Selasa, 15 April 2014

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Gantung sampai mati

Posted: 15 Apr 2014 12:32 PM PDT

Oleh MARZITA ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my

Seorang anggota polis membawa keluar Zahidah Ahmad dari kamar mahkamah setelah dijatuhi hukuman gantung sampai mati kerana membunuh di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor, semalam.

SHAH ALAM 15 April - Seorang wanita dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah dia dan adik perempuan tirinya didapati bersalah membunuh ibu tiri mereka dengan cara menekup muka mangsa menggunakan bantal, dua tahun lalu.

Zahidah Ahmad, 27, menangis teresak-esak sebaik sahaja mahkamah membuat keputusan tersebut manakala adik tirinya yang berusia 16 tahun ketika kejadian akan mengetahui hukumannya pada 28 April ini sementara menunggu laporan akhlak tertuduh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan demikian setelah berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Dalam penghakimannya, Hakim Akhtar berkata, keterangan kedua-dua tertuduh adalah bersifat penafian semata-mata dan mahkamah lebih mempercayai keterangan saksi-saksi pendakwaan.

Katanya, saksi-saksi berkenaan memberi keterangan yang benar berbanding keterangan kedua-dua tertuduh.

Menurut beliau, dalam kes tersebut Zahidah yang merupakan tertuduh kedua telah bertindak kejam terhadap seorang wanita tua.

Hanya ada satu sahaja hukuman terhadap tertuduh iaitu gantung sampai mati," kata beliau terhadap Zahidah yang memakai baju hijau dan bertudung.

Mahkamah memerintahkan tahanan terhadap adik tirinya dilanjutkan sehingga laporan akhlaknya diterima.

Sebaik sahaja selesai prosiding, kedua-dua tertuduh dilihat berpelukan sambil menangis manakala ahli keluarga mereka turut memeluk dan cuba mententeramkan mereka.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua beradik tiri itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian guru agama, Tanziah Zainuddin, 72, dengan cara menekup muka mangsa dengan bantal.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di ruang tamu rumah No. 2, Lorong Kiyai Sujak, 20B, Taman Sri Wangi, Kapar di sini, kira-kira pukul 5.30 petang, 14 Julai 2012.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Semasa kejadian Zahidah tidak bekerja manakala remaja berkenaan masih menuntut di sekolah menengah dalam tingkatan empat.

Terdahulu peguam, Tan Teck Yaw yang mewakili Zahidah memohon agar anak guamnya diberi peluang kedua-dua mereka untuk memperbaiki diri dan menjalani kehidupan baharu kerana telah insaf.

Ini merupakan kesalahan pertama Zahidah malah semasa kejadian bukan kesemua perbuatan dilakukan olehnya," ujar beliau.

Sepanjang perbicaraan yang pendakwaannya dikendali oleh Timbalan Pendakwa Raya, Iswa Tonie, sebanyak 14 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan tampil memberi keterangan masing-masing.

Berdasarkan laporan akhbar, pada awalnya kematian mangsa selepas ditemui diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan kemudiannya dikebumikan.

Namun tiga hari selepas pengebumian guru agama itu, salah seorang ahli keluarga mendapati beberapa barang kemas milik mangsa hilang lalu membuat laporan polis.

Mayat Tanziah kemudian digali semula dan hasil bedah siasat menunjukkan mangsa mati akibat lemas.

Permohonan pinda pembelaan UMMB ditangguh

Posted: 15 Apr 2014 12:32 PM PDT

Oleh NORAZLITA MOHD. SIES
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 15 April - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menangguhkan pendengaran permohonan Utusan Melayu (M) Bhd. (UMMB) untuk meminda pernyataan pembelaan dalam kes saman RM100 juta oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap syarikat akhbar itu berhubung isu pencerobohan rakyat asing di Lahad Datu, Sabah.

Pesuruhjaya Kehakiman, Rosilah Yop menyatakan, penangguhan tersebut adalah lebih wajar sementara menunggu keputusan beliau sama ada mahu menarik diri ataupun akan tetap mendengar kes saman berkenaan.

Beliau membuat ketetapan sedemikian setelah peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin tidak dapat memberi akujanji atau jaminan tidak akan membangkitkan alasan di peringkat rayuan bahawa Rosilah masih mahu mendengar permohonan meminda pernyataan pembelaan sedangkan beliau sedar UMMB telah mengemukakan permohonan supaya beliau menarik diri.

Terdahulu, peguam Datuk S. Ambiga yang mewakili Anwar melahirkan kebimbangan sekiranya permohonan UMMB itu didengar hari ini namun Rosilah pada Jumaat ini memutuskan menolak permohonan UMMB supaya beliau menarik diri daripada mendengar kes saman itu, isu tersebut akan dibangkitkan di peringkat rayuan.

Ambiga sehubungan itu mahu Firoz Hussein memberi akujanji, isu tersebut tidak akan dibangkitkan di peringkat rayuan jika mahkamah mendengar permohonan tersebut hari ini.

Rosilah bagaimanapun berkata, oleh kerana Firoz Hussein tidak dapat memberi akujanji maka beliau berpendapat, adalah lebih wajar permohonan UMMB tidak didengar dan ditangguhkan sementara.

Ambiga mewakili Anwar selepas Rosilah pada 8 April lalu membenarkan permohonan UMMB untuk mengetepikan peguam N. Surendran daripada mewakili Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu setelah syarikat akhbar tersebut mendakwa terdapat berkemungkinan berlaku konflik kepentingan berikutan kedudukan Surendran sebagai Naib Presiden PKR.

Anwar, 67, yang memfailkan saman itu terhadap UMMB dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak pada 8 Mac tahun lalu, turut menamakan TV3; Pengarang Urusan Kumpulan, Berita dan Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen dan Radio, Media Prima Bhd., Datuk Shaharudin Abd. Latif dan Pengarang Berita Buletin Utama, Ing Boon Seng sebagai defendan ketiga hingga kelima.

Dalam pernyataan tuntutannya, Anwar menyatakan, Utusan Malaysia bertarikh 2 Mac 2013 di muka hadapannya, menyiarkan artikel bertajuk Ketua Pembangkang dikaitkan dengan pencerobohan? dan di muka surat sembilan pula bertajuk, Tiga kumpulan jadi dalang.

Ketua Pembangkang itu menyatakan, defendan ketiga hingga kelima, antara pukul 8 dan 9 malam, hari yang sama dalam Buletin Utama, TV3 turut menyiarkan berita mengenai pencerobohan di Lahad Datu.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mendakwa berita di rangkaian televisyen swasta itu adalah berdasarkan laporan berita yang dikeluarkan oleh defendan pertama dan kedua.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved