Khamis, 3 April 2014

Utusan Online - Rekreasi


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rekreasi


Melahirkan usahawan tani

Posted: 02 Apr 2014 11:30 PM PDT

Mohd. Amin Sarbani (kiri) menunjukkan plak anugerah MAHA Youth 2012 yang diterima beliau sebagai pengeluar benih ikan untuk pasaran seluruh negara.

bidang pertanian mempunyai potensi besar dalam melahirkan usahawan berjaya. Malah, telah terbukti, jika diberi tumpuan dan perhatian, bidang ini mampu melahirkan jutawan tani.

Tetapi ramai yang tidak menyedari peluang yang tersedia dalam bidang ini. Bagi yang ada minat dan kemahiran pula, mereka mengalami kesukaran untuk mendapatkan latihan yang sesuai.

Sebab itu usaha perlu dilakukan bagi memastikan mereka yang berminat untuk menjadi usahawan tani terutama generasi muda mempunyai gelanggang untuk bergerak maju.

Dalam usaha menyediakan latihan kemahiran pertanian dan keusahawanan, memberi inspirasi kepada mentor usahawan tani muda, Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (iGROW), Kampung Gajah, Perak, Nordin Abdul Malek mengambil inisiatif menggerakkan Malaysian Young Agro Businessmen (MyYAB) untuk membantu golongan itu bergerak maju dalam sektor pertanian.

MyYAB menghimpunkan usahawan-usahawan tani yang dilahir dan dibangunkan oleh beliau sendiri yang mana ini merupakan kesinambungan kepada proses latihan, bimbingan, dan pemantauan dalam kalangan usahawan tani muda terutama lepasan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA), Institusi Latihan Kemahiran Swasta (ILKS), Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Inisiatif mewujudkan MyYAB adalah atas keprihatinan dan kesedaran setelah melihat sendiri potensi, minat, keinginan dan kesungguhan mendalam dalam kalangan usahawan tani muda untuk dikembangkan ke peringkat yang lebih baik di dalam mahupun di luar negara.

Namun begitu, mereka ini berhadapan dengan isu-isu penting seperti ketiadaan tanah pertanian yang mencukupi, pusingan modal, akses dengan agensi kerajaan berkaitan, tenaga kerja tempatan, daya motivasi serta keyakinan untuk berkembang besar.

Justeru, kata Nordin, beliau mengenal pasti punca masalah itu disebabkan kurangnya aspek bimbingan yang konsisten daripada mereka yang pakar serta berpengalaman dalam perniagaan berasaskan pertanian.

Oleh itu, MyYAB akan menjadi satu platform untuk membina keupayaan usahawan-usahawan tani muda ini melalui pendekatan mentor-mentee serta kerja berpasukan yang merupakan jaringan penting dalam perniagaan.

Usahawan muda tani memerlukan sokongan yang kuat bukan sahaja dari aspek teknikal pertanian tetapi juga panduan perniagaan, urusan kerajaan dan bimbingan emosi. Memandangkan sektor pertanian mempunyai cabaran yang amat besar, mereka hendaklah mempunyai daya tahan, daya juang dan daya saing yang sangat tinggi terutama dalam mengharungi cabaran pertanian akan datang," katanya.

Pengalaman beliau sendiri menjayakan Skim Kluster Latihan Kemahiran Sumber Manusia (SKLKSM) dan Masyarakat Perdagangan Perindustrian Bumiputera Fasa Kedua (BCIC-2) sejak tahun 2008 akan dicurahkan kepada usahawan-usahawan tani muda yang rata-ratanya adalah golongan Bumiputera.

Antara lain, pendekatan SKLKSM dan BCIC-2 mengamalkan sistem kerjasama antara usahawan (ILKS) yang dipimpin beliau sendiri sebagai syarikat peneraju.

Katanya, walaupun terdapat kelemahan dan cabaran, setidak-tidaknya sistem tersebut telah melahirkan golongan usahawan yang berdaya tahan hingga kini.

Oleh itu, katanya, model yang hampir sama akan dilaksanakan dalam program MyYAB tetapi akan disesuaikan dengan aktiviti perniagaan serta keperluan semasa.

Antaranya ialah mengenal pasti mereka yang berpotensi untuk dikembangkan dan dibantu supaya menjadi usahawan yang lebih kukuh pada masa hadapan.

Dalam masa yang sama juga, sebahagian mereka ini akan menjadi ikon serta mentor kepada usahawan baru. Selain berkongsi pengalaman, mereka juga akan menyumbangkan kepakaran masing-masing serta mewujudkan jaringan perniagaan mereka sendiri." kata Nordin.

Menurut beliau, platform MyYAB lebih bercorak satu konsortium perniagaan yang bermatlamatkan keuntungan tetapi dalam masa yang sama usahawan-usahawan itu akan mengadakan aktiviti seperti gerak kerja berpesatuan.

Konsep dan aktiviti sebegini bukanlah bersifat retorik kerana saya telah membuktikan keupayaan dan kejayaan melaksanakan kaedah keusahawanan sedemikian secara praktikal terutama dalam program kluster BCIC-2," jelas beliau.

Sebelum kewujudan MyYAB, satu program percubaan bersifat perintis telah dijalankan di Sabah melalui program Sabah Young Agro Businessman (Sabah YAB) sejak tahun 2012.

Program yang mendapat sokongan kerajaan negeri Sabah turut dibantu oleh pelbagai agensi termasuk Agrobank bagi membina asas perniagaan dalam kalangan usahawan.

Segala dapatan sepanjang tempoh tersebut akan dimanfaatkan untuk mempertingkatkan keberkesanan MyYAB yang mempunyai rangkaian usahawan di seluruh negara.

Oleh kerana terdapat beberapa bukti kejayaan usahawan bimbingannya, kata Nordin, banyak pihak terutama IPTA tempatan dan syarikat-syarikat berkaitan berminat untuk bersama-sama menjayakan MyYAB.

Walau bagaimanapun, cabaran utama kata beliau, ialah untuk mempersiapkan usahawan MyYAB dengan kaedah pertanian generasi baru yang mampu bertahan dalam apa juga keadaan.

Oleh itu, aspek-aspek teknikal dengan kos efektif adalah fokus utama terhadap usahawan-usahawan muda ini," katanya.

Kajian dan pemerhatian beliau juga mendapati, pasaran bukanlah kekangan besar kepada usahawan ini kerana permintaan pertanian semakin meningkat.

Keadaan ini dijangka akan terus bertambah pada masa depan sesuai dengan peningkatan jumlah penduduk dan kualiti hidup di Malaysia dan di dunia.

Apa yang penting sekarang ialah keupayaan mereka menguruskan kecekapan pengeluaran, pengurusan perniagaan dan melalui proses psikologi keusahawanan pertanian. Sebahagian mereka sudah berani mengusahakan projek pertanian seluas 120 ekar secara berkumpulan.

Gabungan kumpulan pakar dan mereka yang berpengalaman diharap dapat membangunkan usahawan supaya lebih berdaya saing,berdikari, mapan serta produktif," ujar beliau.

Beliau yakin kumpulan usahawan itu akan terus bertahan dan berkembang jika keselesaan hidup hasil pendapatan yang tinggi menjadi faktor dorongan.

Banyak kes yang menjadikan mereka patah semangat adalah disebabkan oleh kerugian atau pendapatan yang terlalu rendah secara berpanjangan. Dalam hal ini, galakan kepelbagaian pengeluaran produk pertanian (huluan dan hiliran) akan diberi penekanan penting supaya struktur ekonomi usahawan-usahawan ini sentiasa stabil," katanya.

Walau bagaimanapun beliau optimis, perancangan struktur dan hala tuju MyYAB yang dipandu oleh kumpulan pakar serta mereka yang berpengalaman boleh melonjakkan pencapaian usahawan MyYAB dengan anjakan berganda.

Program MyYAB itu akan membabitkan kerjasama dengan sisipan Mega, Utusan Malaysia bagi mengketengahkan kisah suka-duka dan kejayaan mereka yang mengejar cita-cita untuk bergelar usahawan tani.

Sebuah buku mengenai psikologi keusahawanan pertanian juga dalam proses penerbitan melalui kerjasama Fakuilti Pengurusan Perniagaan, UiTM. Kebanyakan ikon yang akan ditonjolkan sebagai sumber kajian adalah usahawan-usahawan MyYAB.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved