Khamis, 6 Mac 2014

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Penduduk tanggung derita

Posted: 06 Mar 2014 10:39 AM PST

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusangroup.com.my

Sebahagian jalan yang rosak dan masih tidak dibaiki turut menimbulkan kebimbangan penduduk di Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor.

SEPANG 6 Mac - Penduduk di Taman Putra Perdana, Puchong dekat sini dihimpit pelbagai isu yang melibatkan kawasan perumahan itu sejak sekian lama.

Ini termasuk masalah jalan berlubang dan rosak, kebanjiran warga asing khususnya 'awang hitam' dan isu keselamatan di kawasan tersebut.

Penduduk mendakwa, warga asing itu memonopoli kawasan padang Majlis Perbandaran Sepang (MPS) di situ untuk bermain bola sepak selain merosakkan pagar dan kadang-kala mengganggu orang awam.

Selain itu, penduduk juga kecewa kerana balai polis di situ telah dipindahkan jauh dari lokasi mereka hingga menyebabkan mereka bimbang kerana tiada balai polis untuk membuat laporan.

Ia seolah-olah menggambarkan pihak berwajib terlepas pandang atau menutup mata ekoran isu yang melanda kawasan tersebut.

Tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi terbabit hari ini mendapati aduan penduduk terlibat berasas.

Jalan-jalan di situ kelihatan berlopak dan beralun dengan teruk selain dipenuhi batu-batu kecil. Walaupun telah diturap semula, ia masih berulang sekali gus mengundang bahaya kepada penunggang motosikal.

Dalam perkembangan sama, penduduk juga tertanya-tanya berhubung perkembangan kerja-kerja membina semula jambatan di Persimpangan Bertingkat Science Park 2 yang runtuh pada Februari tahun lalu.

Penduduk juga mendakwa, setakat ini mereka tidak nampak kerja-kerja pembaikan dilaksanakan di situ atau kelibat pihak kontraktor.

Tinjauan juga mendapati, jambatan tersebut masih ditutup untuk laluan kenderaan dan pengguna jalan raya dikehendaki membuat lencongan sebagai laluan alternatif untuk ke Putrajaya, Cyberjaya dan Puchong.

Penduduk mahu pihak berwajib menyiapkan kerja-kerja tersebut dengan segera kerana ia mengundang masalah kesesakan lalu lintas pada waktu puncak selain masalah lampu jalan tidak menyala yang mengundang bahaya.

Masalah kami dipandang sebelah mata - Penduduk

Posted: 06 Mar 2014 10:39 AM PST

Pagar rosak di Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor ini didakwa berpunca daripada perbuatan warga asing yang sering menggunakan padang awam berkenaan untuk aktiviti riadah.

SEPANG 6 Mac. - Pihak berwajib diminta segera memantau dan menyelesaikan kemelut yang melanda di Taman Putra Perdana, Puchong dekat sini.

Seorang peniaga makanan yang mahu dikenali sebagai Abu, 45, berkata, kebanjiran warga asing di taman perumahan itu semakin membimbangkan sejak akhir-akhir ini.

Menurutnya, kelibat warga asing boleh dilihat di mana-mana terutamanya di kawasan perindustrian di situ.

"Kehadiran mereka memang menganggu ketenteraman dan mencalarkan imej persekitaran dan kebersihan taman perumahan di sini," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Perasaan sama turut dikongsi seorang peniaga kuih-muih, Kamisah Saidi, 45,.

Dia berkata, penduduk di kawasan itu amat memerlukan kemudahan balai polis bagi jaminan keselamatan mereka dan keluarga.

"Kami berasa tidak selamat kerana ada sekumpulan warga asing ini lagaknya seolah-olah berada di tempat sendiri.

"Sebelum ini kami difahamkan di sini ada satu tapak disediakan untuk dibina sebuah balai polis, namun sehingga ke hari ini tiada sebarang perkembangan," katanya.

Penduduk, Shaharudin Asmuin, 40, pula berkata, dia menetap di kawasan itu hampir 12 tahun iaitu sejak kawasan itu mula dibuka.

Menurutnya, suasana hari ini sudah jauh berbeza berbanding ketika dia dan keluarga mula tinggal di situ.

"Jumlah warga asing semakin bertambah dari semasa ke semasa. Tindakan mereka membina penempatan sendiri, benar-benar membimbangkan.

"Apa yang mendukacitakan sehingga kini tiada tindakan penguatkuasaan diambil pihak berwajib," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk yang ingin dikenali sebagai Hashriq berkata, masalah jalan rosak dan berlubang di kawasan itu seolah-olah tidak dipedulikan pihak berwajib.

Promosi TMM 2014 dalam ERL

Posted: 06 Mar 2014 10:39 AM PST

Oleh SITI AINIZA KAMSARI
kota@utusangroup.com.my

KUALA LUMPUR 6 Mac - Syarikat pengendali kereta api laju, Express Rail Link (ERL) Sdn. Bhd bakal mempromosi keunikan negara ini menerusi skrin layar di dalam gerabak ERL sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh berkata, pihaknya sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan agensi swasta mahupun kerajaan bagi tujuan promosi TMM 2014 sama ada di stesen transit ERL dan di dalam gerabaknya.

"Saya harap melalui kerjasama dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan ini akan dapat dijayakan bagi tujuan menarik lebih ramai pelancong datang untuk menikmati pelbagai produk pelancongan di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyambut penumpang ERL yang ke-50 juta di Stesen KL Sentral di sini, hari ini.

Yang turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib; Ketua Pegawai Eksekutif ERL Noormah Mohd. Noor dan Pengurus Besar Cawangan Malaysia Syarikat Penerbangan Etihad Airways., Dave Walsh.

Mohd. Nadzmi mengulas rungutan orang ramai mengenai tiada sebarang promosi TMM 2014 ditayangkan pada skrin layar di dalam gerabak ERL yang menjadi pen gangkutan awam utama para pelancong asing ke negara ini sejak awal tahun ini.

Dalam pada itu, katanya, dengan pembukaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) 2 pada 2 Mei akan datang, ERL akan mula melancarkan perkhidmatan yang menghubungkan KLIA dan klia2.

"Kadar tambang sebanyak RM2 akan dikenakan kepada para penumpang dengan mengekalkan harga-harga tiket yang lain seperti sedia kala," katanya.

Tambah beliau, ERL menjangkakan peningkatan sebanyak 40 peratus penumpang dengan pembukaan klia2 tersebut.

"Dalam tempoh tujuh tahun dari sekarang, ERL mampu mencapai sasaran penumpang sebanyak 100 juta penumpang berbanding 50 juta dalam tempoh 12 tahun lalu," katanya.

Sementara itu Ahmad Phesal berkata, DBKL akan menggiatkan promosi pakej pelancongan bagi penumpang-penumpang pesawat yang singgah bagi tujuan transit di Kuala Lumpur sekali gus memperkenalkan ibu negara ke serata dunia.

"Daripada mereka menunggu selama lima hingga enam jam atau sehari di KLIA untuk penerbangan seterusnya tanpa berbuat apa-apa, lebih baik kita menawarkan mereka menaiki ERL ke Kuala Lumpur.

"Selepas itu, kita akan menyediakan kemudahan perkhidmatan bas pelancongan dua tingkat, Hop In Hop Off untuk membawa mereka melawat sekitar ibu negara.

"Walaupun untuk tempoh seketika tetapi sudah cukup bagi membolehkan mereka mengenali Kuala Lumpur dan mendorong mereka untuk datang semula bagi tujuan melancong pada masa akan datang," katanya.

Menurutnya, sempena TMM 2014, negara dijangka menerima kehadiran seramai 15 juta pelancong iaitu 10.1 juta terdiri daripada pelancong asing dan 4.9 lagi adalah pelancong tempatan.

Sementara itu, seorang warga Australia, Olivier de Bruin, 19, menjadi penumpang yang ke-50 juta bagi perkhidmatan ERL.

"Saya terkejut kerana menjadi penumpang ke-50 juta. Ia angka yang menakjubkan dan ini menjadi satu sejarah buat saya dan bapa, Jeroen de Bruin," katanya yang singgah di Kuala Lumpur sementara menunggu penerbangan ke Amsterdam, Belanda.

Pelajar Universiti Montpellier, Perancis itu menerima tiket penerbangan pergi balik ke Eropah untuk dua orang sumbangan daripada Etihad Airways.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved