Khamis, 6 Mac 2014

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Suami beralih arah

Posted: 05 Mar 2014 10:37 PM PST

Harapkan panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari."

Begitulah diibaratkan kes ini apabila perkahwinan baru yang diharap memberi sinar kebahagiaan rupa-rupanya tidaklah seperti dibayangkan.

Ujian besar pada seorang wanita apabila melihat orang yang diharap kasihnya memberi kasih kepada yang lain.

Secara asas tujuan perkahwinan itu adalah sebagai fitrah semula jadi manusia dalam satu proses hidup yang sihat dan wajar, menemukan pasangan dan rakan kongsi hidup yang sehati dan sejiwa dalam mengharungi suka dan duka kehidupan, mengelakkan maksiat, menjadi penghalang keruntuhan akhlak, melahirkan zuriat dan sebagai ibadah.

Menurut Pensyarah di Jabatan Psikologi dan Kerja Sosial, Pusat Pengajian Pembangunan Sosial, Kolej Sastera dan Sains, Universiti Utara Malaysia, Siti Azura Bahadin, dalam kes ini, suami dilihat seperti kurang pengetahuan dalam hal tanggungjawab, kerana seorang suami harus mengutamakan dahulu keluarganya sekarang, sama ada dari segi makan minumnya, wang belanja, nafkah zahir dan batin malah kasih sayang.

Katanya, segala perbelanjaan berbentuk nafkah hanya layak untuk anak-anak dan bukan untuk bekas isterinya, yang dilihat seolah-olah seperti mengambil kesempatan atas kebaikan bekas suaminya.

Sebaik-baiknya sikap suami yang berlebih-lebih terhadap bekas isterinya dalam memberi perhatian, bermesra, bergurau dan sebagainya, sudah tidak wujud lagi dalam situasi dia sudah mempunyai isteri baharu.

"Ini kerana perbuatan seperti itu dikhuatiri akan menyebabkan isterinya akan rasa kecil hati dan makan hati.

Dalam psikologi, cemburu adalah perasaan sakit hati, marah, tidak percaya dan kurang yakin terhadap pasangan. Namun dalam kes ini cemburu yang positif boleh menghalang pasangan daripada bertindak di luar batasan.

Cemburu dalam Islam dibolehkan asalkan ia terkawal dan berpada-pada dalam menanganinya," katanya.

Dalam pada itu Siti Azura memberitahu, antara kesan psikologi kepada pasangan akibat memendam perasaan ialah boleh menimbulkan stres, kemurungan dan gangguan emosi.

Stres yang tidak sihat dan tidak terkawal boleh menjejaskan daya tahan tubuh dan menganggu kesihatan serta mengundang pelbagai penyakit seperti sakit jantung, kanser dan seumpamanya.

Jika dibiarkan berlarutan katanya, situasi ini boleh memberi kesan kepada keharmonian rumah tangga seseorang, berlaku pertengkaran, tidak puas hati dan mengundang kepada perceraian.

Antara saranan yang boleh dilakukan adalah berbincang atau bermusyawarah antara suami dan isteri, yang mana si isteri harus meluahkan rasa dan memberitahu apa yang dia mahukan dan menjelaskan keadaan yang tidak betul berlaku.

Suami juga harus tutup buku lama dan membuka buku baharu dalam erti kata lain melupakan kisah-kisah lama dan membina hidup baharu dengan isterinya yang terkini.

"Bekas isteri pula harus faham dan tidak mengambil kesempatan atas kebaikan suami dan berpada-pada meminta hak anak-anak dan bukan atas untuk kepentingan peribadi," katanya.

Selain itukata Siti Azura, isteri juga disaran mendapatkan bantuan khidmat nasihat daripada orang yang ketiga agar perkara ini tidak berlarutan.

Kesimpulan, rumah tangga ini ibarat kita melayari bahtera, mesti ada unsur kerjasama, tolak ansur, belas kasihan dan semestinya berkasih sayang.

"Godaan dan rintangan pasti ada tetapi harus ditangani secara matang dan bersabar. Allah tidak akan menguji melebihi kesanggupan seseorang," jelasnya.

Sebarkan kasih sayang

Posted: 05 Mar 2014 10:37 PM PST

Minggu lepas kita telah bercerita mengenai kesan marah dan saya telah mengingatkan bahawa marah itu bukan semestinya tidak baik. Adakalanya kita mesti membetulkan anak-anak dan kita perlu marah.

Apa yang perlu kita tahu ialah bagaimana untuk marah dan dengan marah kita itu anak-anak menjadi lebih berkeyakinan dan berdaya tinggi.

Menegur dan membetulkan sikap, perangai dan kefahaman negatif anak-anak adalah menjadi tanggungjawab kita. Ibu bapa adalah ketua kepada anak-anak, maka sebagai ketua kita perlu memimpin dengan bijak.

Namun, kefahaman mengenai perkataan ketua inilah yang sering menjadi punca mengapa ibu bapa menggunakan cara yang kasar, mendominasi, tidak bijak, memaksa dan sepertinya, untuk memastikan anak-anak melakukan apa yang disuruh.

Apa yang ibu bapa seperti ini tidak tahu ialah corak kepimpinan telah banyak berubah. Baik di mana pun, corak kepimpinan adalah mempengaruhi melalui teladan baik untuk mendapatkan hormat dan kerjasama daripada pengikut.

Zaman, aku arah kamu mesti patuh! telah lama pergi. Oleh itu, apabila ibu bapa memaksa sesuatu ke atas anak-anak berlandaskan dia adalah pemimpin, maka dia akan mendapati kepimpinannya tidak lagi berkesan.

Kepimpinan seperti itu akan membawa masalah mengamuk dan meragam yang kuat. Kita perlu faham setiap manusia diberi Allah maruah diri.

Apabila seseorang disuruh dan diarah tanpa hormat, maka diri dalaman akan memberontak. Itulah yang kita lihat ramai anak-anak kecil yang dikasari membesar menjadi remaja bermasalah.

Hati anak-anak penuh kasih-sayang, jadi gunakanlah tenaga kasih-sayang yang lembut itu sebelum menggunakan tenaga kasih-sayang yang kasar (tough love).

Mendisiplinkan anak-anak bukan bermaksud perlu ditakutkan dengan rotan atau hukuman. Apa yang perlu ialah mengadakan peraturan dan menggalakkan dan menghargai bila peraturan diikut.

Jika peraturan tidak ikut, maka anak-anak itu perlu dibetulkan dan ditegur dengan cara berikut:

1-Mengingatkan bahawa anak itu telah melanggar peraturan yang dipersetujui. Ingat, jangan ibu bapa sahaja yang meletakkan peraturan dan anak-anak dipaksa mengikut. Di sinilah ibu bapa yang bijak akan mempengaruhi anak-anak agar mereka bersetuju.

Contoh perbualan yang membawa kepada hasil yang dikehendaki; suka tak jika otak kita geliga? Suka jawab anak. "Ayah ada terbaca dan telah mengkaji, kalau otak kita dapat rehat yang cukup sebelah malam, otak ada masa membina jaringan kuat. Oleh itu otak kita jadi lagi geliga. Itu sebab, sayang kena tidur awal, sebab, bila otak mendapat tidur yang cukup, esoknya bila bangun, wow, cepatnya dia meresapkan ilmu!"

2-Bertanya, apakah yang menyebabkan dia tidak mengikut peraturan dan bukan mengapa. Perkataan mengapa akan menyebabkan yang ditanya terasa perlu mempertahankan diri. Dengar baik-baik. Jangan terus melenting.

3-Setelah nyata dia salah, ingatkan hukuman yang telah dijanjikan dan beritahu dia bahawa kesilapan dia itu perlu dibetulkan dan lakukan hukuman itu dengan penuh rasa bertanggung-jawab.

4-Setelah menghukum, nyatakan perasaan bangga anda bahawa anak anda mahu membetulkan diri. Beritahu dia, sikap sebegitulah yang membolehkan dia berjaya di dunia dan selepasnya.

5-Ingatkan kepadanya bahawa kasih-sayang anda kepadanya tetap besar dan dia sangat istimewa bagi anda. Apabila dia meraih pengajaran daripada kesilapan itu, dia akan terus berjaya.

Bukan semua kesilapan anak-anak kita perlu dibetulkan dengan kemarahan. Malah lagi kurang kita menengking dan mengherdik, lagi mudah anak-anak kita berjaya.

Fikir-fikirkanlah ke mana pergi tenaga marah itu apabila ia telah hinggap di hati dan badan anak-anak anda. Ketahuilah tenaga tidak boleh musnah atau dicipta, hanya berubah bentuk.

Agaknya, tenaga marah yang hinggap dan bersemadi di dalam diri anak-anak itu menjadi tenaga apa agaknya? Adakah kebetulan sahaja dunia sekarang ini terlalu banyak tenaga marah dilepaskan?

Sebagai contoh, di jalan raya, di sekolah, di pasar raya, di pejabat, malah di mana-mana tenaga marah bertambah banyak dimanifestasikan melalui kelakuan orang-orang dewasa.

Kutuk mengutuk, buli-membuli termasuk yang di media sosial. Adakah semua itu terjadi secara kebetulan? Atau tenaga marah yang tidak disembuhkan.

Kalau dunia sekarang ini sudah kurang selamat berbanding dengan dunia zaman ibu bapa kita, agaknya jika kita terus-menerus hidup dengan tidak bijak membetulkan kesilapan dan mendidik anak-anak kecil hari ini, bila mereka menjadi orang dewasa?

Adakah mereka ini akan menjadi seorang yang sabar dan berakhlak mulia atau seorang yang lebih besar marahnya, ibarat bebola salji yang meluncur dari atas gunung menjadi bertambah besar.Tidakkah itu pelajaran dari alam yang perlu kita ambil iktibar.

Besarkan anak-anak kita dengan kasih sayang dan belas ihsan. Mereka akan membesar dengan jiwa yang penuh kasih mesra dan minda yang berkemampuan.

Bebaskan jiwa mereka dengan mengajar tentang kemurnian kasih sayang. Peraturan dan hukuman adalah untuk menghindarkan diri mereka daripada perbuatan yang tercela.

Bagaimanapun, sekiranya peraturan itu pula yang membuatkan anak-anak bertingkah laku buruk, lihatlah pula kepada sistem hukuman dan cara hukuman itu dilaksanakan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved