Jumaat, 11 April 2014

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Wanita muda sasaran ‘keldai’ dadah

Posted: 10 Apr 2014 11:27 AM PDT

Mohd. Isah Ismail (tiga dari kanan) beramah-mesra dengan pelajar-pelajar sekolah sambil diiringi Sarimah Akbar (dua dari kanan) dan Pengetua Kolej Tunku Kurshiah, Kamaliah Endud selepas merasmikan Program Seranta, Penerangan dan Diplomasi Awam di Kolej Tunku Kurshiah, Bandar Enstek, Seremban, semalam. - UTUSAN/ASWAD YAHYA

SEREMBAN 10 April - Setiap tahun ada sahaja rakyat di negara ini terpaksa meringkuk di dalam penjara ekoran selepas terpedaya dan dijadikan keldai dadah untuk sindiket antarabangsa.

Lebih mengejutkan kebanyakan mereka yang ditahan ini terdiri daripada golongan wanita muda yang dilihat mudah jadi sasaran warga asing untuk dijadikan keldai dadah sehingga mereka ditahan oleh pihak berkuasa.

Pengarah Hubungan Media, Jabatan Penerangan dan Diplomasi Awam Wisma Putra, Sarimah Akbar berkata, sama ada mereka ini terpedaya atau mengetahui tugasan yang perlu dilakukan di luar negara itu sukar untuk dipastikan kerana sesiapa pun yang ditahan boleh menafikannya.

``Ada yang ditahan sanggup merahsiakan perbuatan mereka daripada pengetahuan keluarga dan pihak kedutaan Malaysia tentang penglibatan mereka dengan sindiket terbabit walaupun terpaksa meringkuk di dalam penjara bertahun-tahun lamanya.

"Malah kita juga mendapat maklumat yang mana ada di antara mereka ini yang sanggup membuang segala dokumen pengenalan diri mereka semata-mata takut diketahui umum,'' katanya

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Seranta dan Diplomasi Awam Kementerian Luar Negeri (KLN) di Kolej Tunku Kursiah di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNS), Mohd. Isah Ismail.

Jelas beliau berdasarkan Akta Perlindungan Data Peribadi di sesetengah negara, mereka yang ditahan boleh membuat permintaan agar penahanan mereka tidak dimaklumkan kepada keluarga dan kedutaan.

"Sebab itu ada sesetengah kes yang kita tidak dimaklumkan berhubung penahanan rakyat Malaysia,"katanya.

Untuk itu, kata beliau, sebagai langkah pengawasan mereka yang ke luar negara perlu mengetahui apakah barangan yang dibawa mereka atau diminta oleh pihak lain sebelum berlepas.

DUN Sungai Rambai dirikan 25 papan iklan ‘Doa Untuk MH370’

Posted: 10 Apr 2014 11:27 AM PDT

Pelajar SMK Sungai Rambai di hadapan papan iklan tertulis`Doa Untuk MH370 di Lebuh AMJ menghala ke Muar, Jasin, semalam.

JASIN 10 April - Solat sunat hajat memohon petunjuk Allah SWT agar pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 ditemui dalam keadaan apa sekali pun terus diadakan selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang masuk hari ke-33.

Namun bagi penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai, bukan sahaja solat hajat dan doa telah diadakan sejak kehilangan pesawat tersebut pada 8 Mac lalu, terbaharu sebanyak lapan papan iklan tertera Doa Untuk MH370 didirikan di beberapa lokasi di DUN berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Hasan Rahman berkata, lapan papan iklan yang didirikan bersaiz 12x40 kaki dan 20x10 kaki itu didirikan bagi menyokong usaha kerajaan yang bertungkus lumus dalam usaha pencarian pesawat MH370 yang sehingga kini belum ditemui.

Menurutnya, papan iklan yang berharga RM3,000 setiap satu itu diusahakan oleh Japerun Sungai Rambai dengan kerjasama pelbagai pihak dan ditempatkan di tepi jalan Lebuh AMJ bersempadan dengan Muar serta beberapa lokasi lain.

"Beberapa papan iklan lain pula didirikan di pekan Sungai Rambai dan beberapa kawasan lain seperti di Batu Gajah dan Kampung Parit Penghulu.

"Sebanyak 17 lagi papan iklan tertera Doa Untuk MH370 akan didirikan dalam tempoh seminggu ini untuk menjadikan sebanyak 25 kesemuanya akan ditempatkan di seluruh pintu masuk ke DUN Sungai Rambai.

"Ini bertujuan untuk mengajak seluruh masyarakat di sini terus mendoakan dan membuat solat hajat sehingga pesawat MH370 ditemui. Kami rakyat di Sungai Rambai tidak dapat untuk membantu melainkan hanya doa dan solat hajat diadakan,'' katanya.

Hasan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Usahawan negeri berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan papan iklan `Doa Untuk MH370' di Lebuh AMJ hala ke Muar di sini hari ini.

Pada majlis tersebut juga satu majlis doa selamat turut diadakan disertai sebanyak 50 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Rambai.

Menurutnya, Japerun Sungai Rambai tidak akan putus-putus menganjurkan solat sunat hajat dan doa kepada Allah SWT memohon petunjuk agar pesawat MH370 yang hilang lebih sebulan ditemui semula.

"Bagi masyarakat DUN Sungai Rambai menyokong penuh usaha yang dilaksanakan kerajaan Malaysia mengetuai operasi mencari dan menyelamat bersama beberapa negara lain walaupun ada segelintir pihak tidak bertanggungjawab mengecam tindakan kita," katanya.

Beliau melahirkan kesal dengan sikap segelintir rakyat Malaysia yang sanggup menidakkan usaha tungkus-lumus kerajaan sejak kehilangan pesawat itu pada 8 Mac lalu.

Belia: Libatkan ahli beri pandangan idea

Posted: 10 Apr 2014 11:27 AM PDT

JEMPOL 10 April - Sebarang keputusan atau pelaksanaan dasar dalam sesebuah persatuan belia perlulah dibuat secara kolektif dalam memenuhi aspirasi ahli.

Pengerusi Majlis Belia Daerah Jempol, Mohd. Nizam Aman berkata, ahli persatuan perlu dipanggil untuk turut serta dalam mesyuarat agar mereka dapat menyumbang idea dan pandangan.

"Kita tidak mahu mesyuarat tersebut sekadar diadakan di atas kertas dan dihadiri oleh pihak-pihak yang berkepentingan. Suara belia harus didengari malah kita yakin mereka mempunyai pelbagai pandangan untuk membawa hala tuju sesebuah persatuan

"Apabila semua pihak dipanggil menyertai mesyuarat maka keputusan yang diguna pakai dalam perbincangan tersebut lebih telus setelah ia didengari oleh ahli persatuan," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Pada masa yang sama, beliau juga menyelar segelintir persatuan yang hanya menjemput orang-orang tertentu untuk menghadiri mesyuarat tanpa melibatkan ahli-ahli mereka menyebabkan ahli mula bosan untuk mengikuti aktiviti persatuan.

"Pemimpin persatuan perlu mainkan peranan mereka agar masalah ini tidak timbul. Malah kita tidak mahu pemimpin tersebut sekadar mempunyai jawatan tetapi gagal membentuk hala tuju persatuan mereka.

"Mereka perlu membuktikan bahawa mereka adalah pemimpin yang berkualiti dan mampu membimbing anak buah mereka," katanya lagi.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved