Jumaat, 14 Februari 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Lagi seleweng diesel tumpas

Posted: 13 Feb 2014 10:42 AM PST

Oleh AIN SAFRE BIDIN
utusanperak@utusan.com.my

MOHD. Khalis Kasim menunjukkan lori tangki yang mengandungi minyak diesel yang dirampas di Hutan Melintang selepas sidang akhbar di pejabat PPDNKK Teluk Intan, semalam.

TELUK INTAN 13 Feb. - Bahagian Penguatkuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Perak berjaya mematahkan cubaan penyelewengan diesel bersubsidi yang aktif di daerah Hilir Perak apabila merampas hampir 14,000 liter bahan bakar itu dalam satu serbuan di Hutan Melintang, dekat sini pagi semalam.

Timbalan Pengarah Pejabat PPDNKK Perak, Mohd. Khalis Kasim berkata, diesel berkenaan dirampas dari sebuah lori tangki dalam serbuan di pelantar ikan di Bagan Sungai Tiang, Selekoh dan seorang lelaki berusia 50 tahun yang memandu lori tangki berkenaan turut ditahan.

Katanya, serbuan oleh empat pegawai dari pejabat PPDNKK Ipoh dan lapan anggota Bahagian Penguatkuasa PPDNKK Teluk Intan yang diketuai Pegawai Penguatkuasa Mohd. Helmi Ali Sham dilakukan setelah intipan selama seminggu hasil maklumat orang ramai.

Katanya, dalam intipan mulai pukul 8 pagi hingga 11 malam semalam, pihaknya mengesan sebuah lori yang dipandu oleh seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di kawasan pelantar ikan berdekatan sebuah restoran makanan laut di Bagan Sungai Tiang, Selekoh.

"Serbuan dan pemeriksaan ke atas lori terbabit kemudiannya menemui 12,400 liter diesel di dalam tangki lori berkenaan.

"Selain itu kami turut menemui 1,500 liter diesel di dalam sebuah tangki plastik yang dipercayai untuk disedut ke dalam tangki di atas lori berkenaan dan nilai rampasan berjumlah RM56,835," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mohd. Khalis berkata, lori yang ditahan turut dirampas manakala pemandunya ditahan untuk siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan secara tidak sah.

Katanya, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Kebakaran hutan Gunung Raba berjaya dikawal

Posted: 13 Feb 2014 10:42 AM PST

Zambry Abd. Kadir (kiri) meninjau keadaan kawasan kebakaran hutan di Bukit Raba di Bersia, Gerik semalam.

GERIK 13 Feb. - Kawasan hutan seluas 80 hektar di Gunung Raba berhampiran Empangan Bersia dekat sini yang terbakar sejak kelmarin berjaya dikawal daripada merebak ke Hutan Simpan Air Chepam.

Pengarah Pasukan Bomba dan Penyelamat negeri, Yahaya Madis berkata, pihaknya kini memantau perkembangan itu dan yakin dapat memadamkan sepenuhnya api pada esok.

Menurutnya, pihaknya telah menambah keanggotaan kepada 180 orang berbanding 159 orang semalam bagi menjalankan kerja pemadaman.

"Operasi dihentikan pada pukul 6 petang ini dan akan disambung esok bagi memastikan tiada lagi punca kebakaran," ujarnya.

Kebakaran di situ mula dikesan pada pukul 1 tengah hari Selasa lalu.

Sebelum ini Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Zainuddin Abdul Rahim yang mengetuai Ops Kebakaran Hutan Gunung Raba memberitahu kebakaran dipercayai berpunca daripada aktiviti pembakaran terbuka.

Kawasan yang terbakar merupakan hutan bekas pembalakan.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang membuat tinjauan udara di kawasan kebakaran pada pukul 2 petang ini mengesahkan ia berpunca daripada aktiviti penerokaan tanah secara haram untuk pertanian.

Menurutnya, mereka dipercayai melakukan aktiviti pembakaran di tepi Tasik Bersia dan api merebak sehingga ke kawasan hutan berkenaan ekoran cuaca panas.

Perlis catat 33 kes denggi

Posted: 13 Feb 2014 10:42 AM PST

KANGAR 13 Feb. - Perlis merekodkan peningkatan kes denggi lebih sekali ganda bagi tempoh Januari hingga 8 Feb lalu, iaitu 33 kes berbanding hanya 13 bagi tempoh sama tahun lepas.

Pengarah Kesihatan Perlis, Datuk Dr. Ghazali Othman berkata, kes dilaporkan di tiga lokasi dengan dua masih aktif iaitu Taman Hijrah dan Kampung Guar Syed Alwi.

Peningkatan kes ini berpunca daripada sikap orang ramai yang masih kurang prihatin terhadap pembiakan nyamuk Aedes, katanya di sini.

Dr. Ghazali turut menasihati penduduk memastikan kawasan premis bersih, bebas daripada pembiakan nyamuk Aedes. Jika didapati ada pembiakan Aedes akan dihadapkan ke mahkamah.

Menurut Dr. Ghazali, pihaknya sudah melancarkan Operasi Gempur Aedes siri 2/2014 pada 8 Feb lepas yang menyaksikan 228 premis diperiksa. — BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved