Jumaat, 4 April 2014

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


90 peratus pemilik dikesan

Posted: 03 Apr 2014 12:31 PM PDT

Oleh MOHAMAD HARITH MOHAMAD NIZAR
kota@utusangroup.com.my

Nor Hisham Ahmad Dahlan (depan) meninjau kawasan Bukit Tabur yang terlibat dalam projek permatang kuarza di Hulu Klang, Selangor, semalam. - UTUSAN/ZAINI HUSIN

KUALA LUMPUR 3 April - Sebanyak 90 peratus pemilik tanah dekat Hulu Klang di sini dikenal pasti oleh Pejabat Daerah dan Tanah Gombak (PDTG) untuk pengambilan tanah mereka bagi projek permatang kuarza.

Pegawai Daerah Gombak, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, pengambilan tanah itu melibatkan kira-kira 16 kilometer bermula dari Sri Gombak hingga Hulu Klang.

Menurutnya, proses mengesan baki pemilik tanah yang selebihnya mengalami kesulitan berikutan ada antara mereka telah meninggal dunia.

"Bagaimanapun, kami yakin usaha mencari baki 10 peratus pemilik tanah akan selesai dalam tempoh terdekat dan dijangkakan proses pengambilan tanah akan mengambil masa tiga hingga enam bulan, " katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kawasan Bukit Tabur yang berada di kawasan projek permatang kuarza yang akan dibangunkan nanti di Taman Melawati, Gombak dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Hulu Klang, Saari Sungib.

Menurut Nor Hihsam, ini merupakan usaha kerajaan negeri Selangor untuk mewartakan tempat tersebut sebagai Taman Warisan Permatang Kuarza yang terpanjang di dunia di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

"Bagi merealisasikan hasrat itu pengambilan tanah perlu dilakukan.

"Pengambilan semula tanah itu akan dilakukan di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 di mana kerajaan negeri Selangor akan membayar pampasan kepada mereka," jelasnya.

Sementara itu, Saari memberitahu, setakat ini terdapat cadangan untuk menjadikan kawasan Bukit Tabur sebagai tempat riadah seperti di Gunung Kinabalu.

Kita akan pastikan kawasan ini diselenggarakan dengan baik termasuk pemantuan dari segi keselamatan, mempunyai pengawal bertugas dan sebagainya.

Antara kemudahan yang akan dibina pula adalah sistem tempat meletak kenderaan dan pengunjung perlu melalui pintu masuk yang dibenarkan sahaja berbanding sekarang yang mempunyai empat laluan masuk," katanya.

Katanya lagi, cadangan bagi menjadikan kawasan tersebut sebagai Taman Warisan Permatang Kuarza terpanjang di dunia itu akan dikumpulkan dan dibentangkan kepada Exco kerajaan negeri Selangor dalam tempoh terdekat.

Naik taraf Jalan Kenanga sebagai 'Daerah Fesyen' tarik lebih ramai pelancong

Posted: 03 Apr 2014 12:31 PM PDT

Ahmad Phesal Talib (depan) menerangkan tentang pelan Cadangan Menaik Taraf dan Pengindahan Kawasan Jalan Kenanga, Kuala Lumpur, kelmarin. - The Star

KUALA LUMPUR 3 April - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bercadang menaik taraf dan melakukan kerja-kerja pengindahan di Jalan Kenanga, di sini untuk dijadikan `Daerah Fesyen' bagi menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, Jalan Kenanga merupakan kawasan yang terkenal dengan aktiviti perniagaan berteraskan fesyen dan borong di ibu kota sejak sekian lama.

Kawasan ini cukup berpotensi untuk diperkenalkan sebagai destinasi popular membeli-belah bukan sahaja kepada pelancong tempatan, bahkan pelancong asing.

Usaha menaik taraf kawasan ini sekaligus memberi peluang kepada orang ramai yang sebelum ini lebih tertumpu kepada pusat membeli-belah di tengah-tengah pusat bandar raya yang sesak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Sesi Mendengar Pandangan Bagi Cadangan Menaiktaraf dan Pengindahan Kawasan Jalan Kenanga di Dewan Kompleks Kenanga Wholesale di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Lembaga Penasihat DBKL, Datuk Ar. Esa Mohamed; Timbalan Ketua Pengarah Pelaksanaan Projek dan Penyenggaraan DBKL, Datuk Mohd. Najib Mohd. dan Ketua Pengarah DBKL, Datuk Amin Nordin Abdul,Aziz.

Sementara itu, Ahmad Phesal berkata, bagi memastikan hasrat tersebut direalisasikan beberapa isu di kawasan tersebut perlu ditangani, terutama melibatkan aspek kebersihan.

Katanya, antara projek naik taraf yang dicadangkan termasuk membina laluan-laluan pejalan kaki berbumbung, memperbaiki aliran laluan kenderaan dan menyediakan tempat letak kereta.

Turut terlibat kerja-kerja memperbaiki sistem perpaipan dan membina reka bentuk pembangunan yang berteraskan kota fesyen.

Selain itu, pintu gerbang utama akan dibina di jalan terbabit beserta mural, pagar serta kerja-kerja mengecat semula bangunan bagi menyerlahkan lagi kawasan tersebut.

Tambahnya, sesi mendengar pandangan daripada penduduk dan peniaga di sini bagi cadangan menaik taraf dan pengindahan akan dilakukan sekurang-kurangnya dua kali lagi sebelum sebarang keputusan dibuat.

Dalam masa sama beliau turut memberi jaminan sebarang pembangunan tidak akan dimulakan selagi tidak dibentangkan dan mendapat persetujuan peniaga dan penduduk.

Laporan polis berhubung bazar Ramadan

Posted: 03 Apr 2014 12:31 PM PDT

KUALA LUMPUR 3 April - Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) mendakwa seramai 200 peniaga bazar Ramadan di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan Chow Kit sebelum ini tidak dapat menjalankan perniagaan ekoran tapak berkenaan adan hanya diberi kepada badan bukan kerajaan (NGO) tertentu sahaja.

Presidennya, Mohd. Ridzuan Abdullah berkata, perkara itu menyebabkan NGO terbabit menyewakan tapak perniagaan kepada golongan tertentu dan warga asing bagi mendapatkan keuntungan yang berlipat ganda.

"Majoriti kegiatan 'mengalibabakan' lesen dan lot perniagaan itu dikesan melibatkan NGO Melayu.

"Kadar sewa yang dikenakan pula sangat tinggi iaitu antara RM3,000 hingga RM8,000 menyebabkan ramai di antara peniaga tidak mampu untuk menyewa tapak bazar berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas membuat laporan polis berhubung ketelusan pihak berkuasa tempatan dalam menyewakan tapak bazar Ramadan kepada peniaga Melayu.

Turut tampil membuat laporan adalah Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia, Amir Amsaa Alla Pitchay dan Presiden Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah.

Tambah Mohd. Ridzuan, petak perniagaan yang diberi kepada NGO seharusnya diagihkan kepada ahli-ahlinya dan bukan menyewakan kepada pihak ketiga semata-mata untuk kepentingan sendiri.

"Perkara ini sudah lama berlaku namun sehingga kini mereka seolah-olah kebal menjalankan aktiviti sewa tapak berikutan tiada tindakan yang diambil oleh mana-mana pihak berkuasa tempatan," ujarnya.

Sementara itu, Amir Amsaa berkata, perkara tersebut jika tidak ditangani dengan segera dikhuatiri akan menutup periuk nasi peniaga Melayu yang hanya bergantung kepada perniagaan semata-mata.

"Mereka yang tidak mendapat petak bazar Ramadan ini biasanya terdiri daripada mereka yang kurang berkemampuan.

Oleh itu pihak terlibat sepatutnya menjaga kebajikan mereka bukannya menyewakan tapak kepada warga asing.

"Kami berharap masalah ini tidak berlaku lagi memandangkan bulan Ramadan akan tiba tidak lama lagi," tegasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved