Khamis, 3 April 2014

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


GST: Telus, cekap, mesra perniagaan

Posted: 03 Apr 2014 12:31 PM PDT

PELAKSANAAN cukai barang dan perkhidmatan atau lebih dikenali sebagai goods and services tax (GST) merupakan salah satu langkah kerajaan dalam menyusun semula struktur percukaian negara. Di dalam mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi, negara perlu mempunyai sistem percukaian yang lebih telus, efisien dan mesra perniagaan.

GST yang dicadangkan bukanlah cukai baharu. GST akan menggantikan cukai jualan dan cukai perkhidmatan yang sedang dilaksanakan sekarang. Langkah pemansuhan cukai jualan dan cukai perkhidmatan ini diambil kerana cukai jualan dan cukai perkhidmatan didapati mempunyai banyak kelemahan yang berpunca daripada sistem percukaian itu sendiri.

Antara kelemahan yang dikenal pasti adalah elemen cukai atas cukai yang menyebabkan pengguna terpaksa membayar harga lebih tinggi dan aktiviti pemindahan harga (transfer pricing) yang memberi kesan kepada kutipan hasil negara. Kelemahan ini sebenarnya memberi kesan negatif bukan sahaja kepada negara tetapi juga kepada pengguna.

GST telah terbukti sebagai satu sistem percukaian yang lebih efektif dan efisien serta mempunyai banyak kebaikan. Berdasarkan alasan itu juga sebanyak 160 buah negara di dunia telah melaksanakannya.

Rang undang-undang ini mengandungi 19 Bahagian yang merangkumi 197 Fasal termasuk empat Jadual. Peruntukan-peruntukan dalam rang undang-undang ini diringkaskan seperti berikut:

- Bahagian I, Fasal 1 - 4 bertujuan memperuntukkan perkara permulaan iaitu pertama, tentang apakah yang dimaksudkan dengan perniagaan dalam konteks pengenaan GST. Perniagaan yang dimaksudkan termasuk apa-apa tred, perdagangan, profesion, pekerjaan atau apa-apa aktiviti serupa yang lain sama ada bagi keuntungan wang ataupun tidak. Namun begitu maksud perniagaan tidak meliputi pekerjaan di bawah kontrak perkhidmatan dan hobi.

Selain itu, maksud pembekalan barang atau perkhidmatan juga diterangkan di samping menyenaraikan perkara yang dikira sebagai pembekalan barang atau perkhidmatan di dalam Jadual Pertama dan juga menyenaraikan perkara yang bukan pembekalan barang ataupun perkhidmatan di dalam Jadual Kedua.

- Bahagian II, Fasal 5 - 8 berkaitan pentadbiran GST terutamanya tentang Ketua Pengarah Kastam mempunyai pengawasan ke atas semua perkara berhubung dengan GST, keperluan kepada pegawai GST untuk memperkenalkan diri dalam melaksanakan kewajipan, semua pegawai GST adalah penjawat awam dan kerahsiaan maklumat.

- Bahagian III, Fasal 9 - 18 mengandungi peruntukan mengenai pengenaan dan skop GST. Bahagian ini disediakan bagi menjelaskan dengan teliti dalam keadaan mana GST boleh dikenakan dan kadar GST yang dikenakan. Menteri Kewangan diberi kuasa untuk menetapkan kadar GST melalui satu perintah yang disiarkan di dalam warta dan dibentangkan di Dewan Rakyat.

Berdasarkan pengumuman oleh Perdana Menteri semasa pembentangan Bajet 2014, kadar GST yang dicadangkan adalah 6%. Kadar ini adalah yang terendah di kalangan negara ASEAN.

Selain itu, peruntukan mengenai penentuan masa pembekalan, tempat pembekalan, layanan GST ke atas pembekalan perkhidmatan yang diimport, penentuan negara tempat pembekal atau penerima perkhidmatan, penetapan kaedah dalam menentukan nilai dan cara pengiraan nilai barang yang diimport juga telah disediakan.

Rang Undang-undang ini juga memperuntukkan kuasa kepada Menteri Kewangan untuk menentukan jenis barang dan perkhidmatan yang boleh dikenakan GST pada kadar sifar atau dikecualikan GST. Penentuan ini akan dibuat melalui perintah yang disiarkan dalam warta dan dibentangkan di Dewan Rakyat. Senarai barang dan perkhidmatan yang akan dikenakan GST pada kadar sifar dan dikecualikan GST telah diumumkan di dalam pembentangan Bajet 2014 yang lalu.

Antara barang dan perkhidmatan yang dicadangkan dikenakan GST pada kadar sifar adalah barangan makanan asas seperti beras, gula, garam, tepung dan minyak masak termasuk bekalan air paip dan 300 unit pertama bekalan elektrik bagi pengguna domestik.

Selain itu, perkhidmatan pengangkutan seperti perkhidmatan bas, keretapi, LRT, teksi, feri, bot, tol lebuh raya serta perkhidmatan pendidikan dan kesihatan juga akan dikecualikan GST. Ini termasuk jual beli dan sewaan rumah kediaman dan perkhidmatan kewangan yang terpilih seperti insurans nyawa.

Langkah yang diambil kerajaan ini sebenarnya bagi menjadikan GST yang dilaksanakan kelak bersifat progresif di samping membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

- Bahagian IV, fasal 19 - 32 memperkatakan perkara berkaitan pendaftaran. Peruntukan yang telah digubal adalah berkenaan pendaftaran secara mandatori dan pendaftaran secara sukarela bagi sesiapa yang ingin mendaftar.

Bagi tujuan pendaftaran, sesuatu perniagaan wajib berdaftar sekiranya nilai jualan tahunan melebihi tahap threshold yang ditetapkan iaitu RM500,000 setahun.

Manakala bagi perniagaan yang jualan tahunannya kurang daripada tahap threshold tersebut, mereka tidak perlu berdaftar tetapi dibenarkan untuk berdaftar secara sukarela.

Ini bermaksud perniagaan kecil tidak akan terbeban dengan kos permulaan dan pematuhan GST. Kuasa penetapan tahap threshold ini diberikan kepada Menteri Kewangan dan ianya perlu dibuat melalui satu perintah dan disiarkan di dalam warta. Selain itu, peruntukan berkaitan pendaftaran secara berkumpulan, pendaftaran bagi perkongsian, pertubuhan dan organisasi yang serupa dan pendaftaran bagi cawangan atau bahagian juga telah digubal.

- Bahagian V, fasal 33 - 53 membuat peruntukan mengenai perakaunan, taksiran, mendapatkan semula cukai dan sebagainya.

Perkara yang digubal adalah berkaitan pengeluaran invois cukai, keperluan untuk menyimpan rekod selama tujuh tahun dan asas perakaunan yang perlu diguna pakai semasa mengakaun cukai pada masa pembekalan.

Sepertimana Ahli-ahli Yang Berhormat sedia maklum, GST bukan merupakan kos kepada perniagaan. Ini disebabkan kerana apa-apa GST yang dibayar ke atas input boleh dituntut semula sebagai kredit daripada kerajaan.

Sehubungan itu, peruntukan mengenai kebenaran kepada orang kena cukai untuk memotong cukai input daripada cukai outputnya dan mengehadkan amaun cukai input sebagai kredit untuk bekalan tertentu juga telah disediakan.

Kemudahan yang disediakan ini juga akan menghapuskan elemen cukai atas cukai seperti yang terdapat di dalam sistem cukai jualan dan cukai perkhidmatan sekarang. Ini bermaksud pengguna akan membayar harga barang dan perkhidmatan yang lebih kompetitif dan telus.

- Bahagian VI, fasal 54 - 55 memperkatakan tentang penubuhan Kumpulan Wang bagi Pembayaran Balik GST. Penubuhan Kumpulan Wang ini atau lebih dikenali sebagai Tabung Bayaran Balik GST akan memudahkan urusan bayaran balik GST dan konsepnya adalah sama dengan tabung yang ditubuhkan di Lembaga Hasil Dalam Negeri bagi tujuan bayaran balik lebihan cukai pendapatan.

Langkah ini menunjukkan yang kerajaan komited di dalam membuat bayaran balik GST dalam tempoh 14 hari bekerja jika borang cukai dihantar secara elektronik dan 28 hari bekerja jika dihantar secara manual. Ini bertujuan untuk tidak membebankan peniaga di dalam menanggung kos kewangan jika lambat menerima bayaran balik GST.

- Bahagian VII, fasal 56 - 63 bertujuan memperuntukkan perkara mengenai pelepasan, pembayaran balik dan peremitan. GST merupakan satu bentuk cukai kepenggunaan yang akan dibayar apabila seseorang itu membuat pembelian ataupun berbelanja. Selain itu, semua peniaga yang layak juga perlu mengenakan GST ke atas bekalan barang atau perkhidmatan yang dibuat mereka.

Namun dalam keadaan tertentu, Menteri Kewangan boleh memberikan pelepasan (relief) kepada mana-mana orang daripada membayar GST ataupun mengenakan GST.

Sebagai contoh, pelepasan akan diberi ke atas perolehan barang yang dibuat oleh jabatan kerajaan. Senarai mereka yang diberi pelepasan ini akan dibuat melalui perintah yang disiarkan dalam warta dan dibentangkan di Dewan Rakyat.

GST sebenarnya mempunyai mekanisme tersendiri untuk merangsang sektor ekonomi yang terpilih. Sepertimana kita semua sedia maklum, industri pelancongan merupakan salah satu industri penting dalam perkembangan ekonomi negara. Di dalam memastikan perkembangan positif industri pelancongan terutamanya dalam menjadikan Malaysia sebagai destinasi membeli-belah utama dunia, peruntukan mengenai Skim Bayaran Balik Pelancong telah disediakan.

Melalui skim ini, pelancong yang membeli barang di kedai yang diluluskan dan seterusnya membawa keluar barang tersebut, boleh menuntut balik GST yang telah dibayar ke atas barang tersebut. Tuntutan bayaran balik boleh dibuat di lapangan terbang antarabangsa dan bayaran balik ini akan diproses dan dibuat oleh agen bayaran balik yang dilantik kerajaan.

l Bahagian VIII, fasal 64 - 75 membuat peruntukan mengenai kes khas. Dalam menjadikan sistem percukaian GST ini lebih mudah ditadbir urus, perkhidmatan yang dibuat oleh Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Negeri tidak akan termasuk di dalam skop kenaan GST.

Ini bermaksud, orang ramai tidak perlu membayar GST ke atas perkhidmatan kerajaan seperti pengeluaran lesen, pasport dan kad pengenalan. Layanan yang sama juga diberikan ke atas perkhidmatan yang dibuat oleh Pihak Berkuasa Tempatan dan badan berkanun berkaitan dengan fungsi pengawalseliaan dan penguatkuasaannya.

Kerajaan sedar bahawa pelaksanaan GST mestilah bersifat mesra peniaga iaitu perlu selari dengan aturan biasa sesuatu jenis perniagaan. Sehubungan itu, peruntukan mengenai pelepasan hutang lapuk, pelepasan barang terpakai, pelantikan dan tatacara bekalan yang dibuat oleh ejen, pemindahan usaha berterusan dan usahasama telah disediakan.

Selain itu, skim-skim khas juga diperkenalkan bagi memenuhi keperluan urusniaga yang mempunyai karakter yang tersendiri. Skim-skim khas yang terdapat di dalam Rang Undang-undang ini adalah seperti berikut:

(a) Skim Penggudangan - sekiranya terdapat bekalan ke atas barang diimport yang tertakluk kepada skim penggudangan, maka bekalan yang berlaku di dalam gudang tersebut tidak akan dikenakan GST;

(b) Skim Pedagang Diluluskan - cukai ke atas barang yang diimport akan digantung tetapi ianya perlu diakaun dalam tempoh bercukai berlakunya pengimportan tersebut;

(c) Skim Pengilang Tol Diluluskan - bekalan barang siap daripada pengilang tol kepada prinsipalnya yang berada di luar negara tidak akan diambil kira dalam pengenaan GST;

(d) Skim Tukang Emas Diluluskan - orang kena cukai tidak perlu mengakaun GST yang dikenakan ke atas bekalan barang tertentu kepada tukang emas diluluskan. Sebaliknya, tukang emas yang diluluskan tersebut perlu mengakaunkan sendiri cukai tersebut;

(e) Skim Kadar Rata - skim ini membenarkan orang yang layak untuk mengenakan tambahan kadar rata ke atas balasan bekalannya. Skim ini secara asasnya adalah disediakan kepada petani yang belum mencapai threshold;

(f) Aktiviti pasaran modal - di dalam skim ini, broker saham dan remisier akan dianggap sebagai satu entiti tunggal bagi tujuan pendaftaran. Skim ini adalah bertujuan untuk mengurangkan masalah yang dihadapi remisier yang majoritinya berada di bawah tahap threshold yang ditetapkan dan jualan tahunan yang tidak menentu. Semua pendaftaran akan dibuat atas nama broker saham.

- Bahagian IX, fasal 76 - 79 bertujuan memperuntukkan peruntukan mengenai ketetapan GST. Sekiranya terdapat peruntukan di dalam Rang Undang-undang ini memerlukan penjelasan lebih lanjut terutamanya berkaitan pemakaian mana-mana peruntukan, Ketua Pengarah Kastam boleh membuat ketetapan umum. Ketetapan umum ini boleh dibuat dan terpakai bagi mana-mana orang atau mana-mana jenis urusniaga.

Selain itu, Ketua Pengarah Kastam juga boleh membuat ketetapan awal berdasarkan permohonan yang dibuat oleh mana-mana orang berkaitan dengan apa-apa perkiraan. Langkah-langkah ini adalah bagi menjadikan sistem percukaian GST lebih telus dan mudah dipatuhi.

l Bahagian X, fasal 80 - 87 memperkatakan tentang hal berkaitan penguatkuasaan yang secara asasnya meliputi aktiviti pemeriksaan, penyiasatan, penggeledahan, penyitaan dan kuasa untuk menahan.

- Bahagian XI, fasal 88 - 98 mengandungi peruntukan mengenai kenaan penalti bagi kesalahan berikut:

(a) menghantar penyata yang tidak betul;

(b) pengelakan cukai dan fraud;

(c) memperoleh bayaran balik secara tidak wajar;

(d) kesalahan berkaitan barang, inbois dan resit;

(e) menghalang pegawai;

(f) enggan menjawab soalan;

(g) memberi maklumat palsu; dan

(h) bersubahat.

- Bahagian XII, fasal 99 - 122 bertujuan memperuntukkan perkara mengenai perbicaraan dan prosiding sebagai contoh berkenaan hal pendakwaan, beban pembuktian, obligasi kerahsian, perlindungan pemberi maklumat, penyampaian saman, kompaun dan perintah mahkamah.

- Bahagian XIII, fasal 123 - 153 memperkatakan tentang semakan semula dan rayuan. Sistem percukaian yang adil mestilah mempunyai ruang untuk menyemak semula apa-apa keputusan yang telah dibuat.

Sehubungan itu, peruntukan bagi membolehkan Ketua Pengarah Kastam mengkaji dan menyemak semula keputusan yang telah dibuat sebelumnya dan membuat keputusan muktamad dalam tempoh masa ditetapkan telah disediakan.

Peruntukan mengenai penubuhan Tribunal Rayuan GST juga telah digubal. Platform yang disediakan ini adalah bagi memberi ruang kepada sesiapa yang tidak berpuas hati dengan apa-apa keputusan yang dibuat oleh Ketua Pengarah Kastam membuat rayuan kepada Tribunal Rayuan GST.

Tribunal ini akan mempunyai seorang Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan anggota lain.

Kuasa melantik mereka ini diberikan kepada Menteri Kewangan.

Menteri Kewangan juga mempunyai kuasa untuk menentukan saraan, terma dan syarat pelantikan anggota Tribunal.

- Bahagian XIV, fasal 154 - 160 menyatakan tentang kawasan ditetapkan. Dicadangkan GST tidak dikenakan di Labuan, Langkawi dan Tioman. Ini bermakna selain pelancong, penduduk di ketiga-tiga kawasan ini juga secara asasnya tidak perlu membayar GST ke atas pembelian barang atau perkhidmatan.

- Bahagian XV, fasal 161 - 163 bertujuan memperuntukkan perkara mengenai zon perdagangan bebas. Antara layanan yang dicadangkan adalah tiada GST dikenakan ke atas pengimportan barang ke dalam kawasan tersebut kecuali ke atas barang yang digunakan di dalam kawasan tersebut selain daripada barang bagi tujuan komersial atau runcit seperti yang diluluskan di bawah Akta Zon Bebas 1990.

Layanan yang sama juga akan terpakai ke atas bekalan barang berkaitan dengan aktiviti perdagangan yang diluluskan di bawah Akta Zon Bebas 1990 yang dibuat di dalam zon perdagangan bebas.

- Bahagian XVI, fasal 164 - 177 memperkatakan tentang peruntukan pelbagai. Antaranya tentang ejen cukai GST. Di dalam memberi kemudahan kepada mana-mana orang untuk mematuhi peruntukan yang terdapat di dalam undang-undang ini, mereka boleh melantik ejen GST bagi mewakili mereka di dalam apa-apa perkara berkaitan GST.

Melalui peruntukan ini juga, sesiapa pun boleh memohon untuk menjadi ejen GST tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan. Kuasa meluluskan permohonan ini diberikan kepada Menteri Kewangan.

- Bahagian XVII, fasal 178 - 180 mengandungi peruntukan tentang pemansuhan dan kecualian Akta Cukai Jualan 1972. Ini bermaksud, apabila GST dilaksanakan, cukai jualan akan dimansuhkan.

Peruntukan yang disediakan ini juga menetapkan tentang keperluan untuk mengemukakan penyata cukai jualan yang terakhir tidak lewat daripada 28 hari dari tarikh pelaksanaan GST.

- Bahagian XVIII, fasal 181 - 182 menyatakan tentang peruntukan mengenai pemansuhan dan kecualian Akta Cukai Perkhidmatan 1975. Ini juga bermaksud yang cukai perkhidmatan akan dimansuhkan apabila GST dilaksanakan.

Peruntukan yang digubal ini juga menetapkan tentang keperluan untuk mengemukakan penyata cukai perkhidmatan yang terakhir tidak lewat daripada 28 hari dari tarikh pelaksanaan GST.

- Bahagian XIX, fasal 183 - 197 memperkatakan tentang peruntukan peralihan. Antara perkara yang digubal adalah tentang layanan GST ke atas bekalan barang dan perkhidmatan tertentu semasa tempoh peralihan tersebut.

Sebagai contoh, layanan GST ke atas bekalan yang telah dibuat bayaran tetapi hanya dibekal selepas tarikh pelaksanaan GST.

Peruntukan mengenai kontrak yang tidak mempunyai peluang untuk dikaji semula juga disediakan. Peruntukan ini menyatakan bahawa kontrak tersebut akan dikenakan GST pada kadar sifar untuk tempoh lima tahun tertakluk kepada beberapa syarat.

Di samping itu, bagi mengelakkan berlakunya unsur double taxation, iaitu sesuatu barang mempunyai elemen cukai jualan dan GST, maka kerajaan telah menyediakan bayaran balik khas. Bayaran balik ini diberikan kepada mereka yang memegang barang bercukai jualan semasa tempoh peralihan dan cukai jualan tersebut telah dibayar.

Rang undang-undang ini juga ada menyediakan jadual bagi menerangkan lebih terperinci tentang sesuatu perkara.

Jadual Pertama menyatakan perkara berkaitan bekalan-bekalan yang diklasifikasikan sebagai bekalan barang atau bekalan perkhidmatan. Sebagai contoh bekalan elektrik, air dan gas dianggap sebagai bekalan barang dan bukan bekalan perkhidmatan.

Jadual Kedua menyenaraikan perkara-perkara yang dianggap bukan bekalan barang mahupun bekalan perkhidmatan. Sebagai contoh penjualan perniagaan secara transfer of going concern dan sumbangan kepada KWSP atau PERKESO. Ini bermakna aktiviti ini tidak dikenakan GST.

Jadual Ketiga berkaitan kaedah untuk menetapkan nilai bekalan barang atau perkhidmatan.

Jadual Keempat tentang senarai perkara yang tidak boleh dirayu kepada Tribunal Rayuan GST.

Dengan cadangan rang undang-undang ini, negara kita akan mempunyai sistem percukaian yang lebih telus, efisien dan mesra perniagaan.

Pada masa sama, negara juga dapat mengurangkan kebergantungan kepada hasil daripada cukai pendapatan dan hasil petroleum.

Ini disebabkan hasil cukai pendapatan adalah tertakluk kepada keadaan ekonomi pada satu-satu masa. Bagi hasil petroleum, ianya bukanlah sumber hasil yang kekal selama-lamanya. Selain itu, hasil petroleum yang diperolehi perlu diurus dengan baik bagi generasi akan datang.

Pelaksanaan GST sememangnya amat tepat pada masanya dalam mencapai wawasan negara maju berpendapatan tinggi.

Pendekatan wasatiyyah untuk semua

Posted: 03 Apr 2014 12:31 PM PDT

Oleh MOHD. SHAUKI ABD. MAJID

APABILA Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memperkatakan mengenai gagasan kesederhanaan selepas hampir setahun mengambil alih kepimpinan politik Malaysia, diperkenalkan pendekatan wasatiyyah sebagai kerangka penegasan semula kontrak sosial masyarakat yang sedikit tercabar oleh kemaruk politik.

Konsep wasatiyyah melangkaui kehendak umat Islam, ia juga mempunyai maksud dan penekanan yang besar dalam agama-agama lain, perbezaannya adalah dari aspek istilah.

Wasatiyyah bermakna kesederhanaan, keseimbangan dan tidak melampau. Tindakan melampau adalah musuh kepada mana-mana agama, kerana setiap agama mengajarkan penganutnya mencari ketenangan, membina rukun hidup yang harmoni, saling menghormati dan jauhkan diri daripada perangkap prejudis.

Bagi meneruskan kesinambungan gagasan tersebut, awal tahun 2012, Perdana Menteri mengumumkan penubuhan Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM), yang diurus tadbir menerusi Jabatan Perdana Menteri.

Namun, gagasan yang dicanang sebagai gerakan dunia tanpa kekerasan dan keganasan menemui jalan yang 'tidak seindah di mata dan sehebat di mulut'. Wasatiyyah sebagai gagasan menemui realitinya yang sebenar dengan hambarnya perhatian masyarakat secara amnya.

Gagasan ini seolah-olah hanya milik orang tertentu, milik orang berkolar putih, milik orang berkelulusan tinggi dan milik orang yang pandai bersilat lidah. Gagasan ini tidak mempunyai keupayaan untuk menyentuh dan mendekati orang ramai terutama bagi orang biasa yang tiada memiliki kriteria cerdik pandai.

Walhal, inilah hakikat sebenar kepentingan kita untuk menghayati pendekatan wasatiyyah. Satu pendekatan yang mengelakkan kita daripada bersikap melampau, taksub kepada pemimpin parti politik atau individu tertentu dan membuta tuli mengkritik pemimpin organisasi dan sebagainya.

Sedangkan, pendekatan wasatiyyah diyakini memberikan kesan positif kepada terbentuknya sikap bertolak ansur, seimbang (tawazun) dan sentiasa mengamalkan sikap tidak memudahkan dan menyusahkan (tawasuth).

Wasatiyyah adalah cerminan sikap mengambil jalan tengah dengan tidak terjerumus ke dalam sikap berpuak-puak.

Kalau kita tengok dari segi konsep dan kerangka yang diuar-uarkan oleh pihak yang diberi tanggungjawab untuk melaksanakannya, sebenarnya tidak ada yang silap. Semuanya bagus belaka. Semuanya bersumber kepada arahan Allah sebagaimana dalam al-Quran dan pengalaman Nabi Muhammad dalam mengembang amanahnya sebagai Rasul sebagaimana yang termaktub dalam hadisnya.

Oleh itu, penganjuran Seminar Antarabangsa Penghayatan Wasatiyyah dalam Kerangka Maqasid Syariah yang akan dianjurkan oleh Institut IWM Jabatan Perdana Menteri pada 8 hingga 10 April ini di Kuala Lumpur perlu untuk menggariskan dan memantapkan matlamat asal gagasan wasatiyyah.

Seminar itu perlu merumuskan langkah terbaik bagi terus mengarus perdana dan merelevankan gagasan ini dalam pemikiran dan sanubari rakyat.

Seminar ini akan menemukan beberapa orang pemikir Islam antarabangsa dari dalam negara dan luar negara, terutama dari Timur Tengah. Sebanyak 11 kertas kerja dijangka dibentangkan dan perasmiannya bakal dilakukan oleh Perdana Menteri manakala Pengerusi IWM akan menyampaikan ucap utama bertajuk `Penghayatan Wasatiyyah Dalam Pentadbiran Malaysia.

Wasatiyyah juga membimbing umat manusia untuk menghayati prinsip-prinsip yang ditekankan oleh maqasid syariah.

Dalam konsep maqasid ini, terdapat tuntutan yang menghendaki manusia untuk menyeimbangkan kehidupan akhirat dan dunia dengan seruannya untuk mempertahankan lima prinsip tunjang matlamat syariah iaitu agama, nyawa, harta, akal dan keturunan. Kelima-lima prinsip ini hakikatnya menjadi teras kepada terbentuknya masyarakat yang peka dan menghormati kerencaman agama, etnik dan bangsa di negara ini.

Selain itu, intipati daripada prinsip maqasid adalah maslahah. Dalam konsep maslahah, perkara utamanya adalah mendahulukan kebaikan dan kepentingan orang ramai (maslahah 'ammah) dari kepentingan peribadi atau organisasi (maslahah khassah).

Oleh itu, kepentingan menjaga dan memastikan ketenteraman awam adalah lebih utama berbanding membiarkan golongan tertentu mengancam ketenteraman dan kepentingan orang ramai.

Misalnya dalam kes demonstrasi. Meskipun tujuannya adalah untuk meluahkan pendapat dan pandangan yang menjadi hak setiap warganegara sebagaimana yang dijamin dalam perlembagaan, akan tetapi kerana ia boleh membawa kepada terbukanya peluang huru-hara, maka tindakan itu adalah ditegah dalam prinsip ini.

Keutamaan maslahah ini harus dipelihara mengikut yang sewajarnya dalam pembinaan hukum dari semasa ke semasa.

Dalam konteks peribadi, maslahah yang ditekankan dalam prinsip maqasid adalah wujudnya kepastian keperluan asas (maslahah daruriyah) yang mesti dipenuhi.

Sekiranya keperluan asas ini tidak dapat dicapai, maka maslahah tahsiniyyah (keperluan untuk hidup yang lebih baik) tidak menjadi keutamaan yang perlu diselesaikan secara segera.

Oleh itu, sekiranya dalam kehidupan masyarakat hari ini sudah mantap, stabil, kukuh kedudukan ekonominya dan menjadi negara contoh kepada negara Islam yang lain, maka keperluan menukar kedudukan status quo yang sedia ada dengan sistem yang belum tentu baik kesudahannya adalah amat tidak digalakkan.

Apa yang diharapkan seminar ini juga perlu mencari satu formula yang dapat mengelakkan gagasan ini hanya dibincangkan ketika satu penganjuran forum-forum rasmi sahaja seperti dalam seminar, diskusi, karnival dan tema peringatan Hari Besar Islam seperti peringatan Maulidur-rasul, Maal Hijrah dan sebagainya.

Setelah tidak ada forum, hilang begitu sahaja tanpa tindakan selanjutnya bagi membolehkan umat Islam kekal menghayati kefahaman tentang wasatiyyah.

Gagasan yang sangat dituntut oleh Islam ini perlu terus menjadi pegangan oleh semua orang tidak kira umat Islam atau bukan Islam. Gagasan ini diharapkan yang tidak timbul-tenggelam disebabkan himpitan dan hingar bingar dinamika politik yang sentiasa hidup setiap saat.

Ia perlu menjadi gagasan yang terus mewujud ke dalam minda umat tanpa mempersoalkan siapakah yang memperkenalkannya, institusi mana yang menggerakkannya dan siapa seterusnya yang akan menjalankannya.

Tidak patut timbul apa yang berlaku sekiranya kepimpinan yang sedia ada telah berganti dengan kepimpinan yang lain. Ia perlu kekal tanpa perkiraan-perkiraan semacam itu.

Pendekatan yang secantik ini sepatutnya menjadi agenda milik bersama melangkaui sempadan parti politik, aliran pemikiran dan kecenderungan pegangan mazhab. Jadikan ia satu pendekatan yang tidak tersekat oleh sentimen dan emosi sempit.

Kembalikan idea wasatiyyah pada matlamat asal gagasan ini dicanang sehingga berjaya membentuk masyarakat yang harmoni dan penuh kasih sayang.

PENULIS ialah Pengurus Besar Analisa dan Pengurusan Isu Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved