Jumaat, 4 April 2014

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Makin berisi makin tunduk

Posted: 03 Apr 2014 09:35 PM PDT

Oleh MERAN ABU BAKAR
Gambar NASIRUDDIN YAZID

ISTERINYA, Anita Anuar sentiasa berada di belakang setiap kejayaan Salikin.

MENGENALI Salikin Sidek sejak lebih 20 tahun lalu, beliau tidak banyak berubah. Salikin masih seorang yang peramah. Bertutur lembut sambil ketawa dan tidak pernah meninggi diri. Berpegang kepada pepatah Melayu, seperti resmi padi, makin berisi makin tunduk, banyak yang telah dicapai oleh peneraju rekaan fesyen tradisional Melayu berasaskan songket ini sejak mula membabitkan diri dalam bidang fesyen sejak tahun 1982.

Salikin tetap teguh memperjuang dan mengharumkan seni rekaan fesyen tradisional songket sehingga ke hari ini. Walaupun masa beredar dan fesyen silih berganti, namun kata Salikin, seni fesyen tradisi ini tidak akan lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas.

Siapa lagi yang akan mengekalkan jati diri bangsa jika bukan daripada pereka tempatan sendiri? Sebagai pereka, saya cuba membawa seni tradisi kita sehingga menjadi signature terutama busana baju kurung. Biar orang luar mengenali dari mana asal baju kurung sebagaimana mereka mengenali baju kebaya dari Indonesia, sari dari India, ceongsam dari China dan kimono dari Jepun. Secara tidak langsung, busana Melayu akan lebih dikenali dan dihormati di seluruh dunia.

Dalam setiap helaian koleksi saya, songket menjadi taruhan penting. Fabrik tempatan ini mempunyai nilai estetika tersendiri. Setiap kali mengadakan pertunjukan fesyen, saya banyak mengketengahkan elemen songket dan tenun untuk menarik lebih perhatian pereka generasi baru yang kini banyak menuju ke arah rekaan moden tetapi saya gembira mengekalkan konsep tradisi warisan berzaman.

Berbekalkan pengalaman di bidang fesyen dan teknologi maka dapatlah saya mendokumentasikan fesyen tradisional dan cara teknikal melakar pola mahupun paper pattern untuk potongan-potongan baju kurung Johor berpesak, berkekek juga baju kebaya Selangor berpesak berkelepet.

Dewasa ini baju kurung Aceh mahupun baju kebaya Pahang ditata rias menjadi busana pengantin lelaki dan pengantin perempuan," kata Salikin yang ditemui di rumah beliau di Setiawangsa, Kuala Lumpur.

Menurut Salikin yang berasal dari Kluang, Johor, jati diri dan nilai seni yang tumbuh sejak azali telah memupuk minat beliau untuk terus meneroka dan mereka fesyen tradisi.

Beliau pernah membuat busana kostum untuk persembahan teater Nur Nilam Sari, Kias Fansuri, Warkah Warisan Melayu dan dramatari Seri Rama Siti Dewi.

Minat yang begitu mendalam membuatkan beliau berusaha untuk menghasilkan buku mengenai busana Melayu tradisi. Buku pertama beliau berjudul Variasi Busana Tradisional yang menghimpunkan baju tradisional Melayu, iaitu baju kurung Teluk Belanga, baju kebaya Kuala Selangor dan baju Riau Pahang.

Pengisian buku ini terdiri daripada 50 peratus fesyen dan 50 peratus teknikal, iaitu cara memotong, menjahit dan mengambil ukuran. Ia bukan sahaja boleh dijadikan buku rujukan menjahit tetapi lebih penting memperkenalkan baju tradisional.

Sementara itu buku kedua beliau, Busana Pengantin Melayu mengandungi koleksi pakaian bercirikan tradisi berseni dan cara pembuatannya yang menjadi elemen penting dalam budaya dunia Melayu, iaitu songket tenunan warisan yang terkenal dengan kehalusan dan keindahannya tersendiri.

Salikin dan anak-anak

Penglibatan dalam bidang fesyen bukan bermakna Salikin tidak mementingkan sebuah perkahwinan dan institusi kekeluargaan. Mendirikan rumah tangga dengan Anita Anuar, gadis Batu Pahat, Johor sejak 13 tahun lalu, perkahwinan yang direstui oleh keluarga kedua-dua pihak ini dikurniakan empat orang cahaya mata yang terdiri daripada seorang lelaki dan tiga perempuan.

Anak sulung beliau, Ariq Siddiq (bermakna baik hati dan baik budi), 12, kedua Asila Sofea (suci dan asli), 10, ketiga Ajwa Saliha (kurma Nabi) tujuh dan yang bongsu Anis Syahira (peramah, ternama) baru berusia lima bulan.

Bahagia dengan rumahtangganya, Salikin dan isteri begitu menitikberatkan pelajaran akademik dan agama anak-anak. Namun kata Salikin, isteri beliau, Anita lebih tegas dan garang dengan anak-anak dan anak-anak juga lebih takutkan ibu mereka.

Menjaga anak-anak dan menguruskan sendiri rumah tangga tanpa bantuan orang gaji, kata Salikin, Anita yang mahukan begitu.

Setiap hari Anita perlu keluar rumah sebanyak enam kali bagi menghantar dan mengambil anak-anak dari sekolah. Walaupun nampak penat namun dia kata puas hati dan tidak bimbang memikirkan kerenah orang gaji yang macam-macam di dengar. Cara ini juga dapat mengeratkan hubungan kami dengan anak-anak.

Budak-budak dahulu lain sekarang lain. Oleh itu cara pendekatan juga berbeza. Dari darjah empat lagi saya sudah menghantar anak-anak ke kelas tuisyen. Kita tidak boleh hendak mengharap pada guru sahaja sahaja untuk mendidik anak kita. Begitu juga dengan sekolah agama, sama penting.

Pada saya jika daripada awal kita telah didik anak mengikut rutin harian iaitu ke sekolah dan kemudian ke kelas agama, tidak sukar untuk mendidik mereka.

Hari Sabtu merupakan hari rehat sepenuhnya bagi mereka dan mereka boleh melakukan apa yang mereka suka seperti menonton televisyen, bermain dan sebagainya.

Pada hari Ahad pula, saya masukkan mereka ke kelas taekwando dan tarian," ujar Salikin yang merupakan ahli jawatan kuasa Persatuan Ibu Bapa Guru Sekolah Berprestasi Tinggi Setiawangsa.

Bercerita mengenai anak-anaknya, kata Salikin, anak sulungnya yang juga lelaki tunggal cenderung kepada bidang kejuruteraan dan mengetahui banyak mengenai kereta dan motor. Anak keduanya pula berminat menjadi guru sementara anak ketiga gemar melukis dan mengenali jenis-jenis baju.

Menurut Salikin lagi, dalam apa sahaja bidang yang diminati oleh anak-anak, sebagai ibu bapa harus memberi dorongan dan panduan. Walau apa pun, mereka harus menamatkan pengajian terlebih dahulu dan doa ibu bapa mengiringi mereka.

Beliau turut berharap apabila anak-anaknya dewasa kelak mereka akan terus mengekalkan budaya busana Melayu yang indah ini.

Kata bapa yang penyayang ini, beliau amat bersyukur kerana dianugerahkan anak-anak. Walaupun lewat berkahwin namun beliau tetap memiliki zuriat. Ramai lagi yang sudah lama berkahwin masih belum dikurniakan dengan cahaya mata.

Ruang lebih menarik dengan bingkai hiasan

Posted: 03 Apr 2014 09:35 PM PDT

Oleh Siti Aishah Yusoff
Gambar Shidiqien Zon

SHAFIE Md. Isa dengan bingkai hiasan dinding yang direkanya.

Tujuan dinding rumah yang dibina berbentuk segi empat berfungsi sebagai tembok penghadang daripada sebarang kemungkinan.

Dinding yang dibina juga pastinya direka dengan pelbagai bentuk dan rekaan yang boleh menaikkan seri rumah.

Untuk mencantikkan lagi, pelbagai hiasan dinding digunakan sebagai hiasan di ruang kediaman seperti cermin, lukisan dan arca, hiasan bunga kering, hiasan pinggan dan seramik, hiasan bingkai kayu, hiasan jam dan banyak lagi.

Hiasan dinding dengan corak dan warna yang menarik dan bersesuaian dengan konsep, jika diletakkan pada dinding akan memberi kesan menarik dalam ruang kediaman.

Apa yang penting pemilik rumah perlu memilih hiasan dinding yang sesuai dengan tema dan konsep hiasan rumah.

Kaedah ini boleh dilakukan jika keadaan ruang didominasi oleh elemen lain seperti perabot.

Jika perabot yang digunakan itu berukiran penuh atau mempunyai reka bentuk unik dengan sendirinya menyerlahkan penampilan ruang dinding, maka penggunaan perhiasan dinding berukuran kecil sudah memadai.

Gaya hiasan dinding boleh diselaras dengan menggantung hiasan di ruang dinding atas meja, meja kerja dan meja sisi. Jika ruang dinding luas, menggantungkan lukisan pemandangan atau poster besar secara bersendirian memberi impak menarik pada sudut tersebut.

Sebagai pereka seni hiasan rumah, Shafie Md. Isa turut mereka hiasan dinding yang dihasilkan dengan bancuhan resin bersama-sama serbuk karbonat bagi menghasilkan produk yang cantik dan berkualiti.

Hiasan dinding tersebut mempunyai dua saiz berbeza iaitu bagi saiz besar 24.11 inci dan saiz kecil 14.6 inci yang berbentuk segi empat. Kesemua proses penghasilan ini menggunakan mesin khusus yang dibancuh dalam acuan dan juga lukisan ringkas daripada tangan.

Hiasan ini menggunakan motif flora termasuk bunga orked, helikonia, mawar dan bunga raya. Warna bagi bingkai pula didatangkan dengan tiga warna pilihan iaitu hijau, warna keemasan dan rona kayu," katanya.

Dia menambah, keistimewaan dan tarikan bingkai hiasan dinding tersebut dari segi ukiran bunga yang timbul seperti lukisan tiga dimensi (3D).

Permukaann bingkai ini kelihatan cembung yang membolehkan seni tersebut dilihat pada tiga bahagian termasuk bahagian hadapan, tepi sebelah kanan dan kiri bingkai tersebut. Imej seperti cembung tersebut akan memberi kesan pemandangan yang indah dan lebih menarik.

Kebiasaannya bingkai gambar yang berwarna seperti warna kayu lebih mendapat sambutan. Ia sangat sesuai digantung di bahagian dinding rumah. Sementara warna flora pula menaikkan seri ruang kediaman kerana warnanya yang ceria," ujarnya.

Berminat dengan hiasan dinding ini, boleh kunjungi facebook unggulart design.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved