacher Methodist, Lian Shi Yan (tengah) dan Hy Xue Li (kiri) semasa Majlis Pelancaran EzLearn2U di Taiping, semalam.

TAIPING 10 April - Sistem pembelajaran dalam talian melalui portal EzLearn2U melibatkan sekolah seluruh Perak memperlihat kesan positif apabila berjaya membantu meningkatkan Gred Purata Sekolah (GPS) untuk pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, program dibangunkan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perak dan KPerak Implementation and Coordination Corporation (KPerak) sejak Februari tahun lalu itu juga telah memanfaatkan 296,044 pelajar hasil peruntukan sebanyak RM2.5 juta.

Beliau berkata, biarpun bidang kuasa pendidikan terletak di bawah Kerajaan Persekutuan, namun kerajaan negeri mahu memastikan semua anak Perak berjaya termasuk mereka yang tinggal di luar bandar.

"Kelulusan GPS menunjukkan peningkatan bagi pencapaian PMR sementara SPM mencatatkan keputusan memberangsangkan iaitu daripada 5.21 peratus kepada 5.01 peratus.

"Program ini sebenarnya merupakan sebahagian daripada kerangka besar kita untuk menjadikan Perak sebagai negeri berasaskan pengetahuan (k-state).

"Namun, kejayaan tidak akan dapat dicapai tanpa disiplin pelajar," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan portal berkenaan dengan penambahan 30 modul mata pelajaran serta 300 video terkini pembelajaran dan ulang kaji di sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Dr. Muhammad Amin Zakaria dan Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pendidikan Perak, Rozi PutehIsmail.

Pada majlis tersebut, Zambry turut merasmikan penganjuran serentak bengkel pemetaan minda yang memfokuskan kepada subjek Sejarah, Fizik dan Matematik Tambahan.

Portal EzLearn2U membekalkan kandungan pembelajaran untuk guru, murid sekolah rendah (tahun 4 hingga tahun 6) dan pelajar sekolah menengah (tingkatan 1 hingga 5) bagi membolehkan mereka memanfaatkannya di luar waktu persekolahan.

Dalam perkembangan berlainan, Zambry turut mengumumkan pelantikan Mohd. Idris Ramli sebagai Pengarah Pelajaran Perak yang baharu berkuatkuasa semalam.

"Saya harap dengan pelantikan ini akan memberi khabar gembira kepada guru-guru sekolah setelah ketiadaan pengarah beberapa bulan dan sebelum ini setahun setengah," katanya.

IPTA dipelawa buka kampus utama di Perak

Posted: 10 Apr 2014 11:28 AM PDT

TAIPING 10 April - Kerajaan negeri berharap dapat menarik sebuah lagi institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk membuka kampus utama di Perak dalam usaha menjadikannya sebagai negeri berasaskan pengetahuan (k-state).

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, ketika ini, dua IPTA sedia ada yang sedang beroperasi di negeri ini ialah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

"Kerajaan negeri sedang mengadakan perbincangan ini dan saya tidak mahu mengumumkannya lagi. Namun, Perbadanan Menteri Besar dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) juga ada menerima cadangan dan pertanyaan berhubung penubuhan beberapa buah universiti swasta, malah ada yang telah dibincangkan.

"Hujung bulan ini,saya akan merasmikan satu kawasan di Seri Iskandar yang akan menjadi tapak kampus sebuah universiti swasta," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan portal EzLearn2U dengan penambahan 30 modul mata pelajaran serta 300 video terkini pembelajaran dan ulang kaji, di sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Dr. Muhammad Amin Zakaria dan Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pendidikan Perak, Rozi Puteh Ismail.

Portal EzLearn2U membekalkan kandungan pembelajaran untuk guru, murid sekolah rendah (tahun 4 ke tahun 6) dan pelajar sekolah menengah (tingkatan 1 hingga 5) bagi membolehkan mereka memanfaatkannya di luar waktu persekolahan.

Dibangunkan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perak dan KPerak Implementation and Coordination Corporation (KPerak) sejak Februari tahun lalu, program tersebut telah memanfaatkan 296,044 pelajar hasil peruntukan sebanyak RM2.5 juta.

Terdahulu, Rozi dalam ucapannya berkata, penggunaan portal EzLearn2U selari dengan hasrat Kementerian Pendidikan untuk memastikan guru mempunyai kompetensi asas dalam teknologi maklumat selain penerapannya melalui pembelajaran dan pengajaran di sekolah.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved