Jumaat, 11 April 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Budak 12 tahun hidap kanser prostat dirai

Posted: 11 Apr 2014 12:28 PM PDT

SHAHANIZA Shamsuddin (dua dari kanan) menyuapkan kek kepada Mohd. Zahiruddin Mustafa sempena hari jadinya di Felda Jengka 5, Maran, Pahang baru-baru ini. - UTUSAN/ salehudin mat rasad

MARAN 11 April - Penderitaan Mohd. Zahiruddin Mustafa, 12, yang menanggung kesakitan akibat kanser prostat terubat seketika apabila dia diraikan dalam sambutan harijadinya oleh Exco kerajaan negeri di tanah rancangan Felda Jengka 5 di sini baru-baru ini.

Kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komuniti dan Multimedia negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin mengejutkan kanak-kanak itu yang tidak menyangka kedatangan wakil rakyat tersebut di rumahnya.

Menurut Shahaniza, kerajaan negeri dan UMNO Bahagian Maran mengambil berat tentang perkembangan kesihatan kanak-kanak itu yang terpaksa menanggung risiko penyakit yang biasanya dihidapi lelaki dewasa berusia lebih 50 tahun.

Saya membuat kejutan itu dengan datang ke rumah keluarganya bagi mengurangkan kesedihan dan penderitaan yang dialami oleh Mohd. Zahiruddin," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Shahaniza yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul berkata, beliau terharu dengan ketabahan kanak-kanak itu yang tetap ceria dan gembira menerima kedatangannya.

Dalam pada itu, bapa Mohd. Zahiruddin, Mustafa Othman, 70, mengucapkan terima kasih kepada wakil rakyat itu yang meluangkan masa untuk menggembirakan anaknya.

Bagi ibu kanak-kanak tersebut, Rokiah A. Rahman, 48, dia terharu dengan kedatangan ADUN tersebut termasuk rakan-rakan Mohd. Zahiruddin sekali gus membantu menaikkan semangat anaknya untuk melawan penyakit tersebut.

Gangguan bekalan air di Kuantan

Posted: 11 Apr 2014 12:28 PM PDT

KUANTAN 11 April - Beberapa kawasan di daerah ini akan mengalami gangguan bekalan air bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang, Selasa ini.

Kawasan terlibat ialah seluruh Taman Indera Sempurna, Kampung Kempadang, Taman Berjaya Permai, Tanjung Lumpur, Kampung Chempaka, Kampung Sepat, Kampung Hijrah, Cherok Paloh, Kampung Sungai Soi, Kampung Chenor, Kampung Kuala Penor, Kampung Ubai dan sekitarnya.

Pengurus Kanan Daerah Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip), Che Abdul Hamid Abdul Rahman berkata, gangguan disebabkan kerja-kerja menaik taraf paip baharu dari Tangki Simpang Soi ke Kampung Ubai.

Sehubungan itu, pengguna di kawasan terlibat akan terputus bekalan air dan dinasihatkan supaya menyimpan bekalan secukupnya bagi mengelak kesulitan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved