Jumaat, 4 April 2014

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Balu, anak Allahyarham Ahmad Sarbaini tuntut ganti rugi RM8j

Posted: 04 Apr 2014 11:39 AM PDT

Masiah @ Maziah Manap menunjukkan writ saman terhadap kerajaan Malaysia atas kematian suaminya dalam sidang akhbar di lobi Kompleks Mahkamah Persekutuan, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 4 April - Balu dan anak sulung kepada Penolong Pengarah Kastam Selangor, Ahmad Sarbaini Mohamed hari ini memfailkan saman menuntut ganti rugi berjumlah RM8 juta terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan lapan yang lain berhubung kematian suaminya, April 2011.

Masiah @ Maziah Manap, 53, dan Shahril, 30, memfailkan saman tersebut melalui firma guaman, Tetuan Sasha Lyna di Kaunter Pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini.

Mereka menamakan bekas Pengarah SPRM cawangan Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Yussuf Akope dan lima pegawainya, Mohamad Fauzi Hussin; Sheikh Niza Khairy Sheikh Mohamed; L. Baskar; Mohd. Rosly Mohd. Saupi dan Kamal Awang Besar selaku defendan pertama hingga keenam.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah Ketua Pesuruhjaya SPRM Malaysia, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan ketujuh dan kesembilan.

Dalam saman itu, plaintif mendakwa kematian Ahmad Sarbaini ekoran daripada sesi soal siasat dan serangan mental yang dikatakan dilakukan oleh kesemua defendan.

Oleh itu, kedua-dua plaintif menuntut ganti rugi untuk tanggungan dan faedah harta.

Mereka turut memohon ganti rugi akibat salah laku oleh penjawat awam (misfeasance), ganti rugi keterlaluan, ganti rugi teladan dan pencabulan hak asasi yang berjumlah RM8 juta selain menuntut ganti rugi am dan khas.

Masiah dan Shahril juga memohon perisytiharan bahawa kesemua defendan dengan sengaja telah melanggar kebebasan asasi Ahmad Sarbaini dan bertentangan dengan Bahagian II Perlembagaan Persekutuan.

Pada 26 September 2011, Mahkamah Koroner di sini memutuskan bahawa tiada unsur jenayah atau penglibatan pihak ketiga dalam kematian Ahmad Sarbaini.

Koroner Aizatul Akmal Maharani dalam keputusannya berpendapat, Ahmad Sarbaini jatuh secara tidak sengaja dari Aras 3 bangunan SPRM Wilayah Persekutuan dan meninggal dunia di tempat sama disebabkan nahas tersebut.

Ahmad Sarbaini, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang ditemui mati di gelanggang badminton di Aras 1 bangunan SPRM tersebut yang terletak di Jalan Cochrane di sini pada 6 April 2011.

Allahyarham pergi ke pejabat itu secara sukarela untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah yang membabitkan 62 pegawai kastam.

Perbicaraan inkues mengambil masa 13 hari itu bermula pada 4 Julai 2011 dan ditutup pada 4 Ogos tahun sama.

Sepanjang perbicaraan, mahkamah merekodkan keterangan daripada 34 saksi termasuk beberapa pegawai SPRM Wilayah Persekutuan, dua pakar patologi, beberapa pegawai forensik, pegawai Kastam, dan Masiah.

Felda menang rayuan

Posted: 04 Apr 2014 11:39 AM PDT

PUTRAJAYA 4 April - Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) boleh mendapat semula wang caruman mencecah RM1.8 juta yang telah diserahkan kepada 121 orang peneroka Felda Kemahang 1 dan 2 di bawah tabung tanam semula (TTS) yang diurus oleh agensi itu.

Perkara tersebut berikutan keputusan sebulat suara panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Aziah Ali yang bersidang bersama Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim dan Datuk Varghese George Varughese ketika membenarkan rayuan Felda.

Mahkamah turut memerintahkan peneroka-peneroka Felda Kemahang 1 dan 2, Tanah Merah, Kelantan selaku responden-responden membayar kos RM50,000.

Felda merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 14 Jun 2011 yang membenarkan tuntutan saman peneroka-peneroka dan mengarahkan agensi itu membayar RM1.8 juta kepada mereka selepas gagal membayar semula wang caruman yang disimpan di bawah tabung berkenaan.

Berikutan keputusan itu, setiap individu mendapat wang mencecah RM12,000 dan telah diserahkan sekitar Julai 2011.

Hakim Abdul Aziz ketika membacakan keputusan itu antara lain menyatakan, Akta Penempatan Berkelompok (GSA) menyebut, tanah rancangan itu tetap dikuasai oleh agensi berkenaan walaupun ia merupakan hak milik peneroka dan geran telah dikeluarkan kepada mereka.

Mahkamah berpendapat, peneroka mesti mematuhi prosedur dan garis panduan yang ditetapkan oleh Felda jika ingin mengeluarkan wang yang dicarum dalam tabung berkenaan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved