Khamis, 6 Mac 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Bandar Kuala Lipis makin sesak

Posted: 06 Mar 2014 10:39 AM PST

Kenderaan sesak ketika di persimpangan lampu isyarat sebelum memasuki bandar lama Kuala Lipis dan Bandar Baharu Lipis.

Saudara pengarang,
BARU-baru ini ini saya berkunjung ke bandar bersejarah Kuala Lipis antara lain untuk melihat artifak sejarah kolonial pada abad ke-19 dan bertemu dengan rakan lama semasa belajar di Clifford School, di sini pada tahun 70-an.

Saya menjangkakan senario perbandaran Kuala Lipis semakin hebat dengan pembinaan banyak premis dan kediaman menerusi perkhabaran daripada rakan sama ada di talian telefon dan juga laman sosial Facebook dan Twitter.

Andaian saya memang tepat setelah tiba di pekan Benta dapat melihat panorama pembangunan yang kian pesat manakala kemudahan asas jalan raya yang sempurna menghubungkan pekan itu dengan Kuala Lipis.

Saya memasuki bandar Kuala Lipis dengan selamat dan apabila memandang Clifford School atau SMK Clifford hari ini, nostalgia era 70-an kembali menerjah fikiran dan perasaan mula diulit gembira dan selebihnya sayu menerawang di mana dan apakah nasib kehidupan rakan-rakan sekelas dahulu.

Untuk makluman pembaca, nostalgia yang bermain di fikiran saya sedikit tersentap apabila kaki cepat menekan pedal brek lalu kenderaan terhenti di laluan berdekatan Dewan Residen, bandar ini.

Rupa-rupanya, bandar Kuala Lipis juga sudah banyak kenderaan bertali arus dan menjadi transit sehingga keadaan mula sesak.

Ini menandakan bandar Kuala Lipis sudah berubah dan kian membangun dengan pesat berasaskan banyaknya premis perniagaan dan hotel sekali gus menzahirkan hakikat sebenar apa yang dihebahkan oleh rakan menerusi talian dan laman sosial.

Kenderaan saya menunggu hampir lima minit dan mula bergerak perlahan-lahan menempuh garisan lampu trafik untuk ke destinasi masing-masing.

Kedudukan persimpangan di lampu trafik berpecah kepada empat laluan, manakala jalan ke bandar lama yang agak sempit juga antara punca kesesakan berlaku setiap hari terutamanya waktu puncak.

Saya berharap pihak berkuasa tempatan dapat merancang perubahan laluan di bandar ini agar tidak wujud kesesakan kerana senario berkenaan juga mengundang rasa tidak selesa dalam kalangan pelawat dan pelancong Barat yang singgah di sini.

Kesibukan pada waktu siang juga tidaklah berterusan kerana menjelang waktu senja bandar ini mula dihantui kesunyian ketika malam melabuhkan tirainya.

Saya melihat dan merasai sendiri pengalaman ini apabila tidak ada kegiatan yang membolehkan orang bertumpu pada waktu malam. Cuma ada kedai mamak menjadi tumpuan jumlah pelanggan yang kecil menghirup teh tarik dan makan roti canai.

Senario sama juga wujud di Bandar Baharu Lipis yang menjadi nadi pentadbiran baharu Pejabat Daerah dan Tanah Lipis dan premis perniagaan juga dihimpit kesunyian tatkala malam melabuhkan tirainya.

Menerusi Rakan Pahang minggu ini, saya berharap pihak berwajib dapat melunaskan mekanisme tertentu agar bandar ini sentiasa menjadi tumpuan orang ramai bukan sahaja waktu siang malahan sentiasa `hidup waktu malam sehingga ke pagi seperti di tempat lain.

MR VAGABOND

Kuala Lumpur

Protes Ultras Malaya di luar norma rakyat Malaysia

Posted: 06 Mar 2014 10:39 AM PST

Tindakan kumpulan penyokong Ultras Malaya menyalakan suar dan membakar mercun semasa perlawanan persahabatan antara Malaysia dan Filipina di Stadium Selayang Sabtu lalu sebagai tanda protes kepada kepemimpinan FAM mengundang kecaman pelbagai pihak.

Saudara pengarang
Protes Ultras Malaya terhadap kepemimpinan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang dikatakan gagal meletakkan Malaysia ke tahap ranking dunia sesuatu tindakan yang memualkan dan meletakkan generasi muda itu ke pemikiran ultra!

Perbuatan membakar suar, mercun dan bom asap di Stadium Selayang semasa perlawanan pasukan Harimau Malaya dengan Filipina hujung minggu lalu jelas tindakan yang melampaui nilai bangsa Malaysia.

Lebih menghairankan, budaya protes melampau hanya berlaku sejak kebelakangan ini yang telah merosakkan imej negara yang sebelum ini dipuji masyarakat luar negara.

Tanpa melihat usaha FAM secara menyeluruh, kelompok peminat ini dengan mudah menuding jari meletakkan sepenuh kesalahan di bahu kepimpinan badan induk bola sepak negara.

Apakah jaminan dengan menukar barisan kepemimpinan FAM, pasukan kebangsaan mampu sekelip mata kembali sebaris dengan gergasi Asia seperti Jepun dan Korea Selatan?

Bagi kelompok peminat seperti ini, mereka menafsirkan FAM tidak buat kerja sedangkan FAM telah melakukan apa sahaja untuk memartabatkan imej pasukan bola sepak negara.

Pada saya, Ultras Malaya perlu diajar cara memprotes lebih sopan, bukan dengan terikut cara Barat.

Ultras Malaya jangan menyangka perbuatan kamu di Stadium Salayang itu mendapat sokongan tetapi ramai yang mengutuk kerana telah menjejaskan nama baik bola sepak negara ini.

Di samping itu, pasukan negeri juga sangat berperanan untuk menaikkan imej bola sepak negara. Ada pasukan negeri bermasalah akibat pentadbiran yang lemah tetapi masih menyalahkan FAM.

Sebagai orang lama dari segi usia, saya menyaksikan FAM telah melakukan pelbagai program dan perubahan yang mengatasi sesetengah negara sehingga beberapa tahun kebelakangan ini kembali digeruni di peringkat Asia Tenggara.

Oleh itu, jangan kita nafikan dengan mudah usaha FAM membawa kemajuan kepada bola sepak negara walaupun diakui masih banyak yang perlu dilakukan kerana sebagai sukan nombor satu, semua negara tidak pernah berhenti menyusun langkah memantapkan sukan ini.

Lebih penting, penyokong juga harus realistik dan bukannya melulu mengkritik FAM, pemain dan jurulatih setiap kali Harimau Malaya mengalami kekalahan.

MANJA AYAH

Maran

Penduduk bimbang musim panas

Posted: 06 Mar 2014 10:39 AM PST

Kawasan belukar dan kebun berdekatan jalan raya musnah terbakar dipercayai akibat sikap pemandu kenderaan membuang puntung rokok di Kuala Lipis, baru-baru ini.

Saudara pengarang,
MUSIM panas dan kering yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu nyata menimbulkan kebimbangan terutama kepada mereka yang tinggal berhampiran kawasan belukar seperti saya.

Apatah lagi rumah saya terletak berhampiran jalan raya utama yang menghubungkan Lipis dengan Merapoh yang tidak pernah sunyi dengan kenderaan.

Kebimbangan saya berasas kerana minggu ini dilaporkan banyak kejadian kebakaran membabitkan kawasan belukar berdekatan jalan raya yang dipercayai berpunca daripada pembuangan puntung rokok oleh pemandu kenderaan yang berulang alik di laluan ini.

Untuk makluman pembaca, saya menganggap kejadian itu adalah kerana kecuaian manusia sendiri.

Senario cuaca panas dan kering serta berangin yang kita tempuhi bulan ini memerlukan keprihatinan semua pihak supaya lebih bertanggungjawab memelihara alam sekitar agar kesannya tidak bertukar menjadi lebih serius seperti jerebu.

Sebagai penghuni yang tinggal berdekatan jalan raya dan belukar, perasaan saya dihantui kebimbangan berkemungkinan kejadian itu juga akan membabitkan musibah kemusnahan kediaman, premis, malahan mengundang risiko nyawa penduduk kerana setiap kali berlaku kebakaran, api merebak begitu cepat.

Kebakaran akibat kecuaian membuang puntung rokok di tepi jalan juga memberi impak kemusnahan kepada kawasan kebun jika api merebak dengan pantas.

MR. ARSON,

Kampung Bukit Betong, Lipis

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved