Jumaat, 4 April 2014

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Apabila cakap tidak serupa bikin

Posted: 04 Apr 2014 11:39 AM PDT

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL

CUACA kering dan kemarau yang panjang di seluruh negara ketika ini rupa-rupanya memberi kelebihan kepada Kerajaan DAP Pulau Pinang.

Tanpa alasan kukuh, Ketua Menteri, Lim Guan Eng tiba-tiba mengumumkan tarif air di negeri ini akan dinaikkan sekali lagi pada masa depan. Berapa peratus kadar kenaikan itu belum dimuktamadkan kerana masih di peringkat kajian oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP). PBAPP yang Guan Eng menjadi pengerusinya adalah pihak bertanggungjawab menyuarakan cadangan kenaikan tersebut.

Dengan kata lain, PBAPP yang dipengerusikan Guan Eng mencadangkan kepada Kerajaan DAP Pulau Pinang yang juga dipimpin Guan Eng supaya menaikkan kadar tarif air. Maka tidak hairanlah, cadangan itu diluluskan tanpa banyak soal.

Sebagaimana peliknya keadaan itu, samalah juga peliknya kewajaran dalam menaikkan kadar tarif air tersebut.

Pengumuman itu menyerlahkan sikap cakap tidak serupa bikin Kerajaan DAP Pulau Pinang yang sebelum ini berjanji tidak akan membebankan penduduk negeri ini dengan peningkatan kos sara hidup.

Mana mungkin penduduk negeri ini boleh melupakan kenyataan Guan Eng dalam perutusan Tahun Baru 2014 yang cukup berbangga kononnya Pulau Pinang menjadi satu-satunya kerajaan negeri yang tidak menaikkan apa-apa kadar bagi perkhidmatan tempatan sama ada cukai tanah, kadar taksiran mahupun lesen niaga.

Malangnya baru empat bulan, kebanggaan itu dilenyapkan dengan pengumuman penduduk negeri ini bakal membayar lebih bagi bekalan air yang dinikmati mereka.

Amat mengejutkan apabila Kerajaan Negeri Pulau Pinang meletakkan kewajaran menaikkan tarif air itu di bahu penduduk.

Dengan alasan penduduk negeri ini tidak bijak menggunakan air sehingga menjadi negeri paling tinggi penggunaan air, maka kenaikan tarif air itu dijadikan hukuman supaya penduduk lebih berjimat-cermat.

Bagi kerajaan negeri yang selama ini mendabik dada dengan slogan negeri berkebajikan, menyalahkan penduduk sendiri langsung tidak menggambarkan gelaran tersebut. Sebaliknya tindakan itu lebih kepada satu bentuk pengkhianatan kepada penduduk negeri ini yang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu memberi sokongan paling tinggi dalam sejarah terhadap pembangkang.

Lebih mengecewakan penduduk Pulau Pinang adalah kenaikan tarif air terbaharu itu tidak sampai setahun selepas kerajaan negeri mengambil tindakan serupa.

Pada 1 September tahun lalu, penduduk di negeri ini sudah dibebankan dengan kenaikan surcaj pemuliharaan air (WCS) sebanyak 100 peratus bagi penggunaan domestik iaitu 24 sen kepada 48 sen setiap 1,000 liter untuk penggunaan melebihi 35,000 liter sebulan.

Sekadar untuk perbandingan, sepanjang 18 tahun negeri ini diperintah kerajaan Barisan Nasional (BN), hanya sekali tarif air dinaikkan.

Menarik juga untuk meneliti semula apa yang disebut Guan Eng dalam perutusan itu antaranya berbunyi: Kerajaan Persekutuan dapat menangguhkan kenaikan harga andai mereka mencontohi Pulau Pinang, terutama dalam melawan rasuah."

Jika pengumuman kenaikan tarif air seperti diumumkan Guan Eng itu dijadikan perbandingan, bukankah membawa maksud Kerajaan Negeri Pulau Pinang sendiri gagal dalam melawan rasuah?

Agak melucukan juga apabila Guan Eng berulang kali menekankan kebimbangannya terhadap kemungkinan terpaksa mengambil langkah catuan air sekiranya masalah penggunaan air berlebihan dalam kalangan penduduk negeri ini gagal diatasi.

Dengan menjadikan Selangor dan Johor sebagai contoh, Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak mahu penduduk negeri ini juga sengsara akibat catuan air seperti ditanggung penduduk di dua negeri tersebut. Tetapi Guan Eng terlupa dalam situasi di Selangor, penduduknya tidak perlu berhadapan dengan masalah kekurangan air sekiranya Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor lebih awal bersetuju dengan cadangan Loji Rawatan Air Sungai Langat 2 (Langat 2).

Disebabkan kedegilan pembangkang yang tidak mahu dilihat bersetuju dengan Kerajaan Pusat meskipun dalam projek yang jelas memberi manfaat kepada rakyat, maka berlakulah seperti apa yang ditanggung penduduk Selangor ketika ini.

Apa pun alasan yang diberikan Kerajaan DAP Pulau Pinang, keputusan menaikkan tarif air itu tidak akan menutup kegagalan mereka dalam menunaikan janji-janji membela nasib rakyat.

Janji untuk tidak menaikkan tarif air misalnya terkandung dalam manifesto pembangkang ketika pilihan raya umum lalu dan merupakan komitmen besar mereka terhadap pengundi yang perlu dilunaskan.

Malangnya, janji itu dikhianati dalam tempoh yang terlalu singkat serta tanpa mengambil kira beban ekonomi yang mencengkam rakyat ketika ini.

Isu Memali: Penjelasan Musa Hitam

Posted: 04 Apr 2014 11:39 AM PDT

PADA pukul 9 malam 27 Mac 2014, saya bersama YB Husam Musa ialah dua ahli panel dalam Majlis Diskusi anjuran Kerajaan Negeri Kelantan bertemakan Politik Malaysia: Dahulu dan Sekarang.

Profesor Dr. Mohammad Agus Yusoff dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berperanan sebagai moderator. Format diskusi menyamai program Hard Talk, BBC London yang meletakkan syarat bahawa ahli panel tidak dibenar menggunakan skrip atau nota lebih awal tetapi bersedia menghadapi apa juga soalan yang diajukan oleh moderator.

Sepanjang dua jam, moderator diskusi bersikap combative, aggresive serta provocative. Dalam pada itu saya akui bahawa moderator memperlihatkan sifat saksama, berkecuali dan tidak partisan.

Di penghujung diskusi, saya telah diajukan soalan berkaitan peristiwa Memali yang dapat saya rumuskan berpusat kepada tiga perkara berikut:

1. Pengesahan saya bahawa pada hari peristiwa Memali berlaku, Tun Dr. Mahathir Mohamad berada di negara China dan saya ialah Pemangku Perdana Menteri.

2. Saya bertanggung jawab sepenuhnya kepada peristiwa tersebut.

3.Bagaimanakah perasaan saya dengan peristiwa Memali.

Saya telah memberi respons kepada soalan yang diajukan berteraskan empat aspek berikut:

1. Saya menegur moderator dengan mengatakan sebagai seorang profesor, sesuatu perkara yang disuarakan hendaklah berasaskan penyelidikan mendalam dan fakta yang tepat.

2. Pada hari peristiwa Memali (iaitu 19 November 1985) Dr. Mahathir berada di Kuala Lumpur dan saya bukannya Pemangku Perdana Menteri.

Moderator menunjukkan reaksi terkejut dan dengan suara yang jelas melafazkan perkataan My God" yang mengejutkan hadirin.

3. Sebagai Menteri Dalam Negeri saya telah menggariskan panduan umum, memberi ingatan dan mengarahkan pihak polis tentang dua perkara:

(i) Proses undang-undang hendaklah dipatuhi;

(ii) Elakkan kekerasan (violence) dan pertumpahan darah

Namun saya mengambil tanggung jawab dan akauntabiliti terhadap kejadian yang berlaku walaupun saya tidak terlibat secara langsung tetapi menyerahkan kepada budi bicara pihak polis untuk melaksanakan operasi dari segi menentukan waktu terbaik ianya dilakukan serta kaedah dan pendekatan untuk melaksanakan operasi.

4. Saya berterus terang dan dengan ikhlas serta penuh insaf mengaku bahawa titik hitam dalam sejarah karier politik saya ialah peristiwa Memali.

Dalam ruang masa yang diberikan oleh moderator, saya telah menghuraikan urutan peristiwa yang berlaku.

Pada hari kejadian, saya bersama Pemangku Ketua Polis Negara (KPN) telah menemui Perdana Menteri di pejabat beliau dan Pemangku KPN telah memberikan taklimat tentang perkara yang berlaku berikutan operasi polis di Memali yang melibatkan kematian empat anggota polis dan 14 orang awam.

Dalam pertemuan tersebut saya memohon agar Dr. Mahathir menangguhkan program lawatan ke China atas tiga sebab:

1. Peristiwa ini berlaku di negeri Kedah; negeri Perdana Menteri sendiri.

2. Peristiwa ini melibatkan orang Melayu beragama Islam.

3. Dengan menangguhkan lawatan ke China, Dr. Mahathir memperlihatkan sifat ia mengutamakan dan mengambil berat terhadap peristiwa yang telah berlaku di dalam negeri.

Dr. Mahathir membuat keputusan untuk tetap berlepas ke China.

Saya telah memaklumkan kepadanya cadangan saya untuk membentangkan peristiwa Memali di Parlimen. Di samping itu, saya turut meminta agar semua media, termasuk media luar negara memberi saya ruang 24 jam untuk membolehkan saya mendapat gambaran lebih tepat lagi lengkap.

Saya telah membentangkan peristiwa Memali di Dewan Rakyat pada keesokan harinya (20 November 1985) dan selanjutnya mengadakan perjumpaan media.

Kesimpulannya ialah:

1. Bukan niat saya mahu mencetuskan polemik baru berkaitan Memali. Ia dihidupkan semula berikutan respons saya kepada soalan yang diajukan oleh moderator dalam program diskusi yang diadakan.

2. Isu utama dalam perkara ini adalah fakta, sama ada pada hari peristiwa tersebut berlaku, saya menjawat jawatan Pemangku Perdana Menteri kerana Dr. Mahathir berada di luar negara. Berdasarkan penyelidikan daripada bahan-bahan rujukan yang masih dapat saya temui, nyatalah Dr. Mahathir berada di dalam negara pada hari tercetusnya peristiwa Memali, dan saya tidak memangku jawatan Perdana Menteri pada hari tersebut.

3. Sewaktu berlangsung prosiding kes dakwaan saya terhadap seorang penulis di mahkamah beberapa tahun lalu di mana dalam kes ini saya berjaya, (ketika itu Dr. Mahathir masih Perdana Menteri), peguam bela bertanya dua soalan yang serupa, sama ada Dr. Mahathir berada di dalam negara pada hari peristiwa Memali berlaku dan adakah saya memangku jawatan Perdana Menteri.

Jawapan konsisten saya berikan bahawa beliau berada di dalam negara dan saya tidak memangku jawatan Perdana Menteri. Tetapi tidak ada media yang sedia melaporkan fakta ini.

Sekian lama saya dicerca, dicela dan dinista mengenai peristiwa Memali oleh pelbagai pihak terutama oleh parti Pas. Seingat saya, apatah lagi selepas saya berundur daripada jawatan menteri; tidak ada pihak baik daripada kerajaan, begitu juga Parti UMNO yang saya anggotai bersedia menyuarakan fakta yang benar.

Saya pernah menawarkan diri untuk mengadakan wawancara eksklusif dengan media khusus atas subjek peristiwa Memali, tetapi tidak ada pihak media yang bersedia berwawancara dengan saya.

Saya sedar dan memahami ketika itu tidak ada pihak yang bersedia berhadapan risiko untuk bercakap perkara yang boleh dianggap menyentuh kedudukan dan batang tubuh seorang Perdana Menteri yang sedang berkuasa.

Sekian lama saya berseorangan untuk mendapatkan keadilan namun saya terus berdoa dan akhirnya program diskusi di Kelantan saya sifatkan sebagai anugerah Ilahi memakbulkan doa saya.

Ruang tersebut memberikan saya peluang untuk memperbetulkan fakta sejarah akan peristiwa penting yang melibatkan diri saya.

Saya bersyukur ke hadrat Ilahi yang telah memberikan peluang tersebut kepada saya.

Saya sedar perkembangan terbaru ini telah menjemput pelbagai ulasan dan pandangan secara positif dan secara negatif, tidak terkecuali yang berbentuk tohmahan, tuduhan dan fitnah baru ke atas diri saya.

Saya serahkan segala-galanya kepada Allah yang Maha Mengetahui akan kebenaran dan kepada-Nya saya memohon petunjuk dan keadilan.

TUN MUSA HITAM

4 April 2014

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved