Jumaat, 4 April 2014

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Bandar Berat mahu contohi Melaka

Posted: 03 Apr 2014 12:31 PM PDT

Oleh AMRAN MULUP
utusanmelaka@utusan.com.my

IDRIS HARON

MELAKA 3 April - Bandar Berat di Albania yang mendapat jolokan The City of a Thousand Window ingin mengikut jejak langkah kerajaan negeri apabila berjaya membangunkan bandar hasil daripada kesan sejarah silam.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, Berat berminat mendapatkan kepakaran daripada kerajaan negeri bagi membangunkan bandar tertua di Albania itu seperti mana dilakukan di negeri ini.

Menurutnya, Berat yang terletak di selatan Albania itu mempunyai banyak kesan sejarah terutamanya pada zaman Empayar Uthmaniyyah iaitu abad ke-16 dan berminat mempelajari bagaimana Melaka boleh membangun tanpa menjejaskan kawasan bersejarah.

Mereka turut menawarkan pembinaan sebuah kawasan perniagaan Melaka Square di Berat dengan kos RM3.92 juta.

"Perkara ini masih di peringkat perbincangan. Mereka kagum dengan apa yang telah kita bangunkan di Melaka tanpa menjejaskan kesan sejarah silam," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan Datuk Bandar Berat, Dr. Fadil Nasufi dan mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Seri Negeri semalam.

Fadil berada di negeri ini bagi menghadiri Konvensyen Antarabangsa Bandar Raya Berkembar Ke-14 yang berakhir kelmarin.

Berat seperti juga bandar raya Melaka turut mendapat pengiktirafan sebagai Tapak Warisan daripada Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2008 dan mempunyai lebih 70,000 penduduk.

Di samping itu kata Idris, Berat turut menunjukkan minat terhadap kepakaran kerajaan negeri dalam membangunkan industri halal di pusat perindustrian Melaka Halal Hab di Jasin.

Justeru katanya, peluang usahawan halal hab untuk memasarkan pelbagai produk ke Berat adalah cerah memandangkan kira-kira 80 peratus penduduk mereka beragama Islam.

Saya akan berbincang dengan usahawan terbabit bagaimana kita dapat membantu mereka meneroka pasaran baharu di Berat,'' katanya.

Dalam pada itu Idris berkata, mesyuarat kerajaan negeri telah mengambil keputusan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Bandar (JKKB) akan dimansuhkan serta-merta dan tugas jawatankuasa itu akan diambil alih oleh Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP).

Elaun JKKB dibiayai kerajaan negeri manakala JPP dibiayai kerajaan Persekutuan. Dengan langkah ini, kita dapat menjimatkan sebanyak RM93,300 setiap tahun," katanya.

Hutang kerajaan negeri terus menurun

Posted: 03 Apr 2014 12:31 PM PDT

SEREMBAN 3 April - Hutang kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan sebanyak RM2.8 bilion yang sebahagian besarnya digunakan untuk meningkatkan bekalan air di negeri ini telah mencatatkan penurunan mendadak kepada RM644 juta ketika ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penurunan jumlah itu berikutan penyerahan beberapa loji kepada pihak Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) selepas bekalan air kini diuruskan oleh kerajaan negeri dan Persekutuan.

Jelas beliau, beberapa loji air yang akan dan telah selesai pembinaannya dengan anggaran kos RM450 juta akan diserahkan kepada PAAB sekali gus menyebabkan jumlah hutang berkenaan mencatatkan penurunan kira-kira RM200 juta menjelang akhir tahun ini.

Hutang air ini akan kita lupuskan dengan kerajaan Persekutuan kerana kita telah buat perjanjian kerjasama melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). Menerusi kerjasama ini nanti, bekalan air akan diuruskan bersama antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.

Hutang-hutang selebihnya kebanyakannya bersangkut paut dengan pelbagai projek yang sedang dilaksanakan di kawasan pinggir bandar, pembinaan rumah-rumah rakyat dan bantuan kecemasan," katanya di sini hari ini.

Jelas Mohamad, apabila semua hutang berkaitan pengurusan air selesai, Negeri Sembilan akan menjadi sebuah negeri yang mempunyai jumlah hutang terendah dengan kerajaan Persekutuan.

Dalam pada perkembangan lain Mohamad menjelaskan, kehilangan pesawat Malaysia Airline (MAS) MH370 awal bulan lalu tidak akan menjejaskan sektor pelancongan di negeri ini secara drastik.

Jelas beliau, biarpun ada usaha untuk memboikot negara ini yang sedang rancak melaksanakan program Tahun Melawat Malaysia 2014 namun tiada sebarang penurunan ketara dicatatkan malahan beberapa kawasan peranginan di negeri ini mencatatkan peningkatan pelancong.

Mungkin setakat ini kita tidak merasai lagi penurunan pelancong asing ke negeri ini dan ia hanya akan diketahui dalam tempoh masa beberapa bulan dari sekarang. Tambahan pula kejadian itu bukanlah sesuatu yang kita ingini berlaku.

Bagaimanapun terpulang kepada para pelancong untuk datang ke negeri ini atau sebaliknya," katanya.

Kerajaan negeri kaji pembinaan rumah PRIMA

Posted: 03 Apr 2014 12:31 PM PDT

SEREMBAN 3 April - Kerajaan negeri akan membuat penelitian dan kajian secara menyeluruh sebelum melaksanakan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Seremban Sentral dengan mengambil kira kesan sampingan yang akan berlaku pada masa akan datang.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kajian berkenaan meliputi penyelesaian masalah trafik, jalan raya serta kawasan lapang agar kawasan itu dapat diduduki oleh orang ramai dalam keadaan yang selesa.

Katanya, jumlah rumah asal yang akan dibina sebanyak 5,000 unit juga akan dikurangkan kepada 3,000 unit sahaja dengan bakinya akan dibina di kawasan-kawasan sesuai lain bagi memastikan tiada masalah sampingan berlaku.

Kita tidak mahu apabila kita buat kawasan perumahan nanti, kawasan sesak kepada orang ramai yang akan mendiami rumah berkenaan. Cuba bayangkan kalau 5,000 unit rumah itu didirikan sudah pasti kawasan akan menjadi sesak dan ini akan mendatangkan masalah.

Jika rumah itu kita bina juga sudah pasti kesan sampingan yang tidak baik akan berlaku dan apabila ini berlaku, orang akan marah kepada kerajaan serta matlamat awal pembinaan perumahan itu akan tersasar,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri semalam.

Untuk itu kata beliau, kerajaan negeri tidak akan terburu-buru melaksanakan projek perumahan berkenaan kerana matlamat utamanya adalah untuk membolehkan orang ramai mendapat kediaman yang selesa untuk didiami.

Saya telah minta untuk dikurangkan dan kita akan lakukan kajian impak trafik kerana kita tidak mahu keadaan di bandar ini akan menjadi terlampau sesak. Kita tidak akan luluskan jika impaknya nanti menyusahkan rakyat.

Apa yang saya dapat lihat antara jalan penyelesaiannya adalah mengurangkan unit rumah yang mana nanti bakinya akan dibina di kawasan-kawasan berdekatan," jelas beliau.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved