Jumaat, 11 April 2014

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Batal saman: Permohonan AG ditolak

Posted: 11 Apr 2014 12:28 PM PDT

KUALA LUMPUR 11 April - Permohonan Peguam Negara (AG), Tan Sri Abdul Gani Patail dan beberapa pihak lain untuk membatalkan saman RM128.5 juta oleh bekas pegawai polis, Datuk Ramli Yusuff dan tuntutan saman lebih RM47 juta oleh peguam Rosli Dahlan atas dakwaan melakukan pendakwaan salah dan berat sebelah terhadap mereka, ditolak oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Pesuruhjaya Kehakiman, Vazeer Alam Mydin Meera dalam keputusannya berkata, Peguam Negara selaku penjawat awam tidak dapat mempertahankan bahawa mereka menikmati kekebalan mutlak dalam pendakwaan dan tidak terlepas daripada tindakan saman apabila melibatkan dakwaan salah guna kuasa.

Saya bimbang dengan tanggapan bahawa penjawat awam menikmati imuniti mutlak pendakwaan, walaupun apabila melibatkan mala fide (berniat jahat) atau menyalah guna kuasa dalam menjalankan kuasa pendakwaan mereka,'' kata Vazeer Alam yang menyifatkan ia sebagai suatu yang terkutuk mengikut konsep moden yang telus.

Beliau berkata, ini selaras dengan perkembangan perundangan moden iaitu kekebalan mutlak kepada penjawat awam tiada kedudukannya di dalam masyarakat demokratik.

Pada peringkat prosiding itu, katanya, mahkamah hanya akan menimbangkan sama ada fakta yang diakui dengan butiran yang mencukupi dan memberi manfaat dalam perbicaraan untuk pihak plaintif membuktikan kes mereka.

Ramli yang merupakan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, pada 1 November 2013 menyaman Peguam Negara dan 11 yang lain untuk menuntut ganti rugi berjumlah RM128.5 juta atas dakwaan melakukan pendakwaan salah dan berat sebelah terhadapnya.

Ramli, 62, menyatakan Abdul Gani mempunyai budi bicara untuk memulakan, mengendali dan memberhentikan sebarang prosiding undang-undang serta mempunyai kawalan ke atas kesemua pegawai bawahannya.

Selain Abdul Gani, Ramli menamakan bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan; Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara, Datuk Nordin Hassan; dan Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Anthony Kevin Morais sebagai defendan pertama hingga defendan keempat.

Yang turut disaman ialah Deputi Supritendan (DSP) Chew Kam Soon; Ketua Unit Siasatan SPRM, E. Sok One; tiga Pegawai Penyiasat SPRM iaitu, Saiful Ezral Ariffin, Azmi Ismail, Wan Abdul Rahman, SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan Malaysia masing-masing sebagai defendan kelima hingga ke-12.

Ramli menyifatkan pendakwaan terhadapnya antara 2006 dan 2007 oleh pihak defendan, berniat jahat dan tanpa sebab munasabah mendakwa beliau atas beberapa pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini dan Kota Kinabalu, Sabah. Beliau telah dibebaskan oleh mahkamah bagi semua pertuduhan tersebut.

Ramli yang diwakili peguam Harvinderjit Singh mendakwa akibatnya, reputasi, watak dan kerjayanya telah terjejas selain mengalami kerugian serta kerosakan.

Beliau antara lain menuntut ganti rugi khas RM1.5 juta, ganti rugi am yang tidak dinyatakan jumlah, ganti rugi punitif RM50 juta, ganti rugi teruk RM50 juta dan ganti rugi RM27 juta.

Peguam Negara bersama yang lain memohon supaya keseluruhan writ saman dan pernyataan tuntutan tersebut dibatalkan atas alasan tuntutan itu tidak menunjukkan sebarang tindakan yang munasabah, bersifat skandal dan remeh lagi menyusahkan, menyalahgunakan proses mahkamah, memalukan dan melewatkan perbicaraan yang adil.

Bekas tentera didenda cedera isteri, anak perempuan

Posted: 11 Apr 2014 12:28 PM PDT

SHAH ALAM 11 April - Seorang bekas anggota tentera terpaksa membayar denda RM300 atau dipenjara 10 hari oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana mencederakan isteri dan anak perempuannya tahun lalu.

Majistret Ellyana Razali menjatuhkan hukuman itu setelah N. Nagarajan, 46, mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di kediaman mereka di No. 4, Jalan Spektrum U16/25, Taman Bukit Subang dekat sini pada 6.05 petang, 17 Disember 2013.

Nagarajan yang memakai kemeja jingga mengaku menyebabkan kesakitan di bahagian muka dan leher tanpa menyedari mungkin menyebabkan kecederaan kepada isterinya A. Mahaledchummy, 45, dan anaknya, N.Priyanga, 16.

Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 334 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga sebulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela merayu agar tidak dijatuhi hukuman penjara kerana dia tidak berniat sama sekali untuk menyakiti ahli keluarganya itu.

Saya bergaduh dengan isteri kerana bimbang keselamatan anak perempuan saya yang mula berkawan dengan lelaki dari luar, saya meminta isteri menghantar sendiri anak ke sekolah dan tidak menggunakan khidmat van sekolah namun isteri tidak endahkan nasihat saya.

Saya seorang bekas anggota tentera, kini tinggal berasingan daripada mereka kerana masalah dengan isteri namun saya masih menanggung anak saya dan berharap perkara sebegini tidak berulang lagi," katanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rustam Sanip. Nagarajan membayar denda tersebut.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved