Khamis, 3 April 2014

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


297 pelajar terima bantuan Tapem

Posted: 02 Apr 2014 11:58 AM PDT

Oleh Mohamad Dzulhisham Che Hassim
utusanmelaka@utusan.com.my

Md. Yunos Husin (dua dari kiri) menyampaikan cek bantuan kewangan ke IPT kepada pelajar cemerlang lepasan SPM pada majlis penyampaian di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka, semalam. - UTUSAN/Mohammad Dzulhisham Che Hassim

MELAKA 2 April - Seramai 297 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) menerima bantuan kewangan berjumlah RM113,300 daripada Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (Tapem).

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Datuk Md. Yunos Husin berkata, sebanyak RM16,500 diperuntukkan kepada 55 pelajar yang melanjutkan pelajaran peringkat diploma apabila masing-masing menerima RM300 seorang.

Menurutnya, bagi pelajar yang melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah pula, masing-masing mendapat RM400 seorang.

Beliau berkata, sumbangan one-off itu adalah sebagai penghargaan kepada pelajar terlibat.

Tapem memainkan peranan besar dan fokus menyumbang kepada pembangunan dan peningkatan kualiti pendidikan anak negeri Melaka dan program ini merupakan manifestasi kepada usaha tersebut.

Program ini juga diadakan khusus untuk meringankan serba sedikit beban keluarga terutamanya bagi mereka yang kurang berkemampuan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian bantuan itu di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Tapem, Nordin Ali.

Md. Yunos berkata, bantuan tersebut adalah bagi meringankan beban pelajar untuk membuat persiapan dan persediaan menjejakkan kaki di menara gading.

Justeru beliau berkata, kerajaan negeri melalui Tapem telah membelanjakan RM183.6 juta sejak tahun 2000 hingga kini bagi membantu pelajar sekolah negeri ini dari peringkat rendah ke pengajian tinggi.

Katanya, bantuan itu termasuklah dari segi sumbangan pakaian sekolah, biasiswa sekolah menengah, pinjaman pengajian tinggi dan bantuan kewangan ke IPT.

Dalam pada itu menurutnya, kerajaan negeri telah bersetuju menawarkan insentif bayaran balik kepada para peminjam dengan menawarkan potongan 20 peratus daripada baki pinjaman semasa.

Bagi meringankan beban peminjam, Tapem akan menawarkan potongan 20 peratus daripada baki pinjaman semasa kepada peminjam yang bersetuju membuat bayaran sekaligus bermula 1 Ogos 2013 hingga 31 Julai 2014," katanya.

Faktor alam sekitar Melaka Gateway dipantau

Posted: 02 Apr 2014 11:58 AM PDT

Ismail Othman (tengah) menerima kompilasi konvensyen yang disampaikan oleh Zainal Abu sewaktu majlis penutupan Konvensyen Antarabangsa Melaka Bandar Berkembar Ke-14 di Banda Hilir, Melaka, semalam. - UTUSAN/Azli Ahad

MELAKA 2 April - Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sentiasa memantau elemen alam sekitar yang telah disyaratkan sepanjang pembangunan projek mega, Melaka Gateway.

Datuk Bandarnya, Datuk Zainal Abu berkata, amalan teknologi hijau di negeri ini sudah menjadi kemestian bagi menjamin kualiti alam sekitar negeri apabila projek tersebut siap kelak.

Menurutnya, MBMB akan mengambil langkah berhati-hati dalam memantau pembangunan projek ini agar dapat berjalan lancar ketika proses pembinaan dan ketika dalam keadaan siap kelak.

Melaka dan komponen teknologi hijau sememangnya sudah tidak boleh dipisahkan dan dalam pembangunan ini memang kita akan terapkan unsur-unsur teknologi hijau.

Sebagai contoh, kita akan beri perhatian kepada Indeks Bangunan Hijau (GBI), begitu juga elemen lain termasuk penggunaan lampu LED, sistem pembentungan yang digerakkan menggunakan kuasa bateri atau solar serta menetapkan bilangan pokok yang bakal ditanam bagi penyerapan karbon dioksida.

Daripada perbincangan konvensyen ada antara negara yang gagal melaksanakan teknologi hijau kerana tiada pemantauan dan syarat sebelum membuat kelulusan dan isu alam sekitar inilah yang sering terlepas pandang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas penutupan Konvensyen Antarabangsa Bandaraya Berkembar Ke-14 di Banda Hilir di sini hari ini.

Hadir merasmikan penutupan konvensyen bertajuk Projek-projek Mega - Konsep, Strategi dan Amalan untuk Kejayaan itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ismail Othman.

Zainal berkata, perbincangan dan resolusi dalam konvensyen itu memberi idea kepada MBMB terhadap langkah berhati-hati yang boleh diambil dalam memantau projek itu kelak.

Katanya, elemen alam sekitar perlu diberi perhatian agar pembangunan yang dibuat tidak akan mengancam kehidupan dan kualiti alam sekitar pada masa depan.

Mohd. Zaki, Sodiq Ali johan tilawah Port Dickson

Posted: 02 Apr 2014 11:58 AM PDT

TELOK KEMANG 2 Apr. - Keriangan jelas terpancar di wajah Mohd. Zaki Abdullah, 33, serta Sodiq Ali Abd. Aziz, 16, selepas dinobatkan sebagai johan, masing-masing bagi kategori dewasa dan remaja pada Tilawah al-Quran Peringkat Daerah Port Dickson yang berlangsung di Auditorium Pejabat Daerah Port Dickson di sini baru-baru ini.

Mohd. Zaki berkata, beliau menyertai pertandingan itu dengan berpegang teguh kepada prinsip dan niat bukan untuk merangkul kedudukan tertentu seperti johan atau naib johan semata-mata.

Ilmu membaca al-Quran dengan baik bukan sekadar untuk diri sendiri sebaliknya perlu dikongsikan dengan segenap lapisan masyarakat.

Al-Quran adalah kalam Allah yang bukan sahaja kita perlu memahami kandungannya malah ia perlu dialunkan bacaannya dengan baik serta wajib memelihara tajwid, tarannum (lagu), fasahah (sebutan), suara dan pernafasan.

Dari situlah, baru kita dapat sampaikan bacaan dengan baik dan menghayati setiap huruf bacaan terbabit," katanya yang berkhidmat di Hospital Besar Port Dickson.

Sementara itu, Sodiq Ali berkata, dia mula tertarik untuk memasuki tilawah itu sejak darjah empat apabila sering digalakkan oleh rakan-rakan di sekolahnya.

Galakan ibu bapa dan guru serta kata-kata peransang daripada rakan sekolah mendorong saya mengambil bahagian dalam tilawah ini.

Walaupun saya telah beberapa kali menyertai tilawah peringkat daerah, ini adalah kali pertama saya dinobatkan sebagai johan bagi kategori remaja lelaki," katanya yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Saujana, Port Dickson.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Induk Tilawah Al-Quran daerah itu, Datuk Ab. Khalid Mat berkata, saringan bagi mencari peserta tilawah itu telah dijalankan melalui tiga peringkat bulan lalu.

Beliau yang juga Pegawai Daerah Port Dickson berkata, ia melibatkan seramai 70 peserta dari mukim Port Dickson.

Ia melibatkan sebanyak enam kategori iaitu remaja perempuan dan lelaki yang berusia tujuh tahun hingga 17 tahun, dewasa perempuan dan lelaki berumur 18 tahun hingga 55 tahun serta veteran perempuan dan lelaki berumur 56 tahun ke atas," katanya.

Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Mubarak Dohak.

Yang turut hadir semasa majlis tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi, Abdul Rahman Mohd. Redza.

Pada majlis tersebut, Mohd. Zaki menerima wang tunai berjumlah RM1,000 manakala Sodiq Ali menerima wang tunai bernilai RM700 selain buku sumbangan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) serta sijil penghargaan daripada Jabatan Belia Daerah Port Dickson.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved