Khamis, 6 Mac 2014

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Pandu Puteri dinamik, efektif

Posted: 05 Mar 2014 11:24 AM PST

Oleh AZIZI MAJID
utusan.johor@gmail.com

Ahli Pandu Puteri membuat kraf tangan daripada barangan kitar semula pada Majlis Sambutan Hari Peringatan Sedunia dan Majlis Turun Padang Pandu Puteri Cawangan Negeri Johor.

JOHOR BAHRU 5 Mac - Usia penubuhannya yang mencecah 97 tahun cukup menggambarkan betapa luas pengalaman Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) yang menjadi nadi penggerak kepada golongan remaja dan wanita di negara ini.

Sebagai sebuah organisasi yang mempunyai kira-kira 80,000 ahli dan sukarelawan, PPMM begitu komited untuk melahirkan golongan remaja dan wanita dewasa yang berkaliber serta mampu menjadi seorang pemimpin berwibawa.

Di peringkat kebangsaan, persatuan ini merupakan ahli gabungan Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), manakala di peringkat antarabangsa menjadi ahli penuh Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia (WAGGGS).

Sebagai sebuah organisasi dinamik dan efektif, PPPM banyak menyediakan aktiviti dan program yang bercorak pendidikan bukan formal dengan asasnya meliputi perkembangan diri, sahsiah dan intelek, minat dan hobi, gaya hidup sihat dan khidmat.

Baru-baru ini, PPPM menganjurkan Majlis Sambutan Hari Peringatan Sedunia dan Majlis Turun Padang Pandu Puteri Cawangan Negeri Johor di Taman Merdeka di sini.

Bukan sahaja dihadiri ribuan ahli persatuan dari negeri ini dan beberapa wakil dari Singapura, malah turut diserikan dengan kehadiran isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang merupakan Yang Dipertua PPPM.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Pesuruhjaya PPPM, Normala Baharudin; Yang Dipertua PPPM negeri, Tunku Fatimah Faridah Tunku Osman dan Timbalannya, Tunku Aminah Sultan Ibrahim.

Rosmah dalam ucapannya turut memuji penganjuran majlis tersebut yang dilihat mampu merakyatkan Pandu Puteri sekali gus memastikan persatuan itu terus relevan dan kewujudannya disedari dan dihargai oleh masyarakat.

Menerusi program Pandu Puteri turun padang ini, saya difahamkan Pandu Puteri Cawangan Johor telah giat menjalankan program keusahawanan dengan melatih remaja daripada orang kurang upaya (OKU) membuat kek.

Pandu Puteri Daerah Muar dan Segamat pula melatih pelajar OKU di sekolah menjahit, manakala Pandu Puteri Daerah Batu Pahat membantu golongan ibu tunggal mengusahakan pembuatan kerepek ubi dan kuih tradisional.

Walau apa pun programnya, baik di desa mahupun di kota, Pandu Puteri perlu terus melestarikan budaya kesukarelaan dalam kalangan ahlinya, sekali gus mampu membantu golongan yang memerlukan dan melahirkan masyarakat penyayang," katanya.

Dalam pada itu, beliau turun menyarankan PPPM untuk menjelajah ke kawasan pedalaman dan perkampungan Orang Asli bagi berkongsi ilmu pengetahuan dan meningkatkan kesedaran ibu bapa serta pelajar tentang pentingnya pendidikan.

Ini kerana masih terdapat segelintir kanak-kanak yang tinggal di kawasan pedalaman dan luar bandar tercicir daripada mengikuti pendidikan di sekolah.

Sambutan jadi medium berkongsi pengalaman

Posted: 05 Mar 2014 11:24 AM PST

JOHOR BAHRU 5 Mac - Beberapa ahli Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) yang menyertai Majlis Sambutan Hari Peringatan Sedunia dan Majlis Turun Padang Pandu Puteri Cawangan Negeri Johor melahirkan rasa gembira dengan penganjuran majlis berkenaan.

Bukan sahaja dapat berjumpa kenalan baharu, majlis berkenaan juga mampu menjadi medium bagi peserta untuk berkongsi cerita dan pengalaman bersama rakan seangkatan yang lain.

Bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Aman, Kota Tinggi, Siti Fatimah Bowat, 14, dia yang menyertai badan beruniform itu sejak dua tahun lalu tidak melepaskan peluang untuk turut serta dalam program yang julung kali diadakan itu.

Banyak manfaat yang kita boleh peroleh menerusi program sebegini kerana menerapkan ilmu dan kemahiran baharu selain meningkatkan sahsiah setiap ahli persatuan.

Selain itu, saya juga dapat menyumbang kepada tabung Hari Peringatan Sedunia dan hasil kutipan itu akan digunakan bagi ahli dan golongan yang memerlukan," katanya.

Sebanyak RM4,719 berjaya dikutip sempena Hari Peringatan Sedunia yang disambut pada 22 Februari setiap tahun bagi memperingati Sir Robert Louis Stevenson Baden-Powell, pengasas Pergerakan Pengakap dan Pandu Puteri serta isterinya, Lady Olave Baden-Powell yang merupakan Ketua Pandu Puteri Dunia.

Sementara itu, guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Dr. Ismail, Muar, Juliana Bajuri berkata, sekolah berkenaan dengan kerjasama Pandu Puteri Daerah Muar mengambil inisiatif mengajar pelajar pendidikan khas kaedah menjahit pakaian.

Kita turut membawa beberapa pelajar ke majlis ini supaya mereka mendapat pendedahan dan mempamerkan kemahiran menjahit.

Kita berharap dengan usaha yang dilakukan bersama Pandu Puteri Daerah Muar ini sedikit sebanyak dapat meningkatkan kemahiran dan keyakinan para pelajar istimewa ini," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved