Khamis, 3 April 2014

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Derita Ammar Danish

Posted: 02 Apr 2014 11:30 PM PDT

NAZILA Kamarudin ingin melihat Ammar Danish sihat dan membesar seperti anak-anaklain.

TIADA apa yang berbeza pada kandungan kali ketiga ini, seperti kandungan pertama dan keduanya, Nazila Kamarudin, 28, tidak berhadapan dengan sebarang masalah sewaktu mengandung.

Tiada alahan melampau mahupun kesakitan pada mana-mana bahagian badan. Tempoh sembilan bulan dilalui dengan penuh sabar menantikan cahaya mata yang dinanti-nanti seluruh ahli keluarganya.

Akhirnya bayi yang diberi nama Ammar Danish lahir dengan selamat di Hospital Kuala Lumpur. Namun kegembiraan pasangan Nazila dan Mohd. Khairizul tidak berpanjangan kerana selepas tiga minggu Ammar dilahirkan dia dimasukkan semula ke wad penjagaan intensif untuk bayi (NICU) di Hospital Selayang selepas mengalami demam.

Anak saya ini dilahirkan pada 8.11.2013 dan kini Ammar berusia empat bulan. Ammar diuji dengan penyakit sejak usianya empat hari dengan kuning yang tinggi sehingga 325. Kerana keadaan tersebut Ammar dikehendaki menjalani ujian darah selang dua hari sekali.

Selepas dimasukkan ke NICU, hospital umpama rumah kedua kami sekeluarga. Ammar perlu dipantau doktor untuk memastikan sejauh mana tahap serius penyakit hati yang dialaminya kerana tahap kuning yang dihadapi begitu tinggi.

Tambah lagi dengan keadaan mata putih Ammar yang menguning menambah kerisauan kami. Ketika itu barulah terbongkar tentang penyakit yang menghantui fikiran saya sejak Ammar mula dilahirkan, iaitu Biliary Atresia, sejenis penyakit berkaitan kerosakan dalam organ hati," singkap Nazila yang dihubungi Mega baru-baru ini.

Ujian

Ujian demi ujian dilakukan para doktor, dan pada masa yang sama tahap bilirubin Ammar masih di tahap yang tinggi.

Walau Ammar masih kecil untuk menanggung semua ini sayalah yang begitu tertekan sekali. Saya mula mencari salah diri hingga menjadi murung mengenang penyakit yang Ammar deritai.

Bayangkan pada usia 53 hari Ammar dirujuk pada pakar bedah kanak-kanak di HKL, ujian imbasan bunyi dilakukan sekali lagi dan akhirnya saya setuju menandatangi borang untuk membenarkan Ammar dibedah," katanya.

Bayangkan di kala usia Ammar 67 hari dia perlu dibedah. Enam jam di dalam bilik bedah membuatkan seluruh keluarga cukup gusar. Akhirnya doktor memberitahu Nazila bahawa hati Ammar telah pun rosak di peringkat awal.

Ini baru pembedahan, belum lagi proses menjaga Ammar selepas pembedahan yang cukup meruntun hati Nazila sekali lagi.

Bayangkan kata ibunya itu, bayi sekecil Ammar perlu berpuasa selama empat hari berturut-turut, dan lebih menduga, tempat luka pembedahan Ammar bocor pula pada hari kedua selepas dibedah. Dapatkah ibu lain membayangkan betapa seksa yang ditanggung Ammar?

Episod penderitaan Ammar tidak berakhir di situ, selepas disahkan doktor boleh pulang ke rumah, Ammar menjadi bayi yang begitu fragile (rapuh) langsung tidak boleh berjumpa dengan sesiapa kerana selepas itu dia pasti akan demam.

Antibodinya terlalu lemah, sehinggakan saya terpaksa sorokkan Ammar dalam bilik apabila tetamu datang kerana risau dia akan demam lepas bertemu orang lain. Doktor juga memberitahu Ammar tidak boleh makan ubat demam seumur hidupnya kerana hatinya yang rosak. Menurut doktor, jalan terakhir untuk Ammar ialah pemindahan hati, namun tiada jaminan selepas pembedahan Ammar boleh sihat kembali," luah Nazila penuh emosi.

Ikhtiar

Sebelum ini Nazila hidup seperti ibu lain yang menjadi suri rumah tangga sepenuh masa memenuhi tuntutan fitrah sebagai seorang isteri, namun selepas kehadiran Ammar, Nazila sedar dia harus melakukan sesuatu dengan niat untuk berikhtiar supaya Ammar dapat mencuba segala jenis rawatan demi kesembuhannya dan berusaha untuk menambahkan pendapatan keluarga.

Daripada seorang yang buta teknologi informasi Nazila mencabar dirinya berniaga secara dalam talian tanpa menggunakan modal iaitu secara dropship agent.

Saya bersyukur kerana jiran saya di Pusat Perumahan Rakyat di Setapak banyak memberikan tunjuk ajar berkaitan ilmu internet.

Walaupun kekok pada mula akhirnya saya bersyukur kerana sudah boleh mengadaptasi serba sedikit cara berniaga menerusi internet," katanya yang berniaga pakaian dan aneka makanan menerusi laman Facebooknya, Nazila Kamarudin.

Pendapatan suami Nazila yang bekerja sebagai pengawal keselamatan nyata tidak mencukupi terutama untuk kehidupan di Kuala Lumpur dan ditambah dengan perubatan tambahan Ammar.

Mengenangkan kata doktor bahawa pemindahan hati pun tiada jaminan untuk Ammar sihat sepenuhnya maka saya beralih kepada rawatan alternatif berkonsepkan Islam.

Tidak sanggup saya hanya duduk diam menunggu hati Ammar rosak tanpa sebarang usaha. Cuma untuk rawatan tersebut kosnya bernilai RM4,000. Saya tidak tahu di mana mahu mencari nilai setinggi itu. Memang saya berusaha memohon bantuan ke Pusat Zakat dan sebolehnya menyiarkan cerita Ammar dilaman sosial untuk mengumpul dana," tuturnya.

Walaupun diberitahu doktor, kebanyakan bayi yang berpenyakit seperti Ammar mempunyai umur yang tidak panjang, namun Nazila yakin hanya Allah yang menentukan ajal seseorang selagi hamba-Nya berusaha.

Saya harap para ibu di luar sana mendoakan kesihatan Ammar dan berilah peluang Ammar membesar seperti kanak-kanak sihat yang lain," tutur Nazila.

Bagi pembaca yang ingin menyumbang sekali gus meringankan beban Nazila sekeluarga, bolehlah memasukkan sumbangan anda ke akaun Maybank Nazila Kamarudin di nombor 164472337550.

- NOOR FAZRINA KAMAL

Moms Couture untuk ibu hamil

Posted: 02 Apr 2014 11:30 PM PDT

Oleh MERAN ABU BAKAR
Gambar RIDUAN AHMAD

Hazarina Ishak menunjukkan kendong bayi yang selesa dan selamat.

MENCARI barangan dan kelengkapan bayi pada masa sekarang tidak lagi sesukar dahulu kerana kini terdapat banyak kedai yang menyediakan segala yang diperlukan.

Jika dahulu kedai barangan kelengkapan bayi hanya dimiliki bangsa asing, namun sekarang terdapat kedai yang dimiliki oleh bangsa Melayu justeru, mereka lebih memahami apa yang diperlukan oleh seorang bakal ibu dan bayinya.

Begitu ujar Hazarina Ishak, yang membuka kedai penyediaan barangan untuk ibu hamil dan menyusukan bayi yang dinamakan Moms Couture, terletak di Taman Pinggiran Putra, Pusat Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor.

Bermula dengan berniaga barangan bayi seperti set penyusuan bayi, lampin kain moden, kendong bayi dan sebagainya secara dalam talian pada tahun 2008, kaunselor laktasi yang bernaung di bawah Hospital Serdang sebagai kumpulan sokongan penyusuan susu ibu ini kemudian membuka butik bayi yang diberi nama Lunatots di Presint 15, Putrajaya.

Katanya yang ditemui baru-baru ini, segala yang diperlukan oleh ibu bagi menyambut kelahiran bayi seperti kendong, barut, bedung, pakaian bayi dan sebagainya boleh diperoleh di LunaTots.

Manakala Moms Couture merupakan sebuah kedai yang khusus menyediakan pakaian untuk ibu hamil dan menyusukan bayi baik rekaan kasual mahupun elegan di bawah beberapa jenama seperti Suri, Dinie, Raudhah, Moms Luv dan Adrinis.

Suri merupakan jenama pakaian untuk ibu hamil dan menyusu yang bergaya dan elegan untuk ke majlis atau sambutan hari istimewa. Ibu boleh membawa bersama bayi mereka yang masih menyusu ke majlis kerana bukaan yang dibuat di hadapan baju memudahkan ibu menyusukan bayi.

Sementara Dinie pula adalah fesyen ibu menyusu yang berbadan besar. Rekaan ini dibuat daripada fabrik ringan, tidak panas dan kebanyakannya polos. Moms Luv sesuai bagi ibu yang berkerjaya, Adrinis pula untuk kasual dan bersantai.

Dijual pada harga di antara RM59 sehingga RM350, saiz yang disediakan adalah di antara SS sehingga 4XL," ujar ibu kepada tiga orang anak ini termasuk sepasang kembar.

Nursing cover

Tambah Hazarina lagi, ibu-ibu juga boleh mendapatkan barangan seperti bantal penyusuan bagi memudahkan ibu menyusukan bayi, barut dan bedung, kendong bayi dan nursing cover (kain penutup semasa ibu sedang menyusukan bayi) dan banyak lagi di Moms Couture.

Bantal penyusuan jelasnya, memudahkan ibu yang menyusukan bayi dalam tempoh lama, iaitu kira-kira satu jam. Dengan adanya bantal ini yang berbentuk lengkung dan berfungsi menjadi lapik badan bayi, kedua-dua ibu dan bayi akan berasa amat selesa.

Kendong bayi pula memudahkan ibu untuk membawa bayi ke mana sahaja seperti semasa membeli-belah dan sebagainya. Kebanyakan kendong bayi yang terdapat di pasaran membuatkan bayi nampak tergantung dan ibu perlu memegang kepala bayi supaya bayi tidak tertengadah ke atas.

Nursing cover pula bertujuan membantu ibu supaya lebih yakin semasa menyusukan bayi tanpa perlu bimbang bahagian payu dara terdedah dan dilihat orang.

Bagi ibu bekerja yang mahu menyusukan bayi secara eksklusif adalah lebih mudah jika menggunakan pam payu dara Flexi Eve Love yang mempunyai alat hisapan seperti hisapan bayi dan fasa stimulasi (urutan) di mana bayi akan menunggu dahulu susu masuk ke mulut dan kemudian terus menyusu.

Pam ini mempunyai butang bagi melaras urutan atau menyedut. Ia ringan dan mempunyai alat pengecas yang boleh digunakan bagi mengecas pam dan telefon bimbit, muzik bagi memberi ketenangan kepada ibu kerana apabila ibu tenang, pengeluaran susu akan menjadi lebih banyak.

Set yang lengkap disediakan bersama alat pemanas dengan suhu yang sesuai bagi memanaskan susu. Susu ibu yang telah dimasukkan ke dalam botol susu tidak boleh direndam di dalam air panas kerana ini akan mematikan sel baik yang mempunyai khasiat untuk bayi," jelas Hazarina yang turut dibantu oleh suami dan adiknya.

Tambahnya, selain boleh dibeli runcit, barangan yang terdapat di Moms Couture ini turut dijual secara borong. Jadi kepada yang ingin mengetahui lebih lanjut boleh menghubunginya di talian 019-9390921 atau layari www.suri.my.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved