Selasa, 15 April 2014

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Layan 10,000 aduan sehari

Posted: 14 Apr 2014 12:28 PM PDT

Oleh HARADIAN SHAH HAMDAN
kota@utusangroup.com.my

Mohd. Shafiee Mohd. Taib menunjukkan sistem SCADA yang memudahkan pemantauan dan pengagihan air di sekitar Lembah Klang di Ibu Pejabat Syabas di Kuala Lumpur, baru-baru ini. - UTUSAN/MD.SHAHJEHAN MAAMIN.

KUALA LUMPUR 14 April - Kebiasaannya selepas pukul 5 petang, Pusat Perkhidmatan Pelanggan (Puspel) Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) di sini, menjadi semakin sibuk apabila dihujani panggilan telefon daripada orang ramai mengenai masalah bekalan air ekoran catuan ketika ini.

Itulah waktu puncak di pusat aduan tersebut kerana kebanyakan pengguna sudah pulang daripada bekerja dan mula menggunakan air. Justeru, bermacam-macam aduan mengasak petugas Puspel.

Yang menariknya, paling banyak aduan diterima daripada pengguna yang mempersoalkan kenapa rumah mereka tiada air sedangkan jiran mereka mendapat bekalan seperti biasa.

Tidak kira apa juga bentuk aduan dan kerenah pengguna, kakitangan syarikat itu tetap melayan dengan sabar walaupun segelintir pemanggil menggunakan perkataan kurang manis malah ada yang naik angin.

Dianggarkan, setiap hari antara 6,000 hingga 10,000 panggilan telefon diterima oleh Puspel sejak catuan bekalan air peringkat pertama, ketiga dan keempat dilaksanakan di sekitar Lembah Klang yang melibatkan kira-kira 7.1 juta pengguna.

Bukan sahaja petugas Puspel, malah telefon bimbit milik Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred tidak henti-henti menerima panggilan orang ramai yang mengadu tentang masalah air di kediaman mereka.

Menurut Priscilla, sebagai pihak yang melaksanakan tanggungjawab mengagih air terawat atas arahan kerajaan negeri Selangor, Syabas berusaha menyediakan khidmat terbaik kepada pengguna yang terlibat dengan pelan catuan.

Bagi tujuan itu, bilik operasi diaktifkan dan dibuka selama 24 jam bagi memastikan catuan dilaksanakan dengan berkesan dan sebarang masalah yang dihadapi pengguna diselesaikan sebaik mungkin.

Kami mempunyai petugas bagi memantau perkembangan di semua kawasan yang terlibat dengan catuan. Mereka antara orang yang paling sibuk sepanjang catuan dilaksanakan.

Petugas itu bertindak meneliti sebarang masalah dan seterusnya berusaha mencari penyelesaian bagi mengatasinya. Segala aduan akan dikaji dan jika perlu, pasukan teknikal dihantar ke kawasan yang mengalami masalah terbabit," katanya kepada Utusan Malaysia di Ibu Pejabat Syabas di Jalan Pantai Baharu di sini, baru-baru ini.

Tugas menangani catuan air tidak hanya terhad di dalam pejabat, tetapi yang lebih penting menurut Priscilla, terdapat kira-kira 700 kakitangan syarikat itu bertanggungjawab mengunci dan membuka injap paip bagi mencatu air di sesuatu kawasan.

Mereka yang memastikan 800 injap paip di Lembah Klang diselia dan ia bukan tugas mudah kerana mereka perlu memusing kunci secara manual setiap hari bagi membolehkan pelan catuan berjalan lancar," katanya.

Pelan catuan bekalan air peringkat pertama dilaksanakan sejak sejak 27 Februari lalu di beberapa kawasan di Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang ekoran penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi disebabkan pencemaran ammonia di dalam Sungai Langat.

Pelan catuan bekalan air peringkat ketiga dan keempat pula diilaksanakan sejak 10 Mac dan 4 April lalu di Wilayah Gombak, Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang.

Ia berikutan pelepasan air mentah dari empangan Sungai Selangor dan empangan Klang Gates masing-masing dikurangkan sebanyak 1,000 Juta Liter Sehari (JLH) dan 30JLH oleh kerajaan negeri Selangor disebabkan paras simpanan air mentah yang rendah di kedua-dua empangan.

Dalam pada itu, Syabas turut menggunakan teknologi canggih iaitu Sistem Kawalan Penyeliaan dan Perolehan data (SCADA) dalam pemantauan paras air di loji dan kolam tadahan air di sekitar Lembah Klang.

Sistem yang sama turut digunakan oleh beberapa negara lain antaranya Singapura dan Australia.

Menurut Pengurus Pusat Kawalan Operasi Syabas, Mohd. Shafiee Mohd. Taib melalui sistem itu, pengagihan air boleh dilakukan secara automatik menerusi bilik kawalan di Ibu Pejabat Syabas.

Segala data yang dipaparkan memberi petunjuk kepada kami mengenai situasi bekalan air di sesuatu tempat. Ia juga boleh memberi maklumat mengenai kemungikan berlaku paip pecah melalui pengaliran air yang tidak normal," jelasnya.

Katanya, teknologi itu dapat memberi petunjuk mengenai trend penggunaan air di sesuatu kawasan melalui skrin besar yang dipantau 24 jam sekali gus memudahkan pengagihan air secara lebih tepat dan berkesan.

Bagi Priscilla, catuan bekalan air ketika ini benar-benar menguji tahap kesediaan dan kemampuan kakitangan syarikat itu.

Katanya, ia juga menjadi platform terbaik untuk menimba sebanyak mungkin pengalaman dan kemahiran dalam mengurus keperluan bekalan air bagi jutaan penduduk.

Hakikatnya, situasi ketika ini bukan sahaja menguji Syabas tetapi juga ujian terhadap keprihatinan orang ramai dari segi penggunaan air yang kerap dibazirkan selama ini.

Paling penting catuan ini mengajar kita menghargai sumber alam yang dipinjamkan oleh-Nya.

Syarikat barangan logam diarah tutup operasi

Posted: 14 Apr 2014 12:28 PM PDT

TANAH milik PAK yang dipercayai dijadikan tempat simpanan pasir secara tidak sah oleh sebuah syarikat menjual logam di Kampung Desa Aman, Sungai Buloh, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR 14 April - Perbadanan Aset Keretapi (PAK) mengarahkan sebuah syarikat barangan logam yang menceroboh tanah rizab milik perbadanan itu di Kampung Desa Aman, Sungai Buloh di sini supaya mengosongkan kawasan terbabit.

Pengurus Besar PAK, Zaidul Bakri Abdul Mutalib berkata, pihaknya telah meninjau lokasi tersebut selepas menerima aduan penduduk mengenai kegiatan mengangkut pasir yang dikhuatiri mengundang bahaya kerana terletak berhampiran landasan kereta api.

Hasil lawatan itu mendapati kawasan tersebut telah dijadikan tempat simpanan pasir oleh sebuah syarikat menjual logam yang menduduki tanah rizab kereta api secara tidak sah.

Berikutan itu, satu notis pengosongan telah diberikan kepada pemilik syarikat berkenaan untuk mengeluarkan semua stok pasir sekali gus menutup operasi syarikat tersebut," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan aduan penduduk Kampung Desa Aman berhubung aktiviti perniagaan dan memunggah pasir berdekatan landasan kereta api dan pencawang elektrik di kawasan tersebut.

Puluhan kenderaan berat yang keluar masuk di kawasan berkenaan turut menyukarkan mereka ketika melalui sebuah terowong sempit yang merupakan laluan utama ke kawasan tersebut.

Zaidul Bakri memberitahu, jika syarikat tersebut gagal mematuhi notis yang boleh dikeluarkan, tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (Akta 56/1965).

Jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.

7 kilang simen janji baiki jalan

Posted: 14 Apr 2014 12:28 PM PDT

Oleh MOHAMAD HARITH MOHAMAD NIZAR
kota@utusangroup.com.my

KUALA LUMPUR 14 April - Kesemua kilang simen di sekitar Jalan Chan Sow Lin di sini bersetuju untuk membiayai sepenuhnya kerja-kerja membaiki jalan tersebut yang rosak ekoran kegiatan lori-lori milik syarikat berkenaan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, pemilik kilang-kilang terbabit akan memastikan jalan tersebut diturap supaya tidak mendatangkan masalah kepada pengguna jalan raya.

Terdapat tujuh kilang simen di sekitar Jalan Chan Sow Lin iaitu tiga daripadanya mempunyai dokumen Perintah Pembangunan, manakala selebihnya gagal mengemukakan dokumen itu kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) baru-baru ini.

Bagaimanapun, kesemua pemilik kilang bersetuju membaiki jalan tersebut yang rosak akibat lori mereka yang kerap menggunakan laluan terbabit," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan Utusan Malaysia pada 9 April lalu mengenai rungutan orang ramai ekoran keadaan Jalan Chan Sow Lin yang rosak akibat kualiti turapan selain dicemari sisa konkrit yang tumpah dari lori pengangkut simen dari kilang berhampiran kawasan itu.

Kelmarin, empat kilang simen diarah tutup oleh DBKL kerana gagal mengemukakan dokumen Perintah Pembangunan kepada pihak berkuasa tempatan itu ketika pemeriksaan dilakukan.

Dalam pada itu, Ahmad Phesal berkata, empat kilang terbabit berjanji untuk mengemukakan pelan mereka bagi memohon dokumen tersebut dan beroperasi secara sah.

Kita masih nantikan permohonan mereka kerana selepas itu barulah DBKL akan mempertimbangkan sama ada kilang berkenaan layak atau tidak untuk beroperasi di kawasan itu.

Semasa kilang mereka ditutup, tiada sebarang aktiviti dibenarkan untuk dijalankan di premis berkenaan dan pihak DBKL bertegas dalam perkara ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, sebahagian Jalan Chan Sow Lin telah diturap sepenuhnya oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) setelah syarikat utiliti terbabit mengorek jalan bagi kerja-kerja memasang kabel di laluan itu.

TNB terpaksa melakukan kerja-kerja tersebut kerana terdapat banyak kilang serta bangunan di jalan terbabit yang memerlukan banyak tenaga elektrik bagi menampung aktiviti harian mereka.

TNB telah mengotakan janji untuk menurap semula sepenuhnya jalan tersebut pada Sabtu lalu dan mempamerkan sikap bertanggungjawab mereka," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved